Perubahan Landskap Pekerjaan: Keusahawanan Jadi Pilihan Generasi Muda

D
unia pekerjaan kian berubah dengan ramai anak muda hari ini memilih berdikari sebagai usahawan berbanding 10 tahun dahulu ketika kerja makan gaji, terutama di sektor awam, menjadi sasaran. 

Ketika itu, kestabilan pendapatan dan jaminan kerjaya menjadi keutamaan, namun kini kebanyakan anak muda mahukan cabaran selain kebebasan yang ditawarkan sekiranya bekerja sendiri.

Di samping itu, kemunculan usahawan berjaya seperti Khairul Amin Kamarulzaman atau Khairul Aming yang baru berusia 33 tahun namun sudah bergelar jutawan, turut memainkan peranan dalam mengubah pemikiran anak muda sekarang tentang dunia perniagaan. 

Pakar percaya fenomena ini tidak bersifat trend sementara memandangkan dunia perniagaan kini banyak bergantung pada teknologi yang memudahkan usahawan membina dan mengembangkan perniagaan mereka.

 

FAKTOR PENDORONG

Mengupas trend itu,  pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Dr Ehsan Fansuree Surin berkata banyak faktor yang mendorong generasi muda atau belia lebih memilih menjadi usahawan berbanding sekadar makan gaji.

Katanya selain berasal daripada keluarga yang terlibat dalam perniagaan, ada dalam kalangan mereka menceburi bidang tersebut kerana minat dan keinginan berdikari, selain ada juga disebabkan kesukaran mendapatkan pekerjaan.

“Tidak dinafikan ada anak muda turut terinspirasi daripada suri teladan  mereka atau individu berpengaruh, jadi mereka melihat individu itu sebagai contoh untuk mereka bergelar usahawan.

Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Dr Ehsan Fansuree Surin

“Selain itu, persekitaran ekonomi turut mendorong orang ramai mencari alternatif untuk penjanaan kewangan misalnya ketika wabak COVID-19 dulu. Pekerja yang diberhentikan kerja waktu itu berkemungkinan tidak mempunyai kantung kewangan yang mencukupi, lantas satu cara untuk meningkatkan pendapatan adalah melalui perniagaan,’’ katanya kepada Bernama.

Menurut Ehsan, dalam konteks ekonomi moden, kebergantungan pada makan gaji sahaja dilihat masih tidak mencukupi, lebih-lebih lagi kerana pasaran kerja semakin kompetitif dan tidak menentu.

Pada masa sama, penglibatan generasi muda dalam bidang keusahawanan bukan sahaja memberi manfaat kepada diri mereka sendiri, tetapi turut menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran dan pemerkasaan ekonomi tempatan.

“Kehadiran usahawan muda juga berupaya menjadi tonggak penting untuk memacu perubahan dan meningkatkan daya saing di peringkat global.

“Ini kerana, dengan keberanian untuk mencuba serta berkebolehan menggunakan teknologi moden dan terkini, mereka ini dilihat dapat membawa pembaharuan kepada pelbagai sektor ekonomi,’’ katanya.

Menurut laporan SME Corporation Malaysia pada 2020, sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana yang didominasi oleh usahawan muda menyumbang lebih 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Sumbangan itu termasuk dalam aspek penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan eksport dan pengenalan produk baharu yang kompetitif di pasaran global.

Ini membuktikan di Malaysia, peranan usahawan muda semakin penting dalam usaha membangunkan ekonomi negara.

Selain itu, kajian Workmonitor suku pertama 2020 oleh Randstad Malaysia, menunjukkan sebanyak 49 peratus pekerja di Malaysia dijangka meninggalkan pekerjaan mereka untuk memulakan perniagaan sendiri.

Media sosial global terutamanya TikTok, disifatkan sebagai platform pemasaran digital yang berkesan kerana mempunyai jangkauan pemasaran  lebih luas dan cepat, selain menyediakan kandungan visual kreatif dan sesuai untuk usahawan.

Hasrat tersebut dikongsikan oleh 56 peratus responden berusia 25 hingga 34 tahun berbanding 28 peratus responden antara 55 hingga 67 tahun menerusi kajian yang dijalankan mulai 13 hingga 30 Mac, 2020 melibatkan sekurang-kurangnya 400 saiz sampel bagi setiap pasaran.

Randstad dalam satu kenyataan berkata, kajian itu turut menunjukkan pekerja generasi muda lebih berminat menjadi usahawan dengan 82 peratus daripada generasi Z dan 76 peratus responden generasi muda memaklumkan bidang itu memberikan mereka lebih banyak peluang.

 

SEIRING TEKNOLOGI

Mengulas lanjut, Ehsan berkata bidang keusahawanan ketika ini turut melalui perubahan besar.

Katanya jika sebelum ini perniagaan tradisional bergantung pada kedai fizikal dan pemasaran konvensional, kini generasi muda tampil dengan strategi baharu yang dipacu  Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan kuasa media sosial.

Beliau berkata IR 4.0 telah mewujudkan ruang buat anak muda untuk menempatkan diri mereka sebagai usahawan, manakala media sosial menjadi platform bagi mereka mencipta pengaruh sekali gus mampu menguasai khalayak dengan lebih meluas.

“IR 4.0 merupakan transformasi industri yang berasaskan penggabungan teknologi seperti digital dan  fizikal... ia secara tidak langsung mengubah cara kita mengemudi perniagaan.

“Penyesuaian perniagaan dengan teknologi ketika ini amat ditagih seiring dengan IR 4.0 yang menuntut usahawan belia untuk lebih inovatif, cekap dan pantas dalam pembuatan keputusan yang kritikal,” katanya.

Pada masa sama, Ehsan berkata aplikasi media sosial global terutamanya TikTok, disifatkan sebagai platform pemasaran digital yang berkesan kerana mempunyai jangkauan pemasaran  lebih luas dan cepat, selain menyediakan kandungan visual kreatif dan sesuai untuk usahawan memasarkan pelbagai produk dan perkhidmatan.

Teknologi ketika ini amat ditagih seiring dengan IR 4.0 yang menuntut usahawan belia untuk lebih inovatif,

“Usahawan muda kini melihat aplikasi TikTok sebagai ‘lubuk duit’ dan ia turut menjadi pilihan utama usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana  di negara ini untuk mempromosikan dan memasarkan produk keluaran mereka,” katanya.

Bagaimanapun beliau menasihati usahawan muda agar memanfaatkan kemudahan itu dengan cara yang betul termasuk mengenal pasti audiens yang disasarkan, agar tidak dianggap sebagai “syok sendiri”. 

 

ILMU USAHAWAN

Sementara itu, Pengarah Teknousahawan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Sr Dr Nazirah Mohamad Abdullah yang senada, mengakui teknologi dan kemudahan teknologi digital ketika ini memudahkan sesiapa sahaja untuk berniaga dan menceburi bidang keusahawanan.

Malah kata beliau, ada dalam kalangan mahasiswa yang telah bergelar usahawan meskipun masih belum menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kalau dahulu ramai pelajar hanya melihat kerjaya profesional seperti doktor atau jurutera sebagai pilihan utama, hari ini mereka semakin terbuka untuk mencuba dunia perniagaan. Kita tidak menolak fenomena ini kemungkinan didorong oleh kejayaan ikon-ikon muda seperti Khairul Aming.

“Di universiti (UTHM) sendiri, saya perhatikan semakin ramai mahasiswa yang tidak menunggu tamat pengajian untuk mula berniaga. Malah, mereka sudah ada produk dan jenama sendiri semasa masih bergelar pelajar,” katanya.

Nazirah berpandangan keusahawanan bukan jalan mudah, ia penuh dengan cabaran namun, ganjarannya besar sekiranya mereka konsisten.

Sehubungan itu beliau mengesyorkan agar inisiatif mahasiswa untuk bergelar usahawan disokong secara menyeluruh termasuk diberikan latihan secara berterusan, bimbingan mentor, akses kepada teknologi dan peluang menjalin rangkaian kerja dengan pemain industri.

Ada kalangan mahasiswa yang telah bergelar usahawan

Justeru, usaha mewajibkan ilmu keusahawanan dalam semua program pengajian, disertai dengan penubuhan pusat pembangunan keusahawanan di semua institusi pendidikan, diyakini mampu memberi impak positif kepada generasi muda, dan secara tidak langsung membantu membentuk minda pelajar agar lebih berani mencuba, kreatif serta terbuka terhadap peluang perniagaan, ujarnya.

“Di UTHM, kami telah mewujudkan inkubator perniagaan dan teknologi sebagai platform pelajar dan graduan menguji serta mengembangkan idea mereka dengan sokongan mentor, fasiliti dan jaringan industri.

“Melalui inkubator ini, usahawan muda bukan sahaja dapat bimbingan dalam aspek perniagaan, malah berpeluang menjalin kerjasama dengan syarikat luar bagi membawa produk mereka ke pasaran sebenar. Inisiatif sebegini membuktikan bahawa kolaborasi universiti dan pihak industri adalah kunci untuk melahirkan usahawan muda lebih berdaya saing dan mampan dalam jangka panjang,’’ katanya.

 

PROGRAM KERAJAAN

Nazirah berkata program yang dibangunkan kerajaan turut berperanan penting dalam membimbing dan memperkasakan usahawan muda, sama ada dari segi latihan kemahiran, akses kepada pembiayaan ataupun sokongan pemasaran, sekali gus menyediakan landasan kukuh untuk mereka berkembang.

Katanya program seperti Maju Usahawan MADANI dilihat lengkap dan mampu memberi impak besar dalam melahirkan usahawan baharu, termasuk daripada golongan muda.

Program Maju Usahawan MADANI bertujuan menekankan pembangunan usahawan secara inklusif, mampan dan beretika, seiring dengan nilai yang diterapkan kerajaan MADANI.

Pengarah Teknousahawan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Sr Dr Nazirah Mohamad Abdullah

Beliau berkata program itu bukan hanya melatih usahawan dari segi kemahiran teknikal, malahan membina daya tahan dan nilai integriti yang penting dalam dunia perniagaan.

Bagi golongan belia pula , Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) pula telah terbukti berjaya menarik minat ramai anak muda memulakan perniagaan sendiri yang mana program itu menekankan latihan intensif, disiplin dan bimbingan mentor yang membolehkan peserta membina asas kukuh sebelum melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan.

Selain itu katanya, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang menjadi asas dalam pembinaan ekosistem keusahawanan inklusif, progresif dan mampan dapat membantu lebih ramai beliau terlibat secara aktif dalam bidang keusahawaan.

Beliau berkata kewujudan dasar itu memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti usahawan, pemerkasaan inovasi berasaskan teknologi, peluasan akses kepada pasaran global serta kemudahan pembiayaan.

“Pelan Tindakan Keusahawanan IPT oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadi pelengkap kepada usaha ini. Pelan tersebut bersifat holistik kerana bukan sahaja menekankan aspek ilmu dan kemahiran perniagaan, tetapi juga membangunkan bakat, memperkukuh jaringan industri serta menyediakan sokongan ekosistem yang membolehkan pelajar mengkomersialkan produk dan idea mereka.

“Gabungan antara DKN 2030 dan Pelan Tindakan Keusahawanan KPT ini jelas menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara sedang bergerak ke arah melahirkan siswazah yang bukan sekadar pencari kerja, tetapi pencipta kerja yang mampu bersaing di peringkat nasional dan global,’’ tambahnya.

Penglibatan generasi muda dalam bidang keusahawanan bukan sahaja memberi manfaat kepada diri mereka sendiri, tetapi turut menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran.

Dalam masa yang sama beliau berkata generasi muda perlu mengambil peluang yang telah disediakan oleh negara, khususnya ketika melanjutkan pengajian di IPT yang kebelakangan ini menawarkan pelbagai bentuk sokongan keusahawanan sama ada melalui kursus, geran permulaan, bimbingan ataupun kerjasama daripada pihak industri.

Sebagai contoh katanya, pihak UTHM sendiri bertekad menjadi Global Technopreneur University menjelang 2030 dan hasrat itu diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif yang memberi ruang kepada pelajar untuk berfikir secara kreatif, menguji idea perniagaan dan mengkomersialkan produk di pasaran sebenar. 

“Inilah peluang yang perlu direbut oleh generasi muda kerana universiti bukan lagi sekadar tempat belajar, bahkan juga medan melahirkan usahawan masa depan yang mampu bersaing di pasaran global. Saya sangat optimis dalam 10 ke 20 tahun akan datang, keusahawanan akan menjadi salah satu arus perdana kerjaya, bukan lagi pilihan alternatif.

‘’Ekonomi digital, industri hijau, teknologi AI (kederdasan buatan) dan ekonomi kreatif akan membuka ruang besar kepada usahawan muda. Pada masa sama, struktur pasaran kerja formal mungkin tidak mampu menampung jumlah graduan yang besar...jadi, keusahawanan bukan sahaja peluang, malah keperluan untuk menjana pendapatan dan mengurangkan kadar pengangguran,’’katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.