M
enginjak penghujung tahun, negara kini berdepan fasa peralihan monsun dari Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut, menyaksikan fenomena, antaranya ribut petir dan hujan lebat, khususnya di kawasan pantai barat dan pedalaman Semenanjung serta kawasan barat Sabah dan Sarawak.
Fenomena itu jugalah yang menjadi punca bencana banjir di beberapa negeri sekarang, iaitu Kedah, Johor, Perak dan Perlis, melibatkan kira-kira 3,000 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat laporan ini ditulis pada 16 Okt.
Bencana ini mengakibatkan negara mengalami kerugian besar saban tahun, namun komitmen kerajaan dalam meningkatkan langkah-langkah mitigasi, termasuk menambah baik infrastruktur, dilihat mendatangkan impak positif apabila nilai kerugian dapat dikurangkan kepada RM755 juta pada tahun lepas, berbanding RM1.03 bilion pada 2022.
PROJEK TEBATAN BANJIR
Dalam pada itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), merancang penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk kawasan pasti banjir atau “hotspot banjir” di seluruh negara, dengan 4,619 lokasi telah dikenal pasti oleh JPS untuk tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut memegang portfolio PETRA, berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM945 juta bagi melaksanakan 119 projek tebatan banjir untuk 2024, dalam usaha mengurangkan impak banjir serta kerosakan harta benda awam.
Beliau berkata jumlah berkenaan merangkumi 93 projek yang sedang dilaksanakan dan 26 projek lagi dalam peringkat prapelaksanaan.
Katanya, PETRA juga telah menyediakan pelan induk tebatan banjir mengikut lembangan sungai utama di seluruh negara sebagai penyelesaian jangka panjang, yang disasar menyelesaikan masalah banjir secara menyeluruh.
“Hingga 2024, sebanyak 49 pelan induk tebatan banjir telah disiapkan dan tujuh pelan pula sedang dibangunkan, manakala tiga lagi dirancang untuk mula dibangunkan seawal Disember 2024,” katanya dalam temu bual khas dengan Bernama baru-baru ini.
Fadillah berkata dari tempoh 2020 hingga 2023, sebanyak 26 projek tebatan banjir, merangkumi 17 projek struktur dan sembilan projek bukan struktur, telah disiapkan.
Untuk tahun ini sahaja, satu projek struktur tebatan banjir telah disiapkan, iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Stakan, Kuching dan satu projek bukan struktur, iaitu Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Batang Saribas- kedua-duanya di Sarawak - akan disiapkan.
PELAN JANGKA PENDEK
Pelan jangka pendek diperlukan bukan sahaja bagi mengatasi masalah banjir yang melanda negara ketika Monsun Timur Laut (MTL) malah turut terpakai ketika negara menerima taburan hujan luar biasa.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan di Sungai Tebrau, Kg Bakar Batu, Johor pada 21 Sept lepas.
Kementerian melalui JPS, telah membuat persediaan kesiapsiagaan bagi mengurangkan risiko banjir kepada penduduk di kawasan “hotspot banjir” seluruh negara, termasuk mengaktifkan Bilik Kawalan Operasi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) untuk beroperasi 24 jam.
Bilik kawalan itu, antara lain, berperanan menghasilkan ramalan kejadian banjir monsun tujuh hari ke depan dan menyampaikan amaran banjir monsun kepada agensi berkaitan pengurusan bencana banjir untuk diuar-uarkan, seawal dua hari selepas menerima ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.
Selain itu, kata Fadillah, pihaknya turut melakukan penyelarasan bersama pihak berkuasa negeri bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pelepasan air empangan sebagai persediaan meningkatkan keupayaan takungan banjir semasa MTL.
Katanya, sebanyak 737 unit pam bergerak pelbagai kapasiti juga sedia ditempatkan di semua lokasi “hotspot banjir” seluruh negara dan operator pam yang telah dikenal pasti akan dipanggil bertugas serta-merta jika ada keperluan mengeluarkan air dari kawasan terjejas.
“Daripada 737 unit pam bergerak pelbagai kapasiti ini, sebanyak 294 unit merupakan milik kerajaan persekutuan dengan nilai RM50.03 juta.
“Selain itu, sebanyak 1,342 stesen telemetri hidrologi dipantau untuk mendapatkan data hujan dan aras air semasa. Kita juga akan pastikan 534 siren amaran banjir yang dipasang di sungai-sungai utama dapat berfungsi dengan baik, ditambah pula pemasangan 162 kamera litar tertutup bagi memantau kenaikan aras air sungai semasa,” katanya.
Kata beliau lagi, semua saluran komunikasi antara pengarah JPS negeri, jurutera daerah serta pegawai hidrologi negeri di peringkat daerah, negeri dan pusat telah diaktifkan sebagai kesiapsiagaan MTL.
KOORDINASI PETRA DAN AGENSI BERKAITAN
Fadillah dalam pada itu menegaskan PETRA menerusi JPS, terlibat secara aktif dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jawatankuasa ini turut dianggotai oleh setiausaha kerajaan negeri selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan agensi-agensi teknikal serta agensi-agensi tindak balas.
“Dalam bencana banjir, jawatankuasa ini berperanan melaksanakan dasar, strategi, arahan, hala tuju dan pelan tindakan dalam mengendalikan sesuatu bencana di peringkat negeri dan daerah dengan penglibatan Angkatan Pertahanan Awam sebagai sekretariat,” katanya.
Beliau berkata di peringkat negeri, JBPN yang diketuai oleh setiausaha kerajaan negeri bertanggungjawab menyelaras bantuan kepada daerah terjejas seperti bantuan kewangan, aset dan sumber manusia, manakala Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang diketuai oleh pegawai daerah menyelaras tindakan serta aset dan memastikan sumber manusia mencukupi untuk membantu menangani musibah banjir.
“Selain itu, pengurusan sistem saliran juga penting dalam mengurangkan impak banjir. Pengurusan sistem saliran dan perparitan diuruskan oleh pelbagai pihak termasuk JPS, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pejabat daerah, Jabatan Kerja Raya serta lain-lain agensi dan pemaju berkaitan,” katanya.
Tegas Fadillah, meskipun tanggungjawab untuk membina dan menyenggara parit berada di bawah PBT mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, PETRA akan sentiasa bekerjasama dengan agensi terbabit dalam memastikan sistem saliran dapat berfungsi dengan baik dan mengurangkan risiko banjir.
PELAN JANGKA PANJANG PENGURUSAN BANJIR
Pengurusan banjir yang berkesan memerlukan pendekatan jangka panjang dengan melibatkan kombinasi teknologi dan perancangan infrastruktur.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata Pengurusan Banjir Bersepadu merupakan satu konsep yang menggabungkan beberapa elemen penting untuk menangani isu berkenaan, melibatkan beberapa langkah utama dilakukan, termasuk kajian pelan induk bagi memahami punca kejadian banjir di kawasan tertentu, terutamanya di lembangan sungai.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga, kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon (tiga, kanan) melancarkan âSignboard River Address Sg. Tebrauâ pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan di Sungai Tebrau, Kg Bakar Batu, Johor pada 21 Sept lepas.
Katanya, pelan induk tebatan banjir menyediakan garis panduan yang jelas tentang tindakan yang perlu diambil untuk mengurangkan risiko banjir, dengan kajian melibatkan cadangan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang, termasuk pembinaan infrastruktur seperti empangan dan sistem perparitan bagi mengawal aliran air.
Beliau berkata dari segi teknologi, mereka menggunakan sistem Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB), disokong oleh Integrated Forecast Operation System (IFOS) yang memanfaatkan teknologi Revolusi Industri 4.0 dan Internet Pelbagai Benda (IoT) bagi mengumpul dan menganalisis data secara real-time.
Teknologi ini katanya, akan membantu meningkatkan ketepatan ramalan dan memastikan amaran banjir dikeluarkan lebih awal bagi mengurangkan impak kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.
Jelasnya lagi, perancangan infrastruktur, teknologi canggih serta kesedaran masyarakat merupakan pendekatan jangka panjang bagi mengurangkan risiko banjir serta kesan buruknya terhadap masyarakat, ekonomi dan persekitaran.
Menurut beliau, perancangan dan pembinaan infrastruktur tebatan banjir merupakan komponen penting dalam pendekatan jangka panjang untuk menguruskan banjir, melibatkan pembangunan sistem yang dapat menampung dan mengurus air secara efisien, sekali gus mengurangkan risiko banjir.
“Antara inisiatif utama ialah pembinaan empangan dan kolam takungan untuk mengawal aliran sungai dan mengumpul air hujan semasa musim hujan lebat, yang membantu mengelakkan air melimpah ke kawasan penduduk atau pertanian,” katanya.
Fadillah berkata sistem perparitan bersepadu turut direka bagi mengalirkan air secara efisien dari kawasan bandar dan luar bandar ke sungai atau takungan.
“Pembinaan terusan buatan dan saliran air membantu mengarahkan air ke kawasan yang lebih rendah atau takungan semula jadi, selain pengubahsuaian sungai dan zon penampan semula jadi yang meluruskan, memperdalam atau melebarkan sungai-sungai yang sering melimpah adalah langkah fizikal yang dapat membantu mengurangkan risiko banjir,” katanya.
Tambah beliau, zon penampan seperti kawasan paya dan hutan bakau di pesisir pantai juga berfungsi sebagai benteng semula jadi yang melambatkan aliran air dan menyerap air hujan yang berlebihan.
Mengulas lanjut, beliau berkata penggunaan teknologi untuk ramalan dan pemantauan banjir seperti sistem PRAB adalah perlu untuk menganalisis data hidrologi, meteorologi dan data-data lain bagi menghasilkan ramalan yang lebih tepat.
Selain itu katanya, pembangunan moden sistem pemantauan seperti penggunaan dron, sensor air dan satelit juga diperlukan bagi membantu dalam pemantauan aliran sungai, paras air dan cuaca di kawasan berisiko tinggi dengan data yang diperoleh dihantar secara langsung ke pusat kawalan banjir untuk tindakan segera.
Katanya, sistem pemetaan risiko banjir yang dikenali dengan teknologi pemetaan Geographic Information System (GIS) dan simulasi komputer membolehkan peta risiko banjir dihasilkan.
“Ini penting untuk merancang pembangunan bandar dan infrastruktur di kawasan yang lebih selamat serta memastikan kawasan-kawasan yang berisiko tinggi mendapat perhatian dan perlindungan sewajarnya.
“Seterusnya, kita juga perlukan perancangan Bandar Berdaya Tahan melibatkan zon bebas banjir, reka bentuk bangunan yang tahan banjir dan juga pembinaan infrastruktur hijau,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) melawat salah satu reruai yang terdapat pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan di Sungai Tebrau, Kg Bakar Batu, Johor pada 21 Sept lepas.
Kata beliau lagi, kawasan yang sering dilanda banjir boleh dijadikan zon takungan air atau kawasan hijau manakala pembangunan perumahan atau komersial boleh dihalakan ke kawasan yang lebih selamat.
“Terdapat keperluan untuk mempromosikan reka bentuk bangunan yang tahan banjir dengan menaikkan asas bangunan, menggunakan bahan-bahan binaan kalis air atau membina sistem saliran di dalam dan sekitar bangunan, dengan bangunan awam seperti hospital dan sekolah di kawasan berisiko banjir harus mempunyai pelan mitigasi banjir,” katanya.
Kata beliau, pembinaan infrastruktur hijau pula merangkumi pembangunan ruang hijau seperti taman-taman bandar, hutan kecil dan kawasan tadahan air semula jadi yang dapat menyerap air hujan dan seterusnya mengurangkan risiko banjir.
“Tanaman hijau juga membantu mengurangkan hakisan tanah yang boleh menyumbang kepada banjir,” katanya.
PENDIDIKAN DAN KESEDARAN MASYARAKAT
Usaha untuk membantu mengurangkan risiko banjir di negara ini bukan menjadi tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata tetapi masyarakat juga harus memainkan peranan penting.
Fadillah berkata antara yang perlu dilakukan ialah menjalankan program pendidikan awam termasuk kempen pendidikan yang berterusan, bagi meningkatkan kesedaran mengenai risiko banjir dan tindakan yang perlu diambil, termasuk menyebarkan maklumat tentang pelan pengungsian dan cara-cara untuk melindungi harta benda.
“Penyertaan komuniti dalam pelan tindakan banjir penting, iaitu masyarakat setempat dilibatkan dalam perancangan dan pelaksanaan pelan tindakan banjir agar mereka memahami peranan dan tanggungjawab mereka bagi mengurangkan risiko dan mempercepat pemulihan selepas banjir,” jelas beliau.
Selain itu, sistem sokongan komuniti seperti pasukan sukarelawan juga perlu diadakan bagi membantu dalam persediaan menghadapi banjir, termasuk memberikan bantuan kecemasan.
Pada masa sama, perlu ada dasar yang menyokong perlindungan kawasan banjir dan mengawal pembangunan di kawasan berisiko selain menguatkuasakan peraturan alam sekitar, agar dapat mengurangkan hakisan tanah dan perubahan landskap yang meningkatkan risiko banjir.