S
ambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan negara ini telahpun berakhir, namun rakyat perlu ingat bahawa sambutan itu bukan sekadar memperingati pembebasan negara daripada penjajahan tetapi juga permulaan perjuangan ke arah masa depan lebih baik untuk semua.
Negara sekarang berada di persimpangan yang penting dalam mewujudkan keadilan ekonomi serta masyarakat lebih saksama, dengan setiap ahli mempunyai akses sama rata kepada peluang serta sumber, dan di bawah pimpinan kerajaan MADANI yang komited melakukan pembaharuan, Malaysia di landasan bagi mencapai semua matlamat itu.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah kerajaan untuk melakukan pembaharuan adalah tepat pada masa dan sejajar dengan trajektori pertumbuhan Malaysia yang kukuh, terutama jika dibandingkan dengan negara serantau dalam landskap pasca-COVID-19.
Beliau berkata ketika ini, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar pantas 5.9 peratus berbanding Indonesia 5.0 peratus, Singapura 2.9 peratus, Thailand 2.3 peratus dan Filipina pada 6.3 peratus.
Katanya dari segi perkembangan ekonomi, Malaysia umumnya merekodkan prestasi yang cukup bagus, namun beliau mengingatkan kerajaan agar tidak berpuas hati dengan pencapaian tersebut.
PERLU PEMBAHARUAN MENYELURUH
Mohd Afzanizam juga berkata ada keperluan untuk melakukan pembaharuan menyeluruh bagi membolehkan Malaysia menaikkan statusnya daripada negara berpendapatan sederhana tinggi kepada berpendapatan tinggi.
Menurutnya, Malaysia sudah lama berada di kelompok berpendapatan sederhana tinggi, justeru ada bidang-bidang yang perlu dilihat bagi membolehkan negara beranjak kepada pendapatan tinggi.
“Ini bermakna ada keperluan untuk pembaharuan dalam pelbagai aspek seperti tadbir urus, kawal selia, ekonomi serta institusi, dan agenda pembaharuan ini boleh bersifat holistik.
“Untuk itu, perlu ada proses perancangan yang mantap, penyelarasan lebih baik antara kementerian dan agensi kerajaan, serta sokongan dan penyertaan sektor swasta,” katanya kepada Bernama.
Merujuk Rancangan Malaysia ke-13 yang akan menentukan hala tuju pembangunan ekonomi negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 dan dijadualkan dibentang di Parlimen tahun depan, beliau berkata: “Jika kita dapat laksanakan (pelan) itu dengan baik, saya tidak akan terkejut kalau Malaysia muncul sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2028, dengan syarat ekonomi bertumbuh pada kadar 5.0 peratus setahun, berserta peningkatan berterusan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.”
Pakar ekonomi itu berkata prospek ekonomi Malaysia kelihatan memberangsangkan dengan ringgit muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik dalam kalangan 10 negara serantau, iaitu petunjuk jelas tentang keadaan ekonomi negara.
Di samping itu, aliran masuk dana asing menerusi ekuiti dan bon selain kelulusan pelaburan lebih tinggi, mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia.
“Saya melihat pentadbiran semasa pragmatik dalam melakukan pembaharuan ekonomi negara. Kadar cukai perkhidmatan lebih tinggi, cukai barang bernilai rendah, cukai lebih tinggi bagi produk tembakau dan minuman bergula, rasionalisasi subsidi untuk elektrik dan diesel serta pelaksanaan e-invois, merupakan sebahagian daripada langkah pengukuhan fiskal yang dilaksanakan setakat ini.
“Kerajaan mungkin perlu berehat sebentar daripada melaksanakan langkah-langkah seterusnya bagi membolehkan perubahan-perubahan tersebut berlaku,” katanya, menambah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang berkuat kuasa 1 Jan 2024 akan memformalkan sasaran bagi mengurangkan defisit fiskal serta hutang kerajaan.
Langkah pragmatik tersebut membolehkan ekonomi mencatatkan pertumbuhan yang baik sebanyak 5.1 peratus pada separuh pertama 2024, melebihi julat ramalan rasmi 2024, iaitu empat hingga lima peratus.
Mohd Afzanizam berkata dengan kestabilan politik, kerajaan seharusnya berada di kedudukan terbaik untuk melaksanakan agenda pembaharuan seterusnya, yang akan membuka potensi penuh ekonomi Malaysia.
LALUAN MALAYSIA KE ARAH PENGELUARAN BERNILAI TINGGI
Pakar ekonomi itu juga berkata rakyat Malaysia semakin mendambakan ekonomi yang lebih sofistikated dari segi aktiviti pengeluaran, dengan konsep Kompleksiti Ekonomi (EC) menjadi topik polemik popular mutakhir ini.
“EC menjelaskan bagaimana sesebuah negara boleh memanfaatkan sumber sedia ada agar ia dapat mengeluarkan produk lebih kompleks berbanding menumpukan pada bidang yang senang dikeluarkan dan tidak memerlukan perbelanjaan modal tinggi ataupun keperluan menggaji pekerja berkemahiran tinggi.
“Apabila ekonomi kita menjadi lebih kompleks, kita akan nampak (pewujudan) lebih banyak industri hiliran yang menggalakkan penyelidikan dan pembangunan, membawa kepada produktiviti lebih tinggi dan ganjaran yang lebih baik untuk pekerja,” jelasnya.
Dilaporkan bahawa setakat 2024, Malaysia berada di tangga ke-56 dalam Indeks Kompleksiti Ekonomi (ECI) dengan skor 1.12, mencerminkan kedudukannya sebagai ekonomi kompleks sederhana dengan pelbagai jenis eksport, sekalipun ada ruang untuk penambahbaikan selanjutnya apabila dibandingkan dengan ekonomi maju seperti Jepun atau Jerman.
ECI mengukur intensiti pengetahuan ekonomi negara dengan mempertimbangkan kepelbagaian dan kompleksiti produk yang dieksportnya.
Singapura di tangga ke-39 dengan skor 1.87, Thailand di tempat ke-58 dengan skor 1.11, Vietnam di kedudukan 85 dengan skor 0.18 dan Indonesia di tangga ke-97 denga skor ECI -0.07.
HIDUPKAN SEMULA MINAT DALAM STEM
Sementara itu, mengulas kepentingan memupuk tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan, Mohd Afzanizam berkata kerajaan perlu menyemak semula pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan menambah baik kaedah pengajaran kerana “ada naratif bahawa pelajar menjadi kurang berminat terhadap subjek Sains dan Matematik di peringkat sekolah rendah dan menengah.”
“Saya rasa infrastruktur bagus, namun ada ruang untuk penambahbaikan. Lebih penting lagi, bagaimana kita hendak dorong minat pelajar dalam Sains dan Matematik? Barangkali kita boleh lihat semula kurikulum dan fikirkan kaedah terbaik untuk mengajar mereka. Mungkin isunya adalah tentang perisian bukan perkakasan apabila membicarakan soal pendidikan (STEM),” tambah beliau.
Bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid pula membangkitkan isu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang katanya mesti bertindak balas terhadap masalah pasaran tenaga kerja tempatan, antaranya isu pengangguran siswazah dan kerja tidak sepadan dengan pendidikan serta keperluan pasaran pekerjaan.
Katanya ramai belia, terutama lepasan universiti, menganggur sekalipun kadar pengangguran keseluruhan negara di bawah empat peratus.
“Selain itu, banyak graduan mengalami masalah pekerjaan yang tidak sesuai dengan kelayakan mereka; mereka sering bekerja sebagai kerani, penyelia jualan atau pemandu Grab… ini menunjukkan bahawa walaupun sektor pendidikan kita menghasilkan ramai graduan, peluang pekerjaan yang sesuai masih kurang,” katanya.
Mengulas tentang pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan sebelum ini, Zakariah menegaskan bahawa seiring dengan kenaikan gaji bagi 1.7 juta penjawat awam itu, produktiviti juga perlu meningkat.
“Secara umumnya, kita perlu memastikan gaji naik seiring dengan produktiviti, kerana jika gaji bertambah tanpa peningkatan produktiviti, majikan mungkin tidak mampu menyokong kenaikan tersebut dan ini boleh menyebabkan inflasi,” katanya.
Tambah beliau, laporan daya saing dunia World Competitiveness Yearbook baru-baru ini menunjukkan penurunan daya saing negara apabila jatuh dari tempat ke-27 kepada ke-32, daripada keseluruhan 67 negara, disebabkan oleh produktiviti yang rendah.
“Oleh itu, kita perlu membaiki daya pengeluaran kita, termasuk pelaburan dalam teknologi dan peningkatan kemahiran tenaga kerja. Struktur ekonomi kita perlu disesuaikan supaya produktiviti dapat meningkat, yang seterusnya akan membolehkan gaji pekerja dinaikkan tanpa menyebabkan masalah inflasi yang ketara,” kata beliau.
Tambahnya lagi, dengan cara itu, peningkatan produktiviti akan berlaku secara semula jadi tanpa perlu campur tangan kerajaan yang berlebihan.