Kanser Payudara : Wanita Tanggung Lebih Stres, Sendiri Urus Penyakit, Rumah/anak/orang Tua

B
erkali-kali pesakit kanser payudara berusia 47 tahun membaca surat yang ada di tangannya, raut wajahnya memancarkan pelbagai emosi, antara sedih, kecewa, marah mungkin juga rasa bingung. 

Namun apabila wanita ini berbicara, suaranya kedengaran tegas.

“Rasa terkilanlah. Sebab dia sakit saya boleh jaga. Tapi bila saya sakit, dia macam nak mengelak,” wanita bernama Noraniza Ismail itu memberitahu Bernama.

Surat yang dibaca itu adalah dari mahkamah syariah di Bukit Mertajam. Dia yang tinggal di kawasan itu perlu hadir ke mahkamah berkenaan pada 29 Oktober 2024. Pada hari itu, suaminya yang berusia 49 tahun akan melafazkan cerai terhadapnya di mahkamah. Alasan yang diberikan? Penyakit kanser payudara yang dihidapinya.

Sejujurnya kata Noraniza, dia amat berasa marah. Dia dan suaminya sudah berkahwin selama 13 tahun dan mempunyai dua orang anak perempuan, masing-masing berusia 8 tahun dan 6 tahun. Noraniza juga mempunyai seorang anak lelaki berumur 24 tahun, hasil perkahwinan pertamanya.

Sewaktu suaminya menghidap komplikasi penyakit kencing manis dan terlantar di katil pada tahun 2021, dialah yang menjaga suaminya di samping bekerja untuk menyara kehidupan keluarga. Anak perempuannya yang berusia 8 tahun itu menghidap penyakit Sindrom Down, yang sudah tentu memerlukan perhatian yang lebih.

Noraniza banyak melayan perasaan, memikirkan hakikat bukankah perkahwinan itu sepatutnya untuk setiap pasangan setia dan berkasih-kasihan, dalam apa jua keadaan, termasuklah apabila jatuh sakit.

Pesakit payudara Tahap III Noraniza Ismail dan anaknya, yang menghidapi Sindrom Down. Gambar ihsan.

Pada Ogos 2022, dia berasa ada ketulan di payudara kanannya. Suaminya yang hilang pekerjaan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19, tidak banyak memberi sokongan. Noraniza terpaksa menjalani pembedahan, menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi, di samping melakukan tugasnya sebagai ibu. Syukur anak lelakinya membantu menjaga adik-adik tirinya.

Rumah tangganya terus bergolak.

“Dulu dia OK, selepas diagnosis. Yang dia tak OK tu sebab saya bagi tau dia saya nak buat pembedahan, saya nak kena buang sebelah payudara,” katanya menerusi Zoom, dan menambah yang kansernya sudah merebak ke payudara kirinya. 

Pada bulan Mei, suaminya beritahu Noraniza dia mahu menceraikannya. Seperti wanita-wanita lain yang senasib dengannya, Noraniza terpaksa bergelut sendirian untuk mempertahankan perkahwinannya, di samping juga bertarung dengan penyakit kanser payudara.

 

KANSER PAYUDARA DAN PATRIARKI 

Apa yang dilalui oleh Noraniza mungkinlah dianggap teruk, namun ia bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ketika kebanyakan suami/isteri tidak meninggalkan pasangannya apabila penyakit yang dihidapi menjadi serius, mereka yang berbuat demikian - sekitar enam peratus - adalah lelaki, demikian menurut kajian oleh Amelia Karraker dan Kenzie Latham. Hasil kajian itu diterbitkan di dalam Journal of Health and Social Behavior, edisi September 2015. Para penyelidik itu menganalisis 2,701 perkahwinan pasangan Amerika.

Malaysia tidak mempunyai sebarang data mengenai jumlah perceraian dalam kalangan pesakit kanser payudara, atau penyakit-penyakit lain. Bagaimanapun, profesional perubatan dan ahli akademik memberitahu Bernama, adalah trend biasa bahawa ramai wanita tidak mahu memberitahu suami mereka atau melibatkan suami mereka dalam proses rawatan, atas rasa kebimbangan mereka akan diceraikan.

Untuk wanita Muslim, mereka juga bimbang si suami akan berkahwin lain.

Bercerai atau tidak, beban menguruskan rumah tangga dan menjaga anak/orang tua tetap jatuh ke atas bahu kaum wanita, malah ketika mereka sedang menjalani rawatan, yang tentunya membuatkan mereka berasa begitu tertekan. Para pakar berkata, situasi itu boleh merumitkan rawatan dan pemulihan mereka, berkemungkinan menyumbang kepada kadar survival 5 tahun Malaysia yang rendah, di belakang China dan Singapura, demikian menurut laporan 2018 MYScan. 

Dari tahun 2017 hingga 2021, kanser payudara adalah kanser paling biasa menyerang 38.9 wanita bagi setiap 100,000 di Malaysia, demikian menurut Registri Kanser Kebangsaan Malaysia. Majoriti kes (50.5 peratus) masih dikesan pada Tahap III dan IV. 

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) , Prof Dr Nirmala Bhoo-Pathy memberitahu Bernama,  pengurusan kanser payudara dan hak wanita adalah sama-sama penting.

Menurut beliau, dalam kebanyakan kes, wanita lewat mendapatkan rawatan termasuk kurang berasa terdesak untuk memberi perhatian kepada kesihatan mereka dan beban yang terpaksa dipikul.

“Kurang berasa terdesak, kurang kuasa untuk membuat keputusan. Tidak ada kawalan ke atas tubuh sendiri. Perlu meminta izin daripada seseorang dan untuk ini, saya fikir ia bukan hanya kerana pendidikan yang rendah kerana ada wanita yang berpendidikan tinggi juga berbuat yang sama, ” katanya menerusi Zoom.

Beliau menambah, seringkali, suami atau keluarga mereka mahukan wanita itu mencuba perubatan tradisional terlebih dahulu. Sekiranya wanita itu membantah, sebagai contoh, menjalani saringan untuk mengesan kanser payudara di peringkat awal, ada yang akan berdepan dengan tindakan keras.'

“Menjalani saringan dilihat sebagai ‘mencari masalah’,” kata Dr Nirmala.  “Apabila berdepan dengan keadaan ini, ianya dianggap tidak mengutamakan keluarga, sebaliknya untuk kepentingan diri sendiri.”

Dr. Lai Suat Yan, pensyarah kanan daripada Rancangan Pengajian Gender, Universiti Malaya. Gambar ihsan.

Peranan gender ketara di mana-mana, tetapi lebih ketara dalam masyarakat Asia. Di Malaysia, wanita diharapkan untuk menjalankan tugas penjagaan, termasuk anak dan orang tua, memasak dan kerja rumah yang lain. Peranan lelaki dalam soal penjagaan biasanya pengangkutan, demikian menurut kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Khazanah bertajuk “Time To Care 2019: Gender Inequality, Unpaid Care Work and Time Use”. 

Antara hasil kajian itu ialah apabila pasangan wanita ditimpa penyakit yang serius, terdapat perubahan dalam dinamiks, yang bermaksud, apabila wanita yang biasanya melakukan kerja-kerja memasak dan membersih rumah, si suami sukar untuk menyesuaikan diri untuk melakukan tugas itu bila diperlukan.

Dr Lai Suat Yan, pensyarah kanan program pengajian gender di Universiti Malaya (UM) berkata, apabila kaum lelaki tidak biasa menguruskan rumah, mereka sering memandang rendah bahawa urusan memasak, membersih dan menjaga anak adalah sesuatu yang berat.

“Lelaki biasa dibantu isteri di rumah dan apabila bantuan ini tiada, saya fikir mereka akan berasa sukar,” katanya.

 

LELAKI DALAM PENGURUSAN KANSER PAYUDARA 

Wanita sering menghadapi dilema dalam soal tanggungjawab keluarga dan penjagaan diri sendiri.  Ada yang terpaksa bersendirian menguruskan anak dan rumah, yang menyebabkan stres, dan tidak baik untuk pemulihan kesihatan mereka.

“Apabila kita menanggung terlalu banyak stres, sebenarnya untuk jangka pendek, stres itu membantu, tetapi apabila ia berpanjangan untuk masa yang lama, ia boleh membahayakan untuk sistem imun,” kata Dr Hafizah Zaharah Ahmad, pakar perunding onkologi klinikal, Sunway Medical Centre Velocity 

Sesetengah wanita akan gagal menepati jadual rawatan atau lagi teruk, langsung tidak meneruskan rawatan. Seperti kes Noraniza, apabila dia sendiri berhenti mendapatkan rawatan, ia bukan sahaja menyebabkan kansernya membesar kepada tahap yang membuatkan rawatan akan menelan kos yang tinggi, malah peluang untuk berjaya pula kecil. Gejala kanser juga menjadi lebih menyakitkan tatkala kanser merebak.

Dr. Hafizah Zaharah Ahmad, pakar onkologi di Sunway Medical Centre Velocity. --Nina Muslim/Bernama

Salah satu cara untuk meningkatkan kadar ‘survival’ pesakit kanser payudara ialah untuk si suami turut membantu isteri dengan melakukan kerja rumah dan menguruskan anak. Pakar menyatakan, lelaki perlu juga mendidik diri mereka tentang kanser payudara dan kanser-kanser lain.

Dr Jason Chin Yu Aun dari Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) berkata, banyak manfaat jika suami turut terlibat dalam rawatan isteri mereka, termasuk membantu mengesan kanser dari peringkat awal.

“Sekiranya ini berlaku, rawatan juga pantas, mudah dan murah. Jika terlewat, kos rawatan akan menjadi mahal,” katanya.

“Sekiranya lelaki tahu betapa penting untuk buat saringan awal, mereka akan benarkan pasangan mereka melakukannya, kerana ada perbezaaan antara menyimpan payudara dan tidak menyimpan payudara,” tambahnya.

Meskipun kadar perceraian pesakit kanser payudara dijangka tidak menurun kepada sifar dalam masa terdekat, pakar menyatakan, keadaan kini bertambah baik berbanding sebelumnya. Para doktor turut melaporkan ramai suami menemani isteri mereka untuk janji temu perubatan mereka, berbanding sedekad lalu.

Menurut Dr Chin, kaum lelaki tidak perlu takut untuk bertanya bagaimana mereka boleh membantu, dan menambah, kurangnya sokongan mereka terhadap isteri adalah lebih kepada kejahilan dan bukan berniat jahat.

 

PERKHIDMATAN YANG ADA

Rawatan kanser payudara bukan lagi satu proses yang mudah. Ketika doktor berusaha ‘membunuh’ kanser dan memulihkan pesakit, dunia mula sedar bahawa pesakit kanser payudara memerlukan lebih daripada hanya tumor dikecutkan dan dibuang. Profesion perubatan mula sedar akan pentingnya mempunyai sokongan mental dan sosial.

Kini wujud perkhidmatan sosial untuk meringankan beban wanita yang menghidap kanser payudara daripada tanggungjawab keluarga dan rumah.  Langkah ini meningkatkan kadar pematuhan rawatan. Terdapat perkhidmatan navigasi yang dikendalikan oleh NCSM dan Penyelidikan Kanser Malaysia (CRM), yang berganding bahu dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Terdapat juga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain yang menyediakan perkhidmatan yang sama.

CRM, sebagai contoh, membantu menghubungkan pesakit dengan pembiaya sumber kewangan, membantu pesakit dengan barangan keperluan dapur dan penjagaan anak. Mereka mempunyai Pusat Pink Ribbon di hospital kerajaan di Seremban, Klang Kota Kinabalu dan Sarawak.

Sementara itu, NCSM mempunyai dua pusat di Hospital Kuala Lumpur and Melaka. 

Dr. Jason Chin Yu Aun, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia. --Nina Muslim/BERNAMA

Menurut Dr Chin, NCSM juga mempunyai sukarelawan di lapangan di negeri-negeri lain untuk membantu pesakit.

Sekiranya memasak masih lagi satu perkara yang sukar untuk dilakukan, terdapat perniagaan dalam talian yang boleh menghantar makanan seperti masakan di rumah atau makanan yang mudah disediakan, dengan harga yang ditetapkan. Bagaimanapun, perkhidmatan seumpama ini hanya boleh didapati di bandar sahaja.

Namun demikian, meskipun jika semua perkhidmatan boleh didapati secara percuma, ini tidak bermakna kaum lelaki dengan sewenang-wenangnya boleh melepaskan diri mereka daripada memberi sokongan kepada isteri mereka.

“Wanita adalah tonggak masyarakat. Perkahwinan adalah perkongsian,” kata Dr Chin.

Bagaimanapun, kes Noraniza membuktikan, lebih mudah untuk berkata-kata daripada melakukannya.

Ketika dia menyiapkan dirinya untuk menjadi ibu tunggal, Noraniza berkata, kekecewaan paling utama bagi dirinya ialah masa yang dihabiskan untuk menjaga suaminya ketika dia terlantar sakit, sepenuh masa. Akibatnya, dia melewatkan rawatan kansernya, menyebabkan kansernya merebak daripada Tahap berkII kepada Tahap III.

“Sangat-sangat menyesal (saya abaikan kesihatan saya kerana terpaksa jaga dia). Sebab bila kena kat saya, dia tak menghargai pun apa yang saya buat kat dia. Langsung dia abaikan saya,” katanya.

Namun dia tidak kecewa bila payudaranya dibuang, meskipun itu membuatkan suaminya menceraikannya.

Meskipun amarahnya membuak-buak, namun dia masih menaruh harapan, mahu menang dalam pertarungan dengan kanser. 

“Saya tak kisah terpaksa buang benda tu pun. Janji boleh sihat, saya boleh jaga anak-anak saya,” katanya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.