K
hat bermaksud tulisan tangan yang cantik menggunakan berus atau pen khas, justeru kecekapan tangan dan ketajaman mata penulis amat perlu dalam menghasilkan seni kaligrafi yang indah ini.
Begitu juga keindahan kaligrafi Arab yang merupakan salah satu kesenian Islam yang mendapat perhatian besar umat Islam dan turut menjadi wadah tulisan al-Quran dalam membawa mesej tauhid serta ketakwaan kepada Allah SWT.
Manakala tulisan Jawi juga meminjam aksara-aksara Arab dan cara penulisan juga berdasarkan khat Arab untuk menghasilkan karya yang unik.
Antara jenis khat yang acap kali digunakan penggiat khat ialah Thuluth, Nasakh, Kufi, Farisi, Diwani, Tughra, dan Riq'ah.
KHATTAT
Bagi penggiat seni khat tempatan, Khairi Izat Amir, 31, minat yang mendalam membuatkan beliau jatuh hati untuk mendalami seni kaligrafi itu.
Dia mula tertarik dengan seni khat ketika di bangku sekolah menengah dan terus mengasah bakatnya dengan menyertai pelbagai pertandingan menulis khat, di peringkat sekolah hingga kebangsaan.
Khari Izat turut mengetengahkan bakat menulis khat menerusi warkah persilaan sempena istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, baru-baru ini.
‘’Untuk menjadi seorang 'khattat' (penulis khat) bukan mudah, saya sendiri mengambil masa bertahun-tahun untuk memahirkan diri dalam penulisan khat.
‘’Saya belajar dan ambil pengalaman bermula dari pertandingan khat sejak di peringkat sekolah dan kemudian mendalami bidang ini ketika melanjutkan pelajaran di Mesir, seterusnya di Darul Quran,Tangerang, Indonesia sebelum mengikuti pengajian khat jenis Thuluth dan Nasakh di IRCICA (Research Centre for Islamic History,Arts & Culture) di Turkiye pada awal 2019,’’ katanya.
Penulis sendiri begitu kagum apabila melihat kecekapan Khairi Izat yang dengan cara bersahaja menulis kaligrafi khat jawi menggunakan pena yang diperbuat daripada buluh dan kayu handam. Bermula daripada mencelup pena ke dalam bekas kecil berisi dakwat hitam sebelum mula menulis beberapa rangkap ayat dalam tulisan jawi.
Ternyata pengalaman dalam bidang khat, membuatkan beliau tidak kekok untuk berkarya dan dengan teknik yang betul, seseorang khattat mampu menghasilkan karya khat yang kemas dan cantik bergantung kepada jenis khat yang mahu dihasilkan.
‘’Khat ini merupakan tulisan, namun sebagai penulis kita sebenarnya terikat dengan peraturan dan kaedah yang dikaji serta ditentukan oleh mereka yang pakar dalam industri khat ini. Tulisan khat ini tidak boleh ditulis sesuka hati sekadar melengkapkan huruf atau ayat semata-mata.
‘’Teknik-teknik menulis khat ini yang kita kena belajar kerana setiap karya khat itu mempunyai kesinambungan, kehalusan dan keharmoniannya sendiri, sebab itu, untuk menjadi pakar khat kena ada ilmu dan pengalaman yang luas dalam bidang ini,’’ tambah Khairi Izat yang sebelum ini terlibat menulis Warkah Persilaan bersempena dengan istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, Julai lalu.
Beliau menekankan bahawa seni khat itu memerlukan kecekapan tangan dan mata yang tajam untuk mencipta gabungan seni yang indah dan biasanya digunakan untuk menulis ayat-ayat al-Quran, surah dan hadis.
Namun, penulis khat perlu juga berhati-hati agar ayat al-Quran dapat ditulis dengan betul dan mudah untuk di baca.
‘’Misalnya khat Thuluth yang kebiasaannya digunakan untuk nama surah serta hiasan di masjid termasuk pada kubah dan mihrab.
‘’ Khat ini merujuk kepada hurufnya yang menegak serta ditulis dengan mata pena yang lebar,’’ katanya yang kini aktif mengajar khat dalam pelbagai program di Pahang, berkaitan seni kaligrafi itu.
TIDAK HARUS DI TELAN ZAMAN
Mengulas lanjut, Khairi Izat mengakui di negara ini tidak ramai yang berminat untuk mempelajari dan mendalami kesenian Islam itu.
Meskipun ada sebahagian kelompok pelajar di negara ini yang mengambil pengajian khat namun mereka tidak berhasrat untuk meneruskannya selepas tamat pengajian.
Alatan yang digunakan untuk penulisan khat memainkan peranan penting dalam penghasilan karya itu.
‘’Selain itu, faktor utama kemenjadian anak muda sekarang untuk mempelajari seni khat bergantung juga kepada persekitaran dan peredaran zaman. Zaman moden ketika ini mereka banyak dipengaruhi penggunaan gajet.
‘’Penggunaan kertas pula boleh diganti dengan aplikasi ‘Nota’ di dalam tablet,manakala pen pula mampu digantikan kepada ‘stylus’ atau pen digital. Hal-hal ini serba sedikit memberi pengaruh yang amat besar dalam menggantikan alatan tradisional untuk menulis. Perkara ini juga merupakan salah satu cabaran kepada industri khat negara,’’ katanya.
Menurutnya, seni khat menjadi sumber penulisan utama dalam mushaf Al-Quran semenjak bermulanya zaman perkembangan Islam sehingga ke hari ini.
‘’Turki (Turkiye) antara negara contoh yang giat memartabatkan seni khat di persada antarabangsa dan negara itu menjadi pusat pemeliharaan dan pemuliharaan seni khat.
‘’Malah, wujudnya institusi seperti IRCICA yang berpangkalan di Istanbul menjadikannya sebagai platform yang bertanggungjawab dalam menyebarluaskan seni khat ini di seluruh dunia,’’ katanya.
Namun beliau berkata, kebelakangan ini pakar-pakar khat sedia ada dilihat memainkan peranan proaktif dalam memartabatkan industri khat di Malaysia.
‘’Mereka ini ada yang berkecimpung dalam dunia akademik, pelaksana dalam pentadbiran kerajaan, industri kreatif mahupun bekerja sendiri, masing-masing berperanan memartabatkan khat di lapangan sendiri.
‘’ Usaha sebegini tentunya usaha yang sangat positif dan perlu diteruskan demi kelangsungan industri khat negara sekali gus memastikan kesenian Islam ini tidak luput ditelan zaman begitu sahaja,’’ katanya.
Pandangan senada turut disuarakan penulis khat di Kompleks Nasyrul Quran Putrajaya, Ammar Yahaya, 23, yang melihat sikap serta kesungguhan seseorang itu menjadi pendorong kepada mereka untuk menjadi seorang khattat.
Ini kerana, katanya, khat itu sendiri merupakan karya istimewa dan seni yang sangat eksklusif kerana mempunyai fungsi dan kaedah penulisannya tersendiri.
‘’Di Malaysia, ramai yang meminati dan mahu menceburi bidang seni khat ini, namun tidak ramai yang mempunyai kekuatan hati dan semangat yg tinggi untuk terus belajar dan berlatih secara berterusan dan inilah kuncinya iaitu istiqamah (berterusan).
‘’Kita juga sebenarnya mempunyai ramai pelajar sekolah atau generasi baharu yang suka untuk belajar seni khat. Namun kita kekurangan platform dan silibus yg tersusun untuk melahirkan penulis khat yang berkualiti dan berdaya saing,’’ tambahnya.
KERJAYA PROFESIONAL
Mengulas lanjut, Amar berkata, tidak ramai yang mengetahui bahawa penulis khat adalah kerjaya profesional dan Malaysia turut mempunyai penulis khat yang bertaraf antarabangsa.
Ini termasuk Abdul Baki Abu Bakar yang pernah terpilih sebagai satu-satunya wakil Asia Tenggara dalam kalangan 30 khattat terbaik dunia.
Tidak ramai golongan muda dan pelajar yang berminat untuk menjadi penulis khat kerana seni Islam itu memerlukan latihan panjang.
Penulis khat yang terlatih, katanya, akan menghasilkan mutu karya khat yang berkualiti dan mampu mendapat tempat di hati peminat karya seni itu.
Beberapa tahun kebelakangan ini juga karya khat mendapat perhatian dan permintaan untuk dijadikan hiasan dalaman mahupun luaran di kediaman dan bangunan selain digunakan secara komersial di papan tanda.
‘’Malaysia antara negara yang hebat dalam bidang penulisan khat. Kita juga mempunyai ramai penulis khat bertaraf antarabangsa dan industri khat di negara ini juga semakin ke depan apabila hasil seni ini digunakan di sekeliling kita dalam pelbagai bentuk dan platform.
‘’Namun perlu ada usaha dalam melahirkan dan meramaikan lagi pelapis dalam bidang ini, untuk kelangsungan seni itu dan sekali gus mampu setanding negara besar lain seperti Turkiye, Mesir dan Indonesia, yang menjadi pelopor kepada industri khat ini,’’ katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff