&
quot;Kenapa kebaya? Kenapa tidak busana lain?"
Mungkin itu antara persoalan utama yang bermain di minda banyak pihak apabila pakaian tradisional itu dihantar ke pencalonan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori Warisan Tak Ketara Senarai atau ICH pada 2023.
Kebaya, menurut Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka Ezlina Alias, dalam konteks warisan, merujuk kepada busana baju Melayu yang berbelah di hadapan dan dipakai di sebelah luar bersama kerongsang serta berkain sarung.
"Secara amnya kebaya itu sendiri merujuk kepada satu busana tradisional yang popular di Malaysia selain baju kurung. Ia menempuh satu evolusi yang panjang, terbentuk hasil dari pertembungan seni budaya pelbagai kaum sejak 600 tahun lalu atau yang kita kenali sebagai era Kesultanan Melayu Melaka," katanya dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.
PAKAIAN TRADISIONAL PELBAGAI NEGARA
Mengulas lanjut, Ezlina berkata, busana kebaya ini bukan sahaja kebanggaan masyarakat Melayu tetapi juga komuniti Baba Nyonya, Chetty dan Portugis.
Malah, katanya, negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand turut menjadikan kebaya sebagai antara fesyen tradisional kebangsaan mereka.
Lebih unik, masyarakat juga perlu faham di Malaysia sendiri, bukan hanya kebaya Nyonya namun terdapat lebih 10 jenis kebaya termasuk kebaya Perlis, Pahang, Johor-Riau dan Kota Bharu yang mempunyai perbezaan dan kelebihan yang tersendiri.
"Busana kebaya ini merentasi budaya dan agama, berbentuk sejagat dan masyarakat sendiri sangat berbangga dengan kebaya. Malah dalam filem-filem kita dahulu juga merakam trend fesyen ini dengan begitu baik seperti mana biduanita Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan Noor Kumalasari yang mempopularkan pemakaian baju kebaya menerusi filem yang dilakon dan sekarang, ia diteruskan oleh pelakon Nabila Huda," katanya.
Namun sayangnya, busana tradisional ini yang dahulunya digayakan oleh semua golongan termasuk bangsawan dan orang kebanyakan di pelbagai peringkat, termasuk dijadikan pakaian harian, kini sekadar menjadi pakaian di pentas persembahan kebudayaan manakala kehalusan buatannya serta keasliannya semakin ditelan zaman.
Mengakui banyak faktor termasuk corak pemakaian masyarakat mula berpaksikan dari negara barat yang lebih santai, Ezlina mengakui, sesuatu perlu dilakukan agar warisan budaya rumpun nusantara ini terus kekal diwarisi.
"Sebab itulah JKKN Melaka dengan kerjasama kerajaan negeri kini giat mengadakan pelbagai program kenapa perlunya baju kebaya ini dipulihara. Antara pelaksanaannya, dengan mengadakan pertunjukan fesyen dalam bentuk teater, wacana dan Pesta Kebaya sempena program Bila Larut Malam atau Melaka Nightlife sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
"Jika bukan kita, siapa lagi hendak mempopularkannya dan kita sendiri tidak sedar bahawa terdapat lebih 10 pola potongan baju kebaya serta daripada pelbagai etnik ini dan mampu dipakai termasuk yang berpotongan sopan seperti kebaya Pahang," katanya.
KEASLIAN BUSANA KEBAYA SEMAKIN PUDAR
Sementara itu, Pakar Rujuk Kebaya yang dilantik oleh Jabatan Warisan Negara untuk mencalonkan kebaya sebagai pakaian di ICH UNESCO, Cedric Tan Chai Cheng atau lebih mesra dengan panggilan Baba Cedric mengakui, langkah drastik perlu diambil bagi memastikan keaslian busana kebanggaan ini terus dipulihara dan dipelihara.
Beliau yang merupakan generasi keenam keturunan Baba dan Nyonya Melaka berkata, usaha memelihara keaslian warisan unik ini adalah langkah tepat dan sudah sampai masanya memandangkan budaya berkebaya ini walaupun 'tidak lekang dek panas' tetapi keasliannya semakin pudar.
Lebih menyedihkan apabila di Melaka sendiri hanya terdapat dua orang tukang sulam kebaya nyonya yang kini berusia mencecah 80 tahun dan legasi ini tiada warisan untuk mempertahankan atau menghidupkan warisan unik masyarakat yang sarat dengan budaya ini.
"Masyarakat sekarang hatta dari susur galur baba dan nyonya sendiri semakin hari mengambil pendekatan tidak kisah atau asalkan saya pakai baju kebaya, sudah cukup.
"Jadinya, makin hari makin hilang objektif busana ini yang sebenarnya penuh dengan tatacara pemakaiannya yang betul termasuklah kaedah mengenakan kerongsang, mengikat kain batik yang tidak berjahit serta pemilihan warna yang perlu sesuai dengan usia dan situasi pemakai," katanya yang juga Presiden Persatuan Persaudaraan Kesenian dan Kebudayaan Peranakan Melaka.
Turut membimbangkan, kata beliau, apa yang berlaku kepada Baju Panjang Peranakan yang boleh dianggap sudah pupus, boleh berlaku kepada kebaya nyonya ini, dalam aspek keaslian, kehalusan dan kefungsian.
Menurut Baba Cedric, daripada aspek pemakaian memang diakui semua orang tanpa mengira ras kedudukan dan bangsa boleh memakainya dan itu menunjukkan semua orang sama rata namun tidak semua memahami makna berbusana kebaya nyonya itu kerana rata-ratanya hanya mahu kelihatan cantik, kreatif dan mudah.
"Macam sekarang, sudah hilang budaya berkerongsang kerana orang sekarang tidak lagi tahu fungsi kerongsang yang cuma dianggap sekadar hiasan. Begitu juga dengan kaedah memakai kain sarung yang cara aslinya adalah tidak berjahit apatah lagi bergetah di pinggang.
"Memang fesyen berubah tapi ada perkara yang kena kekalkan dan jika berkaitan budaya dan warisan, rasanya kita jangan kreatif tidak bertempat dan perlu tahu, apabila seseorang wanita mengenakan kebaya nyonya, secara automatik perwatakan akan berubah, sifat kewanitaan itu lebih menonjol," katanya yang mempunyai koleksi sekitar 500 helai baju kebaya dan antaranya, ada yang berusia lebih 100 tahun.
USAHA MENCALONKAN KEBAYA KE UNESCO
Baba Cedric pada masa sama turut berkata, antara cabaran yang dihadapi hari ini ialah ramai yang menggelarkan diri mereka sebagai penggiat budaya namun kabur dengan pengertian asal berkenaan busana kebaya terutama kebaya nyonya.
Jelasnya, disebabkan itulah perbincangan mendalam mengenai kebaya terutama kebaya nyonya ini perlu dilakukan sentiasa agar 'keserongan' mengenai busana ini dapat diperbetulkan terutama saat negara sedang berusaha memastikan kebaya diangkat dalam senarai ICH UNESCO.
Beliau berkata, pencalonan tersebut dibuat oleh Malaysia bersama Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand memandangkan busana tersebut mewakili warisan budaya dan identiti unik negara masing-masing.
"Usaha secara kritis mencalonkan kebaya ke UNESCO di bawah kategori ICH bermula pada 2022 dan ia melibatkan lima negara dengan Malaysia selaku tuan rumah memberi petunjuk bahawa kebaya ini dipakai oleh wanita nusantara dengan skopnya yang sangat luas.
"Sekiranya kebaya diterima sebagai satu warisan tidak ketara dunia, kita akan dapat mempromosikan pakaian ini dengan lebih luas dan hingga luar nusantara secara satu kelompok berbanding secara individu kerana busana ini mempunyai banyak potongan dan kelompok dan lebih utama, kita dapat menonjolkan wanita nusantara ini 'halus' orangnya," katanya.
Selain mengumpul busana, mendokumentasi, membuat kertas kerja dan bengkel, lawatan lintas budaya antara negara turut dilakukan bagi tujuan pengumpulan maklumat berkaitan kebaya dalam leluhur nusantara ini.
"Ini sesuatu yang bagus kerana ia memperluaskan pandangan serta mempelajari potongan (kebaya) dari negara lain dan paling utama boleh berbincang secara mendalam bagaimana kita dapat menyimpan legasi dan warisan kebaya ini.
"Ini kerana rata-rata yang ada sekarang berumur lebih 45 tahun... jadi kena fikirkan bagaimana legasi ini dapat dipanjangkan kepada generasi akan datang kerana kita tidak mahu apa yang berlaku kepada kebaya panjang atau kebaya peranakan yang kini sudah pupus daripada aspek pemakaiannya, terjadi pada busana kebaya yang lain " katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff