Daripada Benci Bertukar Sayang, Gara-Gara "Tam" Kucing Jalanan

P
ada usia 62 tahun dengan kesemua enam anaknya telah dewasa dan suami pula sudah bersara, seharusnya suri rumah ini dapat menarik nafas lega kerana tidak lagi perlu terkocoh-kocoh pada waktu pagi menguruskan keluarga. 

Namun, tiada istilah rehat dalam kamus hidup Ramlah Darus yang kekal sibuk seawal 7 pagi. Ketika keluarga lain menjamah sarapan, dia sudah terbongkok-bongkok di bahagian belakang rumah, menguruskan puluhan ekor anak kucing terbiar atau terbuang yang diselamatkannya.

Tidak bersendirian, suaminya Salim Dahri, 61, seorang pesara polis, turut membantu membersihkan najis serta memberikan makanan dan air minum kepada “anak-anak bulus” itu yang diletakkan di dalam kurungan.

Kerja dilakukan dengan pantas kerana Ramlah dan Salim ada tempat lain hendak dituju. 

Usai tugas, Ramlah akan menaiki skuter ke pasar bagi membeli barang keperluan untuk dimasak. Pada masa sama matanya akan melingas di sekitar pasar. Andai ada anak kucing terbiar yang dibuang, dia akan ambil dan bawa pulang. 

Salim pula akan ke satu kawasan lapang berhampiran rumah mereka di Taman Perpaduan Koperasi di sini. Di kawasan itu yang diwakafkan oleh pihak prihatin kepada mereka, tegak sebuah rumah kucing yang menempatkan lebih 150 ekor "si bulus” dewasa - juga diselamatkan oleh pasangan warga emas ini, sama ada dikutip di tepi jalan ataupun pasar.

 

GARA-GARA TAM, DARI BENCI JADI SAYANG 

Membuka cerita, Ramlah ketika ditemui Bernama, berkata dia dahulunya tidak sukakan kucing kerana menganggap haiwan berkenaan sebagai kotor, lebih-lebih lagi dia juga penghidap asma.

“Segalanya berubah apabila anak kedua saya, Salim Fitri yang kini sudah berusia 30 tahun, membawa pulang seekor kucing hitam. Saya memang marah dan suami juga menentang. Namun anak berkeras untuk menjaga kucing yang dipanggil Tam itu.

“Kemudian anak sambung belajar, mahu tidak mahu sayalah yang menjaga. Lama-kelamaan timbul rasa sayang, dan sejak itu secara sembunyi-sembunyi, saya mula kutip kucing jalanan dan bawa pulang untuk dipelihara. Suami yang pada awalnya marah-marah juga mula suka,” katanya yang memulakan usaha menyelamatkan kucing jalanan kira-kira lapan tahun lalu.

 Ramlah yang membahasakan dirinya Kak Ram, berkata apabila kucing semakin banyak, penjagaan juga semakin mencabar, membuatkan dia dan suami mula mencari kawasan untuk menempatkan kucing-kucing tersebut.

“Syukur alhamdulillah, ada pihak sudi wakafkan kawasan berhampiran untuk saya dan suami bina rumah kucing. Kos kami sendiri yang keluarkan,” katanya, menambah perbelanjaan untuk kucing juga meningkat, iaitu mencecah RM1,000 sebulan bagi membeli makanan dan lain-lain keperluan haiwan itu termasuk perubatan.

“Suami sanggup habiskan duit pencen sebagai sarjan polis demi menjaga kebajikan haiwan ini, yang bagi kami juga satu kerja amal jariah. Syukurlah ada penderma tetap yang menyumbang setiap bulan, sama ada makanan ataupun wang,” kongsinya.

 

GERAKKAN PERTUBUHAN

Ramlah juga bertuah kerana mempunyai rakan-rakan dan ahli keluarga “sekepala”, membolehkannya menubuhkan Persatuan Prihatin Kucing Jalanan pada 2024 yang memberi peluang kepada aktivis lain untuk turut membantunya dalam usaha menyelamatkan kucing jalanan.

Katanya, penubuhan persatuan itu juga memudahkan penyaluran sumbangan orang ramai. 

Apabila kucing semakin banyak, penjagaan juga semakin mencabar, membuatkan Ramlah dan suami mula mencari kawasan khas untuk menempatkan kucing-kucing tersebut.

“Kalau diikutkan memang saya dan suami tidak mampu, namun kucing-kucing ini juga makhluk Allah yang perlukan pembelaan. Akan tetapi, setiap kali saya berkongsi hantaran tentang aktiviti saya ini  di media sosial, ramai juga yang berhati mulia dan menyumbang,” katanya.

Kongsinya lagi, tidak kurang juga yang mengecam kerana melihat tindakan dia dan suami seolah-olah tiada beban batu digalas, kerana memelihara sebegitu banyak kucing dalam keadaan diri sendiri serba kekurangan. 

“Itulah cabarannya. Bukan semua orang suka dengan apa yang kami lakukan… jiran-jiran bermasam muka, tidak kurang juga yang berkata jika tak mampu jangan buat (bela), tetapi saya dan suami tekad untuk terus lakukan kerja ini selagi ada daya,” katanya.

Tambahnya, rasa empatinya terhadap haiwan itu turut membuatkan dia sanggup ke luar Ipoh jika diberitahu ada anak kucing terbiar.

 

SERANGAN ASMA BERKURANGAN 

Bercerita lanjut, wanita ini berkata sejak menjaga haiwan berkenaan, dia dapati banyak aspek dalam kehidupannya yang berubah menjadi semakin baik termasuk masalah asma yang dihidapinya.

“Saya menghidap asma yang agak teruk sejak remaja. Kerap berulang-alik ke hospital dan bergantung pada alat sedut (inhaler) serta ubat-ubatan apabila diserang asma.

Di sebuah kawasan diwakafkan oleh pihak prihatin kepada mereka, tegak sebuah rumah kucing yang menempatkan lebih 150 ekor "si bulus” dewasa.

“Akan tetapi, sejak beberapa tahun lepas, saya sedar saya semakin kurang diserang asma sekalipun terdedah kepada habuk dan bulu kucing, mungkin (tubuh) sudah mangli kerana sentiasa terdedah kepada persekitaran sedemikian. 

“Apapun saya percaya yang kucing-kucing ini mendoakan sesiapa sahaja yang berbuat baik kepada mereka,” katanya.

Ujar Ramlah lagi, dia juga yakin perubahan dalam kehidupan dia dan suami, termasuk terpelihara daripada bahaya, sebagai asbab memelihara dan menjaga kebajikan haiwan itu,  

“Segalanya dengan izin Allah. Namun, jika semua kebaikan yang datang kepada kami itu asbab memelihara kucing-kucing ini, saya bersyukur dan reda,” katanya dalam nada sebak.

 

PERLU SUMBANGAN AWAM

Kenaikan harga barang sekarang turut melibatkan keperluan kucing terutamanya makanan, dan kata Ramlah, dia dan suaminya kini berdepan kekangan kewangan, terutama dalam memastikan kesemua "si bulus” mendapat gizi yang cukup dan persekitaran terjaga.

“Makanan kucing kita beri dry food, sekali-sekala saya berikan juga ayam rebus jika ada lebihan sumbangan. Keadaan bertambah mencabar apabila ada kucing sakit atau ditemukan dalam keadaan cedera. Jika mahu cepat dirawat, saya akan bawa ke klinik haiwan swasta dan ini menelan belanja yang tinggi. Saya juga perlukan peruntukan menyelenggara rumah kucing.

Salim Dahri dan Ramlah Darus kekal sibuk seawal 7 pagi di bahagian belakang rumah, menguruskan puluhan ekor anak kucing terbiar atau terbuang yang diselamatkan mereka.

“Kos rawatan anak kucing, terutama yang ditemukan tanpa ibu, juga tinggi. Bagi memohon sumbangan, saya selalunya buat ‘live’ di media sosial. Masih ada yang sudi menyumbang, tapi jumlah yang diperoleh masih tidak mencukupi. Namun saya percaya rezeki (untuk kucing) tetap ada,” katanya.

Bagi menambah pendapatan, Ramlah turut menawarkan perkhidmatan "penginapan” kucing peliharaan bagi mereka yang berhasrat menunaikan umrah, haji atau bercuti dan lain-lain. 

Dalam pada itu, dia juga mengalu-alukan orang ramai yang berminat mengambil  kucing-kucing jagaannya untuk dijadikan haiwan kesayangan.

“Jika ada yang mahu ambil atas alasan nak buat ‘main-main’, saya tak bagi (serahkan kucing), sebab bela kucing bukan untuk main-main sahaja, tetapi perlu jaga dengan baik termasuk soal kesihatan dan masa untuk dibelai dan dimanja. Begitu juga kalau ada orang nak yang cantik sahaja,” katanya.

Jika ada yang hendak menderma, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank bernombor 558284377416 atau 7887889272571091 di bawah nama Persatuan Prihatin Kucing Jalanan Ipoh Perak atau hubungi Ramlah di talian 011-39764493.

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.