K
ebelakangan ini, negara begitu kerap dikejutkan dengan satu demi satu kes kematian tragis dan juga perbuatan jenayah berat melibatkan kanak-kanak dan pelajar sekolah.
Bagaikan trend, fenomena ini menimbulkan kebimbangan bukan sahaja dalam kalangan ibu bapa tetapi seluruh rakyat dengan persoalan “masih selamatkah sekolah kita” menjadi polemik, kerana majoriti kes berlaku di kawasan yang dianggap antara tempat paling selamat - sekolah.
Bermula dengan kes kematian Zara Qairina di asrama sebuah sekolah di Sabah; kes rogol berkumpulan di dalam kelas di Melaka; kematian seorang murid di sebuah sekolah rendah di Senawang, Negeri Sembilan; dan terbaharu, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun menikam sehingga mati pelajar perempuan berusia 16 tahun ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor.
Dahulu, insiden seperti ini hanya berlaku di luar negara, justeru masyarakat tertanya-tanya apakah undang-undang sedia ada lemah dan memerlukan penggubalan akta lebih tegas selain berbentuk rehabilitasi?
AKTA KANAK-KANAK 2001
Mengulas isu yang dibangkitkan, peguam bela dan peguam cara Muhammad Hafiz Hood berpendapat kerajaan perlu memperkukuh penguatkuasaan undang-undang sedia ada dengan beberapa pindaan.

Muhammad Hafiz Hood, peguam bela dan peguam cara.
Beliau berkata ketika ini negara masih bergantung sepenuhnya pada peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001 bagi tujuan mengawal selia serta hukuman ke atas pesalah kanak-kanak.
“Sebagai contoh, Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih terpakai untuk pertuduhan membunuh walaupun suspek adalah kanak-kanak bawah umur. Namun Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menghalang hukuman mati dikenakan ke atas pelaku yang masih dalam kategori kanak-kanak semasa melakukan kesalahan.
“Ini antara contoh peruntukan yang wajar diperkukuh dan dipinda jika kita mahukan undang-undang lebih tegas. Antara pindaan yang boleh dilakukan ialah menurunkan umur kanak-kanak yang tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 daripada 18 tahun kepada 16 atau 15 tahun, tertakluk kepada kajian terperinci.
“Malaysia meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan umur 18 tahun dalam Akta Kanak-Kanak 2001 adalah bersandarkan konvensyen berkenaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
UMUR FAKTOR MITIGASI
Menjelaskan dalam setiap kes umur adalah satu faktor mitigasi (peringanan hukuman) atau asas pembelaan yang boleh diguna pakai bersama-sama dengan faktor lain, Muhammad Hafiz yang berpengalaman hampir 15 tahun sebagai pengamal undang-undang bagaimanapun berkata perkara itu tertakluk kepada budi bicara dan pembuktian yang munasabah.
Mengambil contoh sekiranya pembelaan ingin menerima guna pembelaan atau rayuan mitigasi atas faktor psikologi dan trauma, pihak peguam bela perlu membuktikan laporan perubatan berkenaan faktor psikologi dan trauma pesalah atau suspek berkenaan. (Praktik yang sama untuk pesalah dewasa).
“Umur antara faktor mitigasi yang penting dalam menjatuhkan hukuman. Contohnya dalam kes Muhamad Zakwan Zainuddin v Public Prosecutor and another appeal [2019] MLJU 1462, mahkamah memutuskan bahawa pesalah kanak-kanak layak untuk peringanan hukuman dan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pemenjaraan digantikan dengan hukuman dihantar ke Sekolah Henry Gurney hingga pesalah berusia 21 tahun,” katanya.
Menjawab persoalan sama ada kes jenayah yang berlaku di kawasan sekolah membenarkan pihak terlibat menuntut liabiliti bersama, beliau berkata undang-undang menyediakan ruang untuk menuntut liabiliti ke atas pihak sekolah.
“Kes jenayah di sekolah adalah contoh situasi yang rumit. Secara teknikal dan undang-undang, pelaku yang wajar bertanggungjawab ke atas tindakan jenayah yang dilakukannya. Tetapi perkara itu tidak menghalang keluarga mangsa daripada mengambil tindakan undang-undang sivil di bawah saman tort kecuaian ke atas pihak sekolah sekiranya didapati wujud kegagalan institusi itu menjamin keselamatan mangsa.
“Saman sivil yang boleh difailkan untuk menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan adalah antara remedi yang tersedia bagi keluarga mangsa selain mereka boleh menamakan pihak sekolah dan kementerian sebagai pihak-pihak berlitigasi,” jelasnya.
TAHANAN BAWAH PERKENAN AGONG
Berkongsi “perjalanan” hidup seorang kanak-kanak selepas didapati bersalah oleh mahkamah, beliau berkata pesalah juvenil kes berat tidak boleh dihukum mati atau dipenjarakan seumur hidup, sebaliknya diletakkan dalam tahanan di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Antara barangan yang dirampas yang ditunjukkan pada sidang media mengenai perkembangan penahanan suspek dalam kejadian pelajar perempuan tingkatan empat maut ditikam di Bandar Utama, Petaling Jaya di Mes Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, baru-baru ini.
Mereka akan ditempatkan di Sekolah Henry Gurney hingga berumur 21 tahun, dan jika baki hukuman masih ada selepas mencapai usia itu, mereka akan menghabiskan baki hukuman di penjara.
“Hukuman ke atas pesalah kanak-kanak tertakluk di bawah Seksyen 91 Akta Kanak-Kanak 2001 seperti; a. Memberikan amaran dan melepaskan kanak-kanak itu; b. Melepaskan dengan suatu bon untuk berkelakuan baik dan untuk mematuhi apa-apa syarat yang dikenakan oleh mahkamah; c. Memerintahkan supaya kanak-kanak itu diletakkan dalam pemeliharaan seseorang saudara atau orang lain yang layak dan sesuai dengan tempoh dan syarat yang sesuai; d. Memerintahkan supaya kanak-kanak itu membayar denda, pampasan atau kos.
“Selain itu, e. Membuat suatu perintah percubaan di bawah Seksyen 98 (memberikan tempoh percubaan yang difikirkan wajar dan perlu oleh mahkamah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 98 Akta Kanak-Kanak 2001); f. Memerintahkan supaya kanak-kanak itu dihantar ke suatu sekolah diluluskan atau Sekolah Henry Gurney; g. Memerintahkan supaya kanak-kanak itu, jika seorang lelaki, disebat tidak lebih daripada 10 kali sebatan dengan rotan yang ringan; h. Mengenakan ke atas kanak-kanak itu, jika dia berumur 14 tahun ke atas dan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan dan tertakluk kepada subseksyen 96(2), apa-apa tempoh pemenjaraan yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah,” katanya.
PENGARUH TEKNOLOGI SIGNIFIKAN
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Azrul Zafri Azmi berkata krisis jenayah kanak-kanak mempunyai perkaitan yang signifikan dengan pengaruh teknologi digital, terutamanya apabila pendedahan berlaku tanpa kawalan dan bimbingan.

Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia Ts Azrul Zafri Azmi.
Beliau berkata kajian antarabangsa menunjukkan pendedahan kepada kandungan ganas secara berulang boleh menurunkan empati dan meningkatkan kecenderungan agresif dalam kalangan remaja.
“Sebagai contoh, kajian oleh University of Michigan bertajuk Media violence exposure and aggression in adolescents: A risk and resilience perspective mendapati remaja yang sering terdedah kepada kandungan ganas mempunyai 37 peratus risiko lebih tinggi untuk menunjukkan reaksi agresif.
“Platform sembang seperti Discord, TikTok, Telegram dan permainan dalam talian kini menjadi ruang sosial untuk remaja saling memberi ganjaran sosial terhadap tingkah laku ekstrem. Apabila rakaman buli atau jenayah mendapat perhatian dan pujian, ia memperkukuh loop validation (menjadikan tingkah laku negatif sebagai hiburan),” katanya.
Berpendapat kesalahan tidak boleh diletakkan 100 peratus pada teknologi, Azrul Zafri berkata masalah utama berpunca daripada ketidakseimbangan antara literasi digital dan literasi emosi.
“Permainan video atau media sosial boleh mendidik jika disertakan dengan panduan dan bimbingan, tetapi tanpa pemantauan akibatnya mencipta ruang yang mudah diisi dengan kandungan toksik.
“Berdasarkan pemantauan MCCA bersama-sama komuniti digital tempatan, terdapat beberapa trend baharu yang wujud antaranya hyper-viral violence - rakaman aksi ganas atau buli semata-mata untuk tontonan viral; dark challenges - cabaran berbahaya di TikTok dan Telegram yang mendorong kecederaan diri; dan role-play crimes - remaja meniru aksi jenayah dalam filem atau permainan video tanpa memahami implikasi undang-undang,” katanya.
MAHU DIIKTIRAF DI ALAM MAYA
Menyentuh budaya tular dan “dangerous online challenges” yang melazimkan keganasan dalam permainan video menjadi jenayah sebenar demi mencapai kepuasan, beliau berkata budaya tular itu kini menjadi ukuran nilai diri digital.

Anggota polis berkawal di luar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bagi kes prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
“Remaja menilai harga diri mereka melalui jumlah tontonan dan likes, bukan melalui nilai moral atau pencapaian.
“Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan peningkatan lebih 30 peratus kandungan berbahaya dalam tempoh setahun pada 2024, selain kajian suruhanjaya itu turut mendapati satu daripada empat remaja di Malaysia pernah menyertai cabaran dalam talian, manakala lebih 60 peratus melakukannya untuk tujuan suka-suka dan ingin jadi tular.
“Fenomena ini menunjukkan remaja bukan mengejar wang atau status, tetapi rasa mahu ‘dilihat’ dan ‘diiktiraf’,” katanya.
Memetik kajian universiti tempatan bertajuk The Impact of Social Media on Mental Health of Young Adults: A Literature Review, beliau berkata kebergantungan pada pengiktirafan sosial boleh mendorong tingkah laku impulsif dan kecenderungan ekstrem.
Katanya apabila perhatian sosial diberikan kepada aksi ekstrem, perkara itu menormalisasi keganasan dan menumpulkan empati, sekali gus menjadikan perbuatan ganas sebagai sesuatu yang biasa di mata kanak-kanak dan pelajar sekolah.
Berpendapat Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masih relevan sebagai asas perundangan siber negara, beliau bagaimanapun berkata akta itu tidak memadai untuk menangani bentuk baharu jenayah digital seperti cyber grooming, deepfake pornography, AI-generated content dan eksploitasi kanak-kanak melalui aplikasi mesej serta platform permainan dalam talian.
Di samping menyokong penuh Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan dalam memperkukuh aspek perlindungan kanak-kanak, kawalan kandungan dan pemantauan ancaman digital baharu, MCCA katanya menyambut baik setiap inisiatif yang bersifat melindungi pengguna siber.
Turut mengulas cadangan melarang penggunaan telefon pintar bagi individu bawah 16 tahun, beliau berkata perlu ada pertimbangan yang menyeluruh berhubung perkara itu.
Menurut beliau sekatan semata-mata tidak akan menyelesaikan akar masalah kerana larangan total terhadap telefon pintar mungkin sukar dilaksanakan dan boleh memberi kesan besar terhadap keperluan pembelajaran digital yang kini menjadi sebahagian daripada ekosistem pendidikan negara.
“Sebaliknya, MCCA mencadangkan agar dasar kawalan ini diimbangi dengan pendekatan pendidikan nilai dan literasi digital yang berterusan di sekolah. Kita perlu jadikan keselamatan siber sebagai teras pembelajaran abad ke-21, seiring dengan subjek teras lain.
“Kerajaan perlu memperkenalkan kurikulum literasi digital nasional yang merangkumi kesedaran privasi, etika siber dan perlindungan diri di alam maya; mewajibkan program keselamatan siber di sekolah yang membina kefahaman pelajar berhubung risiko jenayah digital seperti phishing, buli siber dan manipulasi maklumat; serta digital curfew campaign yang mendidik ibu bapa dan pelajar akan had penggunaan peranti secara bijak dan berdisiplin.
“Melindungi anak-anak bukan dengan langkah menutup akses, tetapi lebih daripada itu membekalkan mereka ilmu dan nilai supaya mereka tahu cara bertahan dalam dunia digital yang terbuka. Antara program literasi digital yang perlu dipergiat ialah beralih daripada digital literacy kepada digital morality bagi membina generasi yang bukan hanya tahu menggunakan teknologi, tetapi tahu berempati dan beretika,” katanya.