K
egiatan mengutip derma dalam talian berleluasa seiring perkembangan teknologi yang memungkinkan pemindahan wang dilakukan sepantas kilat.
Di sebalik keikhlasan rakyat Malaysia menderma bagi membantu golongan tidak bernasib baik, ada yang mengambil kesempatan sama ada menjadikan kegiatan itu sebagai "sumber pendapatan" mereka atapun mengambil sebahagian besar daripada sumbangan sebagai "kos pentadbiran".
Bimbang isu ini akan semakin membarah, Bernama mengupas faktor kegiatan ini berleluasa menerusi bahagian akhir laporan khas kutipan derma dalam talian.
Pada Oktober 2023, media melaporkan kejayaan pihak polis menumpaskan satu sindiket penipuan yang mengutip derma dalam talian, kononnya untuk tiga badan kebajikan, dengan menangkap 55 individu.
Dilaporkan sindiket itu beroperasi selama lima tahun, memungut derma daripada orang ramai dengan ahli sindiket diberikan komisen 10 hingga 20 peratus jika mereka berjaya memenuhi sasaran kutipan. Laporan itu bagaimanapun tidak menyebut jumlah kutipan yang diraih, kerana pihak polis perlu menyiasat lebih lanjut.
Biarpun kebanyakan agama menggalakkan penganutnya untuk bersedekah dan menderma, namun jangan sesekali terpedaya dengan penipuan sindiket penyelewengan derma yang tidak bertanggungjawab.
Persoalannya, bagaimana sindiket ini dapat beroperasi selama lima tahun secara bebas dan terbuka serta mungkin telah mengaut jutaan ringgit daripada ahli masyarakat?
Malah, sindiket itu juga bukan satu-satunya yang dikesan oleh pihak berkuasa berbuat demikian kerana pada tahun ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengheret beberapa individu termasuk pempengaruh terkenal ke muka pengadilan kerana menyelewengkan dana sumbangan orang awam yang dipungut secara dalam talian.
Melihat pada senario itu, tidak mustahil masih banyak pihak di luar sana yang melakukan jenayah ini, lebih-lebih lagi teknologi semasa memudahkan individu melakukan pemindahan wang dan duit bertukar tangan dalam tempoh beberapa saat sahaja.
BERLELUASA
Mengakui kegiatan memungut derma dalam talian berleluasa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memberitahu Bernama, kekangan yang dihadapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah itu ialah ketiadaan akta khusus untuk mengawal selia derma dalam talian.
"Buat masa ini hanya ada satu undang-undang berkaitan kutipan derma, iaitu Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 (Akta 200). Namun akta ini terhad kepada kutipan secara fizikal yang dijalankan dari satu premis ke premis yang lain.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.--fotoBERNAMA
"Disebabkan ketiadaan undang-undang khusus bagi kutipan derma dalam talian, sukar untuk diambil tindakan penguatkuasaan," katanya.
Ironinya, semakan Bernama mendapati kali terakhir AKta 200 dipinda ialah pada 1978, iaitu sebelum teknologi Inmaklumat dan Internet berkembang.
"Berdasarkan situasi semasa, kutipan derma dalam talian hanya akan menjadi kesalahan jika penganjur membuat pungutan atas nama badan amal atau organisasi tanpa pengetahuan badan amal atau organisasi terbabit.
"Jika badan ini membuat laporan polis, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan," katanya.
Mengulas lebih lanjut, Ramli berkata pada masa ini kebanyakan kes yang dilaporkan kepada pihak polis melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan yang namanya digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengutip sumbangan.
Berdasarkan Akta 200, pihak yang mahu menjalankan kutipan derma perlu memohon permit atau kebenaran daripada PDRM dan juga Jabatan Agama Islam negeri namun Bernama difahamkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bagi NGO yang berdaftar, ia boleh berbuat demikian sekiranya perlembagaan NGO itu membenarkan.
Justeru, siapa yang mengawal selia kutipan yang dilakukan itu, kerana menurut JPPM, mereka hanya memantau kegiatan sesebuah pertubuhan menerusi laporan tahunan yang dihantar oleh pertubuhan tersebut kepada mereka.
Penganalisis jenayah yang dihubungi Bernama bersetuju, kaedah itu membuka ruang yang luas untuk berlaku penyelewengan.
Sependapat, Ramli berkata daripada perspektif PDRM, perlu ada akta khusus dan juga prosedur operasi standard bagi mengawal selia aktiviti kutipan derma dalam talian, yang bukan sahaja menjamin ketelusan tetapi turut membolehkan tindakan penguatkuasaan lebih menyeluruh.
SEGERAKAN PENGGUBALAN AKTA
Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan senario semasa, penguatkuasaan undang-undang khusus itu kritikal kerana capaian Internet dan teknologi maklumat semakin meluas, sekali gus membuka akses lebih besar kepada pihak yang berkenaan menyebarkan mesej dan promosi kutipan sumbangan kepada golongan sasaran.
"Sikap dan kebaikan rakyat Malaysia yang sememangnya terkenal dengan sifat pemurah dan mudah membantu menyebabkan wujudnya banyak platform kutipan derma dan sumbangan dalam talian ini," katanya, menambah ketiadaan undang-undang dan badan pemantau memberikan sokongan tambahan kepada kegiatan tersebut.
Bagaimanapun, dalam situasi ketiadaan akta khusus ini, beliau berkata sebaiknya orang ramai berwaspada dengan kewujudan kegiatan sedemikian.
Pasangan suami isteri pempengaruh media sosial dipercayai terlibat dalam isu penyelewengan wang kutipan derma direman baru-baru ini bagi membantu siasatan.
"Sukar untuk menentukan kesahihan sesuatu kutipan derma memandangkan tiada prosedur khusus atau akta yang mengawal kutipan derma dalam talian ini. Namun, orang ramai dicadang membuat semakan dengan pertubuhan atau badan kebajikan yang (namanya digunakan) bagi menentukan kesahihan kempen itu," nasihat beliau.
TANGKAPAN DAN KES
Berhubung jumlah kes yang diterima oleh pihak polis dalam tempoh lima tahun lalu, Ramli berkata berdasarkan rekod dari 2019 hingga 2023, sebanyak 85 kes penipuan derma di seluruh negara telah disiasat melibatkan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM667,845.00.
Beliau berkata pada 2019, pihaknya merekodkan 32 kes penipuan membabitkan kerugian sebanyak RM409,396 diikuti 22 kes melibatkan jumlah RM77,024 pada tahun berikutnya dan 14 kes dengan nilai kerugian RM171,940 pada 2021.
Orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan sindiket penipuan kutipan derma secara dalam talian.
Sepanjang 2022 pula, Ramli berkata sebanyak lima kes direkodkan dengan kerugian berjumlah RM9,200 manakala pada 2023 pihaknya menerima 12 kes, melibatkan kerugian RM285.
Bagi tahun ini, untuk sembilan bulan pertama, beliau berkata pihaknya menyiasat 10 kes melibatkan kerugian berjumlah RM133,369.50.
"Statistik ini terhad kepada dua kategori kes penipuan derma, iaitu pertamanya melibatkan tangkapan oleh pihak PDRM sendiri hasil pemantauan terhadap kegiatan kutipan derma yang didapati mencurigakan.
"Kategori kedua adalah melalui laporan polis yang diterima daripada pertubuhan / persatuan / badan kebajikan yang berkaitan. Dalam kes sebegini, pihak pengadu memaklumkan menerima maklumat bahawa pertubuhan / persatuan / badan kebajikan mereka telah digunakan dalam kegiatan kutipan derma. Namun kutipan tersebut di luar daripada pengetahuan mereka," katanya.