T
anpa sebarang rasa bersalah, air paip dibiarkan mengalir laju menjadi sisa yang terbuang begitu sahaja ke dalam longkang, mungkin kerana kadar tarif masih rendah sekalipun berlaku kenaikan baru-baru ini.
Senario ini bukan imaginasi, sebaliknya realiti yang kerap berlaku di kebanyakan premis dan kediaman di negara ini, mengundang pertanyaan sampai bila rakyat mahu terus mengambil ringan aspek penggunaan air secara berhemat.
Lebih membimbangkan, kajian bersama Institut Pendidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) serta Unit Pemodenan dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) mengunjurkan kemungkinan negara berdepan kemarau panjang bermula tahun ini hingga 2035.
Tambah menggetirkan, kajian sama turut mengunjurkan sepanjang tempoh tersebut berlaku kenaikan suhu sebanyak 0.6 hingga 0.9 darjah Celsius di negara ini, menjadikannya musim kemarau ekstrem.
Natijahnya jelas, iaitu sumber air mentah akan merosot dan seterusnya menjejaskan bekalan air untuk kegunaan rakyat termasuk sektor ekonomi seperti yang berlaku pada 1997-1998 dan 2015-2016.
Berpeluang mengikuti Ekspedisi Sumber Air 2024 menyusuri lembangan Sungai Bernam dan Sungai Selangor anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia selama dua hari satu malam pada penghujung Oktober lalu membuka mata penulis tentang kepentingan penggunaan air secara berhemat.
KUNCI BEKALAN AIR
Destinasi pertama yang kami - kira-kira 70 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, penyelidik dan pengamal media termasuk pempengaruh - kunjungi ialah Empangan Sungai Selangor di Kuala Kubu Bharu, satu daripada tujuh empangan yang ada di Selangor.
Empangan Sungai Selangor di Kuala Kubu Bharu, merupakan empangan terbesar di negeri itu dengan kapasiti 230 juta meter padu dan menampung keperluan lebih 60 peratus isi rumah di Lembah Klang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya serta sebahagian besar Selangor.
Daripada taklimat yang disampaikan oleh pegawai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, empangan tersebut adalah yang terbesar di negeri itu dengan kapasiti 230 juta meter padu dan menampung keperluan lebih 60 peratus isi rumah di Lembah Klang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya serta sebahagian besar Selangor.
Di sebalik keampuhan dari segi takungan air, empangan ini juga tidak terkecuali daripada ancaman musim kemarau seperti yang berlaku pada 2014 apabila merekodkan paras takungan air terendah 31.12 peratus pada April 2014, menghampiri paras kritikal 30 peratus.
(Musim kemarau di negara ini biasanya berlaku ketika Monsun Barat Daya yang menyaksikan kadar hujan minimum, bermula Mei hingga September.)
Pada ketika itu, pihak berwajib melaksanakan catuan air selama sebulan setengah. Takungan air di empangan tersebut hanya meningkat ke paras 40 peratus kira-kira lima bulan kemudian, susulan perubahan cuaca yang turut membawa hujan.
MITOS AMPANG PECAH
Peserta kemudian dibawa ke Alor Lempah, Ampang Pecah di daerah itu yang merupakan tinggalan sebuah empangan lama.
Popular dalam kalangan penduduk setempat sebagai “Air Terjun Niagara Mini”, kawasan ini menjadi tumpuan masyarakat pada setiap hujung minggu yang datang untuk berkelah dan berekreasi, sementara pemandangan indah kawasan sungai yang luas dan landai dengan air sejernih kaca menarik perhatian peminat fotografi.
Kami difahamkan ada mitos di sebalik nama Ampang Pecah, melibatkan seekor buaya putih yang dikatakan mengamuk selepas penjaganya dibunuh, menyebabkan empangan itu pecah dan menenggelamkan seluruh pekan Kuala Kubu serta kawasan sekitar.
Menurut sejarah, tragedi yang berlaku pada 1883 itu mengorbankan 33 nyawa, dan dari situ juga lahir pekan Kuala Kubu Bharu yang ada sekarang.
Alor Lempah, Ampang Pecah.
Berkongsi sejarah itu, pegawai daripada JPS Larifah Mohd Sidek berkata empangan tersebut dibina oleh penduduk pada 1780 bagi menyokong satu-satunya kegiatan perlombongan bijih timah selain berfungsi sebagai takungan sumber air dan kegiatan penternakan ikan.
Namun, selepas penjajahan Inggeris di Selangor, potensi ekonomi di Kuala Kubu menarik perhatian mereka, dan Cecil Ranking yang dilantik sebagai pemungut hasil dan majistret daerah Hulu Selangor ketika itu mencadangkan penubuhan sebuah bandar baharu dinamakan Pekan Kuala Kubu.
Bagaimanapun Ranking tidak sempat menyempurnakan visinya apabila empangan berusia lebih 100 tahun berkenaan pecah dan menyebabkan bah yang turut meragut nyawanya.
PROSES RAWAT AIR
Bagi memantapkan lagi kefahaman peserta tentang bekalan air bersih, kami dibawa ke Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa II di Bestari Jaya (dahulu dikenali sebagai Batang Berjuntai) yang membekalkan air terawat kepada 20 peratus akaun di Lembah Klang.
Di sini, kami dijelaskan tentang proses menghasilkan air terawat, bermula dengan proses prarawatan yang bertujuan menghilangkan bau dan rasa tidak menyenangkan, sebelum melalui langkah-langkah seterusnya.
Di peringkat seterusnya, air mentah itu melalui proses pengentalan dan pengendapan, iaitu partikel-partikel kecil di dalam air bergabung membentuk gumpalan lebih besar yang kemudian mengendap di dasar tangki membentuk lumpur.
Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa II di Bestari Jaya (dahulu dikenali sebagai Batang Berjuntai).
Kemudian air melalui tapisan daripada pasir bagi menghilangkan kotoran dan pepejal yang masih bersisa, dan seterusnya menghasilkan air jernih serta bersih. Air bersih ini dirawat dengan bahan kimia dan disinfektan bagi membunuh parasit, bakteria dan virus yang mungkin ada. Di peringkat ini juga air itu ditambah fluorida.
Keseluruhan proses menunjukkan kerumitan pihak bertanggungjawab dalam membekalkan air bersih terawat kepada pengguna yang boleh dikatakan masih acuh tidak acuh tentang aspek pembaziran air.
KUALITI AIR
Umumnya, air yang disalurkan kepada pengguna di negara ini adalah selamat dengan lebih 90 peratus daripada bekalan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kecuali di sesetengah kawasan luar bandar dan daerah yang masih berdepan dengan isu pencemaran dan kualiti air tidak konsisten.
Sekalipun air paip yang disalurkan kepada pengguna secara prinsipnya selamat untuk terus diminum, risiko pencemaran tetap wujud, terutama ketika melalui sistem paip kediaman, kata penyelidik dan pensyarah Dr Mohd Sofiyan Sulaiman daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang turut menyertai ekspedisi itu.
“Lazimnya apabila selepas air diproses di loji rawatan selamat untuk diminum, tetapi apabila disalurkan ke kawasan perumahan kadangkala terdapat paip yang sudah lama dan perlu diganti.
“Bagi memastikan air selamat (untuk terus) diminum, perlu tindakan menyeluruh membabitkan penggantian paip lama secara besar-besaran yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan besar,” katanya kepada Bernama.
ANCAMAN PENCEMARAN
Selain ancaman cuaca, sistem bekalan air negara ini juga kerap terdedah kepada ancaman pencemaran yang memaksa pihak berkuasa air menutup loji rawatan, secara langsung menjejaskan pengguna.
Dr Mohd Sofiyan Sulaiman, penyelidik dan pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Sekalipun ada undang-undang yang mengenakan hukuman berat, isu ini masih berlaku dari semasa ke semasa, membabitkan terutamanya kilang-kilang yang melepaskan bahan tercemar ke dalam saliran dan seterusnya memasuki sistem sungai.
Dalam soal penguatkuasaan undang-undang, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), iaitu sebuah agensi di bawah kerajaan negeri, akan memainkan peranannya menerusi Enakmen LUAS 1999.
Menurut pegawai kawalan alam sekitar LUAS Bidasari Bahashim, penguatkuasaan bagi pencemaran air tertakluk di bawah Seksyen 79 enakmen itu.
“LUAS mempunyai pasukan terlatih yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu di lembangan sungai utama seperti di Sungai Langat, bagi melakukan pemantauan bau dan pemeriksaan pencemaran.
“Laporan daripada penduduk, agensi atau Air Selangor membantu LUAS mengenal pasti isu-isu yang berpotensi dan mereka biasanya memberikan maklum balas dalam tempoh empat jam,” katanya.
Menurutnya, pada Ogos 2024, LUAS telah memperkenalkan peraturan air kembalian, berhubung pelepasan air sisa dan bahan pencemar yang dikenali sebagai Dasar Pelepasan Sifar, bertujuan mengawal pelepasan air sisa dari kilang ke sungai dengan menggalakkan semua jenis kilang mengitar semula air yang mereka gunakan.
“Apabila kilang merawat air sisa mereka dan melepaskannya ke sungai, jumlah pelepasan air dan bahan pencemar yang dikeluarkan akan menentukan jumlah yang perlu dibayar oleh mereka. Semakin banyak air yang dilepaskan, semakin tinggi bayaran dikenakan.
“Dengan pengenalan caj ini, banyak kilang mula mengoptimumkan penggunaan air mereka dan mengitar semula air dengan lebih efisien, sekali gus mengurangkan jumlah pelepasan ke sungai,” katanya.
Menurutnya, pencemaran bau antara pencemaran yang sering berlaku, namun isu ini dapat ditangani dengan segera melalui kerjasama dan peranan setiap pihak berkaitan.
PERANAN SUMBER AIR DALAM KELANGSUNGAN HIDUP KELIP-KELIP
Destinasi kami yang seterusnya ialah Santuari Kelip-Kelip, Kampung Kuantan di Kuala Selangor bagi melihat keindahan serangga kelip-kelip yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
Sanktuari ini telah menerima anugerah antarabangsa Placemaker Awards ASEAN 2021 atas usaha pemuliharaan ekosistemnya yang luar biasa. Keindahan fenomena “cahaya” ini hanya dapat disaksikan di dua lokasi, iaitu di Kampung Bukit Belimbing dan Kampung Kuantan.
Setiba di jeti, kami menaiki sampan menyusuri Sungai Selangor, menikmati suasana malam yang tenang dan damai, bertemankan deru air dan bunyi unggas malam.
Langit tanpa awan menyerlahkan taburan bintang, menambahkan lagi keindahan suasana malam.
Kembara di Kampung Kuantan ini bukan sekadar melihat keunikan kelip-kelip tetapi juga menyelami keseimbangan ekosistem dan habitat serangga itu yang berkait rapat dengan pemuliharaan sumber air, kerana kelangsungan hidup kelip-kelip yang menghuni rimbunan pokok bakau berembang di situ bergantung pada air.
Paras air Sungai Selangor itu antara pemangkin dalam mengekalkan keseimbangan hidupan koloni kelip-kelip tersebut. Apabila paras air tinggi, tahap kelembapan dan sumber makanan meningkat menjadikan kelip-kelip lebih aktif untuk membiak.
Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Pendayung Kelip-Kelip Kampung Kuantan Shahril Adlan Ahmad berkata cahaya kelip-kelip di kawasan itu semakin “malap”, menandakan jumlahnya semakin berkurangan.
Keadaan ini selari dengan dapatan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia yang melaporkan populasi kelip-kelip di kawasan itu hanya tinggal sekitar 60 peratus berbanding sebelum ini.
Shahril yang berpengalaman sebagai pendayung sampan selama 26 tahun, berkata kelip-kelip ini adalah kumpulan serangga yang sensitif dan cukup mudah terjejas apabila berdepan ancaman.
“Kelip-kelip masih ada, cuma jumlahnya jauh berbeza berbanding 20 tahun lalu. Keadaan ini memang ketara.
"Pembakaran terbuka dan pembukaan hutan telah menyebabkan kawasan habitat pembiakan kelip-kelip terganggu,” katanya, menambah penggunaan bot berenjin pada waktu malam adalah dilarang bagi mengelakkan gangguan bau dan asap.
BEBOLA LUMPUR RAWAT AIR TERCEMAR
Pada hari terakhir ekspedisi, kami dibawa ke Galeri Pengairan JPS di Kuala Selangor bagi mendalami lebih lanjut aspek pengurusan sumber air, khususnya untuk pengairan padi di Tanjung Karang yang merupakan sebahagian daripada kawasan jelapang padi Selangor.
Bebola lumpur atau “mudball” yang mengandungi mikroorganisma berfaedah (BIM), berfungsi merawat pencemaran air secara semula jadi.
Di sini, kami turut ditunjukkan cara menapis air menggunakan bahan semula jadi seperti arang, pasir dan batu yang dikendalikan oleh Mohd Sofiyan daripada UMT.
Proses ini memberikan peserta dan penulis gambaran dan pemahaman asas tentang kaedah penapisan air yang mudah, pantas dan berkesan sebagai jalan penyelesaian untuk menghasilkan air yang bersih.
Selain itu, kami juga diajar membuat bebola lumpur atau “mudball” yang mengandungi mikroorganisma berfaedah (BIM), berfungsi merawat pencemaran air secara semula jadi yang didemonstrasikan oleh pensyarah daripada Universiti Sains Malaysia Prof Nabsiah Abdul Wahid.
"Bebola lumpur ini boleh digunakan di kolam, tasik, sungai dan longkang. Semakin banyak mudball yang dihasilkan, semakin tinggi keberkesanannya dalam meningkatkan kualiti air. Ia juga boleh digunakan untuk tujuan pertanian, perikanan, dan penternakan," katanya.
Beliau turut menjelaskan penggunaan bebola lumpur adalah antara kaedah yang jimat dan berkesan kerana bukan sahaja membantu meningkatkan populasi BIM tetapi juga menyebarkannya di dalam air bagi merawat pencemaran dengan lebih efektif.
Usai sesi melempar bebola lumpur di kolam galeri JPS Selangor, kami dibawa menyusuri keindahan Sungai Selangor, melintasi kawasan sawah padi yang sedang menghijau dan melihat kehidupan masyarakat setempat yang bergantung pada hasil pertanian dan kegiatan menangkap hasil sungai serta laut.
IKTIBAR
Di akhir program, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) JPS Datuk Ir Rozaman Mohamad menekankan kepentingan pemeliharaan sumber air dengan memetik lirik lagu bertajuk Bengawan Solo atau Sungai Solo yang ditulis dan dinyanyikan oleh Gesang Martohartono dari Indonesia, pada 1940.
“Musim Kemarau, Tak Seberapa Airmu
Di musim hujan air meluap sampai jauh.
Mata airmu, terkurung gunung seribu
Air Meluap sampai jauh
Dan akhirnya ke laut..”
Jika disoroti dengan lebih mendalam, lirik lagu ini merumuskan senario sebatang sungai dan kegunaannya bagi manusia yang akan turut menerima kesan apabila sungai terancam, baik oleh kemarau ataupun musim hujan.
Justeru, seharusnya kita mengambil iktibar dan meningkatkan usaha dalam menjaga lembangan sungai kita termasuk memastikan penggunaan air yang berhemat.