S
aintis Dr Mohamad Hafizi Abu Bakar mencucuk hirisan berwarna coklat terang berkilat di atas pinggan di depannya. Pandangannya penuh rasa curiga.
Disinari cahaya terang lampu kalimantang, hirisan “daging” yang tergelepai di hujung garpu itu langsung tidak kelihatan seperti unagi, sejenis belut air tawar Jepun yang sering dinikmati di restoran sushi kegemarannya.
Mula-mula beliau menghidu baunya. Hmm, berbau agak hanyir seperti ikan. “Bagus,” bisiknya dalam hati. Kemudian beliau meneliti pula tekstur “unagi” itu.
Sebenarnya tidak kelihatan seperti unagi pun, katanya kepada Bernama kemudian, tetapi, lebih mirip kepada plastik yang dibuat menyerupai unagi.

Daging ikan belut ini, lebih dikenali dengan nama unagi, dikultur dari DNA ikan belut di makmal Cell AgriTech Sdn. Bhd. di Perai, Pulau Pinang. Daging kultur mungkin boleh mengurangkan penangkapan ikan berlebihan. Gambar ihsan
Namun rasa ingin tahunya membuak-buak. Sambil memasukkan hirisan itu ke dalam mulut, terlintas di fikirannya akan kemungkinan beliau perlu bergegas ke tandas selepas itu.
Bagaimanapun lidahnya “memberitahu” segalanya okey.
“Rasanya sama. Memang rasa unagi sebenar. Tak boleh nak bezakan pun,” kata Mohamd Hafizi sambil ketawa. “Saya dan isteri selalu makan di Sushi King, jadi kami tahu rasanya.”
Ujian rasa dengan keputusan positif pada 25 April lepas itu melegakan Mohamad Hafizi, pensyarah kanan dalam bidang teknologi bioproses di Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM) serta Jason Ng, Naib Presiden merangkap Pengasas Cell AgriTech Sdn Bhd, yang memberikan unagi tersebut kepadanya.
Mereka teruja kerana hirisan unagi itu bukan berasal dari sungai atau tangki, sebaliknya dihasilkan oleh para saintis menggunakan sel dasar - diambil daripada seekor belut - yang “ditumbuhbesarkan” di bawah persekitaran terkawal dalam bioreaktor di sebuah makmal.
Rasa merupakan antara cabaran terawal yang perlu mereka atasi sebelum dapat memperkenalkan unagi dan produk seumpamanya secara meluas di Malaysia yang sedang mencari kaedah baharu bagi memenuhi keperluan makanan rakyatnya, susulan peningkatan mendadak import makanan, gangguan iklim dan penangkapan ikan secara berlebihan.
Penerimaan terhadap teknologi daging hasilan makmal atau daging kultur ini mampu menjadi pemangkin perubahan besar buat Malaysia yang mencatat kadar sara diri makanan sebanyak 69.9 peratus, ketinggalan berbanding Singapura 73.1 peratus, menurut Indeks Keterjaminan Makanan Global 2022 yang diterbitkan oleh The Economist, akhbar mingguan tentang ekonomi, teknologi dan budaya.

Dr. Mohamad Hafizi Abu Bakar, pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia, semasa ditemui Bernama di Perai, Pulau Pinang baru-baru ini. --fotoBERNAMA (2025) HAKCIPTA TERPELIHARA
KRISIS MAKANAN KIAN SERIUS
Malaysia mempunyai kebergantungan tinggi pada import makanan bagi memenuhi permintaan dengan kadar importnya mengatasi eksport. Pada 2023, nilai import makanan Malaysia ialah sebanyak RM78.79 bilion, merangkumi produk daging, tepung gandum, tenusu dan sayur-sayuran, berbanding RM75.62 bilion pada tahun sebelumnya. Kadar sara diri bekalan beras negara pada 2023 ialah 56.2 peratus dengan pengeluaran beras merekodkan penurunan daripada 2.28 juta tan metrik pada 2022 kepada 2.18 juta tan metrik setahun kemudian.
Gangguan global - daripada sekatan pergerakan akibat COVID-19 hinggalah peperangan di Ukraine - mendedahkan betapa mudahnya rantaian bekalan makanan terputus.
Data kerajaan menunjukkan sekalipun Malaysia mengimport tidak sampai 10 peratus hasil laut, ikan merupakan sumber protein paling penting bagi rakyatnya.
Malaysia antara pengguna tertinggi ikan dan hasil laut, kebanyakannya daripada sumber laut dan air payau, bukan air tawar, kata Prof Madya Amy Then Yee Hui daripada Institut Sains Biologi, Universiti Malaya (UM) kepada Bernama.
Menurut beliau, industri penternakan ikan diwujudkan bagi meringankan beban perikanan laut, namun sektor itu juga ada masalahnya sendiri, antaranya kos pengeluaran yang tinggi, kekurangan tanah serta kerosakan alam sekitar, khususnya di sungai dan paya bakau.
“Sebenarnya kita mengalami masalah penangkapan ikan berlebihan ini sudah hampir 30 tahun, jadi, pada asasnya kita memang tidak boleh tambah lagi (jumlah tangkapan ikan di laut), namun permintaan terhadap hasil laut terus meningkat,” katanya.
Satu lagi isu yang dihadapi oleh penternak ikan ialah perubahan iklim. Pengarah Kanan Institut Penyelidikan Perikanan Dr Azhar Hamzah berkata perubahan suhu melampau menyebabkan banyak kolam ternakan ikan dijangkiti penyakit dan memerlukan rawatan serta ubat-ubatan yang mahal.
“Stres haba melemahkan sistem imun. Suhu yang tinggi pula akan menjejaskan kualiti air,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, kejadian banjir dan ribut pula merosakkan kolam ikan, menyebabkan ternakan terlepas ke perairan bebas dan seterusnya mengganggu ekosistem setempat.

Pekerja makmal di Cell AgriTech menunjukkan balang yang penuh dengan sel stem unagi. --fotoBERNAMA (2025) HAKCIPTA TERPELIHARA
DAGING KULTUR SEBAGAI PENYELESAIAN
Kini muncul pilihan baharu, iaitu daging kultur - protein berasaskan haiwan sebenar, dihasilkan tanpa perlu diternak atau ditangkap. Namun, adakah ini benar-benar satu penyelesaian ?
Bagi Singapura, jawapannya “ya”. Republik itu menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan penjualan daging kultur pada 2020. Malaysia mungkin menyusul tidak lama lagi, susulan penubuhan makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi pengeluaran daging kultur yang pertama, di Pulau Pinang pada 2023.
Pengeluaran daging kultur menggunakan teknologi DNA dan dimulakan dengan mengekstrak sebilangan kecil sel daripada haiwan, sama ada yang hidup ataupun baru disembelih bagi memenuhi piawaian halal, dan diletakkan di dalam bioreaktor.
(Bioreaktor ialah sebuah alat dalam bioteknologi yang digunakan bagi proses biologi di bawah persekitaran terkawal.)
Sel-sel dasar itu yang diberikan nutrien dan oksigen, akan menghasilkan otot atau sel lemak, tanpa darah atau tulang. Apabila proses tumbesaran selesai, rupanya seakan “daging cencang”, kata Ng daripada Cell AgriTech kepada Bernama.
“Kami ambil sel daripada haiwan dan ‘tumbuh besarkan’ ia di dalam bioreaktor. Oleh itu, kami dapat katakan yang daging kami hasilkan ini mempunyai DNA yang sama dengan daging konvensional.”

Jason Ng, naib presiden dan pengasas syarikat Cell AgriTech Sdn Bhd, menjelaskan kepada Bernama cara daging tulen ikan dihasilkan dari dari sel stem haiwan tersebut dengan menggunakan bioreaktor di dalam makmal. --fotoBERNAMA (2025) HAKCIPTA TERPELIHARA
Namun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, penyelidik di bahagian kawalan kualiti akan melakukan penjujukan genom bagi memastikan tidak ada mutasi atau pencemaran berlaku semasa proses “tumbesaran”.
Ng yang merupakan anak jati Pulau Pinang, berkata syarikat itu menumpukan pada penghasilan ikan kultur sebagai langkah strategik, bagi mengelakkan keperluan pensijilan halal yang diwajibkan ke atas haiwan darat.
Katanya mereka masih menunggu tindakan kerajaan meminda undang-undang sedia ada agar penjualan daging kultur dapat dibenarkan secara rasmi di Malaysia.
Buat masa ini kerajaan sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan selama enam bulan, yang turut melibatkan Mohamad Hafizi sebagai antara penyelidik.
Selain itu, daging kultur juga boleh menangani isu kebimbangan dari segi keselamatan yang sering dikaitkan dengan ikan ternak, malah, adakala ikan di habitat semula jadi.
Ikan kultur - seperti unagi yang dimakan oleh Mohamad Hafizi - menawarkan pilihan. Oleh sebab tidak ada antibiotik dan hormon diperlukan dalam proses pengkulturan, maka tidak wujud risiko patogen seperti cacing atau mikroplastik yang kerap ditemukan dalam ikan tangkapan dari habitat semula jadi. Dari segi alam sekitar pula, tidak ada lagi risiko penularan spesies invasif yang diperkenalkan dalam sektor akuakultur dan masalah kolam ikan tinggal.
Then daripada UM, berkata beliau tertarik apabila membaca tentang daging kultur, namun berpendapat daging itu harus berperanan sebagai pelengkap, bukan pengganti kepada penangkapan atau penternakan ikan konvensional.
“Saya rasa ia alternatif yang bagus, supaya kita tidak terlalu bergantung pada akuakultur,” katanya.
PERSEPSI UMUM
Bagaimanapun kata pakar, ujian terakhir ialah penerimaan masyarakat. Mengambil kira psikologi pengguna dan rasa tidak percaya rakyat Malaysia dalam isu gandingan makanan dengan teknologi, soalannya: Adakah rakyat Malaysia akan makan daging yang dihasilkan di dalam makmal?
Bernama menjalankan tinjauan bukan saintifik bagi melihat jika orang ramai bersedia makan daging kultur. Ramai yang jawab mereka bersedia untuk mencuba, segelintir lagi menolak keras namun sebahagian besar berkata mereka akan makan sekiranya ada pensijilan halal.
Majlis Ugama Islam Singapura membenarkan penggunaan daging kultur asalkan sumber sel datang daripada haiwan yang dibenarkan disembelih menurut cara Islam dan tiada bahan tidak halal digunakan semasa pengkulturan. Sesetengah ulama di negara lain, termasuk Arab Saudi dan Indonesia, menyatakan sokongan awal terhadap daging kultur halal, dengan syarat semua peraturan ketat yang ditetapkan dipatuhi. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pula masih menimbang.

Daging kultur unagi yang dihasilkan oleh Cell AgriTech dibekukan sebelum diproses. --fotoBERNAMA (2025) HAKCIPTA TERPELIHARA
Kebanyakan yang menjawab “tidak” ialah mereka daripada generasi berusia, sementara mereka yang ingin mencuba kerana rasa ingin tahu datang daripada kelompok milenium (Generasi Y). Dr Salini Devi Rajendran daripada Institut Kulinari, Taylor’s University, tidak terperanjat, kerana katanya generasi muda selalunya lebih prihatin terhadap alam sekitar selain lebih arif dalam isu-isu saintifik.
Beliau bagaimanapun mengingatkan perkara paling penting ialah mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, selain perlu lebih telus agar teknologi itu tidak “terkubur” sebelum sempat berkembang.
“Pelabelan amat penting, dan menerusi pelabelan pengguna dapat dididik tentang maklumat yang betul sebelum mereka membeli dan makan,” katanya.
Dalam dunia yang sedang bergelut dengan perubahan iklim, peningkatan harga makanan serta kerosakan ekologi, mungkin yang diperlukan oleh negara ini hanyalah langkah pertama ke arah daging hasilan makmal.