Padah 'Content' Mengundang Binasa Diri, Masyarakat

P
erkembangan teknologi hari ini banyak mempengaruhi gaya hidup masyarakat termasuk dalam aspek komunikasi menerusi pelbagai platform khususnya media sosial seperti TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube. 

Media sosial bukan sahaja memberi ruang kepada individu untuk terus berhubung dan berinteraksi antara satu sama lain bahkan berekspresi lebih-lebih lagi dengan wujudnya trend atau kerjaya sebagai pencipta kandungan (content creator) melalui platform tersebut.

Kerjaya ini dilihat semakin menjadi pilihan ramai terutama dalam kalangan anak muda yang berpendapat platform media sosial memberi ruang untuk mereka berkarya, menjadi lebih kreatif mencipta sesebuah kandungan serta bertepatan dengan jiwa berbanding kerjaya lain yang dianggap tidak bebas dan terikat dengan pelbagai peraturan. 

Namun begitu, apa yang menjadi kebimbangan ialah apabila ada yang secara sengaja menghasilkan, seterusnya memuat naik kandungan bersifat ‘mengundang’ yang akhirnya memakan diri sendiri serta memberi implikasi buruk kepada masyarakat.

 

TANPA NIAT BUKAN TIKET BEBAS

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Azrul Zafri Azmi, kandungan bersifat provokatif, jelik atau ‘mengundang’ sememangnya mudah menarik perhatian pengguna media sosial, dan pada masa sama mendatangkan implikasi negatif kepada masyarakat.

Beliau berkata, berdasarkan datareportal.com, setakat Januari 2024, Malaysia mempunyai lebih 28 juta pengguna media sosial, bersamaan 83.1 peratus daripada lebih 34 juta rakyat.

Azrul Zafri Azmi, Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA).

“Ini menunjukkan sebarang kandungan yang tular boleh memberi impak yang besar termasuklah yang melibatkan elemen negatif. Ia berisiko menjejaskan nilai budaya dan moral bahkan lebih buruk apabila melibatkan norma agama. Sekiranya tiada kawalan, ia boleh menggalakkan tingkah laku yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda dan kanak-kanak.

“Kita ambil contoh kes yang tular baru-baru ini melibatkan ‘Abang Bas’, walaupun mungkin dilakukan tanpa niat namun sebahagian masyarakat melihat ia sebagai ‘ancaman’ dan boleh membuka ruang kepada perkara yang lebih serius seperti eksploitasi seksual atau pedofilia. Tambahan pula berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat peningkatan dalam kes berkaitan pedofilia dalam talian dengan 190 kes direkodkan antara 2020 hingga 2022. 

“Dalam hal ini, pengguna media sosial khususnya pencipta kandungan perlu memahami alasan naif akan sesuatu perkara bukan tiket untuk mereka terlepas daripada tindakan undang-undang apabila masyarakat bertindak melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama.

Azrul Zafri pada masa sama berkata, tindakan ‘suka-suka’ menghasilkan dan memuat naik kandungan juga tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh mana-mana pihak kerana ia tetap berisiko mencetuskan rasa kurang senang masyarakat.

Beliau menambah, menurut laporan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), sebanyak 45 peratus daripada belia Malaysia terlibat memuat naik kandungan yang bersifat ‘cuba-cuba’ bagi tujuan mendapatkan perhatian atau menjadi tular.

“Normalisasi tindakan ini dikhuatiri boleh membawa kepada kepada isu moral dan pelanggaran undang-undang. Penerimaan dan tafsiran masyarakat berbeza, ada yang suka dan ada yang tidak, lebih-lebih lagi apabila ia melanggar nilai budaya, mencetuskan kontroversi, undang-undang serta sensitiviti agama,” katanya.

 

KEPENTINGAN LITERASI MEDIA

Menekankan kepentingan pendidikan literasi media terhadap pengguna siber, Azrul Zafri berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta CyberSecurity Malaysia kerap menjalankan kempen kesedaran berhubung perkara itu bagi mendidik masyarakat berhubung keselamatan dalam talian.

Melalui program itu juga, masyarakat turut didedahkan bahaya penggunaan media sosial tanpa kawalan serta cara untuk melaporkan kandungan tidak sesuai.

Setakat Januari 2024, Malaysia mempunyai lebih 28 juta pengguna media sosial, bersamaan 83.1 peratus daripada lebih 34 juta rakyat.

“Menurut kajian MCMC pada 2022, tahap literasi digital dalam kalangan pengguna di Malaysia hanya berada pada tahap sederhana, dengan hampir 60 peratus pengguna media sosial tidak sedar tentang impak negatif yang boleh berlaku hasil daripada kandungan yang mereka hasilkan.

“Fenomena ‘try hard’ dalam kalangan pengguna media sosial terutama belia, sering membawa kepada penyebaran kandungan yang melampaui batas demi mengejar pengaruh atau populariti,” katanya menambah masyarakat perlu dididik dengan lebih mendalam berhubung etika dan tanggungjawab mengendalikan platform digital. 

Beliau berkata, menurut datareportal.com, analisis Kepios menunjukkan pengguna media sosial di Malaysia meningkat sebanyak 4.8 juta antara awal 2023 hingga permulaan 2024 dan hal ini secara langsung menggambarkan media sosial menjadi antara platform utama untuk mendapatkan maklumat.

“Literasi digital perlu dipertingkatkan untuk memastikan pengguna dapat mengenal pasti kesesuaian sesebuah kandungan.

“Keinginan pengguna siber tidak kiralah pencipta kandungan atau yang memberi komen (netizen) untuk menjadi terkenal dalam masa singkat mengakibatkan mereka memuat naik kandungan yang tidak sesuai serta memberi komen yang melampaui batas,” katanya menambah, menurut MCMC, terdapat sebanyak 3,199 aduan berkaitan buli siber direkodkan sepanjang tahun 2023 dengan 93 peratus kes berjaya diselesaikan.

 

BAHASA MEMPENGARUHI

Berkongsi pandangan, pensyarah bahasa di Universiti Multimedia Malaysia Maswanhizzly Masri berpendapat, bahasa yang digunakan dalam sesebuah kandungan mudah “mencetuskan kontroversi” dalam masyarakat, contohnya perkataan seperti ‘crush’ yang digunakan oleh ‘Abang Bas’ sebelum ini.

Beliau berkata, walaupun bahasa merupakan satu cara asas untuk berkomunikasi namun ia juga mampu mempengaruhi fikiran individu dan bersifat merentasi umur.

Maswanhizzly Masri, pensyarah bahasa Universiti Multimedia Malaysia.

“Oleh itu, apabila seseorang menggunakan  bahasa yang kurang sesuai di media sosial ia mampu mempengaruhi pendapat umum (netizen). Apabila kandungan yang dipertontonkan kurang disenangi disusuli pula dengan pemilihan bahasa yang tidak tepat, sudah tentu ia akan mempengaruhi persepsi masyarakat. 

“Perlu ada rasa tanggungjawab dalam diri setiap pengguna media sosial. Tanya kepada diri sendiri sebelum memuat naik kandungan contohnya “ jika saya muat naik kandungan ini apa akan berlaku? Jika saya guna bahasa ini atau ayat begini, apa kesannya?,” jelasnya menambah, sekiranya pengguna yakin  tindakan mereka tepat, kerosakan atau implikasi buruk dapat dielakkan 

Berkongsi beberapa terma antaranya, clickbait yang merujuk kandungan yang dimuat naik untuk tujuan menarik perhatian dan menggalak pengguna untuk menonton kandungan secara berkali-kali, beliau berkata, dalam keadaan ini selalunya kandungan itu mengandungi bahasa sensasi dan sering kali mengelirukan.

Selain itu, trolling merujuk kepada tindakan yang secara sengaja memprovokasi atau mengganggu individu atau kumpulan, yang sering menggunakan bahasa atau kandungan yang tidak sesuai untuk menarik perhatian.

“Seterusnya viral marketing merujuk kepada teknik yang digunakan untuk mempromosikan produk atau idea dengan cara yang mendorong individu berkongsi dalam rangkaian media sosial mereka dan sering kali memanfaatkan kandungan yang sensasi.

“Kita kena akui ‘bad marketing is a marketing’ kerana kontroversi dapat meraih perhatian dan interaksi yang tinggi dalam kalangan masyarakat sekali gus memberi impak positif kepada pencipta kandungan untuk jangka masa pendek. 

“Namun begitu untuk jangka masa panjang, secara keseluruhan, kandungan yang tidak baik serta bahasa yang jelik dan juga bahasa rojak akan memberi kesan besar kepada reputasi individu dan pembentukan budaya dalam sesebuah masyarakat,” katanya. 

Tidak menolak bahasa rojak seringkali diguna pakai termasuk di negara lain kerana ia adalah bahasa santai dan mampu menjadikan sesebuah perbualan itu bersifat terbuka dan tidak formal, namun dari sudut ilmiah, ia tetap dianggap menjejaskan kemurnian satu-satu bahasa. 

“Selain kebebasan bersuara, tidak keterlaluan jika dikatakan tindakan segelintir pengguna media sosial turut tidak membantu dalam usaha memartabatkan bahasa khususnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 

“Bahasa itu cerminan budaya dan kita tidak mahu budaya kita diperlekeh dek kerana penggunaan bahasa yang tidak sepatutnya,” katanya menambah, usaha memartabatkan bahasa bukan sahaja terletak kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebaliknya seluruh anggota masyarakat.

 

ASPEK PERUNDANGAN

Sementara itu, peguam bela dan peguam cara Muhammad Hafiz Hood berkata, pengguna media sosial perlu celik undang-undang berhubung akta seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Kanun Keseksaan yang digubal untuk memastikan kandungan yang dimuat naik dalam keadaan terkawal.

Muhammad Hafiz Hood, peguam bela dan peguam cara.

Beliau berkata, meskipun wujud perdebatan berhubung akta tersebut yang dianggap mengehadkan kebebasan pengguna siber, namun persoalannya, adakah berbaloi pencipta kandungan berhadapan proses undang-undang dan mengambil risiko semata-mata demi meraih perhatian masyarakat atau pengikut (followers) mereka? 

“Kebanyakannya masih dangkal dalam isu sensitiviti budaya, mengelakkan menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum), memuat naik kandungan yang secara langsung atau tanpa sedar mempromosi elemen ‘taboo’ atau pantang dalam sesebuah masyarakat.

“Kita lihat bagaimana kandungan yang mempromosi aktiviti berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kandungan dianggap kelakar seperti lelaki menyerupai wanita atau sebaliknya, kandungan yang mempromosi sumbang mahram, yang mengangkat makian dan sumpah seranah serta carutan mendapat reaksi dan sambutan yang menggalakkan.

“Lebih menyedihkan, kandungan ini ada permintaan tersendiri dalam kalangan pengikut mereka dan perkara ini seharusnya diberikan perhatian yang lebih serius,” katanya. 

Muhammad Hafiz yang berpengalaman lebih 12 tahun sebagai pengamal undang-undang berkata, pada masa ini kebanyakan tindakan penguatkuasaan masih bergantung pada keberkesanan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang bersifat menghukum pencipta kandungan yang memuat naik kandungan jelik.

“Namun begitu kita tidak boleh selamanya bersikap menghukum (punitive) untuk mendidik netizen. Pendidikan dan kesedaran kendiri juga penting untuk memastikan pengguna media sosial berfikiran waras sebelum memuat naik kandungan. Kempen kesedaran berbentuk peringatan, amaran dan nasihat perlu diperluaskan untuk memastikan literasi media boleh ditingkatkan.

“Di Malaysia kita ada beberapa undang-undang yang mengawal keselamatan dan pengumpulan data peribadi kanak-kanak antaranya Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang menghalang muat naik kandungan multimedia berhubung kanak-kanak tanpa kebenaran.

“Namun ‘nature’ atau intipati kandungan di media sosial kini berada di tahap membimbangkan. Menurut PDRM antara 2017 hingga 2022 terdapat 93,368 alamat IP yang disyaki berkongsi kandungan lucah kanak-kanak di Malaysia. Kita bukan berada di tahap permulaan tetapi sedang menghadapi krisis kebejatan moral,” katanya.

 

AMBIL PENGAJARAN

Menyifatkan isu perlindungan kanak-kanak adalah isu rentas sempadan, beliau berkata, setiap negara memandang serius masalah berkenaan, sebagai contoh Lembaga Perlindungan Data Eropah yang mengenakan denda sebanyak 345 juta Euros kepada TikTok kerana perlanggaran data kanak-kanak apabila platform itu didapati gagal menilai dengan tepat risiko terhadap golongan muda yang menggunakannya.

Isu jenayah dalam talian, masalah scam dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam negara tidak boleh dibenarkan terus berlarutan dan susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan surat arahan kepada sejumlah platform media sosial untuk mendapatkan maklum balas berkaitan.

“Contoh lain, Parlimen Eropah juga pada November 2023 mencadangkan penyedia perkhidmatan diwajibkan untuk menyediakan penilaian risiko potensi kehadiran elemen seksual kanak-kanak dalam setiap perkhidmatan. Ini bermakna, selain pihak berkuasa dan ibubapa, penyedia platform juga perlu mengambil tanggungjawab memastikan privasi kanak-kanak dijaga atau berhadapan risiko dikenakan tindakan,” katanya. 

Berpendapat isu Abang Bas boleh dijadikan pengajaran untuk pengguna media sosial lebih berhati-hati, beliau pada masa sama turut menyentuh mengenai tindakan seorang wanita yang berlakon sebagai suami isteri bersama anak lelakinya yang turut mendapat kecaman netizen kerana dikhuatiri boleh membawa kepada tanggapan seolah-olah mempromosikan sumbang mahram. 

“Contoh dalam kedua-dua isu ini, mereka memuat naik kandungan di media sosial dan mereka sendiri telah membuka ruang untuk dinilai oleh masyarakat, manakala isu ‘Abang Bas’ dinilai oleh badan penguatkuasa kehakiman sama ada ia adalah suatu kesalahan atau tidak.

“Di sudut undang-undang kedua-dua kandungan ini sifatnya boleh mendatangkan ketidakselesaan dan boleh membawa konotasi tidak bermoral walaupun hakikatnya tafsiran moral adalah berbeza. Maka kini kita perlu serahkan kepada kebijaksanaan Mahkamah untuk membuat dapatan dan keputusan,” katanya. 

Beliau turut menambah, Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini diharap dapat menjaga kepentingan seluruh lapisan rakyat khususnya pengguna siber serta melindungi kanak-kanak yang menggunakan Internet sebagai medium komunikasi harian.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.