N
anga Engkuah, sebuah perkampungan masyarakat Iban terpencil di pedalaman ulu Sungai Katibas di daerah Song Sarawak dengan keunikannya yang tersendiri, baru-baru ini menjadi tumpuan dan buah mulut ramai.
Terdiri daripada tiga buah rumah panjang - Rumah Assan Munal, Rumah Radiah Langit dan Rumah Albert Lajong - perkampungan ini dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI yang pertama di Sarawak, Bumi Kenyalang.
Terletak tidak sampai satu jam ke sempadan antara Sarawak dan Indonesia jika menyelusuri sungai tersebut dan lebih kurang 50 kilometer dari Pekan Song, perkampungan ini hanya boleh diakses melalui jalan sungai yang mengambil masa tiga jam.
Mempunyai liputan kemudahan di bawah 50 peratus, salah satu kriteria yang diutamakan, dan dengan jumlah penduduk seramai 658 orang, kebanyakannya adalah petani, menjadikannya sesuai untuk menerima inisiatif Kampung Angkat MADANI.
Kementerian Kerja Raya (KKR) di bawah pimpinan Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi yang juga Ahli Parlimen Kapit, diberi tanggungjawab untuk menjadi pelaksana inisiatif Kampung Angkat MADANI di Nanga Engkuah.
Kerajaan memperkenalkan program Kampung Angkat MADANI dalam Belanjawan 2024 sebagai usaha untuk menoktahkan masalah kemiskinan tegar selain memastikan kawasan desa dan bandar dapat menikmati kemudahan prasarana asas yang setara.
Melalui Kementerian Kewangan, kerajaan memperuntukan RM100 juta bagi 42 Kampung Angkat MADANI di seluruh negara dengan pengagihan RM2.5 juta bagi setiap kampung.
Objektif utama program itu adalah bagi merapatkan jurang antara desa dan bandar dengan melengkapkan kemudahan asas terutama air, elektrik, jalan dan capaian jalur lebar.
SKOP PEMBANGUNAN
Ketika berucap di Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada Kontraktor pengendali projek Kampung Angkat Madani Nanga Engkuah Ogos lepas, Nanta berkata, skop pembangunan yang dilaksanakan di perkampungan itu adalah berbentuk fizikal, sesuai dengan keperluan penduduk-penduduknya.
"Apa yang dilaksanakan ialah pembinaan fizikal seperti menaik taraf jalan dan jambatan sedia ada yang uzur. Dua buah jambatan dan jalan simen dibina untuk menghubungkan ketiga-tiga rumah panjang dalam kampung ini,” katanya.
Selain itu, 100 tiang lampu tenaga solar akan dipasang di sepanjang jalan simen terbabit dan pondok transit di jeti di tepi Sungai Katibas sebagai kemudahan penduduk menunggu pengangkutan sungai.
Menurut Nanta, kos melaksanakan inisiatif itu adalah RM4 juta dan memandangkan peruntukan untuk projek kampung angkat sebanyak RM2.5 juta, KKR akan menanggung lebihan kos sebanyak RM1.5 juta, melalui peruntukan kementeriannya.
DOA YANG DIMAKBULKAN
“Doa yang dimakbulkan”, begitu luahan hati Tuai Rumah Radiah, 50, apabila Nanga Engkuah dipilih untuk menerima inisiatif Kampung Angkat MADANI.
“Selama ini, kami kami benar-benar dahagakan pembangunan dan berdoa agar kehidupan kami di sini menjadi lebih baik. Kini impian kami semakin menjadi realiti dan doa kami dimakbulkan dengan pelaksanaan inisiatif ini,” katanya kepada Bernama.
Datuk Alexander Nanta Linggi (kiri).
Rumah panjang yang dipimpinnya diapit oleh Rumah Assan dan juga Rumah Albert. Ketiga-tiga rumah panjang itu dipisahkan oleh dua batang anak sungai serta dua jambatan yang sudah uzur merentasi anak Sungai Katibas yang menghubungkan rumah-rumah panjang itu.
“Dengan adanya dua jambatan baharu itu kelak, kami akan berasa lebih selamat ketika menggunakannya terutamanya pada waktu malam. Kami dapat mengunjungi antara satu sama lain dan melaksanakan aktiviti sosioekonomi yang biasa, meraikan hari perayaan mahupun ketika ada keraian lain atau kematian,” ujarnya.
Menurutnya lagi, lampu-lampu solar yang akan dipasang itu kelak bukan sekadar menerangi perkampungan itu malah melambangkan sinar harapan pada masa hadapan dengan keyakinan untung nasib mereka sentiasa dijaga oleh kerajaan yang prihatin terhadap keperluan rakyat.
Jalan simen dan juga pondok jeti transit, katanya, sudah tentu memberikan kemudahan untuk penduduk di situ.
“Apa yang kami inginkan ialah jalan yang menghubungkan kampung ini dengan pekan Song namun kami faham ianya bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan dalam masa yang singkat. Jadi buat sementara waktu kami bersyukur dengan apa yang kami dapat dari kerajaan,” katanya.
Tuai rumah Assan Munal, 68, turut melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana menjadikan kampung tersebut sebagai Kampung Angkat MADANI dan pelaksanaannya mampu memberi kesan yang nyata kepada penduduk di situ.
Inisiatif itu, katanya, akan memberikan keselesaan kepada penduduk kampung tersebut sekaligus membantu memudahkan aktiviti harian mereka termasuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
LIMPAHAN YANG AKAN DATANG
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, kerajaan negeri membina sebuah substesen pertanian di kawasan Nanga Engkuah bagi membantu pembangunan pertanian bukan hanya untuk penduduk di kawasan berkenaan malah kesemua rumah panjang di sepanjang Sungai Katibas.
“Janganlah anggap semua pembangunan akan terhenti di Nanga Engkuah sahaja kerana kita merancang dan melaksanakan banyak inisiatif untuk penduduk di Katibas ini. Kita akan memperkasakan aktiviti tanaman sayur-sayuran di stesen pertanian itu selain akan mengadakan pusat penyelidikan mudah alih bagi perikanan darat.
“Dengan adanya projek-projek seperti ini, ianya dapat mempromosikan ekopelancongan dan agropelancongan. Sasaran utama kita adalah untuk membangunkan ekonomi kampung di sini, iaitu mengadakan kolam (ternakan ikan) besar dan kita akan cari pemborong ikan ‘empurau’ untuk membawa ikan itu ke pasaran. Apabila ini semua berlaku kelak, seluruh masyarakat di Sungai Katibas boleh mengambil peluang daripada inisiatif dan kemudahan yang disediakan,” katanya.
MENGANGKAT KAMPUNG LAIN
Sekiranya inisiatif Kampung Angkat Madani di Nanga Engkuah itu berjaya kelak, Nanta melahirkan harapan agar ia dapat diteruskan demi kepentingan dan manfaat penduduk kampung lain di pedalaman yang jauh daripada akses pembangunan.
"Kalau masih ada tahun depan ataupun tahun kemudiannya, kita akan bawa ke kawasan-kawasan yang lain sebab di kawasan Parlimen saya (Kapit) ada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kali ini kita pilih di kawasan DUN Katibas di daerah Song ini. Kalau ada tahun depan, saya akan berunding dengan ADUN Bukit Goram dan ADUN Pelagus untuk mengenal pasti perkampungan yang sesuai untuk dilaksanakan program yang serupa," katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff