Keyakinan, Naratif Positif Mampu Pacu Malaysia Ke Tahap Lebih Tinggi, Kata Tokoh Peruncit Andrew Lim

F
igura tidak asing dalam industri runcit Malaysia Datuk Dr Andrew Lim Tatt Keong percaya kemajuan berterusan negara bergantung pada keyakinan, sikap optimis dan kesediaan rakyatnya memikul tanggungjawab terhadap pertumbuhan negara.

Mengimbas pengalaman peribadinya, beliau berkata walaupun ada kelemahan, sistem di Malaysia masih menyediakan peluang sebenar untuk rakyat meningkatkan taraf hidup seperti yang dapat dilihat melalui kejayaan perniagaan tempatan.

Lim, 69, yang juga Presiden Persatuan Peruncit Malaysia, berkata ketika membesar di Pulau Pinang pada 1960-an, beliau melihat betapa yakinnya rakyat Malaysia pada waktu itu.

“Kita sangat yakin… Malaysia sentiasa yang terbaik. Waktu itu tidak timbul sebarang keraguan bahawa Malaysia merupakan antara negara  paling pesat membangun dalam Komanwel,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, rakyat Malaysia kini dihujani naratif negatif yang sedikit sebanyak menjejaskan pemikiran dan semangat mereka.

“Seolah-olah kita mempunyai mentaliti rendah diri, bahawa kita tidak sebagus orang lain. Namun ini tidak benar. Justeru, naratif negatif itu harus diubah,” tegasnya.

 

HUJAN EMAS DI NEGERI ORANG HUJAN BATU DI NEGERI SENDIRI

Lim yang menggambarkan dirinya sebagai “chai tiam”, iaitu istilah Hokkien bermaksud “peniaga kedai runcit”, mengambil alih Gama Supermarket di Pulau Pinang dan gedung beli-belah Sogo di ibu negara pada awal 2000-an.  

Merupakan seorang peguam pada asalnya, beliau membina pengaruh dalam sektor runcit tempatan secara beransur-ansur selama bertahun-tahun, termasuk mengambil alih jenama terkenal seperti Cold Storage, Mercato dan Giant. Beliau juga mengembangkan perniagaannya ke seberang Tambak Johor dengan mengambil alih Cold Storage di Singapura pada awal tahun  ini.

Merupakan seorang peguam pada asalnya, beliau membina pengaruh dalam sektor runcit tempatan secara beransur-ansur selama bertahun-tahun. Kredit gambar laman The Peak Malaysia.

“Semasa saya mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di United Kingdom, saya perasan satu perkara… di sana ada siling kaca yang sukar ditembusi  oleh warga asing seperti saya jika saya menetap di sana. 

“Itulah realitinya, bukan kerana perkauman… cuma masyarakat di sana ada jaringan kerja dalam lingkungan mereka sendiri, ada pemimpin dan golongan berprestasi tinggi dalam kalangan mereka sendiri.

“Namun, apabila saya pulang ke Malaysia, saya disambut dengan tangan terbuka. Kita semua dialu-alukan untuk kembali dan memberikan yang terbaik kepada negara,” katanya. 

Lim membina kerjaya sebagai peguam yang berjaya selama 20 tahun sebelum beralih ke bidang perniagaan. Beliau kini merupakan pengerusi eksekutif kumpulan bagi USP Resources Sdn Bhd dan Gama Group of Companies. Beliau juga timbalan pengerusi kumpulan SOGO Seibu Group of Companies di Malaysia. 

Kejayaannya disifatkan oleh Lim bukan diraih atas kemampuan sendiri, sebaliknya sistem di Malaysia yang membentuk dirinya sejak kecil dan masih menjadi sebahagian daripada kehidupannya sekarang.

“Sistem yang ada di Malaysia membolehkan kita berkembang, mengecap kemakmuran dan kejayaan. Generasi saya yang mempunyai peluang sama seperti saya, bekerja keras untuk berjaya dan saya boleh katakan ramai antara kami yang benar-benar berjaya.  

“Benar, kita semua ada sifat peribadi yang membantu kita berjaya, namun tanpa asas atau sistem yang mempermudah usaha kita, saya pasti kita semua tidak akan berjaya,” ujarnya. 

Beliau memetik contoh negara tetangga yang industri runcitnya kini didominasi oleh sebuah koperasi yang ditubuhkan pada 1960-an. Di sana katanya pemilik kedai runcit kecil tidak mampu bersaing dengan kuasa sebesar itu. 

Bagaimanapun sistem di Malaysia katanya memberi ruang kepada peruncit kecil berkembang pesat, seperti yang ditunjukkan menerusi penyenaraian syarikat yang mengoperasikan rangkaian kedai 99 Speedmart.

“Ini kisah kejayaan rakyat Malaysia. Sistem kita membolehkan semua itu berlaku,” katanya.

Menurut beliau, banyak usahawan berjaya hari ini pada awalnya cuma subkontraktor kecil sebelum menjadi kontraktor dan akhirnya mencapai kejayaan menerusi keazaman dan kerja keras.

“Kini,” katanya, “ mereka semua memimpin syarikat senaraian awam.”

 

APA MASALAH MALAYSIA?

Mengulas naratif negatif berkenaan Malaysia, Lim berkata warga asing - kawan, ahli perniagaan dan pelawat - sentiasa memberitahunya perkara-perkara baik tentang Malaysia.

“Namun amat malang sekali, rakyat Malaysia nampaknya dimanipulasi dengan isu-isu yang diperbesarkan di media sosial, seolah-olah bertujuan membangkitkan kemarahan orang ramai serta menimbulkan rasa tidak puas hati.

Lim telah mengambil alih Gama Supermarket di Pulau Pinang dan gedung beli-belah Sogo di ibu negara pada awal 2000-an. Kredit gambar laman EZMalaysia.news.

“Mereka mengulangi benda sama - Malaysia korup, pentadbiran lemah, perkhidmatan awam lembab.”

Realitinya tegas beliau, jauh berbeza.

“KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita sedang bertumbuh, eksport kita terus berkembang,” katanya, menambah kerajaan MADANI sedang melakukan yang terbaik untuk terus membangunkan negara ini, menyatukan rakyat serta menghentikan politik sempit.

 Memetik ungkapan terkenal bekas presiden Amerika Syarikat John F Kennedy - “Ask not what your country can do for you, ask what can you do for your country (jangan tanya apa yang negara boleh berikan kepada anda, tetapi tanya apa yang boleh anda sumbang kepada negara)” - Lim berkata sebagai warganegara, setiap rakyat Malaysia ada tanggungjawab untuk cuba menyumbang kepada wawasan yang lebih besar, berbanding hanya berharap pada negara bagi memenuhi keperluan mereka.

Rakyat Malaysia pada hari ini hanya perlu mengubah perspektif mereka daripada rasa berhak (layak terima sesuatu tanpa usaha) kepada rasa bertanggungjawab dan menyedari bahawa penglibatan aktif mereka amat penting untuk kemajuan negara, tambah beliau.

“Ada banyak benda yang boleh rakyat lakukan untuk negara ini tanpa perlu menunggu orang lain membantu mereka.

“Tolong orang di sekeliling kita. Jika kita sebahagian daripada pertubuhan, aktif dan libatkan diri,” katanya, menambah setiap orang harus memikirkan cara menyumbang kepada pembangunan negara. 

“Ia tentang meningkatkan diri sendiri, menambah baik persekitaran sendiri. Jika ada yang tidak kena, maka lakukan sesuatu untuk mengubah situasi itu.”

 

RAKYAT BANTU RAKYAT

Mengulas politik perkauman di Malaysia, Lim percaya situasi itu didorong oleh agenda dan keuntungan peribadi.

Mengimbas ketika penularan COVID-19, beliau berkata politik perkauman diketepikan apabila gerakan “bendera putih” bermula, dan menambah gedung beli-belah Sogo serta Gama turut memainkan peranan dengan menghantar bantuan makanan kepada yang memerlukan. 

Lim berkata memandangkan pasar raya dibenarkan beroperasi ketika pandemik, mereka memulakan inisiatif sendiri menghantar bantuan kepada rakyat yang memerlukan kerana lori mereka dibenarkan bergerak sekalipun Perintah Kawalan Pergerakan sedang dikuatkuasakan. 

“Kemudian orang ramai dengar tentang inisiatif kami dan mereka turut serta. Mereka menyumbang tanpa nama, puluhan ribu ringgit, tanpa bertanya apa-apa. Hantar sahaja kepada sesiapa yang memerlukan. 

“Tiada siapa yang kata,’Saya cuma nak menyumbang kepada orang Cina’, atau ‘Saya cuma nak bantu orang Melayu’ … siapa sahaja yang perlukan bantuan, makanan akan dihantar kepada mereka. Tidak ada perbezaan bangsa atau agama,” katanya, menambah pasar raya Sogo dan Gama turut bekerja sama dengan pertubuhan seperti  Rotary, selain menggunakan rangkaian mereka untuk menghantar barang keperluan kepada yang memerlukan.

“Itu adalah contoh terbaik semangat Malaysia, semangat muhibah. Rakyat Malaysia membantu rakyat Malaysia.”

Lim amat yakin negara ini dapat terus berkembang dan makmur jika rakyatnya percaya akan kebolehan diri sendiri, bangkit dan memikul tanggungjawab untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat.

“Naratif mesti diubah. Bangkitlah, jangan bergantung pada orang lain. Setiap rakyat Malaysia mesti menjadi pemimpin hebat dalam diri sendiri,” tambahnya.

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.