P
ada mulanya dia menyangkakan terkena jangkitan panau apabila melihat kemunculan beberapa bintik putih pada bahagian kiri wajahnya, namun dari minggu ke minggu saiz bintik putih tersebut melebar sehingga hampir keseluruhan kulit wajahnya bertukar warna menjadi putih seakan susu.
Didiagnosis mengalami vitiligo atau lebih dikenali sebagai penyakit sopak pada usia 19 tahun, Farah, 26, mengakui pada mulanya dia berasa tertekan, lebih-lebih lagi kerana sering menerima pandangan “pelik” daripada orang sekeliling.
“Saya akui, pada peringkat awal kemunculan, vitiligo membuatkan saya tidak selesa kerana terjadi pada muka. Saya berasa segan (malu), sekali gus merendahkan keyakinan diri saya. Namun selepas beberapa lama, saya dapat membiasakan diri dan saya anggap keadaan ini sesuatu yang normal,” katanya, berkongsi pengalaman dengan Bernama baru-baru ini.
Menurutnya, dia juga sudah hampir pulih sepenuhnya sekalipun tidak menjalani sebarang rawatan ataupun mengambil apa-apa ubat.
“Orang selalu tanya, apa kena dengan muka saya. Ada yang tanya, adakah ia panau atau kulit saya melecur atau saya bersalin kulit. Saya tidak ambil hati dan jawab dengan baik kerana mereka mungkin tidak tahu tentang penyakit kulit ini,” tambahnya lagi.
TIDAK BERBAHAYA TAPI JEJAS EMOSI
Vitiligo merujuk masalah atau keadaan kulit yang kehilangan pigmen pada bahagian tertentu, mewujudkan tompok-tompok putih atau cerah yang berbeza dengan warna asal kulit.
Penyakit ini tidak berbahaya namun boleh memberi kesan kepada keyakinan diri dan emosi, kerana perubahan warna kulit yang begitu terserlah pada penghidapnya.

Pencipta kandungan Syed Abdullah Syed Abdul Rahman atau Space Dollah didiagnos Vitiligo sejak empat tahun lalu-(gambar ig Syed Abdullah)
Pencipta kandungan Space Dollah yang turut berdepan masalah itu, mengakui pernah menyepikan diri dari media sosial selama enam bulan, kesan daripada vitiligo yang dialaminya sejak empat tahun lalu
Berkongsi pengalamannya menerusi audio siar baru-baru ini, Space Dollah, 36, atau nama sebenarnya Syed Abdullah Syed Abdul Rahman, berkata dia malu untuk keluar rumah dan bertemu rakan.
“Saya bukan hanya kena di muka tetapi juga seluruh anggota badan, dan keadaan itu membuatkan saya berasa malu untuk berada dalam khalayak ramai.
“… saya mula okey selepas dapat terima keadaan diri, dan sebenarnya saya sendiri sedar kita tidak perlu ambil kisah pandangan orang lain. Nasihat saya kepada sesiapa yang menghidapi penyakit kulit (seperti ini) agar ambil masa untuk terima dan jangan tertekan,” katanya, menambah sokongan keluarga dan rakan-rakan turut memberikannya semangat untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
Kini, Space Dollah yang juga abang kepada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq, aktif di platform media sosial berkongsi tentang ilmu sains dan dokumentari.
Realitinya, penyakit ini boleh dialami oleh sesiapa sahaja. Malah, ada yang meraih populariti daripada vitiligo seperti model antarabangsa dari Kanada, Winnie Harlow. Penyakit itu menyerlahkan keunikan beliau semasa menyertai satu program pencarian model. Beliau kini aktif meningkatkan kesedaran dan pengetahuan umum tentang penyakit berkenaan.
Selain itu, penyanyi terkenal antarabangsa mendiang Michael Jackson juga disahkan mengalami vitiligo meskipun ramai yang tidak percaya dan mendakwa mendiang menjalani prosedur memutihkan kulit.
BUKAN PENYAKIT JARANG JUMPA
Berkongsi pengetahuan tentang penyakit itu, pakar perunding dermatologi di Pusat Perubatan Sunway Velocity Dr Irene Lee Chew Kek berkata vitiligo bukan dalam kategori penyakit jarang jumpa sepertimana sangkaan kebanyakan orang.

Pakar Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Sunway Velocity Dr Irene Lee Chew Kek (gambar SVMC)
Menurutnya, sekitar 0.5 hingga dua peratus daripada penduduk dunia mengalami penyakit itu yang boleh terjadi kepada semua kelompok manusia, terutama mereka yang mempunyai sejarah keluarga pernah menghidap vitiligo.
“Vitiligo berlaku apabila sel pigmen kulit berkurangan dan mewujudkan tompok putih pada permukaan kulit serta boleh berlaku di mana-mana bahagian tubuh termasuk muka.
“Ada dua jenis vitiligo, iaitu vitiligo tidak bersegmen dan vitiligo bersegmen. Vitiligo bukan segmen lebih kerap berlaku dan berpunca daripada masalah autoimun, melibatkan sistem daya tahan badan menentang sel pigmen sendiri.
“Vitiligo bersegmen pula boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk masalah autoimun, saraf dan genetik,” jelasnya.
Tambah Dr Irene, tompok putih bagi vitiligo tidak bersegmen biasanya terbentuk pada kedua-dua sisi kiri dan kanan badan dengan tompok putih itu akan berkembang dan berhenti beberapa kali di sepanjang hayat seseorang.
Bagi vitiligo bersegmen pula, tompokan putih yang muncul tertumpu pada satu bahagian tertentu badan secara berterusan dan kemudiannya hilang.

Pencipta kandungan Space Dollah atau Syed Abdullah Syed Abdul Rahman bersama ibu dan bapanya- (gambar ig Syed Abdullah).
“Selain daripada kemunculan tompok putih, vitiligo biasanya tidak menyebabkan gejala lain seperti rasa sakit dan kegatalan. Penyakit ini juga tidak menyebabkan masalah fizikal lain atau boleh dianggap sebagai kecacatan.
“Namun bagi individu yang menghidapi gejala ini, kemungkinan boleh mendatangkan tekanan emosi atau mengganggu kualiti kehidupan mereka, kerana tompok putih ini jelas kelihatan pada tubuh mereka,’’ katanya.
BUKAN SATU KEBIMBANGAN
Menyifatkan kes vitiligo di Malaysia sebagai terkawal, Dr Irene berkata vitiligo bukan penyakit berjangkit dan sebarang sentuhan oleh pesakit, termasuk berkongsi makanan, tidak akan menyebarkan penyakit itu kepada individu lain.
“Setakat ini, perkembangan penyakit Vitiligo di Malaysia adalah stabil, dan disebabkan perkembangan bidang perubatan dari segi rawatan serta fasiliti perubatan yang sedia ada, lebih ramai pesakit mendapatkan rawatan untuk penyakit itu.
“Kajian menunjukkan genetik ialah faktor utama yang menyebabkan 80 peratus kes vitiligo di seluruh dunia. Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada 20 peratus lagi termasuk faktor bangsa (khususnya kaum India), daya tahan autoimun, biokimia serta faktor sekeliling,” tambahnya.
Menurut beliau, kebanyakan pesakit vitiligo ketika ini mendapatkan rawatan kosmetik seperti pancaran laser yang berkeupayaan mengurangkan atau merawat tompokan putih tanpa menjejaskan bahagian kulit yang tidak terlibat.
Bagi individu dengan tahap vitiligo yang ringan, mereka digalak menyapu krim bukan steroid seperti tacrolimus, pimecrolimus dan calcipotriol pada bahagian yang terkesan.

Individu yang mempunyai vitiligo boleh menyorokkan tompokan putih dengan menggunakan solekan.
“Mereka yang mempunyai vitiligo teruk pula akan disyorkan mengambil ubat-ubatan termasuk steroid, methotrexate, ciclosporin, mycophenolate mofetil atau yang bersesuaian dengan pesakit.
“Ada ramai pesakit yang telah sembuh sepenuhnya menerusi rawatan sedia ada. Meskipun ada sebilangan pesakit tidak dapat sembuh sepenuhnya, tompok putih di badan mereka akan menghilang atau bertambah pulih secara berperingkat setelah dirawat,” jelasnya.
TIDAK PERLU MALU
Dalam pada itu, Dr Irene berkata penghidap tidak perlu malu, sebaliknya melihat keadaan mereka secara positif kerana penyakit tersebut tidak mendatangkan mudarat kepada diri mereka dan orang sekeliling.
“Pertama sekali, mereka perlu tahu bahawa penyakit ini bukan disebabkan mereka telah melakukan perkara yang salah termasuk tidak cakna kebersihan diri yang turut dilihat sebagai penyebab vitiligo.
“Masyarakat juga perlu ambil maklum tentang hakikat yang penyakit ini tidak berjangkit. Tidak dinafikan, ada ahli masyarakat yang takut mendekati pesakit vitiligo ini dan akan mengelakkan diri daripada mereka sedangkan tiada keperluan untuk berbuat demikian,” tambahnya.
Jelasnya, pesakit juga perlu menyedari dan memahami bahawa vitiligo boleh dirawat dan rawatan awal juga boleh meningkatkan kadar penyembuhan.
“Sementara menunggu tompok ini sembuh, individu boleh ‘sorokkan’ dengan solekan.
“Justeru, jangan rasa malu kerana vitiligo hanyalah sedikit kelainan pada warna kulit,” tegas Dr Irene.
-- BERNAMA