Pekerja Kesihatan Komuniti: Wira Tak Didendang Perjuangan Melawan HIV/AIDS

K
etika orang lain sudah berehat di rumah selepas sembilan jam bekerja di pejabat, Muhammad Fitri Abu Bakar masih menyusun langkah dalam remang senja, menyusuri lorong sempit di belakang bangunan atau kawasan flat kos rendah demi melaksanakan tanggungjawabnya, walaupun waktu bekerja rasmi sudah lama berakhir.

Dia tidak mengeluh walaupun ada masa lencun dibasahi hujan, kerana yang penting, ada nyawa perlu diselamatkan.

"Tidak, saya bukan doktor, cuma Pekerja Kesihatan Komuniti dan 'pesakit’ saya ialah penghidap HIV/AIDS,” jelas lelaki berusia awal 30-an ini ketika ditemui Bernama, di sini baru-baru ini.

Realitinya, kewujudan Pekerja Kesihatan Komuniti atau PKK ini hampir tidak diketahui oleh masyarakat umum, kerana mereka bekerja dengan golongan marginal dengan rata-rata mengharungi hidup sebagai penghidap HIV/AIDS secara rahsia agar tidak terpalit stigma masyarakat.

Muhammad Fitri antara tujuh PKK yang berkhidmat di bawah Kuala Lumpur AIDS Support Services Society (KLASS) dengan tugas mereka termasuk menjalankan program outreach serta mengagihkan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) - sejenis ubat antiretroviral yang diambil individu belum dijangkiti tetapi berisiko tinggi - dan rawatan antiretroviral (ART), iaitu pil oral harian untuk pesakit HIV.

 

DATANG APABILA DIPANGGIL

Berkelulusan dalam bidang teknologi kejuruteraan daripada Universiti Teknologi Malaysia, Muhammad Fitri terlibat sebagai PKK sebaik tamat pengajian disebabkan oleh minatnya dalam bidang perubatan dan keinginan membantu orang lain.

“Kami pun ada jadual tugas dan waktu bekerja rasmi selama sembilan jam sehari, tetapi ada masa perkhidmatan kami diperlukan oleh klien (penghidap HIV/AIDS) selepas habis waktu kerja, dan kami kena turun ke lapangan jumpa mereka,” katanya, menambah penghidap perlu mematuhi rejimen rawatan yang ketat dan tidak boleh keputusan bekalan ubat bagi mengawal jumlah virus penyakit itu dalam tubuh. 

Dalam konteks kerja komuniti HIV/AIDS, outreach bermaksud turun padang mencari dan mendekati golongan berisiko tinggi, bukan sekadar menunggu mereka hadir ke klinik. Kredit gambar PKK Muhammad Fitri Abu Bakar.

(Human Immunodeficiency Virus (HIV) menyerang sistem imun badan dan melemahkan keupayaannya melawan jangkitan. Jika tidak dirawat, jangkitan boleh berkembang menjadi Acquired Immune Deficiency Syndrome (AIDS), tahap paling serius penyakit ini.

Berdasarkan laporan terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 3,185 kes baharu HIV dicatatkan pada 2024, menurun hampir separuh berbanding tahun sebelumnya. Dari segi kelompok usia penghidap pula, golongan lelaki muda berusia 20 hingga 30 tahun merangkumi tiga perempat daripada jumlah keseluruhan dengan 90 peratus jangkitan disebabkan oleh hubungan seksual sejenis.

Berkongsi tentang cabaran yang dihadapi, Muhammad Fitri berkata golongan itu tidak mudah didekati selain ada yang enggan mendapatkan bantuan kerana bimbang rahsia mereka terbongkar.

“Jadi, di sini PKK memainkan peranan dengan membina kepercayaan mereka untuk tampil dan mendapatkan bantuan sewajarnya. Walaupun pintu klinik kerajaan sentiasa terbuka, ramai yang enggan ke sana kerana malu serta bimbang dihakimi. 

“Atas faktor itu jugalah kami perlu sentiasa menjalankan program outreach di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti sebagai tempat tumpuan golongan berisiko ini. Malah, kami turut mengadakan program ini di institusi pengajian tinggi serta kawasan perumahan, selain memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial untuk mendekati golongan berisiko ini,” katanya.

 

HAMPIR DITUMBUK

Menyantuni komuniti ini juga menuntut kemampuan mengawal emosi yang luar biasa kerana adakala individu yang baru mengetahui diagnosisnya bertindak di luar kawalan.

“Saya pernah hampir ditumbuk oleh seorang klien yang terlalu tertekan selepas tahu dirinya positif HIV. Mujur saya sempat tenangkan dia,” ujarnya, dan menambah insiden itu mengajarnya tentang erti empati sebenar. 

PKK bukan sekadar pemberi maklumat atau pelaksana ujian, bahkan mereka memikul harapan manusia yang terumbang-ambing antara penolakan keluarga dan takutkan diskriminasi masyarakat. Kredit gambar Muhammad Fitri Abu Bakar.

Menurutnya, disebabkan oleh tanggapan menghidap HIV bermakna “hukuman mati”, ramai yang terlibat dalam aktiviti berisiko tinggi enggan menjalani ujian.

“Mereka fikir kalau positif HIV, habislah hidup mereka. Padahal sekarang HIV bukan lagi hukuman mati. Bila tahu ada rawatan dan ada orang temankan (beri sokongan), mereka sebenarnya mampu berubah,” tambahnya lagi.

Bagi Lokman Hakim Fadzil, 27, pengalaman menemani seorang klien yang menangis teresak-esak selepas disahkan positif HIV antara yang tidak dapat dilupakannya.

“Kita beri sokongan emosi dan bimbingan berterusan kepadanya. Kini klien itu dah sihat, malah dah ada pasangan dan bakal berkahwin tidak lama lagi,” katanya, menambah rawatan moden kini mampu mengawal perkembangan virus atau HIV viral load sehingga tidak lagi dapat dikesan dalam darah.

 

TEMPAT KOMUNITI BERGANTUNG HARAPAN

Sementara itu, Presiden KLASS Andrew Tan berkata walaupun PKK tidak ubah seperti "tulang belakang” dalam usaha menangani HIV/AIDS di negara ini, mereka bekerja dalam keadaan sumber yang terhad di samping turut terdedah kepada tekanan emosi.

“Walaupun ada antara PKK ini tidak ada pendidikan tinggi, mereka kaya pengalaman menyantuni golongan itu. Tak semua berani masuk dunia komuniti marginal seperti penghidap HIV/AIDS ini,” tambahnya, sambil menegaskan pentingnya usaha penstrukturan semula skim pengiktirafan profesional untuk PKK.

Pihaknya turut menggesa agar laluan pendidikan lebih terbuka kepada PKK yang ingin melanjutkan pengajian secara formal, terutamanya dalam bidang kaunseling dan psikososial. Pengalaman lapangan juga wajar diitiraf dalam bentuk kursus khas atau program pensijilan profesional.

“Bayangkan kesannya jika kita mampu lahirkan lebih ramai PKK yang bukan saja terlatih secara praktikal, tetapi juga mendapat pengiktirafan rasmi untuk melanjutkan kerjaya dalam sektor kesihatan awam,” ujarnya.

Buat masa ini, KLASS serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan HIV/AIDS lain bekerjasama dengan Majlis AIDS Malaysia, KKM dan The Global Fund dalam melaksanakan inisiatif membanteras jangkitan HIV/AIDS menerusi PKK.

Mengulas lanjut, Tan berkata selain melengkapi PKK dengan kemahiran praktikal dari segi menguruskan rawatan penghidap HIV/AIDS, mereka juga perlukan sokongan psikologi terutama ketika berdepan dengan klien yang hilang kawalan emosi. 

“Realitinya, ramai klien terus bergantung harap pada PKK bagi sokongan emosi... bukan sehari dua, tetapi berbulan malah bertahun. Klien sebegini memerlukan tempat bergantung yang boleh memahami mereka tanpa prejudis. Namun, keadaan ini juga mendedahkan PKK kepada ‘burnout,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Tan, sokongan institusi terhadap PKK semakin baik terutama daripada golongan petugas di sektor penjagaan kesihatan kerajaan yang mula mengiktiraf peranan PKK. 

 

JAMBATAN ANTARA KLINIK DAN KOMUNITI

Sementara itu, sebagai pihak berkepentingan utama dalam respons HIV nasional, Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan Majlis AIDS Malaysia (MAC) terus memainkan peranan strategik dalam memperkasa PKK sebagai ejen perubahan masyarakat.

Menyifatkan PKK sebagai “penjaga pintu” kepada sistem kesihatan yang lebih adil dan berperikemanusiaan buat golongan terpinggir, Timbalan Presiden MAC Dr Nur Afiqah Mohd Salleh berkata peranan PKK telah diperluas dan menjadi bertambah penting menerusi pelancaran model Perkhidmatan HIV Berbeza untuk Populasi Utama (DHSKP)  oleh KKM pada Mac 2019.

Timbalan Presiden MAC, Dr Nur Afiqah Mohd Salleh. Kredit gambar MAC.

Menerusi model itu, beliau berkata PKK dilatih bagi menjalankan saringan HIV, menjadi kaunselor, pemberi rujukan kepada ART dan pendidik dalam aspek kesihatan seksual dengan kesemuanya dilaksanakan secara rakan sebaya dan tanpa diskriminasi.

DHSKP merupakan modul utama di bawah Inisiatif KK Model 2.0, iaitu inisiatif pencegahan HIV secara komprehensif yang dilaksanakan di klinik kesihatan kerajaan bermula 2022. Inisiatif itu adalah kesinambungan daripada projek rintis di Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru, Melaka pada 2015 bagi memperkukuh Program Pengurangan Mudarat.

Di bawah DHSKP, kerajaan memperkenalkan pendekatan "klinik mesra komuniti” yang mengintegrasikan PKK dan pertubuhan masyarakat sivil dalam sistem kesihatan awam dengan tumpuan pada populasi berisiko tinggi seperti lelaki berhubungan seks dengan lelaki (MSM) dan kelompok transgender.

Inisiatif KK 2.0 pula adalah kerangka besar yang menyatukan pendekatan klinikal, komuniti dan NGO bagi memperkukuh capaian kesihatan awam, termasuk melalui saringan, kaunseling, rawatan dan pencegahan seperti PrEP.

“Kesan daripada usaha ini sangat ketara. Dalam kalangan pengguna dadah suntikan misalnya, kadar jangkitan HIV menurun daripada lebih 22 peratus pada 2009 kepada kurang lapan peratus pada tahun-tahun terkini. Program Pengurangan Mudarat melalui suntikan selamat dan terapi metadon yang dibantu oleh PKK terbukti menyelamatkan ribuan nyawa.

“Kini, MAF dan MAC turut memberi tumpuan kepada peningkatan jangkitan seksual, khususnya dalam kalangan MSM dan wanita transgender. Di sinilah peranan mereka (PKK) kembali menjadi kunci,” jelas beliau lagi.

 

PERLUASAN AKSES

Bagi memastikan akses kesihatan bukan hanya milik mereka yang tinggal di bandar, Dr Nur Afiqah berkata MAF telah mewujudkan Program SHAPE (Sabah and Sarawak Health Access Programme) untuk mencapai pesakit di kawasan luar bandar dan pedalaman di dua negeri berkenaan.

Bermula di Kuching, Sarawak,  program ini telah dikembangkan ke Miri, dan kelak ke Bintulu. Inisiatif ini menyediakan subsidi perjalanan, ujian percuma dan penginapan sementara di pusat transit seperti Teratak Kasih Tok Nan di Kuching kepada penghidap penyakit kronik termasuk HIV/AIDS.

MAF telah melancarkan Program Akses Kesihatan Sabah dan Sarawak (SHAPE) untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit di kawasan terpencil dan luar bandar di Malaysia Timur. Kredit gambar MAC.

Di Sabah pula, SHAPE telah berkembang dari pantai timur dengan tumpuan di Sandakan hingga Kota Kinabalu. 

Bukan itu sahaja, platform digital seperti ProtectNow.my dan TestNow.com.my terus menjadi penyambung antara pengguna dan sistem kesihatan secara sulit. Individu yang masih takut tampil boleh menempah kit ujian tanpa nama, berhubung dengan kaunselor atau merujuk  PKK berhampiran secara maya, jelas Dr Nur Afiqah.

“Ramai yang takut bukan kepada penyakit, tapi lebih takut menjadi bahan kejian masyarakat. Oleh itu, sistem digital sebegini mampu memberikan mereka ruang selamat untuk mula cakna kesihatan diri sendiri,” tegas beliau.

Di sebalik cabaran itu, MAC dan MAF kekal yakin bahawa dengan kekuatan akar umbi termasuk kerjasama antara sektor dan pendekatan berasaskan komuniti, impian menamatkan HIV/AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030 bukan lagi mustahil.

 

TERUS DEKATI MASYARAKAT

Sementara itu, sumber KKM yang ditemui Bernama mengakui Program PrEP menjadi antara strategi paling signifikan dalam pencegahan HIV negara. Dilaksanakan secara berfasa sejak 2023, lebih 9,000 individu berisiko tinggi kini menerima manfaat daripada ubat pencegah harian ini yang disediakan di 35 klinik kesihatan terpilih di seluruh negara kecuali Labuan.

Menurutnya, walaupun semua klinik kesihatan kerajaan menyediakan khidmat asas saringan HIV, fasiliti PrEP menawarkan pendekatan lebih menyeluruh termasuk saringan jangkitan kelamin (STI),  sesi kaunseling dan pendidikan kesihatan seksual serta reproduktif. Program ini dijalankan dengan kerjasama MAC dan dibiayai The Global Fund dengan sasaran menjadikan ubat PrEP dapat diperoleh secara percuma di semua klinik kesihatan awam pada masa akan datang.

Kerajaan melalui KKM dan kerjasama bersama banyak pihak telah melaksanakan pelbagai inisiatif sifar HIV/AIDS menjelang 2030, dengan pelaksanaan program Inisiatif KK 2.0, DHSKP, dan program PrEP. Kredit gambar The Malaysian Voice.

“Program ini bukan hanya tentang ubat. Ia tentang menyentuh hidup manusia, memulihkan keyakinan dan memberi suara kepada mereka yang selama ini ‘disenyapkan’,” tegasnya. Setakat ini, kadar jangkitan HIV dalam kalangan pengguna PrEP kekal di bawah paras 0.2 peratus dengan kebanyakan kes baharu berpunca daripada ketidakpatuhan terhadap rejimen ubat.

Sumber KKM itu turut memuji peranan PKK serta organisasi masyarakat sivil dalam memastikan maklumat, rawatan dan bimbingan sampai ke setiap lapisan masyarakat.

“Dengan kekuatan komuniti, bimbingan yang ikhlas dan keberanian untuk peduli, kita bukan sekadar memutuskan rantaian jangkitan,  tapi turut menghidupkan kembali harapan. Perjuangan ini bukan milik satu agensi semata-mata sebaliknya milik semua sebagai masyarakat yang tidak memilih siapa yang layak untuk sihat dan siapa yang patut dibiarkan,” katanya.

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.