Terumbu Karang Perhentian Pastikan Kelangsungan Ekosistem Marin Malaysia

G
andingan kehijauan rimba yang belum terusik dan keindahan taman marin yang tersorok di bawah biru kehijauan permukaan perairannya mengangkat nama gugusan Pulau Perhentian sebagai antara destinasi pelancongan terindah di negara ini.

Terletak kira-kira  11 batu nautika ke timur laut Kuala Besut, Besut, Terengganu, gugusan Pulau Perhentian mempunyai taman terumbu karang yang bukan sahaja menjadi tapak nurseri ikan dan "kafeteria” pelbagai jenis hidupan marin, tetapi juga penampan yang melindungi pulau-pulau di situ daripada kuasa alam semula jadi.

Akan tetapi, khazanah alam laut tidak ternilai ini sedang menghadapi ancaman yang kian hebat: pemanasan air laut, pencemaran plastik, kegiatan perikanan berlebihan, pelunturan karang serta tekanan daripada industri pelancongan yang ironinya menjana ekonomi penduduk setempat.  

Bagi Hidayah Halid, 33, pengurus stesen di Perhentian Marine Research Station (PMRS), gugusan pulau ini tidak hanya indah tetapi turut memainkan peranan yang unik dalam kelangsungan ekosistem marin Malaysia.

Diwujudkan pada 2017 oleh perusahaan sosial berasaskan pemuliharaan  Fuze Ecoteer Outdoor Adventures, PMRS bermatlamat meningkatkan kefahaman tentang ekosistem marin dan memperkukuh pengurusan sumber di gugusan Pulau Perhentian.

Stesen itu memfokuskan pada pemantauan kesihatan terumbu karang pulau serta menggabungkan penyelidikan saintifik dengan pendekatan pemuliharaan biobudaya yang mengekalkan kesalingbergantungan manusia dan alam semula jadi.

Stesen PMRS memfokuskan pada pemantauan kesihatan terumbu karang pulau serta menggabungkan penyelidikan saintifik dengan pendekatan pemuliharaan biobudaya. Kredit gambar laman web PRMS.

PMRS memetakan habitat marin merentasi Taman Marin Pulau Perhentian yang meliputi Pulau Perhentian Besar, Pulau Perhentian Kecil, Pulau Susu Dara dan beberapa pulau kecil yang tidak berpenghuni, bagi menilai kesihatan terumbu, sambil pada masa sama melibatkan pihak berkepentingan setempat ke arah amalan lestari.

"Pulau Perhentian sebenarnya pulau paling hujung di sepanjang pantai timur. Apabila karang mengeluarkan benih di sini, larvanya hanyut bersama-sama dengan arus selama hingga tiga minggu dan berakhir di terumbu nun di selatan atau utara. 

“Jadi, Perhentian ini macam pembekal, membantu melestarikan terumbu lain, dan pada masa lain jadi penerima, bergantung pada arah arus. Sebab itu ia penting, ia menyokong kelangsungan terumbu di sepanjang perairan,” kata Hidayah kepada Bernama baru-baru ini.

(Penulis ke PMRS sebagai sukarelawan antara 8 hingga 14 Sept lepas)

“Anda perlu lihat ini sebagai sebuah rantau, satu rangkaian kerja. Perhentian memastikan kesinambungan itu,” tambahnya.

 

PENJAGA TERUMBU KARANG

Terselit di antara kehidupan kampung yang tenang dan kesibukan resort peranginan, PMRS yang terletak di Pulau Perhentian Kecil ini memainkan peranan sebagai penjaga terumbu karang tanpa disedari oleh kebanyakan orang. Menariknya, bagi musim 2025, kesemua petugas di stesen ini adalah wanita. Sepanjang Bernama berada di situ, pasukan yang terdiri daripada dua kakitangan dan empat pelatih melakukan selaman saban hari bagi memantau kesihatan karang, meninjau padang rumpai laut dan merekodkan perubahan dalam biodiversiti marin.

PMRS bermatlamat meningkatkan kefahaman tentang ekosistem marin dan memperkukuh pengurusan sumber di gugusan Pulau Perhentian.

Di darat pula mereka mengendalikan program kesedaran untuk murid sekolah, berinteraksi dengan nelayan mengenai amalan lestari dan mendidik pengembara cara menikmati pulau dengan bertanggungjawab.

Bagi Hidayah, keterlibatan begitu ramai wanita dalam bidang pemuliharaan di Perhentian bukan satu kebetulan.

“Kerja di sini mencabar dan meletihkan, selalunya perlu melakukan pelbagai benda secara serentak, dari perancangan projek kepada kewangan, operasi, penyelidikan dan kebajikan pelatih. Kaum wanita selalunya lebih teliti dan mampu melakukan pelbagai tugas pada satu-satu masa, dan majikan menganggap itu satu kekuatan,” jelasnya.

Menurutnya, projek pemuliharaan lain di Pulau Tioman (Pahang) atau Pulau Redang (Terengganu) didominasi oleh kaum lelaki, namun tambah Hidayah, sejak dulu lagi Fuze Ecoteer dan PMRS lazimnya diuruskan oleh wanita.

Tonggak misi mereka ialah AnakPulau, sebuah inisiatif yang diwujudkan pada 2021 oleh belia setempat untuk mereka sendiri di gugusan Pulau Perhentian. Pada masa ini, kira-kira 30 orang anak muda pulau itu yang dulunya menghabiskan zaman kanak-kanak mereka berenang di antara terumbu karang dan mengejar ikan, telah berikrar untuk melindungi ekosistem yang membesarkan mereka.

Di bawah inisiatif AnakPulau, PMRS melengkapi anak muda dengan kemahiran pemuliharaan dan kelayakan menyelam profesional sekali gus memperkasakan mereka untuk mengambil tindakan yang bermakna.

“Suatu hari nanti, walaupun ketika itu PMRS sudah tidak ada lagi di sini, AnakPulau seharusnya mampu beroperasi sendiri. Itulah matlamatnya, satu usaha pemuliharaan yang benar-benar diterajui oleh komuniti,” kata Hidayah.

 

PELANCONGAN BERLEBIHAN

Sementara itu,  Eden Chin, 23, pelatih PMRS dari United Kingdom yang belajar dalam bidang biologi marin di Plymouth University, berkata kepulauan Perhentian antara tempat dia menyaksikan sendiri betapa buruknya kesan pelancongan yang tidak terkawal terhadap ekosistem marin.

“Pelancong memijak terumbu karang, menyentuh dan mengejar hidupan laut... ramai yang tidak sedar bahawa perbuatan itu sebenarnya berbahaya. Kadangkala hal itu berpunca daripada kejahilan, tetapi selalunya disebabkan oleh kurang kesedaran,” katanya.

Penulis ke PMRS sebagai sukarelawan antara 8 hingga 14 Sept lepas.

Chin berkata sebahagian besar kerosakan berlaku di kawasan cetek yang mudah diakses, iaitu lokasi tumpuan para penyelam skuba dan penyelam snorkel yang kurang berpengalaman.

Memburukkan lagi masalah ialah tindakan pengendali bot menjatuhkan sauh di atas kawasan terumbu karang, memecahkan struktur rapuh yang mengambil masa puluhan tahun untuk terbentuk.

“Orang datang untuk menikmati keindahan terumbu karang, tetapi berakhir dengan mereka sendiri ‘membunuh’ keindahan itu,” katanya.

Bagi Chin, isunya bukan sekadar kerosakan fizikal tetapi juga ketiadaan bimbingan berstruktur untuk pelawat.

“Langkah-langkah mudah seperti taklimat yang betul sebelum aktiviti selam snorkel atau papan tanda larangan sentuh boleh mengubah situasi ini. Rata-rata tidak berniat jahat, cuma mereka tidak tahu. Akan tetapi, sekiranya mereka diberikan arahan yang jelas, mereka boleh mengubah kelakuan ketika berada di dalam air,” tegasnya.

Walaupun peraturan itu penting, Chin berkata ia mesti disertai dengan kempen kesedaran yang bermula sejak awal.

“Jika ibu bapa memahami mengapa terumbu karang itu penting, mereka boleh menyampaikan kefahaman itu kepada anak-anak mereka. Maka generasi pelancong seterusnya tidak akan melihat terumbu sebagai tempat permainan, tetapi sebagai ekosistem yang harus dihormati.”

Seorang lagi pelatih PMRS Jessica Farrell, 24, dari Sepanyol, berkata pengalamannya di gugusan Pulau Perhentian memberikan inspirasi dan juga kesedaran.

“Di sini terdapat banyak hidupan laut, dan setiap kali menyelam anda akan melihat pelbagai spesies. Terumbu karangnya penuh dengan warna, begitu hidup dan menyerlah,” kata Farrell yang memiliki ijazah dalam bidang biologi dan merupakan divemaster bertauliah.

Gadis itu membandingkan keadaan tersebut dengan pengalaman selamannya di kampung halaman.

“Saya kebanyakannya hanya menyelam di Sepanyol, di mana perairannya jauh lebih sejuk dan anda tidak akan melihat kekayaan serta kepelbagaian hidupan laut yang sama,” katanya.

Mengenang pengalamannya di Perhentian, Farrell berkata ia turut mengubah hubungannya dengan laut.

“Saya memang sukakan lautan, tetapi semakin lama kita luangkan masa di laut, semakin kita sedar bahawa kita tidak akan tahu segala-galanya tentang laut, dan terdapat begitu banyak benda untuk diteroka,” katanya.

 

SUARA GENERASI BAHARU 

Wong Yee Shuen, 23, penuntut dalam bidang ekologi dan biodiversiti di  Universiti Malaya yang baru sahaja menyertai PMRS sebagai pelatih media sosial, mendapati walaupun ada inisiatif kitar semula di pulau itu, usaha tersebut berisiko mewujudkan rasa selamat yang palsu.

“Orang menganggap tidak mengapa untuk guna plastik kerana boleh dikitar semula, tetapi hakikatnya kebanyakan plastik tidak boleh dikitar semula. Proses kitar semula itu sendiri memerlukan tenaga dan menghasilkan bahan pencemar. Di sebuah pulau dengan keupayaan terhad untuk menguruskan sisa, perkara yang lebih penting ialah mengurangkannya di peringkat sumber,” katanya.

Di bawah inisiatif AnakPulau, PMRS melengkapi anak muda dengan kemahiran pemuliharaan dan kelayakan menyelam profesional, serta memperkasakan mereka bagi mengambil tindakan bermakna.

Bagi Wong, cabarannya bukan sekadar tentang perlindungan marin, tetapi juga mengenai penyelarasan gaya hidup harian dengan matlamat pemuliharaan.

Dia menyoroti penggunaan barangan sekali guna yang meluas, terutamanya di kawasan pelancongan, yang menurutnya satu tingkah laku pengguna tidak mampan.

“Kita dah ada pinggan dan sudu garfu, jadi kenapa perlu tambah lapisan pakai buang hanya untuk jimat masa (cuci bekas makan)? Dalam jangka panjang, tindakan ini hanya tambah beban sisa,” tegasnya.

Dia juga menegaskan bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam mengubah cara berfikir, namun ia mesti dilakukan dengan penuh kepekaan.

“Siapalah kita untuk beritahu orang bahawa apa yang mereka lakukan selama 20 tahun ini tidak mampan? Bukan mudah untuk mengubah tabiat dalam sekelip mata, tetapi peniaga boleh mula dengan menawarkan pilihan boleh guna semula, dan pelancong juga perlu menjadi sebahagian daripada perubahan itu,” katanya.

Di masa depan, Wong menjangkakan wujud pelbagai cabaran dan juga peluang untuk organisasi seperti PMRS.

“Dalam dunia yang ideal, NGO pemuliharaan tidak perlu wujud kerana alam sekitar mampu hidup kendiri. Namun realitinya, masalah itu sudahpun berlaku, dan hal ini membuka peluang untuk PMRS membantu komuniti menyesuaikan diri dengan perubahan iklim,” tambahnya.

 

LANGKAH KECIL, IMPAK BERKEKALAN

Walaupun jejak mereka kecil, impak PMRS besar, bukan hanya dari segi data yang mereka kumpul dan spesies yang dipantau, tetapi dari sudut kelakuan yang mereka ubah. 

Setiap tahun, antara Mac dan Oktober (sebelum bermulanya Monsun Timur Laut pada November) stesen itu menjalankan program sukarelawan berstruktur bagi menyokong strategi pemuliharaannya.

Sepanjang musim 2024, seramai 14 sukarelawan telah meluangkan keseluruhan 30 minggu di pulau tersebut, menjalankan 115 selaman untuk memantau terumbu karang dan mengeluarkan sisa. Mereka juga menganjurkan 24 aktiviti pembersihan pantai yang berjaya mengutip lebih daripada 1,180 kilogram sampah dan 20 pembersihan dasar laut yang mengeluarkan hampir 120 kilogram sisa dari dasar laut.

Bukan setakat itu, perubahan juga dapat dilihat dalam kalangan ahli masyarakat. Pengusaha bot tempatan kini melaporkan penemuan penyu mati kepada stesen. Nelayan yang suatu ketika dulu menangkap kima gergasi kini menerangkan kepada orang lain bahawa kima berfungsi sebagai penapis air kotor dan tidak sepatutnya dimakan. Kanak-kanak yang dahulunya memberi makan ikan dengan roti kini menasihati pelancong supaya tidak berbuat demikian.

Bagi Hidayah, kejayaan datang dalam pencapaian kecil.

“Misalnya ketika komuniti menghubungi kami, apabila kedai selaman melaporkan sesuatu yang luar biasa (di laut), apabila golongan muda berasakan mereka sebahagian daripada usaha pemuliharaan… pada saat itulah saya tahu kami sedang mencatat kemajuan,” katanya.

Bagi penduduk Perhentian, pemuliharaan bukan sekadar sains tetapi kenangan, kesinambungan dan kelangsungan hidup.

Selagi terumbu karang terus bertahan dan kumpulan ikan bayan masih berenang melintasi karang, kisah mereka yang berjuang untuk melindunginya juga akan terus hidup.

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.