Pulau Besar Ubah Sampah Jadi Harapan Kelestarian

B
ahagian akhir daripada laporan bersiri tiga artikel berkenaan Pulau Besar, Mersing ini mengupas isu sampah, khususnya plastik sekali guna yang masih membelenggu gugusan pulau itu dan perairannya.

 

Keasyikan menikmati kenyamanan bayu laut di Jeti Pulau Besar terganggu apabila pandangan mata terarah pada sehelai beg plastik merah berputar-putar menuruti tiupan angin dan tangan yang menggapai

Namun belum sempat dicapai hembusan kuat angin menerbangkan beg plastik itu jauh dari jeti sebelum “mendarat” di permukaan laut yang membiru kehijauan. Tidak lama lagi plastik tersebut akan menjadi sebahagian daripada sisa di laut yang mengancam hidupan marin seperti penyu dan dugong.

Isu beg plastik di laut bukan sesuatu yang luar biasa, namun di Pulau Besar ini masalah itu agak membimbangkan. Pulau Besar, kira-kira 30 minit perjalanan dengan bot dari jeti Mersing, merupakan sebahagian daripada Taman Laut Sultan Iskandar, dan perbuatan membuang sampah merata-rata terutamanya plastik yang mengambil masa berabad untuk terurai, dilarang sama sekali.  

Sekilas pandang, taman laut tersebut kelihatan amat bersih, namun kata aktivis semua itu adalah hasil kerja-kerja pembersihan berkala. Menurut pakar, isu sampah di perairan Malaysia amat teruk. 

“(Malaysia terima) banyak sisa marin, sama ada daripada kita sendiri ataupun dari negara lain (yang dibawa arus laut),” kata Noor Azariyah “Naja” Mohtar, Pengarah Eksekutif Tengah Island Conservation (TIC).

Selain daripada aktiviti pembersihan pantai dan laut, kumpulannya juga membantu penduduk pulau menguruskan sisa mereka dengan cara yang lebih lestari menerusi Rumah Eko. Di situ, mereka tempatkan sistem kompos untuk menguruskan sisa makanan serta mesin yang mengitar semula kaca dan plastik menjadi produk baharu, menyediakan benih pokok untuk penanaman semula serta menadah dan mengumpul air hujan selain mengumpul bahan kitar semula. 

Setakat ini, penduduk dan pengusaha resort di pulau itu memberi kerjasama baik dengan menghantar sisa makanan serta bahan kitar semula mereka ke Rumah Eko.

Namun, penduduk pulau dan juga pelancong khususnya dari tanah besar - datang kerana terpikat dengan keindahan semula jadi pulau yang dapat dinikmati dengan kos rendah - tidak dapat menghentikan tabiat menggunakan plastik dan lain-lain yang dilihat memudahkan kehidupan mereka. Pelancong tiba dengan membawa bersama-sama beg dan botol plastik, makan dan minum menggunakan pinggan serta cawan pakai buang, sementara penduduk pulau pula menjual losen pelindung matahari, makanan dan minuman berbungkus plastik yang kemudian diletakkan pula dalam beg plastik sekali guna. 

Menurut Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), sebahagian besar sisa di pulau datang daripada kegiatan berkaitan pelancongan dan 70 peratus daripada sampah tersebut ialah plastik.

Sesetengah sampah itu pula terlepas ke perairan dan mengancam  sumber yang membawa masuk pelancong. Kesemua ini membawa kepada satu perkara: bagaimana kita hendak mengubah kelakuan manusia?

 

SISA MARIN

Malaysia antara negara yang mempunyai kepelbagaian biologi marin tertinggi di dunia, menerusi kedudukannya di Segi Tiga Terumbu Karang - pusat hidupan laut global yang turut digelar “Amazon Lautan”. Kawasan ini meliputi perairan sekitar Sabah dan Sarawak serta sebahagian Semenanjung Malaysia, dan diiktiraf mempunyai kepelbagaian terumbu karang dan ikan terumbu tertinggi di di dunia. 

Di perairan Mersing yang merangkumi gugusan Pulau Besar, wujud hutan bakau dan padang rumpai laut yang menjadi lokasi dugong dan dua daripada tujuh spesies penyu dunia mencari makanan.

Pada masa sama, Malaysia juga ialah antara penyumbang terbesar pencemaran plastik di dunia. Sebahagian daripadanya berpunca daripada “kolonialisme sampah” yang menurut ahli alam sekitar berlaku apabila negara maju mengeksport sisa pepejal mereka ke negara membangun seperti Malaysia, untuk dikitar semula. Apa-apa bahan yang tidak dapat dikitar semula akan dibuang di tempat pembuangan sampah atau dilupuskan secara haram. Namun, masalah ini juga berpunca daripada negara sendiri, didorong pembandaran yang pesat dan pembuangan sampah secara sewenang-wenangnya.

Sebagai respons kepada permasalahan itu, kerajaan melaksanakan Dasar dan Pelan Tindakan Sisa Marin Kebangsaan 2021-2030 dan Hala Tuju Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030. Dasar-dasar berkenaan menyasarkan perubahan sistemik menerusi pelaksanaan larangan berfasa plastik sekali guna, memperkukuh kawalan di sempadan bagi mengekang import sisa haram serta meningkatkan pendidikan dan kesedaran.

Dasar-dasar tersebut turut merangkumi skim Tanggungjawab Pengeluar Diperluas (EPR) yang menuntut pengeluar bertanggungjawab dari segi kewangan terhadap sisa yang dihasilkan, walaupun selepas produk mereka dijual. Skim ini dijangka dikuatkuasakan mulai tahun depan, namun secara sukarela terlebih dahulu sebelum menjadi mandatori menjelang 2030.

Sementara itu, sebahagian besar pengurusan sisa masih dijalankan oleh kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti TIC serta para sukarelawan.

Pakar berkata dasar berkenaan sisa marin kebangsaan memadai namun pelaksanaannya merupakan satu cabaran, terutama dari segi penguatkuasaan dan kesedaran. 

Perunding pengurusan sisa dan alam sekitar Dr S. Sri Umeswara berkata sesetengah pengusaha bot pelancong seperti di Terengganu, Tioman dan Pulau Pinang, berusaha menjaga kebersihan alam dengan mendidik penumpang mereka tentang pemuliharaan selain menyediakan tong sampah di atas bot masing-masing.

Bagaimanapun katanya isu pembuangan sampah ini kebanyakannya melibatkan pelancong domestik.

“Pelancong asing tidak buang sampah merata-merata. Mereka patuh peraturan tapi pelancong tempatan yang banyak berbuat demikian. Saya pernah nampak kanak-kanak buang sampah sesuka hati tapi ibu bapa tidak tegur… amat menyedihkan,” katanya. 

Aktivis pemuliharaan dan penduduk pulau itu tidak terperanjat dengan perkongsian tersebut.

“Budaya melancong orang kita dan orang asing berbeza. Orang asing bila melancong, mereka nak tengok tempat tu, tak macam kita. Orang kita melancong di tempat tular, ambil gambar dan kemudian balik. Dia dapat muat naik gambar ke Instagram pun dah cukup menggembirakan,” kata Kelana Ali Kahar atau Tuk Kelana, Ketua Kampung Busong di sini.

 

PERUBAHAN TINGKAH LAKU

Di seluruh kawasan yang didiami di pulau itu, merangkumi resort, kediaman dan kedai makan di sepanjang laluan berpapan sejauh 1.2 kilometer, terdapat banyak tong kitar semula dan tong sampah. Sebaik sampai di jeti utama, ada papan tanda mengingatkan pelawat tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di pulau dan juga taman laut.

Di Rumah Eko yang terletak di selatan pulau, staf TIC serta sukarelawan berusaha mendidik pelancong tentang biodiversiti di taman laut serta kepentingan menjaga kebersihan pulau dan taman laut. Mereka mengadakan program bagi menunjukkan pelbagai inisiatif lestari yang dijalankan oleh NGO tersebut untuk memulihara alam sekitar dan memelihara budaya pulau.

Mereka berharap langkah itu dapat memupuk perubahan sikap dalam kalangan pelancong yang kemudian dibawa pulang dan dikongsikan dengan rakan-rakan serta keluarga masing-masing.

“Kebanyakan pelancong kita orang tempatan,” kata Nurul Aida Amanina Mohd Roslan, pengurus projek Besar Bersih Project TIC yang mengoperasikan Rumah Eko. 

Walaupun sukar untuk memastikan sama ada usaha mendidik pelancong itu berhasil ataupun tidak, mereka dapat saksikan perubahan tingkah laku penduduk pulau. Nurul Aida berkata kini penduduk menghantar sisa ke Rumah Eko untuk pengkomposan, kitar semula dan kitar tinggi. Malah, seorang penduduk mula mengumpul bahan kitar semula bernilai tinggi seperti tin aluminium dari kedainya untuk dihantar ke Mersing bagi tujuan kitar semula.

TIC turut menggalakkan penduduk setempat mengamalkan semula cara lama. Satu daripada inisiatif itu ialah memelihara budaya pulau, membantu mereka berasa bangga dengan warisan tempatan serta kembali kepada cara tradisional dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi dalam kehidupan seharian seperti daun ketapang sebagai pembungkus makanan, menggantikan plastik sekali guna.

Bagaimanapun ada satu pengecualian, iaitu tabiat memakan telur penyu.

Nurul Aida berkata usaha mengubah tradisi itu belum menunjukkan hasil memberangsangkan. 

“Ini isu yang masih berterusan, memerlukan kami berusaha lebih keras untuk meyakinkan mereka bahawa kita tidak harus makan telur penyu. Namun, telur penyu ini seakan satu makanan tradisi mereka,” katanya, menambah penduduk setempat hanya ambil untuk dimakan sendiri, bukan untuk dijual.

Seorang penduduk yang telah lama berhenti daripada memakan telur penyu ialah Saudah Rastam, 64. Kongsinya dengan Bernama dia tidak lagi makan telur haiwan itu selepas melihat seekor penyu naik ke darat untuk bertelur satu ketika dulu.

“Bila tengok ibu tu (timbul rasa) kasihan. Macam sedih anak (telur) dia kena makan,” katanya tersipu-sipu. 

Bagaimanapun empati dan rasa bangga terhadap warisan itu juga ada batasnya, terutama apabila melibatkan wang. Sedar telur penyu boleh memberikan pulangan besar, TIC dan pelbagai lagi NGO membeli telur-telur haiwan berkenaan daripada pengutip telur penyu, sebelum dieram dan ditetaskan.

Kuncinya di sini ialah memberikan sebahagian daripada kepentingan dalam perniagaan kepada penduduk setempat agar minat mereka selari dengan matlamat memastikan kebersihan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar.

Walaupun di pasaran gelap harga telur penyu lebih mahal, aktivis berharap ikatan dengan pulau itu akan meyakinkan penduduk untuk memilih pemuliharaan, bukan keuntungan. 

“Satu perkara yang amat penting bagi kami dari segi perspektif UNDP ialah bukan setakat kelestarian tetapi bahan-bahan kelestarian yang sesuai dengan Malaysia. Contohnya memastikan keuntungan, dividen dipulangkan semula kepada masyarakat. Memastikan masyarakat mandiri serta memahami tanggungjawab mereka bagi mengekalkan, contohnya, alam sekitar yang sihat,” kata wakil UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Edward Vyrkic.

 

KITAR TINGGI UBAH SAMPAH JADI “EMAS”

Satu daripada masalah terbesar sisa marin di pulau itu dan taman marin yang tidak ada kena mengena dengan penduduk dan pelancong, ialah “pukat hantu”, iaitu jaring menangkap ikan yang ditinggalkan. Walaupun Taman Laut Sultan Iskandar melarang kegiatan perikanan komersial di perairannya, arus dan ombak laut menghanyutkan pukat hantu, lazimnya diperbuat daripada plastik tahan lasak seperti nilon, dari kawasan lain ke gugusan Pulau Besar. 

NGO, sukarewalan dan aktivis menjalankan pembersihan pantai dengan kerap namun isu itu merupakan permasalahan yang berterusan, kata Sri Umeswara yang juga utusan ke Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mewakili industri kitar semula Malaysia.

“Nelayan yang turun ke laut akan baiki jaring, (dan) selepas itu mereka cuma tinggalkan jaring tersebut di situ. Tidak ada seorang pun yang mahu mengambil tanggungjawab mengutip semula jaring dan tidak ada penguatkuasaan untuk perkara seperti ini. Banyak jaring ikan terbuang begitu sahaja dan memerangkap pelbagai jenis hidupan laut seperti ikan dan penyu,” katanya. 

Jurutera elektrik daripada Politeknik Mersing Norazida Ali menemukan penyelesaian bagi masalah itu. Menerusi geran UNDP, beliau dan rakan sejawatan serta pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, mencipta sebuah mesin yang dapat mengubah jaring terbuang menjadi filamen yang digunakan dalam pencetakan tiga dimensi (3D)

Beliau berharap mesin itu akan menjana pendapatan buat penduduk setempat dan membantu membiayai pelancongan lestari dan usaha-usaha pendidikan.

“Mereka boleh hasilkan pelbagai produk daripada filamen itu dan jual kepada pelancong,” katanya kepada Bernama menerusi Google Meet.

Setakat ini, pasukannya dan TIC masih bereksperimen dengan saiz filamen. Selain daripada itu, TIC juga menghasilkan rantai kunci berbentuk hidupan marin daripada sisa plastik berwarna dan botol-botol kecil berisi butiran kaca berwarna-warni sebagai cenderamata.

Menerusi pelbagai usaha untuk memulihara dan menjaga Pulau Besar agar kekal bersih, Tuk Kelana menaruh harapan tinggi pulau itu akan terus “hidup” untuk generasi akan datang dengan usaha diteruskan oleh sesiapa sahaja, jika bukan anaknya sendiri.  

“Kalau anak sendiri tak minat tak apa. Yang lain minat,” katanya.

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.