T
iada pengetahuan dilihat sebagai satu daripada punca utama umat Islam di negara ini tidak peka pengurusan harta pusaka yang seterusnya membawa perbalahan antara waris sehingga ada kes yang berakhir di mahkamah, atau lebih buruk lagi terputus tali persaudaraan.
Perbalahan ini selalunya membabitkan pembahagian harta pusaka antara isteri dan keluarga mentua serta dalam kalangan adik-beradik selepas kematian ibu atau bapa.
Menyoroti perkembangan ini, pakar berpendapat ramai dalam kalangan umat Islam mengambil mudah aspek pengurusan harta yang menyebabkan mereka tidak melengkapi diri dengan ilmu berkaitan.
Kata pakar, kecetekan ilmu dalam hukum syarak juga menyumbang kepada perebutan harta pusaka, sehingga ada yang bertindak menafikan hak mereka yang lebih berhak ke atas aset peninggalan si mati.
DALAMI FARAID DAN HUKUM BERKAITAN
Mentakrifkan harta pusaka sebagai semua harta yang masih kekal dalam pemilikan seseorang sehingga berlaku kematiannya, pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Zahari Mahad Musa berkata pengurusan harta pusaka adalah prosedur yang perlu difahami oleh semua orang Islam.
Zahari Mahad Musa, pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM
“Sesiapa yang memiliki harta, sama ada harta alih seperti kenderaan, perabot, emas dan lain-lain, atau harta tidak alih seperti tanah yang semuanya mempunyai nilai di sisi syarak semasa hidupnya dan pemilikannya masih kekal sehingga meninggal dunia, maka ia diiktiraf sebagai harta pusaka yang perlu diagihkan,” katanya kepada Bernama.
Justeru kata beliau, kegagalan individu atau sesebuah keluarga menguruskan harta sebelum berlaku kematian merupakan sesuatu yang merugikan, selain menyukarkan waris yang perlu menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka itu.
“Mungkin selama ini kita hanya melihat keluarga yang terdekat mendapat harta pusaka seperti ibu, bapa, suami, isteri, anak lelaki dan anak perempuan kerana mereka paling hampir dengan si mati, sedangkan ilmu berkaitan harta pusaka termasuk ilmu faraid memperincikan setiap waris yang layak atau berhak mendapat harta dalam satu-satu kes kematian,” jelasnya kepada Bernama.
Mengambil contoh mereka yang mempunyai anak lelaki dan perempuan, beliau berkata kedudukan kedua-duanya adalah berbeza dari segi faraid dengan anak perempuan lazimnya menerima bahagian yang kurang sedikit berbanding anak lelaki.
“ Anak perempuan merupakan waris ashab al-furud (waris yang telah ditetapkan bahagiannya), namun boleh bertukar menjadi waris asabah (waris yang menerima bahagian lebih banyak) sementara anak lelaki si mati hanya berstatus waris asabah,” katanya.
Menurut Zahari, kefahaman yang cetek tentang agihan harta pusaka menurut Islam turut menyebabkan ada yang berasakan hanya mereka berhak ke atas aset peninggalan si mati.
“Perebutan harta pusaka pula dilihat berbalik kepada masalah sikap individu terhadap harta peninggalan si mati yang mungkin turut dipengaruhi oleh rasa tamak ataupun keras hati terhadap peraturan yang telah ditetapkan dalam Islam,” katanya.
Menurut beliau, pengurusan harta bagi mereka yang tidak mempunyai zuriat serta individu bujang memerlukan penelitian lebih rapi kerana pertalian adik-beradik melayakkan mereka menerima agihan harta pusaka tersebut.
Oleh sebab itu katanya, setiap orang Islam harus mempunyai ilmu faraid bagi mengelakkan berlaku konflik dan pergaduhan dalam kalangan ahli keluarga.
“Faraid tidak boleh terlaksana dengan sendirinya, perlu ada perancangan dari sudut pengurusan agar tidak wujud kekeliruan dan konflik di kemudian hari.
“Tanpa ilmu yang betul dan tepat, kemungkinan berlaku agihan kepada yang tidak berhak, dan lebih membimbangkan apabila ada yang mengambil hak orang lain secara salah,” tegasnya.
KAEDAH AGIHAN
Mengulas lanjut, Zahari berkata terdapat beberapa makanisme agihan harta pusaka yang boleh dirancang lebih awal bagi mengelakkan perebutan, seperti wasiat, hibah dan pemegang amanah.
Bagaimanapun katanya, mekanisme yang dianjurkan dalam Islam itu bergantung pada situasi yang berbeza.
Tanah atau rumah merupakan harta tidak alih yang mempunyai nilai di sisi syarak serta diiktiraf sebagai harta pusaka.
“Contohnya, saranan membuat wasiat atau hibah dianjurkan apabila si mati tidak mempunyai waris yang diiktiraf dalam Islam. Begitu juga individu bujang misalnya, yang hanya mempunyai ibu saudara (adik-beradik ibu atau bapa) dalam keluarganya, maka pemindahan harta yang terbaik ialah melalui hukum wasiat atau hibah.
“Wasiat dalam Islam ini dilihat lebih sesuai kerana istilah tersebut merujuk sumbangan sebanyak satu pertiga daripada harta si mati kepada selain waris. Ibu saudara bukanlah waris yang layak untuk menerima harta pusaka melalui hukum faraid, atau lebih tepat dikenali sebagai waris dhawi al-arham (waris yang tidak disepakati untuk menjadi waris yang layak), manakala hibah kepada ibu saudara juga sangat signifikan kerana pemberian harta berlaku semasa pemberi masih hidup,’’ katanya.
Tambahnya, pelantikan pemegang amanah juga dilihat langkah terbaik yang disarankan kepada umat Islam bagi mengelak berlakunya perebutan harta pusaka.
Menerusi mekanisme itu, pemilik harta melantik pemegang amanah yang akan menjalankan tanggungjawabnya bagi memenuhi hasrat pemilik harta selepas berlaku kematian.
“Jika sesebuah keluarga yang ditinggalkan berkemampuan menguruskan harta pusaka dengan sendirinya, maka tiada sebarang konflik yang bakal dihadapi.
“Namun, jika waris yang ditinggalkan tidak mampu menguruskan harta dengan sendirinya seperti kanak-kanak atau golongan yang tidak berkeupayaan (OKU), maka seharusnya kita melantik seorang yang amanah untuk menjadi pemegang amanah dalam keluarga tersebut,” tambahnya.
Beliau juga menyarankan umat Islam mendokumentasikan harta yang dimiliki serta senarai waris masing-masing bagi memudahkan pengurusan harta pusaka.
“Setiap individu Muslim dituntut membuat rekod pemilikan harta masing-masing seperti geran atau perjanjian jual beli rumah, akaun simpanan dan pelaburan, hutang dan sijil takaful, selain senarai waris yang layak dan berhak.
Masyarakat Islam diseru mendalami ilmu berkaitan harta pusaka (gambar Jawi)
“Senarai harta si mati yang dibuat lebih awal turut membantu dan memudahkan waris untuk menganggarkan nilaian harta dan jenisnya bagi tujuan pembahagian harta pusaka,”katanya.
UNDANG-UNDANG
Sementara itu, menurut Prof Madya Dr Adzidah Yaakob yang juga daripada USIM, waris boleh menggunakan kuasa mahkamah syariah untuk menyelesaikan sebarang konflik berkaitan pengagihan harta pusaka.
Beliau berkata mahkamah syariah mempunyai kuasa yang jelas dalam menyelesaikan pertikaian pengurusan harta pusaka berdasarkan hukum syarak dan undang-undang Islam yang telah ditetapkan.
‘’Misalnya konflik berkenaan wasiat, pihak-pihak yang membuat pertikaian boleh membuat permohonan penentuan kesahan wasiat tersebut di mahkamah syariah,” katanya, menambah wasiat hanya berkuat kuasa selepas kematian penulis wasiat.
“Meskipun wasiat secara lisan dibenarkan dalam Islam, adalah disarankan supaya wasiat dibuat secara bertulis dan jelas, agar berkeupayaan bertindak sebagai pembuktian terhadap wasiat yang dibuat oleh si mati,” katanya lagi.
Jelasnya, dengan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada, keadilan akan dapat dicapai sekali gus menyelesaikan pertikaian berhubung harta pusaka si mati.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan kepentingan umat Islam mendalami undang-undang berkaitan harta pusaka di negara ini.
“Undang-undang sedia ada ketika ini mencakupi keperluan untuk memastikan pengurusan dan pengagihan harta pusaka itu adil. Namun, oleh sebab ada yang tidak memahami prosedur atau undang-undang harta pusaka akhirnya berlakulah perebutan dan sikap penting diri,” katanya, menambah kursus tentang undang-undang berkaitan harta pusaka ditawarkan oleh banyak pihak termasuk masjid dan badan bukan kerajaan.
.-- BERNAMA