Insiden Putra Heights: Pengajaran Dalam Isu Pembangunan Dan Keselamatan

S
elepas lebih sebulan insiden letupan paip saluran gas bawah tanah yang menyebabkan kebakaran besar di Putra Heights, Subang Jaya berlaku, masih belum ada jawapan tentang punca kejadian yang memusnahkan ratusan kediaman dan harta benda itu.

Melibatkan 227 buah rumah dan 365 kenderaan - dengan 87 kediaman dilaporkan musnah sepenuhnya - mangsa kini berdepan jalan berliku yang panjang bagi mendapatkan ganti rugi dan pemulihan bencana.

Merujuk pengajaran daripada bencana itu, pakar mengetengahkan keperluan perlindungan insurans yang lebih baik serta peningkatan kesedaran orang ramai tentang perlindungan diri dan harta benda.  

Pakar juga menekankan kepentingan pemetaan utiliti bawah tanah yang tepat di Malaysia serta perancangan bandar lebih baik dan pemantauan ketat pergerakan tanah berhampiran infrastruktur gas dan kawasan berisiko tinggi lain.

Antara kediaman berdekatan dengan kawasan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang musnah

KERANGKA PERUNDANGAN  LEBIH KUKUH 

Pensyarah kanan di Fakulti Undang-undang dan Tadbir Urus Taylor's University Dr Wilson Tay Tze Vern berkata insiden itu mendedahkan kelompongan kritikal dalam sistem perundangan dan insurans negara dalam soal pemulihan bencana. 

(Dalam konteks fizikal atau komuniti, pemulihan bencana merujuk proses membina semula, memulihkan dan menyokong individu terjejas serta infrastruktur selepas berlakunya bencana)

“Tanggapan umum ialah pemilik kediaman boleh membuat tuntutan insurans. Namun, itu hanya dapat dilakukan jika mereka mempunyai insurans dengan perlindungan kebakaran yang mencukupi,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata sekalipun insurans kebakaran lazimnya diperlukan bagi kediaman yang dibeli melalui pembiayaan bank, kebanyakan rumah yang telah lunas bayaran balik pinjaman atau kediaman lama mungkin mempunyai kadar perlindungan insurans di bawah nilai sebenar atau langsung tidak dilindungi, mengakibatkan pemilik menanggung sepenuhnya kerugian. 

“Malah, kalaupun ada perlindungan, selalunya cuma melibatkan kerosakan struktur dan binaan kekal. 

"Barang-barang berharga mudah alih seperti telefon bimbit dan komputer riba selalunya tidak termasuk dalam liputan insurans itu. Barangan yang ada nilai sentimental tidak dapat digantikan semula dan nilai hartanah yang merosot dalam jangka panjang akibat publisiti negatif juga tidak dilindungi,” katanya.

Dr Wilson Tay Tze Vern (Gambarh Ihsan Taylor's University)
 

Tay menjelaskan pemilik kenderaan dengan perlindungan insurans pihak ketiga - suatu kelaziman dalam kalangan pemilik kenderaan lama, motosikal dan kenderaan perdagangan - juga berkemungkinan tidak akan diberikan pampasan bagi kerosakan akibat kebakaran, menambahkan lagi jumlah mangsa yang tidak menerima ganti rugi.

Merujuk penggantungan penyaluran gas di kawasan Putra Heights susulan kejadian, beliau berkata tindakan itu menjejaskan operasi sekitar 200 buah kilang termasuk pengeluar makanan dan fasiliti memproses logam di kawasan berhampiran.

“Semua ini ialah  ‘kerugian ekonomi tulen’, iaitu kerugian kewangan bukan kerana terjejas secara fizikal tetapi kesan limpahan,” katanya, menambah di bawah undang-undang semasa Malaysia, kerugian sedemikian amnya tidak diberikan ganti rugi.

(Kerugian ekonomi tulen merujuk kerugian kewangan yang tidak berpunca daripada kecederaan tubuh, kerosakan harta benda atau hak milik, tetapi semata-mata melibatkan kehilangan kewangan, contohnya seperti kehilangan keuntungan atau gangguan perniagaan).

“Ini menyerlahkan satu kelompongan undang-undang yang gagal mencerminkan saling kebergantungan ekonomi dalam zon perindustrian moden,” tambah beliau.

Pada masa sama, Tay menjelaskan di bawah Peraturan Bekalan Gas 1997,  Akta Bekalan Gas (Pindaan) 2016, Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 1993, pemilik paip saluran gas berkenaan bertanggungjawab ke atas keselamatan dan penyenggaraan paip, namun hingga kini belum diketahui sama ada pemilik fasiliti  itu gagal memenuhi tanggungjawab tersebut.

Tambah beliau, siapa juga yang bertanggungjawab dari segi perundangan, tidak akan dapat diputuskan selagi siasatan belum selesai. 

Malah katanya, sekalipun dapat dibuktikan berlaku kecuaian, timbul persoalan tentang kemampuan kewangan pihak bertanggungjawab untuk memberikan pampasan kepada mangsa.

“Ini mengetengahkan keperluan  terhadap insurans liabiliti mandatori dan kawal selia lebih ketat bagi kerja-kerja berisiko tinggi yang dijalankan berhampiran infrastruktur kritikal.

“Justeru, amat penting perlindungan undang-undang diperkukuh dan kelompongan dalam liputan insurans ditangani, selain memastikan kebertanggungjawaban mereka yang berkenaan, bagi melindungi nyawa, mata pencarian dan daya tahan ekonomi,” katanya. 

 

PERGERAKAN TANAH 

Sementara itu, pakar dasar iklim Dr Gary Theseira menggesa agar diwujudkan pemantauan tanah secara sistematik di kawasan pembangunan.

Beliau berkata sebarang projek pembangunan perlu memandang lebih serius aspek pemantauan pergerakan tanah bagi mencegah daripada berlakunya kegagalan infrastruktur seperti kebocoran saluran gas dan tanah runtuh.

“Boleh dikatakan kita kurang dalam aspek ini. Jika tidak, masakan banyak kejadian tanah runtuh atau paip saluran bocor berlaku,” katanya kepada Bernama, dan menambah banyak kes kegagalan paip bawah tanah berlaku disebabkan oleh tekanan akibat pergerakan tanah yang tidak dikesan.

“Malah, pergerakan kecil pun boleh mendatangkan tekanan besar ke atas saluran. Paip yang menerima tekanan secara berterusan, lama-kelamaan akan retak atau pecah,” katanya.

Dr Gary Theisera

Beliau berkata semua utiliti bawah tanah yang penting termasuk kabel gentian optik, paip air, konduit elektrik dan saluran gas harus dipantau dan dinilai semula secara berkala. 

“Amat penting untuk digemblengkan teknologi terkini bagi mengesan pergerakan tanah dalam perancangan dan pembinaan bandar, terutama di kawasan berisiko tinggi atau pernah terjejas dengan insiden sedemikian,” katanya. 

Pengarah Urusan Innoveam Sdn Bhd yang juga penganalisis kejuruteraan Muhammad Zamir Abd Rashid berkata dalam kejadian di Putra Heights, pergerakan bawah permukaan tanah mungkin telah menjejaskan sokongan struktur paip saluran gas, menyebabkan kegagalan paip dan bocor. 

Beliau berkata sebarang pembangunan atau pembinaan tidak harus dilakukan terlalu dekat dengan zon penampan paip utiliti.

“Pihak berkuasa tempatan serta agensi penguatkuasaan perlu sentiasa mengemas kini pelan keselamatan mereka selain mengkaji kejadian (seperti letupan di Putra Heights) untuk menambah baik penilaian risiko dan tindak balas kecemasan pada masa depan,” katanya.

Beliau turut mengesyorkan pemasangan sensor pintar yang dapat mengesan awal kebocoran gas serta injap penutup automatik di kawasan perumahan yang berdekatan dengan saluran gas.

 

PENILAIAN RISIKO KESIHATAN 

Dalam pada itu, pensyarah kanan di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir menyarankan agar digunakan pemetaan bahaya berasaskan teknologi sensor murah, iaitu GIS (sistem maklumat geografi)  bagi memantau kepekatan bahan cemar dan memandu perancangan bandar di kawasan sekitar infrastruktur gas. 

“Penggunaan gabungan pengesan kebocoran gas berasaskan IoT (Internet pelbagai benda) dan papan pemuka kualiti udara masa nyata boleh berperanan sebagai sistem amaran awal,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut memberi amaran bahawa letupan saluran gas itu membawa risiko besar ke atas kesihatan dan alam sekitar disebabkan oleh pelepasan bahan cemar bertoksik ke udara.

Sekalipun metana bukan toksik, gas itu amat mudah terbakar serta merupakan gas rumah hijau yang kuat, iaitu 86 kali ganda lebih kuat berbanding karbon dioksida dalam tempoh 20 tahun, katanya.

Letupan saluran gas itu membawa risiko besar ke atas kesihatan dan alam sekitar disebabkan oleh pelepasan bahan cemar bertoksik ke udara

“Apabila bercampur dengan bahan lain semasa letupan, gas metana boleh menghasilkan sebatian berbahaya seperti dioksin, hidrogen sianida serta hidrokarbon aromatik polisiklik (PAH) yang berisiko menyumbang kepada masalah pernafasan, terutamanya pada kanak-kanak, orang tua dan individu yang mempunyai penyakit sedia ada,” katanya.

Merujuk insiden Putra Heights, Mohd Shahrul berkata letupan dan kebakaran yang menyusul, berkemungkinan membebaskan  membebaskan bahan zarah halus (PM2.5) dan VOC (sebatian organik meruap) berbahaya seperti formaldehid dan benzena, akibat kebakaran bahan plastik, barangan rumah dan kereta.

Tambah beliau, walaupun paras ketoksikan akut mungkin hadir dalam lingkungan selamat selepas insiden itu, ada keperluan untuk dijalankan penilaian kesihatan menyeluruh bagi menilai risiko keterdedahan jangka panjang.

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.