Bengkel Azam Motor Komited Jadi 'Kilang' Tenaga Mahir TVET Dan Automotif 

P
enguasaannya dalam membaca, menulis dan mengira (3M) agak lemah, membuatkan remaja Orang Asli ini gusar tentang masa depannya kerana sedar dengan tahap pendidikan yang dimiliki dia tidak akan mampu membaiki kehidupannya dan juga keluarga.

Namun, ketika dia telah menerima takdir akan kekal di kampung dan melakukan kerja-kerja seperti orang tuanya, pertemuan dengan pemilik pusat sehenti baik pulih kenderaan Azam Motor, Mastinah Mohd Sani mengubah nasib Azrai Along, 19.

“Saya bertemu beliau melalui orang tengah, dan ketika itu saya langsung tidak tahu apa-apa tentang enjin kenderaan, apatah lagi untuk membaiki,” kata remaja Jahut yang berasal dari Kampung Sungai Mai, Jerantut, Pahang ini kepada Bernama.

Remaja suku kaum Orang Asli Jahut yang juga pekerja Azam Motor, Azrai Along.

Jahut merupakan Orang Asli daripada suku Senoi  yang mempunyai populasi terkecil di negara ini, iaitu sekitar 4,000 orang dan tinggal di Temerloh serta Jerantut di Pahang.

Lebih mesra dipanggil Uun, anak muda ini yang ditemui di Azam Motor Banting di sini, berkata walaupun lemah dalam 3M, dia berjaya menguasai ilmu tentang enjin kenderaan dalam tempoh setahun dan kini tahu membaiki enjin yang memerlukan pembaikan kecil seperti menukar minyak enjin.

“Sekarang saya sudah jadi pomen (mekanik), tapi saya mahu terus belajar di sini sehingga benar-benar mahir agar saya dapat buka bengkel sendiri di kampung halaman saya,” ujarnya yang mula bekerja di Azam Motor sejak tahun lepas.

 

PELBAGAI KAUM, PELBAGAI USIA

Sementara itu, Mastinah yang juga Pengarah Urusan Azam Motor, berkata setakat ini pihaknya mengambil empat pekerja Orang Asli, namun hanya Azrai yang masih kekal bekerja di syarikat beliau.

"Jika diberi peluang, memang saya akan ambil ramai lagi pekerja daripada golongan ini untuk tingkatkan sosioekonomi mereka. Mereka ini sebenarnya ramai yang berbakat, cuma kena cungkil sahaja,” katanya, menambah walaupun tanpa kemahiran, mereka diberikan gaji permulaan RM1,500 sebulan.

Pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia telah mentauliahkan Azam Motor sebagai Pusat SLDN pada 2014.

Malah beliau percaya, sekiranya dilaksanakan dengan baik, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu mengangkat taraf sosioekonomi belia Orang Asli, khususnya bagi yang mempunyai masalah pembelajaran.

Daam pada itu, beliau berkata pada masa ini, Azam Motor yang mempunyai cawangan di Salak Tinggi, Kajang dan Sungai Buloh, Selangor, menggaji 55 orang pekerja daripada pelbagai bangsa, latar belakang dan usia.

“Kami ada seorang pekerja berbangsa Cina bernama Keong. Dia ni banyak kali kena 'reject’ oleh bengkel-bengkel lain, tetapi kami ambil dan latih dia sehingga menjadi seorang mekanik yang bagus.

“Kami juga beri peluang kepada bekas penagih dadah. Selain itu, kami ada beberapa orang mekanik wanita. Contohnya, Fatin Nazira yang sanggup merantau dari Pahang ke sini, semata-mata mahu belajar ilmu 'wiring’ dan pendingin hawa dengan kami,” jelas Mastinah, menambah pekerja paling tua di situ berusia 60 tahun. 

 

PUSAT LATIHAN SLDN BERTAULIAH

Menurut beliau, usaha itu disokong oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia yang telah mentauliahkan Azam Motor sebagai Pusat Latihan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) pada 2014.

“Justeru, sesiapa sahaja yang datang ke sini untuk belajar, amat dialu-alukan.Yang penting mereka ada minat mendalam untuk belajar tentang automotif dan bengkel kami mempunyai peralatan yang lengkap. Mereka akan diajar ilmu kemahiran membaiki pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan berat,” jelasnya.

Menurut Mastinah, mereka yang mempunyai sijil peperiksaan utama persekolahan seperti Sijil Pelajaran Malaysia, akan ditauliahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga sekiranya lulus ujian yang dijalankan oleh JPK.

“Kebiasaannya, apabila seseorang pekerja mempunyai SKM Tahap Tiga, mudah untuk dia diterima bekerja di mana-mana syarikat selain boleh memohon gaji lebih besar berbanding lepasan lain,” jelasnya.

Bagaimanapun kata beliau, bagi kes seperti Azrai yang langsung tidak memiliki sijil peperiksaan persekolahan, dia perlu menjalani latihan dan menerima pengalaman di bengkel selama tiga tahun untuk melayakkannya menerima Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) daripada JPK.

Penekanan terhadap aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) terus menjadi keutamaan pihak pengurusan Bengkel Azam Motor.

“Akan tetapi, kalau dah ada PPT, maka mudah untuk dia ditauliahkan dengan SKM Tahap Tiga," tambah usahawan itu lagi.

PPT merupakan antara kaedah bagi mengiktiraf individu yang dapat membuktikan pengalaman dan pencapaian terdahulunya  memenuhi  Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS). 

"Perkara ini penting bagi menjimatkan kos latihan serta meningkatkan produktiviti syarikat, selain membantu meningkatkan imej dan mutu perkhidmatan kita kepada pelanggan,” tambah Mastinah.

Pada masa sama, beliau berkata syarikatnya juga akan menghantar pekerja mereka mengikuti latihan kemahiran yang ditawarkan oleh pihak lain bagi meningkatkan kepakaran masing-masing.

“Langkah ini penting bagi  membantu negara mengeluarkan pekerja mahir dalam sektor automotif agar kita dapat mengurangkan kebergantungan pada tenaga kerja asing khususnya,” kata beliau.

 

BERMULA DARI BAWAH

Mengimbas penglibatannya dalam bidang pembaikan kenderaan, Mastinah yang juga Presiden Persatuan Usahawan Pembangunan Automotif Wanita Malaysia, berkata pada asalnya beliau merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah di Selangor, namun meninggalkan kerjaya itu bagi membantu suaminya membesarkan perniagaan bengkel mereka.

“Sebelum kami sampai di tahap sekarang, suami saya, Mispan Ribut, 58, bekerja di pelbagai bengkel, dan selepas itu beliau membuka perniagaan sendiri di Shah Alam pada 1986. Namun disebabkan lokasi tidak strategik, perniagaannya tidak begitu menguntungkan.

Pelbagai servis disediakan untuk pelanggan, termasuklah servis kereta, jentera berat dan bot nelayan.

“Jadi, beliau kembali ke sini dan buka bengkel lain pada 1990. Kemudian, selepas kami berkahwin pada 1993, saya berhenti kerja sebagai guru dan berikan tumpuan pada pengurusan, sementara suami pula lebih suka bergelumang dengan minyak enjin di bengkel,” kongsinya.

Menurutnya, perniagaan bengkel mempunyai persaingan yang cukup sengit, memaksa beliau dan suami mencari jalan untuk menarik pelanggan.

“Oleh yang demikian, kami ambil keputusan untuk menjadikan bengkel ini sebagai sebuah bengkel berkonsepkan pusat sehenti yang menawarkan pelbagai servis automotif yang komprehensif," jelasnya yang turut berbangga kerana Azam Motor diiktiraf sebagai pusat servis pelbagai perkhidmatan milik wanita Melayu pertama di negara ini.

 Ujarnya, di bengkel mereka, perkhidmatan pembaikan merangkumi semua jenis kenderaan termasuk motosikal dan jentera berat.

“Di sini lengkap. Semua servis ada termasuk kimpalan dan cat semula,” katanya, menambah mereka juga mengutamakan kelestarian alam sekitar dan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar untuk mengitar semula barangan terpakai seperti tayar, minyak hitam dan pelbagai lagi.

 

KKP DIUTAMAKAN

Sedar bahawa sektor itu antara bidang yang "kotor dan berbahaya”, Mastinah berkata aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP)  amat diutamakan di Azam Motor.

“Setiap pekerja akan dipastikan mengenakan pakaian keselamatan yang lengkap dan tidak akan dibenarkan masuk bekerja sekiranya tidak mematuhi arahan itu,” tegasnya. 

“Kami juga melaburkan lebih RM500,000 untuk beli peralatan seperti lift jack yang dapat meningkatkan aspek KKP ini.

"Kita tidak ingin ada pekerja yang jatuh sakit, terutama sakit tulang belakang dan pinggang disebabkan perlu sentiasa mengangkat benda berat ketika bekerja. Apatah lagi kes sebegini banyak berlaku dan kita juga pastikan setiap peralatan dan mesin diselenggara setiap enam bulan,” tambah beliau.

Tidak cukup dengan itu, Mistinah berkata pihaknya juga melengkapi pekerja mereka dengan ilmu KKP termasuk dari segi kesiapsiagaan dan rawatan kecemasan sekiranya berlaku kemalangan. 

Bagi meningkatkan prestasi pekerja dan sebagai motivasi, beliau berkata syarikatnya menyediakan hadiah dan ganjaran khas buat pekerja seperti bantuan RM1,000 bagi kelahiran anak, khairat kematian, sumbangan barang dapur setiap bulan serta bantuan kewangan untuk mendaftarkan anak di institusi pengajian tinggi.

“Kita mahu pekerja kita gembira bekerja dengan kita,” katanya menamatkan temu bual.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.