Memasyarakatkan Bahasa Isyarat Menerusi Lagu

P
enggunaan bahasa isyarat dilihat hanya untuk golongan kurang upaya pendengaran dan mereka yang berkenaan, justeru tidak ada keperluan untuk dipelajari oleh mereka yang lain, sementelah gerakan tangan yang dibuat untuk berkomunikasi itu juga kelihatan agak kompleks.   

Namun usaha beberapa pihak termasuk penyanyi sohor tanah air “mempopularkan” bahasa isyarat, membuktikan tidak sukar untuk masyarakat umum mempelajari bahasa berkenaan.  

Menerusi video muzik Angkat dan Serumpun - masing-masing dikeluarkan pada tahun lepas dan tahun ini - penyanyi Mimifly mencetuskan trend apabila bahasa isyarat yang dijadikan sebahagian daripada gerak tari itu mendapat perhatian peminat, yang menyahut cabaran menarikan gerakan tangan lagu-lagu tersebut dan berkongsi video mereka di media sosial masing-masing. 

Mimifly, atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, ketika menjelaskan penggunaan bahasa isyarat itu, berkata beliau berbuat demikian bagi mendekati kelompok istimewa tersebut.   

Sebelum itu, penyanyi Nabila Razali juga mencuri tumpuan apabila menterjemahkan lirik lagu raya yang dinyanyikannya Raya Mana ke dalam bahasa isyarat yang dipelajarinya daripada YouTube.

 

MENDIDIK MENERUSI LAGU

Bagi Abdul Halim Mohd Nasa, guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah, Seremban, Negeri Sembilan, beliau melihat masyarakat kini lebih terbuka dan bersedia untuk mempelajari bahasa isyarat.

Guru Pendidikan Khas Abdul Halim Mohd Nasa

“Sebagai pendidik bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas  (masalah pendengaran), kita gembira apabila ada pihak termasuk kelompok anak seni yang mengangkat dan memperkasa bahasa isyarat ini yang secara tidak langsung turut mengiktiraf kehadiran komuniti pekak dalam masyarakat.

“Sebenarnya ini satu langkah yang baik, iaitu kita berusaha menggalakkan lebih ramai ahli komuniti kita belajar bahasa isyarat, yang bagi saya adalah satu keperluan apabila kita perlu berinteraksi dengan golongan pekak ini,” katanya kepada Bernama.

Berkongsi pengalamannya mengajar golongan itu sejak 15 tahun lalu, Abdul Halim berkata di peringkat awal beliau hanya mempunyai pengetahuan asas sebelum mengambil inisiatif belajar sendiri daripada pelajar dan guru-guru lain, di samping menyertai kursus pendek anjuran pelbagai pihak termasuk Persekutuan Orang Pekak Malaysia.

Bagi memperluas kesedaran tentang bahasa isyarat, beliau memanfaatkan laman sosial TikTok, berkongsi pengetahuannya dengan masyarakat umum.

Menggunakan nama akaun @Alimzsensei, guru ini menggunakan pendekatan kreatif menterjemahkan lirik lagu kepada bahasa isyarat yang mencuri perhatian pengikutnya.

“Asalnya saya hanya buat video TikTok berkaitan pastri, kemudian ada anak murid minta saya buat video menyanyi… maka terhasillah pengajaran bahasa isyarat menerusi nyanyian dan lagu.

Bahasa isyarat merupakan bentuk komunikasi visual menekankan penggunaan tangan, ekspresi muka dan gerakan tubuh dalam menyampaikan mesej.

“Waktu itu saya berniat hanya mahu wujudkan kesedaran supaya lebih ramai orang belajar dan berkomunikasi dalam bahasa isyarat. Bagi saya pendekatan ini lebih mudah, kerana selain berhibur, pada masa sama kita juga mendidik,” katanya yang mempunyai lebih 27,000 pengikut di TikTok.

Abdul Halim yang aktif memuat naik kandungan video di platform itu sejak 2022, turut mengetengahkan lagu-lagu popular dan tular sebagai kandungan, menampilkan beliau melakukan segerak bibir (lip-sync) yang diselarikan dengan gerakan tangan serta mimik muka.

Antara lagu-lagu yang dinyanyikan beliau ialah Salam Terakhir (Sudirman), Hening Rindu (Marsha Milan) dan Angkat (Mimifly) dengan video yang dimuat naik beliau memperoleh puluhan ribu tontonan sekali gus berjaya memasuki ruangan FYP (For Your Page - video yang disyorkan) di platform media sosial berkenaan. 

“Kebanyakan lagu-lagu ini adalah permintaan daripada pengikut TikTok dan saya sekadar memenuhi permintaan mereka untuk belajar bahasa isyarat asas menerusi kandungan video saya.

“Saya juga tidak sangka daripada sekadar suka-suka (buat video) ia menerima maklum balas yang positif dan pengikut juga mahu saya perbanyakkan lagi video sebegini. Namun  kekangan masa membataskan sedikit untuk saya aktif  membuat kandungan,” katanya.

 

TINGKATKAN INTERAKSI

Sementara itu, Ketua Program Pendidikan Khas, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Norazmi Nordin berkata bahasa isyarat merupakan bahasa atau bentuk komunikasi visual yang menekankan pada penggunaan tangan, ekspresi muka dan gerakan tubuh dalam menyampaikan mesej.

Ketua Program Pendidikan Khas, Fakulti Pendidikan, UKM Dr Mohd Norazmi Nordin

Katanya dengan memahami bahasa isyarat, ahli masyarakat dapat berkomunikasi secara lebih efektif dengan golongan pekak dan bisu yang secara tidak langsung membantu meningkatkan interaksi sosial, memupuk empati serta mengurangkan jurang antara individu tipikal dan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

“Jika lebih ramai orang tipikal (orang biasa) menguasai bahasa isyarat, komunikasi dua hala akan menjadi lebih inklusif dan harmoni. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti pekak, malah memudahkan urusan seharian seperti dalam perkhidmatan pelanggan, pendidikan dan situasi kecemasan.

“Bahasa isyarat juga harus dianggap sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia. Kewujudan bahasa ini dapat menjadikan masyarakat negara ini lebih inklusif dengan menerima setiap keadaan ahli dalam komuniti,’’ katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, bahasa isyarat yang digunakan dalam komuniti tersebut bukan sekadar “isyarat” biasa tetapi mempunyai struktur tatabahasa tersendiri sepertimana bahasa pertuturan lain.

Jelasnya, di negara ini  Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) diiktiraf sebagai bahasa rasmi komuniti pekak dan dibangunkan berdasarkan struktur bahasa Melayu selain mempunyai ciri-ciri visual dan linguistik yang unik.

“Dalam pendidikan di sekolah, kita juga mempunyai Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) yang lebih berstruktur dari segi sintaksis dan morfologi bahasa. Kedua-dua struktur ini mempunyai peranan yang tersendiri dan penting dalam komunikasi ataupun proses pembelajaran bahasa OKU ketidakupayaan pendengaran. 

“Kefahaman tentang aspek linguistik bahasa isyarat ini juga perlu ditekankan supaya masyarakat tidak memandang rendah terhadap penggunaannya,” kata beliau.

 

PENGGUNAAN PERLU DIPERLUAS

Mengulas lanjut, beliau berkata bahasa isyarat perlu diperluaskan lagi penggunaannya dalam semua saluran komunikasi rasmi termasuk media cetak dan elektronik.

Bahasa isyarat perlu diperluaskan lagi penggunaannya dalam semua saluran komunikasi.

Tambahnya, langkah RTM dan Bernama TV yang mengetengahkan jurubahasa isyarat untuk siaran berita wajar dijadikan contoh oleh stesen televisyen yang lain.

“Masyarakat pekak juga berhak mendapat akses terhadap maklumat, sama seperti orang lain. Kita perlu bergerak ke arah penyiaran yang benar-benar mesra OKU.

“Dengan memperluas penggunaan jurubahasa isyarat di media massa, kita bukan sahaja memberi hak akses kepada golongan pekak, tetapi turut mendidik penonton lain tentang keperluan komunikasi inklusif. Ini akan meningkatkan kesedaran umum bahawa setiap rakyat, tanpa mengira keupayaan, harus mendapat peluang yang sama untuk menerima maklumat dan berita,” katanya.

Tambah beliau lagi, kehadiran jurubahasa isyarat di kaca-kaca  TV  turut memberi pendedahan secara langsung kepada jutaan penonton untuk mempelajari bahasa isyarat, tidak hanya terhad kepada golongan pekak dan bisu.

Usaha itu katanya merupakan langkah strategik ke arah memasyarakatkan bahasa isyarat yang tidak harus dilihat sebagai platform komunikasi semata-mata, sebaliknya juga sebagai  profesion  dan kemahiran yang bernilai tinggi.

“Mungkin akan ada inisiatif  yang lebih menarik selepas ini, misalnya mewujudkan jurubahasa isyarat yang dikenali (ramai) seperti daripada golongan selebriti, yang secara tidak langsung akan membuka ruang kerjaya baharu, sekali gus meningkatkan imej bahasa isyarat itu sendiri,’’ katanya.

 

PENERIMAAN

Dalam pada itu, Mohd Norazmi berkata meskipun bahasa isyarat mutakhir ini telah diterima baik dalam masyarakat, masih ramai belum benar-benar memahami atau menguasai bahasa tersebut kerana penghayatan dan penggunaannya sebagai medium komunikasi masih terhad.

Katanya tanpa penguasaan atau sokongan terhadap bahasa itu, golongan OKU berisiko terpinggir daripada arus maklumat, pendidikan dan interaksi sosial.

“Perlu ada lebih banyak pendedahan dan latihan di pelbagai peringkat. Banyak pihak ketika ini telah mula mengambil inisiatif dengan mengadakan bengkel, kursus dan kandungan digital yang memperkenalkan bahasa isyarat kepada masyarakat.

“Namun demikian, usaha ini perlu disokong secara lebih menyeluruh termasuk dari segi dasar kerajaan, institusi pendidikan dan media. Kefahaman yang meluas terhadap bahasa isyarat akan memupuk budaya saling menghormati dalam kalangan masyarakat hari ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.