D
alam dunia yang serba pantas hari ini waktu tidur sering diketepikan demi kerja dan komitmen sosial, selain masa di depan skrin seperti menonton TV, melayari Internet dan bermain permainan video.
Di Malaysia juga tidak ketinggalan dengan ramai rakyat mengorbankan masa tidur mereka tanpa memahami natijah yang akan diterima dalam jangka panjang.
Kajian di seluruh negara mendapati 87.2 peratus rakyat mengalami masalah tidur termasuk insomnia, kerap terjaga atau sukar untuk tidur. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 itu juga menemukan 38 peratus golongan dewasa di Malaysia tidak mendapat tidur yang cukup, melibatkan khususnya penduduk bandar dan kelompok berusia 40 ke 59 tahun.
Sepertimana makanan, air dan udara, tidur juga amat penting untuk kesihatan kita, memainkan peranan kritikal dalam fungsi kognitif seperti pengukuhan ingatan, pembelajaran dan pengawalan emosi. Tambahan pula, semasa tidur, otak membersihkan bahan buangan metabolik seperti protein beta-amiloid yang dikaitkan dengan penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer.
Namun begitu, dalam kehidupan yang penuh tekanan hari ini, tidur sering dianggap sebagai satu “kemewahan”, bukannya satu keperluan. Akibatnya, kekurangan tidur mengganggu proses penting itu, menyebabkan bahan-bahan berbahaya terkumpul di dalam otak dan ini membawa kepada keradangan neuro, tekanan oksidatif dan kemerosotan kognitif jangka panjang.
ISU YANG SEMAKIN MERUNCING: KESAN KURANG TIDUR
Penemuan demi penemuan tentang kesan kurang tidur mendorong sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh saintis neuro Dr Yatinesh Kumari Singh daripada Monash University Malaysia menjalankan kajian tentang sebatian semula jadi yang mungkin dapat menjadi penyelesaian berpotensi.
Dikenali sebagai β-Caryophyllene atau BCP, sebatian ini ditemukan dalam tumbuhan seperti lada hitam, bunga cengkih, oregano dan rosemary. BCP mungkin menjadi kunci bagi melindungi otak daripada kemerosotan kognitif yang dikaitkan dengan tidur tidak mencukupi.

Dr Yatinesh Kumari Singh (kanan, duduk) bersama salah seorang penyelidiknya. Semua kredit gambar Universiti Monash Malaysia.
Dalam temu bual dengan Bernama di sini baru-baru ini, Dr Yatinesh Kumari berkata tidur yang merupakan asas kepada fungsi otak, sering diabaikan dalam dunia moden yang serba sibuk sekarang.
“Kajian demi kajian yang dijalankan oleh pelbagai institusi menunjukkan kesan kekurangan tidur yang berterusan terhadap kesan kognitif dan perkara ini amat membimbangkan,” katanya.
Menurut beliau, dalam kajian itu yang dimulakan dua tahun lalu, mereka meneroka pelbagai pendekatan untuk menangani kesan kekurangan tidur, namun yang menjadikan BCP berpotensi tinggi ialah keupayaan sebatian tersebut berinteraksi dengan sistem endokannabinoid otak, iaitu rangkaian reseptor yang mengawal keradangan, kesakitan dan fungsi otak.
“Secara khusus, BCP mengikat secara selektif kepada reseptor CB2 yang berperanan mengawal keradangan neuro dan tekanan oksidatif - dua faktor utama dalam kemerosotan kognitif. Tidak seperti kebanyakan sebatian lain, BCP bertindak tanpa menyebabkan kesan psikoaktif, menjadikan bahan ini ‘calon’ selamat dan berpotensi tinggi untuk menyokong fungsi otak,” jelasnya.
“BCP mempunyai keupayaan untuk menyasarkan keradangan neuro dan tekanan oksidatif dengan cara yang berpotensi mengubah nasib individu yang mengalami kemerosotan kognitif akibat kurang tidur. Kajian kami memberi tumpuan kepada bagaimana BCP dapat membantu mengurangkan kesan buruk kurang tidur serta mengekalkan fungsi kognitif dalam jangka masa panjang,” tambah beliau.
BAGAIMANA BCP MEMBANTU?
Menurut Dr Yatinesh Kumari, kekurangan tidur mencetuskan rantaian kesan berbahaya terhadap otak yang mengalami keradangan selain terkumpulnya bahan berbahaya seperti radikal bebas.
Radikal bebas ini kemudiannya membawa kepada tekanan oksidatif, iaitu satu keadaan di mana keseimbangan antara molekul berbahaya dan antioksidan terganggu, menyebabkan kerosakan pada sel otak. Keradangan kronik dan tekanan oksidatif ini dikaitkan dengan pelbagai masalah kognitif – daripada masalah ingatan hinggalah penyakit neurodegeneratif serius seperti Alzheimer.

Apa yang menjadikan BCP unik ialah keupayaannya untuk berinteraksi dengan sistem endokannabinoid otak—rangkaian reseptor yang mengawal keradangan, kesakitan dan fungsi otak.
Jelas beliau, tidur juga amat penting untuk mengekalkan fungsi sistem glimfatik otak, iaitu sistem pembuangan sisa yang membantu menyingkirkan protein toksik seperti beta-amiloid.
Dalam keadaan otak yang cukup tidur, sistem ini berfungsi dengan efisien untuk membersihkan bahan buangan, namun apabila tidur terganggu, sistem glimfatik ini tidak dapat berfungsi dengan baik, menyebabkan pengumpulan protein neurotoksik yang mempercepatkan kemerosotan kognitif.
“Dalam kajian ini, penyelidik mahu memahami bagaimana BCP dapat membantu mengurangkan kesan-kesan ini, seterusnya mencegah - atau sekurang-kurangnya memperlahan - kerosakan (dalam otak) yang disebabkan oleh kurang tidur,” tambahnya.
IKAN KECIL, PENEMUAN BESAR
Pasukan penyelidik kini menggunakan ikan zebra untuk mengkaji bagaimana kekurangan tidur memberi kesan kepada fungsi otak serta menilai potensi BCP dalam mencegah atau membalikkan kesan-kesan tersebut, kata Dr Yatinesh Kumari.
“Ikan zebra menawarkan kaedah yang menjimatkan dan efisien untuk mengkaj[i kesan neurologi akibat kekurangan tidur dan pertumbuhannya yang pantas membolehkan kami memperoleh keputusan dengan lebih cepat berbanding model haiwan lain,” jelasnya.
Menurut beliau, ikan zebra juga mempunyai persamaan genetik yang tinggi dengan manusia dan memperlihatkan tingkah laku kognitif yang sangat mirip dengan manusia.
Selain itu, ikan zebra mempunyai protokol tingkah laku yang terbukti dan diterima secara meluas dalam menilai fungsi memori, pembelajaran dan keseluruhan fungsi otak, menjadikan ikan ini amat berguna bagi meneliti proses kognitif dan mengesan perubahan yang dikaitkan dengan kemerosotan fungsi kognitif.
Walaupun kajian ini masih di peringkat awal dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi, pasukan penyelidik kekal yakin terhadap penemuan yang bakal diperoleh dalam masa terdekat.
Buat masa ini, cabaran terbesar ialah untuk merapatkan jurang antara kajian terhadap haiwan dan aplikasi terhadap manusia. Meskipun ikan zebra model yang sangat baik untuk kajian kekurangan tidur, hasil kajian ini perlu disahkan melalui kajian ke atas mamalia yang lebih kompleks sebelum boleh diteruskan ke peringkat ujian klinikal manusia.
Apabila penyelidikan praklinikal siap, pasukan itu berharap untuk meneruskan dengan percubaan klinikal bagi menguji keberkesanan BCP dalam kalangan manusia, katanya, yang turut mengakui usaha itu akan mengambil masa dan memerlukan penyelidikan lanjut sebelum BCP boleh digunakan sebagai intervensi terapeutik.
LALUAN SEMULA JADI KE ARAH KESIHATAN KOGNITIF
“Implikasi daripada penyelidikan ini amat luas,” kata Dr Yatinesh Kumari. “Dengan memahami bagaimana kekurangan tidur memberi kesan kepada otak di peringkat molekul dan tingkah laku, kita dapat memperdalam pemahaman terhadap fungsi kognitif dan membangunkan intervensi yang lebih tepat serta berkesan.
“Jika sebatian seperti BCP terbukti mampu mengurangkan kesan ini, ia boleh menjadi satu langkah besar dalam pencegahan dan rawatan masalah neurodegeneratif serta gangguan kognitif lain yang berkaitan dengan kurang tidur,” katanya.

Tidur adalah sama pentingnya dengan kesihatan kita kerana ia memainkan peranan penting dalam fungsi kognitif seperti penyatuan ingatan, pembelajaran dan pengawalan emosi.
Jika BCP terus menunjukkan potensi dalam melindungi otak daripada kesan kekurangan tidur, ia boleh membuka laluan kepada pendekatan semula jadi dan mudah diakses bagi menyokong kesihatan kognitif. Potensi penggunaannya amat luas, daripada makanan tambahan kepada makanan fungsian yang direka untuk meningkatkan dan mengekalkan fungsi otak.
BCP juga telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) sebagai sebatian gred makanan yang bermaksud bahan ini selamat untuk dimakan, sekali gus menjadikan BCP sebagai bahan ideal untuk digunakan dalam produk makanan atau makanan tambahan yang menyokong fungsi kognitif, terutamanya bagi individu yang mengalami kekurangan tidur kronik atau tekanan berterusan.
“Kami sangat teruja tentang potensi BCP disepadukan dalam produk kesejahteraan untuk kegunaan setiap hari. Ia berasal daripada bahan semula jadi dan sokongan saintifik mampu menjadikan bahan ini pilihan bagi mereka yang ingin membaiki kesihatan kognitif mereka,” katanya.
Seiring dengan perkembangan penyelidikan itu, semakin jelas bahawa kekurangan tidur bukan isu peribadi tetapi masalah masyarakat, terutamanya dalam konteks demografi Malaysia, yang wajar diberi perhatian serius.
“Kekurangan tidur adalah krisis yang semakin memburuk dalam masyarakat moden dan kesannya terhadap kesihatan kognitif baru sahaja mula difahami. Memastikan tidur yang cukup dan mencari cara mengurangkan kesan tidak cukup tidur amat penting bagi menjamin kesihatan otak dalam jangka panjang,” tegasnya.
Pesanan akhir beliau kepada masyarakat cukup ringkas, namun penuh makna: “Sentiasa utamakan tidur.”
“Tidur ialah asas kepada fungsi otak, kesihatan mental dan kesejahteraan keseluruhan. Tidur bukan satu ‘kemewahan’ tetapi keperluan. Kita perlu jaga corak tidur kita dengan lebih baik dan mempertimbang penyelesaian semula jadi yang disokong oleh sains seperti BCP, bagi membantu menangani kesan kurang tidur yang kronik,” katanya menutup sesi perkongsian ilmiah itu.