Sumber Rezeki Musnah Dek Banjir, Pencinta Haiwan Daddy Bella Bingkas Semula

H
ujan rintik mula membasahi bumi semasa pencipta kandungan dan aktivis haiwan Francis Ngu Hown Hua, atau Daddy Bella bagi pengikut media sosialnya, selesai dengan rutin harian memberi makan kepada anjing jalanan di sekitar bandar Bintulu pada petang menjelang Tahun Baharu Cina.

Namun, ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Bandar Jaya tidak jauh dari sini, bunyi siren amaran banjir memecahkan keheningan lewat petang. Deruan angin kuat serta hujan lebat yang luar biasa membadai Bintulu. 

Selama lebih 10 tahun, Daddy Bella telah melakukan kerja amal termasuk memberi makan 70 hingga 80 ekor anjing liar di sekitar pekan Bintulu. Kredit gambar Francis Ngu Hown Hua.

Memandangkan air bah naik dengan pantas di kawasan Tanjung Batu menghala rumahnya, Ngu terpaksa mencari jalan alternatif untuk pulang. Dia tiba di rumah tepat pada masa untuk makan besar bersama-sama dengan isteri dan enam ekor anjing mereka yang kesemuanya diselamatkan dari jalanan.  

Malam itu dia memuat naik video ke laman Facebooknya, berkongsi bahan visual banjir besar di Kampung Gita, Kuching dan menggesa pengikutnya agar mendoakan keselamatan mereka yang terjejas. Tidak terlintas di fikirannya Bintulu juga bakal menerima nasib sama tatkala hujan lebat terus mencurah sepanjang malam. 

 

KEJUTAN AWAL PAGI

Ketika dia bangun pada keesokan pagi 29 Jan, air banjir sudah memenuhi persekitaran taman perumahannya. Kaget, dia bergegas keluar ketika jam menunjukkan 6.30 pagi, untuk melihat keadaan kedai runcitnya yang terletak di aras bawah kompleks pangsapuri Pine Court, tidak jauh dari rumahnya. Ketika tiba di sana, air bah sudah separas dadanya. 

Perasaan takut menyelubungi Ngu ketika dia mengharungi banjir untuk ke kedainya yang terletak hampir 40 meter dari jalan utama. Dia bukan bimbangkan inventorinya tetapi nasib haiwan jalanan yang ditempatkan di dalam kedai - tiga ekor anjing dan dua ekor kucing. Malah, dia telah menamakan haiwan-haiwan tersebut sepertimana yang dilakukannya pada setiap ekor haiwan terbiar yang dia selamatkan.

Mereka yang ingin membantu Ngu boleh berjumpa dengannya secara peribadi atau menghubunginya melalui halaman Facebooknya, atau menghubungi Yip melalui aplikasi Messenger.

Ketika dia terkial-kial untuk membuka pintu kedai, anjingnya yang bernama Panjang tiba-tiba melompat keluar. Momoi pula berada di atas peti sejuk yang terapung, sementara dua ekor kucing, Noty dan Simba, selamat di dalam kurungan.

Namun, kelibat Tam Tam, anjingnya yang berwarna hitam tidak kelihatan. Ngu panik dan mula memanggil-mangggil nama anjingnya itu. Keadaan di dalam kedai gelap-gelita, namun ketika dia teraba-raba mencari, jarinya tersentuh tali cawak. Dia menuruti tali itu dan menemukan Tam Tam dalam keadaan selamat dan menggigil di atas susunan kampit beras. Jika dia terlambat hanya setengah jam, pastinya semua haiwan terbabit menjadi korban banjir kerana air naik begitu pantas.

Selepas memastikan anjing dan kucingnya selamat, perhatian Ngu beralih kepada anjing jalanan di sekitar Pine Court. Menerusi  bantuan anggota bomba yang datang untuk memantau keadaan banjir di kawasan itu, Ngu cuba menjejaki kesemua anjing berkenaan, namun hampa. 

Tidak lama kemudian, anggota bomba terbabit terpaksa ke tempat lain kerana bot mereka diperlukan bagi memindahkan penduduk. Mujurlah ada beberapa anggota Tubau Club - sebuah kelab rekreasi - menaiki bot panjang yang membantu usaha pengungsian mangsa banjir, sudi membantu Ngu mencari anjing-anjingnya.

Mereka berjaya menyelamatkan Unicorn, Luna, Nekma, Baby Sipan, Lala dan Rocky yang ditemukan di beberapa lokasi di kawasan itu. Kesemua anjing berkenaan dalam keadaan keletihan - petunjuk bahawa mereka berjuang habis-habisan untuk menyelamatkan diri daripada dihanyutkan arus banjir.

 

KERUGIAN BESAR

Hanya selepas memastikan keselamatan kesemua haiwan jalanan itu barulah Ngu berehat dan mengamati kemusnahan akibat banjir tersebut. Kesemua barangan di dalam kedai runcitny, iaitu sumber pendapatannya, musnah.

“Saya hilang segala-galanya, namun tidak mengapa, asalkan kesemua ‘anak bulus’ ini selamat,” katanya dalam satu daripada video yang dimuat naik ke laman Facebooknya dari 28 Jan hingga 4 Feb, mendokumentasikan usahanya menyelamatkan haiwan jalanan semasa banjir melanda Bintulu.

Ngu yang mempunyai 215,000 pengikut di laman Facebook “Francis ngu hown hua” reda dengan kerugian yang ditanggung, namun dia tidak dapat menafikan rasa bimbang yang menyelubunginya - bagaimana dia mahu membina semula perniagaannya. 

Kerja amal yang dilakukannnya sejak lebih sedekad, termasuk memberi makan kepada 70 ke 80 ekor anjing jalanan di sekitar bandar Bintulu, dibiayai menggunakan keuntungan daripada kedai itu. Kebanyakan anjing yang dia beri makan “tinggal” di tanah perkuburan Cina di sini. Usahanya memberi makan kepada anjing-anjing berkenaan secara langsung memastikan haiwan terbabit tidak merayau jauh, dan hanya dengan cara itu juga dia dapat menjaga keselamatan anjing-anjing berkenaan daripada dilanggar kenderaan, selain memastikan orang ramai tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan tentang kehadiran anjing jalanan di kawasan mereka.

Sementara itu, netizen yang menonton siri video itu dan kagum dengan sifat pemurah Ngu, tampil membantu lelaki berkenaan memulakan kembali perniagaannya. Pengikut setianya yang merentasi kaum dan agama, sepakat memberi sumbangan kewangan, sementara kawan rapat, malah anak yatim daripada Kompleks Kebajikan Anak-anak Yatim Bintulu, membantunya membersihkan kedai yang diliputi selut tebal. 

Kejadian banjir di Bintulu, Sarawak baru-baru ini memusnahkan banyak infrastruktur awam.

“Bagi menghargai kebaikannya, sama ada kepada manusia atau haiwan jalanan, inilah masanya Francis perlukan bantuan kita walaupun dia tidak pernah meminta,” kata Jennifer Yip, seorang daripada pengikut laman Facebooknya.

“Susulan beberapa permintaan daripada penyokong usahanya, saya bagi pihak mereka memulakan kempen mengumpul dana khalayak untuk membantu Francis membina semula perniagaan agar dia dapat teruskan usaha menolong haiwan terbiar.”  

Bagi yang berhasrat membantu Ngu, mereka boleh berjumpa terus dengannya atau menghubunginya di laman Facebook atau menerusi Yip melalui aplikasi Messenger.

Wira yang tidak didendang ini yang juga pengasas Bintulu News Page di Facebook, iaitu laman berita serta perkara yang berlaku selain mempromosikan perniagaan di Bintulu, kelihatan lebih optimis dalam perkongsian video terbaharunya, susulan sokongan komuniti setempat itu. 

“Sedang tunggu kerja pembaikan dan ubah suai kedai siap. Kelak ada banyak bilik untuk anak-anak bulus,” kongsinya dalam video terbaharu, membayangkan yang dia akan mengoperasikan hotel haiwan peliharaan.

Perkhabaran itu disambut baik oleh pengikutnya.

“Daddy Bella berhati mulia… hanya Tuhan sahaja yang dapat membalasnya… dia menjaga kebajikan haiwan jalanan dan membantu mereka yang memerlukan… tidak semua orang dapat berbuat demikian,” kata Pelangi Petang, seorang daripada pengikutnya.

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.