K
azakhstan sebagai destinasi pelancongan mungkin masih lagi asing bagi rakyat Malaysia, kerana berdasarkan statistik 2019, iaitu sebelum sempadan global ditutup akibat COVID-19, hanya kira-kira 10,000 pelancong Malaysia menjejakkan kaki di sini pada tahun itu.
Namun, lawatan singkat penulis ke bekas wilayah Kesatuan Soviet ini pada penghujung September lalu, memberikan bayangan tentang pengalaman unik yang bakal dilalui oleh pelancong Malaysia di negara ini.
Terletak di Asia Tengah, Kazakhstan merupakan negara dilingkungi daratan (tidak mempunyai laut) terbesar di dunia, bersempadan dengan Rusia di utara, China di timur dan Kyrgyzstan, Uzbekistan serta Turkmenistan di selatan. Sementara di barat pula, negara ini bersempadan dengan Laut Caspian, iaitu tasik terbesar di dunia.
Kekayaan budaya, sejarah dan keunikan makanan yang dipengaruhi oleh kehidupan cara nomad dan pelbagai empayar sebelum ini, serta keramahan rakyatnya dan keindahan landskap - baik semula jadi ataupun buatan manusia - menjadikan Kazakhstan berbaloi untuk dilawati.
Lebih-lebih lagi dengan adanya penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Almaty yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia, menerusi AirAsia X.
Pada 28 Sept lalu, penulis antara lima pengamal media bertuah yang dibawa oleh syarikat itu ke metropolitan ini, bagi menyaksikan perlawanan akhir Kazakhstan Cup 2024, kejohanan bola sepak berprestij negara tersebut.
LAPAN JAM YANG TIDAK DIRASAI
Perjalanan kami bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Berlepas pada 3 petang menaiki pesawat Airbus 300, tempoh lapan jam di dalam perut pesawat tidak dirasai, sementelah AirAsia X terkenal dengan perkhidmatan penerbangan jarak jauh yang cekap dan selesa.
The Ascension Cathedral atau dikenali sebagai Zenkov Cathedral, dibina pada tahun 1907 daripada kayu tanpa menggunakan paku. Ia merupakan gereja pertama dan terbesar di Almaty, Kazakhstan.
Selain hidangan enak, sepanjang penerbangan penumpang boleh memilih pelbagai hiburan dalam penerbangan yang disediakan.
Ruang kabin yang luas dengan tiga kelas ditawarkan, iaitu premium flatbed, zon senyap dan zon ekonomi serta layanan mesra kru kabin, memastikan penumpang berasa selesa sepanjang penerbangan.
“Pelbagai kemudahan yang ada di dalam penerbangan membuatkan saya tidak berasa bosan dan tempoh penerbangan rasa singkat walaupun sebenarnya selama lapan jam,” kongsi pencipta kandungan Tunku Affie Rania Tunku Fauzi yang turut serta dalam program itu kepada Bernama.
Mempunyai perbezaan waktu tiga jam di belakang Malaysia, penerbangan kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty pada 8 malam waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia), disambut rasa dingin yang menyapa tubuh berbalut jaket nipis.
ALMATY
Kazakhstan merupakan negara empat musim dan ketika ini sedang mengalami musim gugur dengan suhu di Almaty merekodkan sembilan hingga 17 darjah Celsius. Waktu terbaik untuk datang ke negara ini ialah pada musim sejuk dan juga musim bunga.
Penulis di kawasan sekitar pergunungan Shymbulak, antara destinasi tumpuan pelancong ke Kazakhstan.
Almaty merupakan kota raya terbesar Kazakhstan dan juga bekas ibu negara. Sekalipun peranan itu telah diambil alih oleh Nur-Sultan (dahulunya dikenali sebagai Astana) pada 1997, Almaty kekal relevan sebagai pusat kebudayaan.
“Almaty” berasal daripada perkataan “alma” dalam bahasa Kazakh, bermaksud epal, mencerminkan kaitan bandar raya ini dengan pokok epal yang tumbuh meliar di kawasan pergunungan berhampiran.
Terletak di kaki banjaran Trans-Ili Alatau, metropolis moden ini menawarkan landskap terjal kehijauan dengan air terjun dan menjadi tumpuan penggiat sukan ski pada setiap musim sejuk, khususnya di kawasan pergunungan Shymbulak.
Pada musim bunga pula, landskap kota raya ini dihidupkan oleh warna-warni pelbagai jenis bunga yang mekar, baik yang ditanam ataupun tumbuh meliar, memberikan keindahan mempesona dan menggamit kedatangan pelancong untuk merakam memori.
BUDAYA UNIK
Di Kazakhstan, kuda mempunyai tempat yang istimewa dalam budaya dan makanannya, iaitu satu tradisi yang berakar umbi daripada sejarah kehidupan nomad rakyat negara itu. Kuda menjadi pengangkutan utama dan digunakan untuk mengembala ternakan serta sebagai sumber protein.
Penulis berpeluang mencuba daging kuda yang merupakan antara hidangan tradisional Kazakhstan.
Ringkasnya, haiwan itu membentuk identiti Kazakhstan, dan pemilikan kuda menjadi kayu pengukur kekayaan serta status seseorang.
Daging kuda merupakan daging tanpa lemak, justeru dianggap sebagai lebih sihat berbanding daging lembu dan kambing. Mempunyai rasa sedikit manis dan lebih lembut berbanding daging merah lain, menikmati hidangan daging kuda memberikan pengalaman unik kepada penulis.
Bagi penulis, rasanya ada sedikit persamaan dengan daging kambing, dan apabila dikunyah, daging kuda mengeluarkan minyak likat, namun kelunakan daging berserta dengan lemak yang mencair di dalam mulut, menjadikannya hidangan Khazakhstan yang benar-benar istimewa.
Menurut masyarakat setempat, daging kuda amat berharga ketika musim sejuk kerana dapat menghangatkan tubuh, terutama apabila suhu jatuh ke paras -5 dan -15 darjah Celsius.
PERLAWANAN AKHIR KAZAKHSTAN CUP 2024
Sekalipun Kazakhstan tidak dikenali kerana kejohanan bola sepaknya, negara ini semakin terkenal menerusi sukan tinju, gusti dan angkat berat dengan atletnya mencipta kemenangan di pelbagai pertandingan antarabangsa termasuk Olimpik.
Pengerusi dan barisan kru AirAsia X menyaksikan perlawanan akhir Kazakhstan Cup antara FC Atyrau dan FC Aktobe.
Akan tetapi, bola sepak Kazakhstan juga semakin mendapat perhatian peminat sukan itu, dan bagi penyokong domestik, semangat berkobar-kobar terhadap pasukan kesayangan masing-masing ditunjukkan pada perlawanan akhir Fonbet Kazakhstan Cup ke-32 yang berlangsung pada 29 Sept lalu.
AirAsia X merupakan rakan kongsi penerbangan rasmi perlawanan di antara FC Atyrau dan FC Aktobe yang juga digelar pertemuan derbi - dua pasukan dari bandar sama.
Pelbagai ragam peminat dapat disaksikan sepanjang perlawanan yang berlangsung penuh debaran dengan FC Aktobe menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir dalam perlawanan yang berkesudahan 2-1 itu.
Selain bergelar juara Kazakhstan Cup 2024, FC Aktobe juga berpeluang ke Liga Eropa UEFA musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail dalam kenyataan, berkata syarikat itu berharap untuk terus menjadi rakan kongsi penerbangan rasmi kejohanan bola sepak berprestij Khazakhstan.
Menerusi pendekatan ini, AirAsia X berharap dapat berhubung dengan komuniti tempatan selain mengukuhkan lagi impaknya di rantau berkenaan.
SATU-SATUNYA PENERBANGAN TERUS KL-ALMATY
Sementara itu, Pengerusi AirAsia X Datuk Fam Lee Ee berkata mereka satu-satunya syarikat yang menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Almaty buat masa ini.
Penduduk Kazakhstan juga dikenali sebagai amat meminati seni muzik.
Katanya, sejak dilancarkan pada Mac tahun ini, laluan itu merekodkan faktor beban yang kukuh pada 90 peratus dalam kesemua empat penerbangan mingguannya, menyerlahkan peningkatan permintaan di rantau berkenaan.
“Pada masa ini kita hanya lakukan empat penerbangan seminggu, iaitu pada Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad. Bagaimanapun, melihat pada peningkatan permintaan sekarang, kita mungkin akan menambah kekerapan kepada satu atau dua penerbangan lagi.
“Sejak laluan ini dilancarkan pada Mac lalu, faktor beban konsisten 90 peratus dan lebih 65,000 penumpang telah diterbangkan dalam tempoh itu,” katanya kepada Bernama.
Syarikat itu juga melihat peningkatan permintaan tersebut sebagai peluang keemasan untuknya meluaskan jaringan dan memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Asia Tengah.