D
i sebalik kerancakan perkembangan teknologi khususnya media baharu yang turut merangkumi platform media sosial, kebimbangan kanak-kanak menjadi mangsa pelbagai bentuk eksploitasi kian mendapat perhatian.
Tidak dapat dinafikan kanak-kanak dan media sosial sukar untuk dipisahkan, lebih-lebih lagi apabila penggunaan peranti semakin meningkat ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara dalam talian sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara.
Namun manfaat capaian maklumat tanpa had serta komunikasi tanpa halangan mahupun dunia tanpa sempadan melalui platform media sosial tentunya ada cabaran atau ‘harga yang perlu dibayar’ .
Antaranya, isu buli siber dalam kalangan kanak-kanak, eksploitasi seksual seperti pedofil, penipuan dalam talian dan pelbagai lagi yang menggusarkan ibu bapa serta masyarakat secara keseluruhannya.
Terkini, isu pengantunan kanak-kanak (sexual grooming) di akaun media sosial, pastinya membuatkan masyarakat tersentak.
Pada 26 Oktober lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ada menerima aduan mengenai kewujudan kumpulan pengantunan kanak-kanak di akaun media sosial.
TIMBANG BAIK BURUK
Menurut Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak merupakan seseorang yang belum mencapai usia 18 tahun.
Maka dalam hal ini, tidak keterlaluan jika dikatakan seseorang kanak-kanak itu secara umumnya masih belum matang pemikirannya untuk menilai baik buruk sesuatu perkara, mudah dipengaruhi dan diambil kesempatan ke atasnya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan penggunaan media sosial tanpa kawalan.
Mengulas perkara ini, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak dalam penggunaan media sosial adalah isu yang kritikal kerana platform itu memberikan peluang berhubung dan berkongsi maklumat namun pada masa sama berisiko membuka ruang kepada pelbagai perkara negatif.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil.
Beliau berkata ketiadaan panduan dan kawalan boleh menyebabkan kanak-kanak berinteraksi dengan individu yang tidak dikenali, berhadapan isu ketagihan peranti, terpengaruh dengan trend yang pelbagai melalui kandungan digital, maklumat palsu serta ancaman keselamatan seperti buli siber, eksploitasi seksual dan kecelaruan maklumat.
“Pendekatan keselamatan siber perlu diberi perhatian serius, termasuklah pendidikan kawalan kepada ibu bapa dan meningkatkan kesedaran kanak-kanak terhadap bahaya yang wujud di dunia digital. Kanak-kanak mudah terpengaruh dengan kandungan yang dipaparkan di media sosial yang kerap kali mempengaruhi gaya hidup serta nilai yang kurang sihat.
“Berdasarkan laporan UNICEF ‘Our Lives Online’ pada 2020, 91 peratus kanak-kanak Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun menggunakan Internet setiap hari, dengan 70 peratus pernah terdedah kepada kandungan yang mengganggu, dan lebih 40 peratus daripada mereka enggan meminta bantuan.
“Kajian UNICEF Malaysia pada 2021 pula menunjukkan empat peratus kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun yang menggunakan Internet berdepan ancaman eksploitasi dan penderaan seksual secara maya. Statistik ini menuntut kepada keperluan untuk bimbingan dan panduan bagi memastikan mereka terlindung daripada pengaruh negatif media sosial,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Antara kes yang diterima oleh MCCA melibatkan pengaruh media sosial yang merosakkan dalam kalangan kanak-kanak sebelum ini ialah pendedahan kanak-kanak kepada kandungan di platform X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) yang mengandungi unsur-unsur ‘Dark Side’.
‘Dark Side’ merujuk kepada sisi gelap individu atau kumpulan yang merahsiakan identiti sebenar mereka dengan memfokuskan kepada aktiviti seksual sekali gus memberikan kesan buruk, tidak bermoral dan membahayakan pengguna siber yang lain.
Menurut Siraj, kanak-kanak yang terdedah kepada kandungan seperti ini didapati mudah terpengaruh untuk terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral sebagai contoh aktiviti seksual bersama rakan sebaya dan di bawah umur, sekali gus membuktikan bahaya kandungan yang tidak dikawal serta kurangnya panduan keselamatan untuk kanak-kanak.
Beliau pada masa sama berkata, ketagihan peranti dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan apabila golongan itu sering menghabiskan masa yang berlebihan di media sosial sehingga mengganggu proses pembelajaran seterusnya merencat pembangunan sosial.
“Kes-kes ini menunjukkan bahawa kanak-kanak bukan sahaja memerlukan bimbingan tetapi juga sokongan emosi berterusan bagi mengurangkan impak negatif oleh media sosial yang boleh merosakkan kesihatan mental mereka.
“MCCA juga pernah menerima aduan kes buli siber yang tragis melibatkan seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa buli berterusan, yang akhirnya membawa kepada kemurungan dan masalah kesihatan mental yang kronik,” katanya menambah, buli siber juga boleh mengundang kepada kematian seperti yang berlaku kepada pempengaruh media sosial A. Rajeswary atau dikenali sebagai Esha sebelum ini.
PENDIDIKAN KESELAMATAN DIGITAL
Pada 21 April lepas, MCMC mengingatkan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka yang berusia bawah 13 tahun tidak memiliki sebarang akaun media sosial seperti TikTok, Facebook, Instagram atau mana-mana akaun media sosial lain.
Seorang kanak-kanak itu secara umumnya masih belum matang pemikirannya untuk menilai baik buruk sesuatu perkara, mudah dipengaruhi dan diambil kesempatan ke atasnya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan penggunaan media sosial tanpa kawalan.
Fahmi berkata, ini kerana MCMC mendapati bahawa kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial di samping kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan tersebut memiliki akaun media sosial.
Menyifatkan ia sebagai suatu langkah proaktif dalam melindungi kanak-kanak dalam penggunakan media sosial, Siraj bagaimanapun berpendapat, pelaksanaan perkara itu memerlukan sistem pengesahan umur yang ketat serta penglibatan ibu bapa untuk mengawasi aktiviti digital anak-anak mereka.
Beliau berkata, sokongan dari pihak platform media sosial dalam menyaring pengguna bawah umur amat diperlukan selain program pendidikan keselamatan digital harus diperkenalkan di sekolah untuk membantu ibu bapa dan guru membimbing anak-anak dalam penggunaan media sosial dengan lebih bertanggungjawab.
“Di rumah, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik secara tidak formal manakala di sekolah guru kaunseling berperanan untuk membentuk sahsiah dan jati diri digital anak-anak secara formal. Gabungan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sangat signifikan dalam menjayakan rencana pendidikan literasi digital (media sosial) kanak-kanak.
“Pendidikan berkenaan privasi dan keselamatan data perlu diajar kepada kanak-kanak. MCCA menyarankan agar modul pendidikan keselamatan digital diperkenalkan di sekolah sebagai langkah mendidik kanak-kanak agar tidak mendedahkan maklumat peribadi mereka di media sosial. Dengan kerjasama ibu bapa dan guru, kesedaran berkenaan privasi dan data peribadi ini mampu dipupuk sejak awal sekali gus mengurangkan risiko eksploitasi digital dalam kalangan kanak-kanak.
“Sudah tiba masanya kerajaan meneliti modul sedia ada di bawah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) antaranya Modul Keibubapaan Siber dan Keselamatan Dalam Talian Kanak-Kanak yang perlu diterapkan secara lebih meluas bagi mendidik ibu bapa dan kanak-kanak berhubung keselamatan dalam talian,” katanya.
Beliau pada masa sama berkata, ibu bapa perlu memiliki ilmu berkaitan teknologi bagi memantau laman web yang dikunjungi oleh anak-anak mereka, antaranya, perisian Internet Security and Acceleration, Cybernany, CyberPatrol, Google Family Link dan NetFilter Home yang bertujuan menyaring setiap kandungan laman web dengan tepat.
BUKAN ISU LOKAL
Sementara itu berkongsi pandangan, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, umumnya kebimbangan terhadap kanak-kanak akibat kesan aktiviti dalam talian bukanlah bersifat lokal malah seluruh dunia turut berhadapan cabaran semasa yang sama.
Beliau berkata, analisis oleh sekumpulan pakar di Universiti Yale mendapati individu yang menggunakan media sosial lebih daripada tiga jam sehari berpotensi berhadapan dengan dua kali ganda risiko kesihatan mental termasuk kemurungan dan kegelisahan.
Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad.
Katanya, segala bentuk kebimbangan seperti buli siber, eksploitasi seksual dan penipuan dalam talian kesemuanya berkisar kepada kesejahteraan hidup kanak-kanak.
“Dalam hal ini terdapat tiga aspek kesejahteraan yang harus kita beri perhatian iaitu kesejahteraan fizikal (perkembangan kesihatan dan keupayaan serta keselamatan diri), sosial (berpartisipasi dan berinteraksi dalam komuniti) dan emosi (pembangunan emosi yang sihat).
“Gangguan yang disebabkan oleh aktiviti dalam talian berisiko merencatkan perkembangan diri kanak-kanak yang pada peringkat awalnya boleh dilihat dari segi kurangnya komunikasi atau bersosial bersama ibu bapa dan rakan-rakan,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, sifat kanak-kanak yang suka meneroka serta mencuba perkara baharu memungkinkan mereka terjebak dalam situasi tidak sihat, selain beberapa laporan badan antarabangsa seperti UNICEF turut melaporkan statistik yang agak membimbangkan.
“Umpamanya, kajian yang melibatkan 30 buah negara mendapati sejumlah satu daripada tiga kanak-kanak mengalami buli siber. Akibatnya, 20 peratus daripada kanak-kanak tersebut ponteng sekolah akibat gelaja buruk itu.
“Dalam satu kajian lain, UNICEF turut melaporkan sekitar 80 peratus kanak-kanak dari 25 buah negara melahirkan rasa terancam akibat penyalahgunaan atau eksploitasi seksual dalam talian pada tahun lepas,” katanya.
Menurut Mohd Khairie lagi dalam hal ini, teori perbandingan sosial dapat menjelaskan pengaruh media sosial terhadap kanak-kanak.
“Kanak-kanak berpotensi untuk membandingkan diri mereka dengan apa yang terpapar dalam media sosial. Keadaan ini berpotensi menyebabkan mereka berasa kekurangan, rendah harga diri (low self-esteem) malah tertekan membandingkan apa yang dimiliki dengan apa yang dipaparkan dalam media sosial.
“Paparan dan apa yang diciptakan dalam media sosial ini lebih mudah diserap oleh kanak-kanak yang umumnya mempunyai keupayaan dan nilai berfikir yang terbatas. Ditambah dengan sifat ingin mencuba dan meneroka yang kuat, membuatkan mereka mudah teruja menerima apa yang dihidangkan oleh media baharu,” katanya.
MEDIA SOSIAL ‘TEMAN HIDUP’
Menyifatkan revolusi industri dan ekonomi baharu memaksa dunia terikat dengan ekosistem komunikasi digital dan persekitaran siber, Mohd Khairie berkata, semua lapisan masyarakat terkesan dan sukar dikecualikan.
Namun ia menjadi sesuatu yang amat menyedihkan apabila kanak-kanak dilihat sebagai golongan berisiko tinggi memandangkan mereka semakin banyak meluangkan masa di platform dalam talian dan menjadikan media sosial sebagai ‘teman hidup’.
Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil ketika menyantuni PR Puspa, ibu kepada pempengaruh media sosial mendiang A. Rajeswary atau dikenali sebagai Esha di kediaman di Bandar Baru Ampang pada Ogos lepas.
Beliau berkata, kajian oleh internetmatters.org menunjukkan kanak-kanak iaitu sebanyak 70 peratus menonton video secara dalam talian, 66 peratus bermain secara dalam talian dan 42 peratus aktif dengan media sosial.
“Data-data ini memperlihatkan risiko kesan negatif seperti amang seksual, pedofil, kesihatan mental, culik, malah bunuh diri. Bagi mendepani cabaran ini, peranan keluarga sangat penting.
“Ibu bapa bukan sahaja harus memantau tetapi perlu berperanan untuk menjadi tempat yang mesra untuk mengadu. Hubungan antara kanak-kanak dan keluarga harus dimantapkan.
“Usaha juga perlu dilakukan untuk mengurangkan pengalaman ancaman dalam talian dalam kalangan kanak-kanak memandangkan dua daripada tiga kanak-kanak dilaporkan mengalami isu itu,” katanya menambah, syarikat penyedia platform dan aplikasi media sosial khususnya perlu meningkatkan tanggungjawab bagi memastikan platform mereka berisiko rendah ke atas kanak-kanak.
Beliau pada masa sama berkata, perundangan dan peraturan yang inovatif serta langkah pencegahannya diperlukan memandangkan sifat teknologi adalah pantas berkembang selain penguatkuasaan juga perlu ditingkatkan secara proaktif tanpa menantikan aduan.
“Reformasi kurikulum berkaitan pendidikan digital wajar disegerakan. Kurikulum yang menekankan aplikasi digital semata-mata adalah lapuk. Sebaliknya kurikulum yang menekankan literasi media dan maklumat (Media and Information Literacy-MIL) didambakan. Ini dengan memberi penekanan terhadap keupayaan kanak-kanak untuk menilai kebolehpercayaan sumber media dan juga kesahihan maklumat itu sendiri,” jelasnya.
Turut menyentuh mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat yang bertujuan mengekang aktiviti jenayah di media sosial Mohd Khairie berkata, RUU itu amat bertepatan dalam mendepani cabaran media sosial terhadap kanak-kanak pada hari ini.
Langkah membawa RUU berkenaan ke Parlimen dalam masa terdekat adalah untuk melihat isu keselamatan dalam talian secara lebih menyeluruh dapat ditangani, khususnya melibatkan empat aktiviti jenayah utama seperti scam atau penipuan, judi dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Isu jenayah dalam talian, masalah scam dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam negara tidak boleh dibenarkan terus berlarutan dan susulan itu, MCMC telah mengeluarkan surat arahan kepada sejumlah platform media sosial untuk mendapatkan maklum balas berkaitan.
Dalam perkembangan lain Fahmi pada 31 Oktober lepas turut mengulas pertemuannya bersama pihak Meta, dan beliau menegur syarikat tersebut kerana masih gagal menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak, khususnya di platform Facebook.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh memberikan lebih masa untuk pelesenan media sosial dalam usaha menangani jenayah di platform tersebut, termasuk pedofilia dan aktiviti penipuan selain menyifatkan isu keselamatan rakyat, terutama kanak kanak dan keluarga di media sosial yang semakin berleluasa tidak boleh dikompromi.
Sebelum ini, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan memaklumkan, berdasarkan garis panduan yang dibina bersama dan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mana-mana platform yang tidak mempunyai lesen selepas 1 Jan 2025 boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 126 akta tersebut.
Pada pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk memerangi penipuan dan mengukuhkan keselamatan siber.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff