R
amadan antara bulan paling dinantikan oleh umat Islam yang memburu keberkatan serta ganjaran besar sepanjang bulan itu.
Namun, tidak semua insan berdepan langkah mudah untuk melaksanakan amalan Rukun Islam ketiga itu, terutama bagi mereka yang menghadapi kecelaruan kemurungan, kecelaruan kebimbangan dan lain-lain yang dikategorikan sebagai masalah kesihatan mental.
Tidak seperti insan lain, mereka ini perlu membina kekuatan diri untuk berpuasa sepanjang Ramadan disebabkan oleh masalah yang dialami mereka.
Puasa bererti menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, bermula terbit fajar hingga terbenam matahari dengan niat kerana Allah SWT dan wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam yang mukallaf (berakal dan akil baligh).
CABARAN
Mengupas permasalahan yang membelenggu pesakit mental semasa menjalani ibadah puasa, Konsultan Bebas Psikologi Organisasi dan pensyarah sambilan Kolej Perubatan Diraja Perak Dr Alizi Alias berkata antara cabaran dihadapi golongan berkenaan ialah sukar bangun sahur, kurang khusyuk ketika menunaikan solat tarawih serta kecenderungan berpuasa melebihi 24 jam, bergantung pada jenis penyakit mental dan tahap-tahapnya.

Dr Alizi Alias
"Sesetengah daripada mereka yang mengalami Major Depressive Disorder (MDD) atau penyakit kemurungan, berdepan kesukaran bangun sahur, mengambil wuduk dan berdiri untuk menunaikan solat, dan kemudian diselubungi rasa bersalah yang melampau pula.
"Bagi pesakit kecelaruan bipolar, mereka mungkin akan berbelanja atau bersedekah besar. Mereka mungkin tidak tidur beberapa hari kerana beribadah sepanjang malam ketika fasa mania, namun di akhirnya pesakit bipolar ini akan mengalami depresi teruk," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Alizi berkata untuk pesakit kecelaruan kebimbangan pula, mereka mungkin akan mengalami gangguan khusyuk ketika bersolat tarawih secara berjemaah atau diserang panik semasa berbuka atau iftar jama`i (berbuka beramai-ramai).
Tambah pakar itu penghidap kecelaruan kebimbangan mungkin sering mengalami risau berlebihan kalau tertelan air liur atau debu berterbangan atau tersalah bacaan dalam al-Quran semasa bertadarus, biarpun individu terbabit seorang yang fasih membaca al-Quran.
Selain itu, Alizi berkata Ramadan turut memberikan cabaran kepada mereka yang memiliki kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) dengan melakukan perbuatan tidak habis-habis berwuduk semasa di masjid, tidak habis-habis mengangkat takbir semasa solat tarawih dan sering berasa waswas tentang niat puasa sehingga melepasi waktu imsak.
"Bagi penghidap kecelaruan pemakanan, mereka mungkin tidak bersahur atau berbuka langsung, dan mereka akan berpuasa lebih daripada 24 jam, atau secara sedar memuntahkan semula makanan pada siang hari tetapi sebenarnya tidak dapat dikawal.
"Bagi yang mengalami sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif, mereka mungkin kadang-kadang hiper fokus dan kadang-kadang tidak fokus langsung dalam ibadah, cepat bosan dengan ibadah tertentu, sukar duduk diam ketika tadarus, mengalami gangguan tidur dan mengamalkan pemakanan tidak sihat," katanya.
Beliau berkata sehubungan itu, sesetengah penghidap penyakit mental tidak mampu memperbanyak amalan mereka seperti umat Islam lain, namun mereka masih boleh menikmati keindahan beribadah di bulan Ramadan selagi tidak membandingkan tahap amalan mereka dengan orang lain.
"Walaupun gejala penyakit mental (yang ada pelbagai jenis) dialami sepanjang tahun, ketika bulan Ramadan, perubahan jadual makan, tidur, peningkatan aktiviti-aktiviti tertentu, kelesuan fizikal, mental serta penjarakan waktu makan ubat psikiatrik (kadang-kadang terlupa makan) menjadi pencetus gejala terbabit," katanya.
TANGANI KEMURUNGAN
Berkongsi lanjut, Alizi menasihati pesakit mental agar memfokuskan pada amalan yang dapat menenangkan hati selain mengambil pemakanan seimbang, tidur yang cukup serta melakukan senaman ringan.
"Dapatkan sokongan sosial daripada keluarga dan sahabat serta bantuan profesional jika perlu, dan yang penting, sentiasa ingat bahawa Allah tidak membebankan hamba-Nya lebih daripada kapasiti dan syariat Islam itu bersifat rahmat (berbelas kasihan)," katanya.

Cabaran berpuasa lebih berganda bagi mereka yang diuji penyakit mental.-- kredit gambar Freepik
Alizi berkata antara persiapan yang boleh dilakukan golongan itu untuk berpuasa semasa Ramadan, ialah membiasakan diri berpuasa sunat sebelum dan selepas Ramadan bagi mengenal pasti kepayahan termasuk simptom yang mungkin dihadapi semasa berpuasa.
"Laporkan kepada pakar psikiatri atau pakar psikologi klinikal untuk panduan mengurus simptom dan cara terbaik menjarakkan pengambilan ubat. Jika sukar, bawalah surat sokongan pakar dan rujuk kepada ustaz atau ustazah ilmiah yang boleh memberikan hukum rukhsah (keringanan) khusus untuk individu tersebut,” katanya.
Beliau berkata biarpun Ramadan bukan bulan kesembuhan atau healing untuk pesakit mental, ia berupaya membantu keberkesanan proses pemulihan dan kesembuhan mereka yang sedang dalam rawatan.
"Ramadan tidak boleh menggantikan ubat-ubatan dan psikoterapi. Kalau pesakit ‘rasa sembuh’, itu sebenarnya bukan healing, tapi flourishing (berkembang) atau wellbeing (sejahtera). Ia meningkatkan kualiti kesihatan mental sehingga seorang pesakit rasa urusannya menjadi mudah dan simptom penyakit mentalnya tidak seteruk seperti sebelumnya.
"Akan tetapi penyakit mentalnya belum hilang atau sembuh sepenuhnya, dan mungkin akan timbul balik jika tidak makan ubat atau hadir psikoterapi. Ada kemungkinan juga individu rasa healing semasa Ramadan itu sebenarnya tidak mengalami penyakit mental dan keliru antara penyakit mental dengan stres melampau, lesu upaya (burnout), kesedihan tahap bukan klinikal dan kebimbangan tahap bukan klinikal yang tidak dikira sebagai penyakit mental," jelasnya.
Justeru, beliau berkata masyarakat perlu memainkan peranan dengan tidak memandang negatif terhadap pesakit mental.
Alizi berkata secara umumnya pihak kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah memberikan kesedaran tinggi kepada masyarakat dengan pelbagai penganjuran ceramah berkaitan penyakit itu.
"Cuma adakalanya masyarakat dikelirukan oleh sesetengah pempengaruh media sosial yang bukan pakar dalam bidang penyakit mental tetapi berbicara tentang penyakit mental sehingga menimbulkan stigma terhadap pesakit mental.
“Ini ditambah dengan laporan sensasi apabila berlaku kejadian buruk seperti penyebab kemalangan, jenayah atau pembunuhan yang dikaitkan dengan penyakit mental, sedangkan majoriti penyakit mental tiada langsung berpotensi untuk berbuat sedemikian," katanya.
Begitu juga dengan penjaga pesakit mental perlu menjaga kesihatan fizikal, mental dan spiritual kerana tugas menjaga keperluan pesakit ini bukan mudah, khususnya dari segi mengurus stres, waktu untuk diri sendiri serta memiliki akses kepada bantuan psikososial dan kaunseling.

Setiap individu, terutamanya golongan pesakit mental, mampu memaknakan Ramadan dari dimensi yang pelbagai,--fotoBERNAMA
"Untuk menjadi penjaga keperluan pesakit mental pada bulan Ramadan, penjaga perlu mempunyai maklumat yang tepat tentang penyakit mental spesifik yang dialami oleh pesakit mental, simptom-simptomnya serta tahapnya.
"Penjaga memainkan peranan supaya pesakit mental tidak rasa bersalah kerana melaksanakan ibadah wajib dengan kadar kepayahan yang tinggi dan sukar pula memperbanyak amalan sunat dengan menggalakkan mereka beribadah mengikut kemampuan serta menekankan sisi pemurah dan rahmat Allah SWT," katanya.
HUKUM PUASA
Bagi yang tertanya-tanya tentang hukum berpuasa untuk pesakit mental, pensyarah kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Dr Khairul Azhar Meerangani berkata secara asasnya penghidap masalah mental juga diwajibkan berpuasa.
Namun kata beliau, perincian hukum boleh berubah berdasarkan keadaan semasa yang dihadapi pesakit berkenaan, iaitu bagi yang mengalami gangguan atau gejala ringan dan tidak membahayakan kesihatan diri atau menjejaskan keupayaan kognitif, mereka masih terikat dengan hukum asal yang ditaklifkan, iaitu wajib berpuasa.
"Bagi yang berisiko menghadapi kemudaratan seperti serangan panik atau kemurungan teruk disebabkan berpuasa, diharuskan untuk berbuka namun perlu digantikan (qada) semula puasa tersebut selepas Ramadan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
“Untuk pesakit mental kronik berpanjangan yang tiada harapan sembuh dan bergantung pada bekalan ubat sepanjang masa, mereka diharuskan (dibenarkan) untuk berbuka namun perlu digantikan dengan bayaran fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan," jelasnya.

Dr Khairul Azhar Meerangani
Beliau berkata hanya pesakit yang menghadapi gangguan mental serius sehingga menghilangkan keupayaan kognitif dan kewarasan akal tidak diwajibkan berpuasa berikutan satu daripada syarat pentaklifan hukum (pembebanan suatu kewajiban kepada seseorang) tidak sempurna, iaitu berakal.
"Penetapan hukum ini mencerminkan nilai keanjalan Islam dalam meraikan keupayaan manusia melaksanakan perintah syarak.
“Sekiranya ibadah puasa yang dilakukan boleh membawa mudarat dan kesukaran yang lebih besar kepada pesakit mental, maka Islam membenarkan mereka untuk mengambil keringanan yang disediakan," katanya.
HIKMAH
Dalam pada itu, Khairul Azhar berkata amalan seperti solat, doa dan membaca al-Quran mampu membantu menenangkan fikiran, sementara berpuasa membantu mengawal emosi dan menjadikan seseorang lebih bersabar serta reda dengan ujian hidup.
"Ramadan turut mengajar kita untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah sebagai sumber kekuatan spiritual kepada mereka yang diuji. Kehadiran keluarga dan rakan-rakan dalam aktiviti ibadah berjemaah juga boleh membantu seseorang mengatasi perasaan kesunyian dan kemurungan.
"Dengan menghayati pelbagai hikmah ini, setiap individu, terutamanya golongan pesakit mental, mampu memaknakan Ramadan dari dimensi yang pelbagai, dan seterusnya mendorong seseorang untuk menjalani kehidupan lebih tenang dan mendamaikan bagi meraih keredaan Allah SWT," katanya.

Pesakit mental disaran memulakan Ramadan dengan niat positif dan berdoa agar ibadah dimudahkan dan sentiasa membaca al-Quran kerana ia membantu ketenangan jiwa -- fotoBERNAMA
Dalam hal ini, beliau berkata peranan masyarakat memainkan peranan penting untuk membantu kelompok pesakit mental, antaranya memberi sokongan sosial dengan menyediakan persekitaran yang memahami.
"Elakkan menghakimi mereka yang tidak dapat berpuasa sebaliknya beri galakan dan sokongan moral. Ini kerana pesakit mental juga ingin menjalani ibadah Ramadan seperti orang lain. Justeru kurangkan stigma negatif dan jangan jadikan mereka sebagai bahan sindiran atau ejekan.
"Ahli keluarga juga boleh membantu dalam menguruskan rutin harian yang mungkin terganggu sepanjang Ramadan seperti penyediaan makanan, pengambilan ubat dan jadual ibadah.Tetapkan matlamat yang realistik untuk dicapai tanpa perlu terbeban dengan penilaian luar. Fokus utama ialah kualiti ibadah bukan kuantiti," katanya.
Selain itu, pesakit mental disaran memulakan Ramadan dengan niat positif dan berdoa agar ibadah dimudahkan dengan sentiasa membaca al-Quran, berzikir kerana ia membantu ketenangan jiwa selain mengamalkan solat tahajud dan doa sebelum tidur bagi mendapatkan ketenangan rohani.