Meniti Usia Emas Dengan Berkarya Di Sepatu

U
sia bukan penghalang untuk bergiat cergas dalam bidang yang digemari, dan bagi Norliza Meor Mohamed Bazid, 61, melukis menjadi aktiviti yang memberi kepuasan kepadanya ketika meniti fasa usia emas.

Namun, tidak seperti kebanyakan artis lain yang memilih medium seperti kanvas sebagai hamparan karya seni mereka, ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Lembah Pantai itu menggemari sepatu yang baginya memberi cabaran tersendiri.

 "Asalnya melukis hanya sekadar hobi. Saya melukis di atas kanvas, berus rambut kayu, dulang kayu, peti barang kemas kayu dan hiasan kayu yang lain.

“Selepas itu saya meneruskan minat dengan mencurahkan kreativiti saya di atas kanvas fabrik seperti kusyen termasuk sofa dan tilam, baju, beg tote. Kini selepas kira-kira enam tahun melukis di kanvas saya mula meluaskan bakat dan minat dengan melukis di atas sepatu " katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

GURU KECANTIKAN

 

Berkongsi detik permulaan pembabitannya dalam seni lukis, anak jati Ipoh, Perak dan kini menetap di Kelana Jaya, Selangor itu, berkata pada asalnya dia bekerja sebagai guru kecantikan, mengajar cara bersolek dan penjagaan wajah kepada pelajar yang ingin bekerja di salon kecantikan.

Norliza Meor Mohamed Bazid

“Dalam tempoh itu, saya turut mendalami ilmu seni lukis dengan belajar melukis di atas kek terlebih dahulu. Ketika ini objek pilihan saya ialah karakter kartun seperti Mickey Mouse, Powerpuff Girls, anak patung beruang dan lain-lain.

“Selepas beberapa tahun melukis di atas kek, saya beralih kepada kanvas dan seterusnya ke sepatu,” kongsinya.

Menghuraikan dengan lebih lanjut tentang minat terbaharunya itu, Norliza berkata  lukisan di sepatu amat istimewa dan semakin menjadi kegemaran dalam kalangan generasi muda khususnya.

“Rata-rata pelanggan saya memilih corak bunga, dan istimewanya saya hanya menghasilkan corak bunga khusus untuk setiap pelanggan, jadi hanya dia sahaja yang ada kasut dengan corak itu,” jelasnya.

Malah katanya rata-rata pelanggan menyuarakan hasrat mahukan kelainan mengikut cita rasa mereka apabila membuat tempahan.

"Setiap satu lukisan sepatu itu tidak dimiliki oleh orang lain, jadi sudah tentulah mereka berasa istimewa. Ada pelanggan sukakan corak ringkas dan tidak menggunakan banyak warna.

“Namun ada juga yang mahukan warna ceria,” katanya, menambah kebanyakan pelanggan menyukai bunga ros serta bunga-bunga kecil seperti sakura.

Bagi meningkatkan kemahiran, Norliza menjadikan aplikasi YouTube, Pinterest dan Facebook sebagai “guru”, memanfaatkan perkongsian pelukis dari dalam dan luar negara.

 

CARA PENGHASILAN

 

Dalam melakar sentuhan di sepatu, Norliza berkata teknik lukisan adalah sama seperti lukisan di atas kanvas fabrik, kecuali lukisan di kasut bersifat tiga dimensi disebabkan oleh permukaan medium yang tidak rata berbanding kanvas atau wadah lain.

"Kasut mempunyai permukaan yang tidak rata dan kecil, jadi memang agak mencabar untuk melukis pada bahagian kecil itu,” jelasnya.

Antara senuhan lakaran Norliza di sepatu

Menurutnya, dia akan membuat lakaran dengan pensel pada bahagian yang hendak dihiasi corak, sebelum diwarnakan.

“Kalau kita mahukan corak itu ada garis luar, kita akan gunakan pen kalis air pada lakaran sebelum diwarnakan,” jelasnya, menambah selepas lukisan kering sepenuhnya dia akan menyapu varnis bagi memastikan karyanya bertahan lama.

“Ada juga pelanggan mahu menukar warna asal sepatu mereka dan saya akan cat keseluruhan kasut sebelum membuat lakaran corak yang diingini mereka,” tambah Norliza yang menggunakan cat fabrik dalam menghasilkan karyanya.

Wanita itu berkata tempoh pembuatan mengambil masa tiga hingga empat hari untuk sepasang kasut, bergantung pada pilihan corak serta tempoh pengeringan.

Ditanya kumpulan umur pelanggan yang gemar menghantar kasut mereka untuk "diconteng",  Norliza berkata rata-rata mereka dalam lingkungan usia remaja hingga 40-an.

“Akan tetapi, saya pernah terima pelanggan berusia 60 tahun dan paling muda tiga tahun,” kongsinya.

“Mereka akan serahkan kasut kosong yang dibeli sendiri, namun ada juga pelanggan yang minta saya belikan kasut berdasarkan saiz yang diberi mereka," katanya yang telah menghasilkan 20 pasang sepatu bercorak dalam tempoh kira-kira lima bulan sejak menceburi bidang itu hampir dua tahun lalu.

 

CABARAN

 

Sudah tentu setiap bidang ada cabaran tersendiri, dan bagi Norliza, dia perlu memastikan emosinya berada dalam keadaan baik sebelum memulakan tugas.

“Sebagai artis, emosi sangat memainkan peranan semasa hendak melukis kerana ia memberi kesan kepada hasil. Untuk menghasilkan karya yang betul-betul indah, emosi perlu stabil.

"Jadi, sebelum bermula, saya akan pastikan kerja-kerja lain selesai dan studio atau tempat untuk melukis itu kemas. Jika saya dalam emosi kurang baik saya akan tangguhkan semua kerja-kerja melukis dan gunakan masa tersebut melihat serta belajar teknik daripada pelukis lain," katanya.

Norliza merupakn antara tenaga pengajar seni lukis di PAWE Lembah Pantai.

Norliza berkata dia mengenakan bayaran antara RM120 dan RM200 bagi sepasang kasut, bergantung pada corak yang diminta.

Katanya dia memperoleh kepuasan setiap kali pelanggan memberi maklum balas yang positif tentang kerja tangannya.

"Saya sangat teruja dan gembira bila lukisan saya memuaskan hati pelanggan, maknanya penat lelah saya membuahkan hasil seperti yang dihasratkan. Ada juga pelanggan yang datang berkali-kali untuk menempah lukisan daripada saya," katanya.

 

AKTIF PAWE

 

Biarpun masih baru dalam lukisan di sepatu,  Norliza bersyukur kerana hasil sentuhannya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Wanita itu berkata dia menerima tempahan daripada rakan-rakan rapat, saudara-mara serta pelanggan dari Selangor, Perak dan Johor. 

"Selain melukis saya juga merupakan guru lukisan untuk pelanggan yang hendak belajar melukis atas sepatu atau lain-lain, sama ada dalam talian atau secara bersemuka. 

"Malah, saya seorang daripada tenaga pengajar seni lukis di PAWE Lembah Pantai. Saya giat membuat pameran seni dan kraf mewakili PAWE Lembah Pantai," katanya.

Sentuhan lukisan Norliza yang memukau selain di sepatu.

Dalam menghasilkan pelbagai karya seni, Norliza bertuah kerana mendapat sokongan dan dorongan penuh daripada suami, anak-anak serta ahli keluarga.

"Saya ingin berterima kasih kepada pihak PAWE Lembah Pantai kerana mengetengahkan bakat saya. Di usia sekarang, saya hanya berharap apabila sudah tiada suatu hari nanti orang akan mengenang hasil seni saya sepertimana pepatah ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. Moga segala ilmu yang saya sumbangkan akan memberi manfaat kepada semua pelajar," katanya.

Selain sepatu, Norliza juga giat menghasilkan lukisan “dot painting” - teknik melukis menggunakan titik-titik warna - yang tidak begitu popular di negara ini kerana mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Katanya dia menyukai teknik itu kerana lukisan yang dihasilkan unik dan halus.

"Saya pernah buat lukisan menggunakan teknik ‘blooming’ dan ‘pouring’ yang juga sangat jarang dibuat oleh artis Malaysia, sebab bahan yang digunakan perlu dibeli dari luar negara dan mahal harganya,” ujarnya.

 

 

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.