Miliki Ubat Bahan Hidupan Liar Terlindung Boleh Dikenakan Tindakan Tegas

A
rtikel terakhir daripada laporan tiga bahagian tentang penggunaan sisik tenggiling dalam perubatan tradisional Cina ini mengupas aspek penguatkuasaan dan hukuman yang boleh dikenakan kepada mereka yang disabitkan dengan kesalahan di bawah undang-undang berkaitan. 

 

Kira-kira tujuh tahun lepas, Terry (bukan nama sebenar) berkunjung ke Vietnam, dan semasa di sana dia mengalami alahan akibat gigitan serangga, mendorongnya mendapatkan rawatan dan ubat daripada tabib perubatan tradisional Cina tempatan.

Dia diberikan ubat kapsul yang mengandungi bahan sisik tenggiling bagi merawat masalah gatal kulit yang dialaminya itu. Ketika mahu pulang ke tanah air pada keesokan harinya, ubat yang masih berbaki tersebut dimasukkan ke dalam beg galasnya. 

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dia melalui pemeriksaan kastam seperti biasa, namun ketika membuat imbasan beg galas yang dibawa, dia ditahan oleh pegawai kastam selepas mereka menemukan kotak ubat tertera gambar tenggiling.

"Saya beritahu mereka ubat itu untuk menahan alergik saya dan mereka memaklumkan bahawa ubat itu tidak boleh dibawa masuk ke negara ini tanpa permit kerana tenggiling adalah spesies hidupan liar terlindung sepenuhnya. 

"Ketika itu saya tidak mengetahuinya, kerana di Vietnam ia dijual secara terbuka dan tidak ada orang beritahu saya bahawa ubat mengandungi bahan daripada tenggiling tidak boleh dibawa masuk ke Malaysia selain perlukan permit,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Terry, selepas mendengar penjelasannya, pegawai kastam terbabit merampas ubat tersebut namun melepaskannya tanpa sebarang tindakan lanjut.

 

HAIWAN TERLINDUNG IUCN, CITES 

Pada 2016, kesemua spesies tenggiling diletakkan di bawah Apendiks I dalam Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Fauna dan Flora (CITES), bermakna sebarang perdagangan komersial antarabangsa haiwan itu adalah dilarang.

Tenggiling Sunda, iaitu satu-satunya spesies asal Malaysia, disenaraikan sebagai Terancam secara Kritikal dalam Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Meskipun tersenarai sebagai spesies terancam dan dilindungi menerusi larangan perdagangan antarabangsa, tenggiling yang merupakan mamalia pemakan semut dan anai-anai, amat dikehendaki di China dan Asia Tenggara. 

Sisik haiwan ini yang dipercayai mempunyai nilai perubatan dalam perubatan tradisional Cina atau TCM, lazimnya digunakan bagi meningkatkan peredaran darah, menggalakkan penghasilan susu badan dan meredakan artritis.  

Sisik Tenggiling

Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), semua spesies tenggiling adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. 

Pengarah Penguatkuasaan Perhilitan Noor Alif Wira Osman berkata sisik tenggiling turut disenaraikan di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686] yang tertakluk kepada keperluan permit import atau eksport. 

Katanya, di bawah Seksyen 68(2)(c) Akta 716, mereka yang mengambil atau menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, atau mana-mana bahagian atau terbitan hidupan liar tanpa permit khas, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM150,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan hidupan liar itu dan pemenjaraan tidak melebihi 15 tahun selaras dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646].

“Jika sesuatu bahan atau barangan itu mempunyai bahagian atau terbitan hidupan liar atau produk yang telah diproses yang mengandungi bahagian atau terbitan hidupan liar tertentu yang dibawa dari luar negara, sebagai contoh produk ubat berasaskan sisik tenggiling, ia hendaklah mempunyai kelulusan permit khas daripada ketua pengarah Perhilitan dan memperoleh kelulusan daripada menteri sebelum boleh dibawa masuk ke negara ini.

"Meskipun di negara lain ada dijual secara terbuka pelbagai produk berasaskan hidupan liar, tidak bermakna ia boleh dibawa masuk ke negara ini dengan sewenang-wenangnya, kerana undang-undang di sini berlainan dengan negara-negara lain dan penguatkuasaan tetap dilaksanakan jika mereka menyimpan atau memilikinya di negara ini tanpa kebenaran yang sah daripada Perhilitan," katanya kepada Bernama.

Pengarah Penguatkuasaan Perhilitan, Noor Alif Wira Osman

 

PENGAMAL DIGANTUNG LESEN, TINDAKAN TATATERTIB 

Bagi pengamal perubatan tradisional Cina pula, tindakan tatatertib akan diambil dengan membatalkan lesen pengamal perubatan tradisional sekiranya didapati menyimpan ataupun menjual ubat mengandungi sisik tenggiling kepada pelanggan ataupun pesakit di premis mereka. 

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Tajul Iqmal Tajul Arus berkata pengamal perubatan tradisional itu boleh digantung lesennya di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplemetari (Akta 775) jika aduan disalurkan kepada pihak beliau.

"Jika pengamal TCM didapati menyimpan ataupun memproses ubat-ubatan yang mempunyai hidupan liar terlindung, selalunya mereka tertakluk kepada akta-akta di bawah Perhilitan dan NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara). 

"Jika mereka disabitkan kesalahan dan ada pula aduan yang diterima menerusi saluran Sistem Pengurusan Aduan Awam KKM, barulah kami akan mengambil tindakan tatatertib menggantung lesen pengamalan mereka," katanya. 

Ubat tradisional Cina berasaskan sisik tenggiling (Gambar Ihsan Wildaid)

 

TENGGILING MAKIN PUPUS 

Pakar yang memantau penyeludupan hidupan liar percaya pemburuan haram dipacu oleh industri TCM yang bernilai berbilion dolar dengan pengeluaran secara besar-besaran ubat-ubatan berasaskan sisik tenggiling bagi merawat pelbagai jenis penyakit biasa.

Disebabkan kedudukan yang dekat dengan pasaran hidupan liar di Vietnam dan China selain mempunyai populasi tenggiling, Malaysia menjadi negara sumber dan juga laluan penyeludupan haiwan itu.  

Menurut jaringan pemantauan perdagangan hidupan liar antarabangsa TRAFFIC, sebanyak 82 peratus daripada keseluruhan sitaan dibuat oleh India, Vietnam, tanah besar China, Indonesia dan Malaysia bagi tempoh 2015 hingga 2021. 

Pengurus Komunikasinya Elizabeth John berkata rampasan di tanah besar China sahaja mencecah 93,500 kilogram selain  5,600 ekor tenggiling yang tidak ditimbang beratnya, menjadikannya volum rampasan terbesar dicatatkan di Asia, diikuti Vietnam dengan 70,300 kg berserta 4,000 ekor tenggiling.

“Daripada 333,515 kg yang dirampas,  78 peratus adalah sisik,” katanya.

Menurut rekod Perhilitan, kekerapan aktiviti penyeludupan tenggiling hidup di Semenanjung Malaysia berlaku antara 2016 hingga 2018  dengan anggaran  50 hingga 130 ekor setahun dirampas. Kebanyakan lokasi tangkapan adalah di utara sempadan Malaysia-Thailand.

Tenggiling hidup yang dirampas pihak berkuasa di sempadan Malaysia-Thai

Noor Alif berkata bermula 2019 hingga 2014, dapat dilihat trend penurunan menerusi jumlah rampasan kurang daripada 20 ekor yang mungkin berkait rapat dengan tindakan kerajaan China mengeluarkan sisik tenggiling daripada daftar ramuan dalam TCM pada 2020. 

"Kali terakhir kes penyeludupan sisik tenggiling yang dilaporkan di Semenanjung Malaysia ialah pada Julai 2022 melibatkan 112.2 kg sisik tenggiling dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang, bersama-sama dengan lebih 6,000 kg terbitan hidupan liar lain termasuk gading gajah, sumbu badak, tanduk dan tulang hidupan liar yang dianggarkan bernilai RM80 juta,” katanya.

Media melaporkan JKDM berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan pelbagai bahagian hidupan liar termasuk 100 kg sisik tenggiling, yang disorok di belakang timbunan kayu bergergaji dalam sebuah kontena pada 10 Julai 2022 di Pelabuhan Klang. 

 

PEMBURUAN HARAM TENGGILING MASIH BERLAKU 

 

Penurunan trend penyeludupan tenggiling jelas kelihatan pada statistik pihak penguatkuasaan tempatan dan antarabangsa, terutamanya selepas musim pandemik COVID-19, susulan keputusan China mengeluarkan sisik tenggiling daripada daftar ramuan TCM di negara itu.

Namun, pakar tenggiling yang ditemui Bernama berpendapat ini tidak bermakna aktiviti penyeludupan berhenti begitu sahaja.

Kata mereka,  aktiviti itu masih lagi berlaku di sekitar Asia Tenggara termasuk Malaysia yang mempunyai satu-satunya spesies tenggiling yang mencatat jumlah penyeludupan tertinggi iaitu tenggiling Sunda. 

Pengasas Pangolin Aware Elisa Panjang berkata sisik tenggiling mengandungi keratin, iaitu sejenis protein yang ditemukan pada kuku dan rambut manusia, dan tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan keberkesanan ubat tersebut.

“Memandangkan tenggiling ini sangat sukar ditemukan, kami berdepan kesukaran untuk menganggarkan jumlah sebenar yang masih ada di habitat semula jadi mereka.

“Ketika kami bekerja di akar umbi di Malaysia, saya dapat saksikan impak buruk pemburuan haram sementara penyeludupan tenggiling pula berleluasa di Asia Tenggara, dipacu oleh permintaan berterusan.

“Kebanyakan pemburu haram tidak peduli sama ada pemburuan tenggiling itu dibenarkan atau dilarang oleh undang-undang. Yang mereka peduli ialah jumlah wang yang bakal diraih,” katanya kepada Bernama.

Pakar Tenggiling yang juga pengasas 'Pangolin Aware' di Sabah, Elisa Panjang (Gambar Ihsan Elisa Panjang)

Beliau berkata perdagangan secara haram sisik tenggiling masih berleluasa sekalipun China - pengguna terbesar sisik tenggiling -  telah mengurangkan kuota tahunan penggunaan sisik tenggiling dalam ubat-ubatan kepada satu tan setahun, bersamaan 2,000 ekor tenggiling, pada tahun lepas.

“Walaupun mereka mengurangkan (kuota), permintaan terhadap sisik tenggiling tetap ada dan terus mendorong kegiatan pemburuan haram. Saya percaya, jika China serius tentang pemuliharaan, ia harus menghapuskan sepenuhnya penggunaan sisik tenggilingg dalam TCM serta mempromosikan bahan pengganti yang lestari,” katanya. 

China katanya ada peluang untuk memimpin ke arah penggunaan ubat lestari sambil pada masa sama melindungi spesies yang hampir pupus.

 

KES-KES MAHKAMAH MELIBATKAN TENGGILING

 

Di negara ini, isu pemburuan haram hidupan liar termasuk tenggiling masih berlaku jika dilihat pada kes-kes yang dibawa ke mahkamah, baik di Semenanjung Malaysia ataupun Sabah dan Sarawak.

Di Semenanjung Malaysia, terbaharu pada 31 Mei 2024, seorang pegawai kanan JKDM dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan tidak menyerahkan rampasan sisik tenggiling kepada Jabatan Perhilitan pada 2019. 

Dia didakwa telah mengarahkan pembantu penguat kuasa kanan JKDM melupuskan sisik tenggiling dari Stor Penguatkuasaan Pengkalan Marin Pelabuhan Klang Urara pada September 2019 hingga Disember 2019, dan dituduh mengikut Seksyen 403 kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara minimum enam bulan hingga maksimum lima tahun. 

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar pada Julai 2022 di Pelabuhan Klang, yang dianggarkan bernilai RM80 juta

Terbaharu pada 13 Jan lepas, dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM200,000 selepas mengaku bersalah memiliki tenggiling sebagai haiwan yang dilindungi, di Mahkamah Sesyen di Tawau, Sabah.

Menurut pertuduhan, kedua-dua mereka  didakwa melakukan kesalahan memiliki empat ekor disyaki spesies tenggiling hidup daripada spesies tenggiling Sunda di kawasan tempat meletakkan kenderaan di hadapan sebuah premis di Batu 2, Jalan Bubul, Semporna, pada 11.40 pagi, 4 Jan lepas.

Haiwan itu adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya mengikut senarai dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, Jabatan Hidupan Liar Sabah. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 41(4)(a) Enakmen yang sama.

Jika disabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 dan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun.

 

PERANAN WILDLIFE CRIME BUREAU 

 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas) SAC Muhamad Azlin Sadari berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi lain dalam pengukuhan pengoperasian melibatkan hidupan liar, terutamanya di sempadan negara dan aktiviti pencerobohan hutan untuk aktiviti pemburuan. 

"Kami bertindak atas maklumat awam berkenaan pencerobohan hutan dan akan menjalankan operasi bersepadu dengan agensi berkaitan dalam memerangi aktiviti ini, bukan sahaja di Semenanjung Malaysia tetapi juga  Sabah dan Sarawak. 

"Antara objektif kami ialah penguatkuasaan melalui risikan, operasi dan siasatan khas melibatkan jenayah hidupan liar serta khazanah negara ke arah usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sumber biodiversiti negara. 

"Jika didapati sebarang kesalahan, tangkapan dan rampasan akan dijalankan dan diserahkan kepada agensi yang bertanggungjawab untuk siasatan dan dakwaan. Contohnya, jika terdapat pemburuan hidupan liar seperti harimau dan tenggiling yang tergolong dalam spesies terlindung, kita jalankan operasi menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK)," katanya kepada Bernama. 

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas), SAC Muhamad Azlin Sadari

Beliau berkata bagi tempoh 2020 hingga kini, pihaknya telah membatalkan 6,683 permit senjata api yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia, khususnya bagi tujuan memburu hidupan liar. 

"Selain itu, kami turut menyertai mesyuarat bilateral bersama negara-negara serantau bagi perkongsian maklumat berkenaan aktiviti pemburuan hidupan liar rentas sempadan bagi memerangi aktiviti pencerobohan masuk pemburu haram ke dalam hutan di Malaysia," katanya. 

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.