Wanita Muda Perlu Cakna Kanser Payudara Triple Negatif "TNBC"

M
endengarkan sahaja namanya pasti ramai yang pasti berasa gerun khususnya golongan wanita kerana penyakit kanser payudara bukan sahaja sinonim dengan mereka tetapi juga dilaporkan sebagai ‘pembunuh’ nombor satu kaum hawa.

Pelbagai usaha berterusan termasuk kempen dijalankan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain bagi memberi kesedaran tentang bahaya kanser payudara ini, terutamanya agar peka dengan tanda awal, agar ia dapat dirawat dengan segera.

Dalam masa yang sama, kaum wanita kini berdepan dengan satu lagi “musuh” yang dikenali sebagai kanser payudara triple negatif atau Triple-Negative Breast Cancer (TNBC).

Kanser payudara secara umumnya berpunca apabila sel-sel dalam tisu payudara berkembang dalam keadaan tidak terkawal, dan akhirnya membentuk sel-sel kanser. Sekiranya tidak dikesan di peringkat awal, sel-sel kanser ini boleh merebak ke bahagian organ lain dan boleh menyebabkan kematian. 

 

BAGAIKAN MIMPI NGERI

Didiagnosis kanser payudara triple negatif atau TNBC tahap tiga ketika memasuki usia 39 tahun, ia bagaikan mimpi ngeri buat Lim Kim Foong.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) berkata, tidak mudah berdepan episod duka tatkala doktornya mengkhabarkan yang dia menghidap kanser payudara triple negatif sekitar empat tahun lepas, ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

"Perasaan ketika itu sudah tentu teramat sedih. Apa yang membuatkan saya sukar untuk menerima berita ini adalah saya tidak ada sejarah keturunan keluarga yang menghidap kanser payudara ditambah dalam keadaan umur 39 tahun merupakan tempoh kemuncak seseorang wanita dalam perjalanan karier mereka. Pada masa itu saya sering tertanya-tanya kenapa saya? " kongsinya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Kim, beliau menjalani rawatan lumpektomi, kemoterapi dan radioterapi yang mengambil masa selama tujuh bulan dan sejak empat tahun ini, berada dalam tempoh pemulihan.

Lim Kim Foong.

Dalam bertarung dengan kanser, Kim berkata, seseorang itu harus kuat dan perlu bangun melawan penyakit tersebut dan bagi dirinya, bukan hanya berhadapan dengan penyakit malah turut melalui episod sedih apabila satu-satu abang yang disayanginya meninggal dunia semasa dia menjalani sesi kemoterapi buat kali kedua.

"Sebelum saya disahkan menghidap kanser payudara, saya kehilangan pekerjaan seperti kebanyakan orang lain akibat wabak COVID-19. Selepas itu abang saya pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya pada Oktober 2020 akibat kegagalan jantung pada usianya 43 tahun.

"Abang meninggalkan ibu saya yang sudah tua dan anak lelakinya yang berumur 10 tahun. Dugaan ini begitu hebat dan saya hampir berputus asa. Bukan sahaja saya tiada pendapatan dan menghidap penyakit tetapi perlu juga menjaga ibu seterusnya turut menjadi penjaga kepada seorang remaja. 

"Namun saya bersyukur dan bertuah kerana mempunyai insurans, sokongan daripada keluarga, rakan sebaya serta dorongan dari persatuan (BCWA)," katanya yang pernah menyandang jawatan pengurus besar sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Kim turut menitipkan nasihat buat wanita di luar sana yang sedang diuji dengan kanser payudara agar tabah dan mereka yang sedang menderita penyakit ini tidak bersendirian.

"Terdapat banyak kumpulan sokongan pesakit seperti BCWA yang menyediakan sokongan emosi, sesi kaunseling, aktiviti pemulihan dan juga maklumat yang betul untuk menempuh perjalanan ini bersama-sama, jangan terus berduka," katanya.

Menyentuh tentang tahap pengetahuan dan kesedaran wanita muda berhubung TNBC, Kim berkata, masyarakat hanya mengetahui mengenai kanser payudara namun ramai tidak menyedari bahawa terdapat sub jenis kanser payudara yang berbeza seperti TNBC.

"Perkara dan maklumat mengenai kanser payudara triple negatif perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa agar lebih ramai sedar. Ini kerana setiap perjalanan dan rawatan pesakit kanser payudara adalah berbeza daripada satu individu kepada individu yang lain, termasuk dalam mengalami kesan sampingan," katanya.

Kim menambah, di BCWA, pihak persatuan menjalankan pelbagai aktiviti bagi memberi informasi kepada masyarakat mengenai penyakit itu, antaranya bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mencipta bahan dalam dan luar talian.

Usaha itu bagi memastikan orang ramai dan pesakit mendapat maklumat yang betul tentang TNBC seperti menerusi program "I Can, We Will" yang terdapat di laman web dan Facebook. 

"Selain itu BCWA turut mengadakan forum dengan profesional perubatan, pesakit dan mereka yang terselamat dari kanser payudara triple negatif," katanya.

 

APA ITU KANSER PAYUDARA TRIPLE NEGATIF

Pengetahuan mengenai kanser payudara triple negatif perlu digiatkan dalam kalangan masyarakat apatah lagi kanser ini sering menyerang wanita muda di bawah umur 40 tahun. 

Mengulas lanjut, Pakar Perunding Onkologi dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Hafizah Zaharah Ahmad berkata, kanser payudara triple negatif merupakan sejenis kanser payudara yang tidak mempunyai tiga reseptor biasa yang diketahui menjadi punca kepada kebanyakan kanser payudara berlaku.

Dr Hafizah Zaharah Ahmad

Jelas pakar itu, tiga reseptor itu ialah reseptor estrogen (ER), reseptor progesteron (PR) dan reseptor faktor pertumbuhan epidermis manusia 2 (HER2) .

"Disebabkan ia tidak mempunyai reseptor ini, kanser jenis ini tidak bertindak balas terhadap terapi hormon (seperti tamoxifen) atau rawatan yang menyasarkan HER2 (seperti trastuzumab/ Herceptin)," katanya.

Menjelaskan perbezaannya Dr Hafizah Zaharah berkata, kanser payudara triple negatif berbeza dengan kanser payudara biasa kerana sifat biologinya dan bagaimana ia bertindak balas terhadap rawatan.

"Pertama perbezaan antara kedua-duanya adalah dari segi reseptor status yang mana kanser payudara biasa selalunya mempunyai reseptor untuk estrogen (ER), progesteron (PR), atau protein HER2. Ubat-ubatan boleh mensasarkan reseptor-reseptor ini menjadikannya lebih mudah untuk merawat jenis kanser ini.

"Kanser payudara triple negatif tidak mempunyai ketiga-tiga jenis reseptor ini iaitu Estrogen receptor-negative (ER-), “Progesterone receptor-negative (PR-) HER2 receptor-negative (HER2-). Ketiadaan reseptor ini menjadikannya lebih sukar untuk dirawat kerana ubat-ubatan yang mensasarkan hormon (seperti tamoxifen atau perencat aromatase) atau terapi yang mensasarkan HER2 (seperti Herceptin) tidak berkesan untuk kanser TNBC," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kanser payudara triple negatif lebih biasa berlaku dalam kalangan wanita yang lebih muda terutama wanita yang berusia di bawah 40 tahun dan wanita dengan mutasi genetik BRCA1 (gen barah payu dara 1).

Gene BRCA 1 bertanggungjawab menghasilkan protein yang menghalang pembesaran sel tumor atau sel yang membiak di luar kawalan. Gene ini juga berupaya membaiki dna sel badan yang rosak. Maka sekiranya gene BRCA 1 ini bermutasi, wanita berkenaan mempunyai 48 peratus risiko menghidap kanser payudara triple negatif.

 

LEBIH AGRESIF

Berbanding dengan kanser payudara biasa, TNBC merupakan sejenis kanser agresif kerana ia berkembang dengan cepat dan lebih cenderung untuk tersebar pada masa ianya dikesan dan berpotensi untuk berulang selepas rawatan.

"Selain itu, penghidap kanser ini berdepan dengan pilihan rawatan yang terhad memandangkan kanser TNBC tidak mempunyai reseptor ER, PR dan HER2, ia tidak bertindak balas terhadap terapi disasarkan yang berkesan untuk kanser payudara yang lain. Ini menjadikan kemoterapi sebagai salah satu daripada beberapa pilihan rawatan standard.

"Kanser payudara triple negatif lebih berkemungkinan untuk metastasis (merebak ke bahagian badan yang lain) seperti otak dan paru-paru," kata  Dr Hafizah Zaharah.

Bagaimanapun, pakar onkologi ini berkata, kanser payudara triple negatif boleh bertindak balas terhadap kemoterapi dan rawatan yang lebih baharu termasuk imunoterapi.

"Jika dikesan pada peringkat awal, rawatan boleh memberi hasil yang baik," kata Dr Hafizah Zaharah yang merawat ramai pesakit kanser payudara triple negatif.

Beliau yang merawat antara dua hingga empat kes baharu termasuk kes ‘follow-up’ pesakit kanser TNBC  setiap bulan berkata, di Malaysia,  kira-kira 10 hingga 15 peratus kes daripada keseluruhan kanser payudara merupakan kanser payudara triple negatif.

 

KENALI GEJALA

Untuk mengenali simptom atau gejala seseorang itu menghidapi TNBC, Dr Hafizah Zaharah berkata, beberapa perkara harus diperhatikan iaitu ketulan yang keras dan tidak bergerak apabila disentuh. 

"Ini merupakan tanda yang paling biasa dan mungkin dirasakan di payudara atau di bawah ketiak. Perubahan saiz atau bentuk salah satu payudara boleh menjadi tanda kanser. 

"Kulit payudara mungkin kelihatan berlekuk, berkedut atau seperti kulit oren (disebut peau d'orange). Kulit mungkin kelihatan kemerahan atau mengalami keradangan walaupun tanpa rasa sakit," katanya dan menambah tanda-tanda yang lain termasuklah keluar cecair yang tidak normal dari puting atau puting tenggelam.

Pengetahuan mengenai kanser payudara triple negatif perlu digiatkan apatah lagi kanser ini menyerang wanita muda di bawah umur 40 tahun.

Selain itu Dr Hafizah Zaharah berkata, walaupun kanser payudara pada peringkat awal biasanya tidak menyakitkan namun sesetengah wanita yang mengalami TNBC mungkin merasa sakit atau ketidakselesaan di payudara atau bahagian ketiak.

Beliau berkata, di peringkat lanjut, terdapat tanda-tanda seperti keletihan, penurunan berat badan atau kesakitan di bahagian lain badan turut menjadi faktor kemungkinan penyebaran kanser itu  ke organ lain (metastasis).

Bagi rawatan pesakit kanser jenis ini , Dr Hafizah Zaharah berkata antara prosedur yang dijalankan ialah kemoterapi, pembedahan, terapi sinaran, imunoterapi serta terapi sasaran.

 

PERLU CAKNA

Justeru  wanita muda khususnya perlu cakna atau mengambil berat akan kesihatan mereka kerana TNBC boleh menyerang tanpa mengira awal usia.

Menurut Dr Hafizah Zaharah, apa yang penting ialah melakukan pengesanan awal dengan beberapa langkah seperti melihat perubahan badan dan dengan segera berjumpa pakar bedah jika ketulan di payudara membesar.

"Kaum hawa perlu memahami faktor risiko kerana umur muda bukanlah alasan untuk berasa selamat daripada  kanser payudara. TNBC sering didiagnosis pada wanita di bawah umur 40 tahun. Di samping itu, perubahan mendadak semasa kehamilan mungkin disalah tafsir sebagai kesan sampingan kehamilan, tetapi perubahan pada payudara yang terasa tidak normal atau mencurigakan tetap perlu dinilai oleh doktor," katanya.

Pakar onkologi  itu menasihatkan semua wanita tanpa mengira usia untuk melakukan pemeriksaan kendiri payudara setiap bulan terutama pada minggu selepas haid. 

"Perhatikan sebarang ketulan, perubahan bentuk, warna kulit atau penarikan puting yang tidak biasa. Walaupun TNBC boleh berkembang dengan cepat , pemeriksaan berkala membolehkan pengesanan awal. Jangan sesekali mengabaikan simptom kerana wanita muda sering kali mengabaikan tanda-tanda  seperti ketulan keras atau perubahan pada payudara dengan anggapan bahawa kanser payudara hanya menyerang wanita yang lebih tua," katanya.

Mengamalkan gaya hidup sihat penting dalam mencegah diri dari mendapat kanser.

Dr Hafizah Zaharah menambah, golongan wanita muda juga perlu mengambil bahagian dalam program kesedaran mengenai kanser payudara seperti seminar atau kempen kesihatan yang dapat membantu meningkatkan pengetahuan mengenai kanser payudara triple negatif.

Pakar itu turut menasihatkan agar kaum hawa mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil  pemakanan seimbang, senaman yang kerap serta mengelakkan tabiat merokok atau minum alkohol berlebihan. 

Pada masa ini, katanya, TNBC kekal sebagai bidang penyelidikan aktif berikutan pakar sains sedang berusaha untuk mencari rawatan yang lebih berkesan dan memahami mengapa penyakit itu memberi kesan secara tidak seimbang kepada wanita yang lebih muda.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.