Keropok Udang Legasi Unik Kampung Pukat, Sandakan

D
ari celah-celah deretan rumah papan atas air di Kampung Pukat yang terletak hanya kira-kira dua kilometer dari pusat bandar Sandakan, bau udang segar - seakan bau air laut namun lembut - mengusik hidung pengunjung yang datang ke perkampungan nelayan ini.

Aroma itu datang daripada aktiviti pembuatan keropok udang yang diusahakan secara tradisional turun-temurun dan kini menjadi nadi ekonomi sesetengah penduduknya.

Didiami oleh majoriti penduduk berketurunan Tanka, Kampung Pukat antara petempatan tertua kaum Cina di Sandakan dan terkenal dengan hasil laut termasuk produk hiliran seperti keropok udang.

Namun kini kegiatan yang menjadi identiti kampung tersebut mungkin lenyap tidak lama lagi kerana pengusahanya rata-rata warga emas yang masih mengerah kudrat demi menjana pendapatan sambil mempertahankan warisan. Generasi muda pula tidak berminat untuk mewarisi tradisi yang bermula lebih 40 tahun lalu itu. 

 

LEGASI IBU

Keropok udang antara makanan yang dihidangkan semasa sambutan Tahun Baharu Cina selain dijadikan buah tangan, dan menjelang musim perayaan itu saban tahun sejak 2020, Leong Chin Fai, 59, tidak menang tangan menyediakan snek tersebut.

Lelaki itu mengambil alih perusahaan tersebut daripada ibunya yang merupakan antara pelopor pembuatan keropok udang di Kampung Pukat. 

Tempahan sentiasa ada, khususnya daripada pelanggan tetap setempat dan juga dari luar daerah seperti Tawau dan Kota Kinabalu.

“Mama buat keropok udang selama lebih 40 tahun, tapi sekarang dia sudah tua, jadi saya ambil alih untuk teruskan legasi mama,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menurutnya, bahan utama keropok itu ialah isi udang segar dan tepung ubi kayu dengan tempoh penghasilan mengambil masa dua ke tiga hari, bergantung pada keadaan cuaca.

“Udang segar kita kopek isinya, kemudian diadun bersama-sama dengan tepung ubi kayu, bahan perisa dan pewarna merah. Selepas sebati, kita bentukkan adunan menjadi seperti blok ais krim dan kita jemur sehingga mengeras sedikit.

“Kemudian kita potong memanjang menggunakan papan pemotong khas sebelum dijemur sekali lagi sehingga betul-betul kering. Selepas itu barulah dibungkus untuk dijual,” jelasnya, menambah keropok biasanya disiapkan mengikut tempahan.

Leong berkata setiap bungkusan seberat 500 gram dijual pada harga RM30 bagi keropok udang perisa asli dan RM32 untuk keropok udang bawang.

Mengakui pendapatan yang diperoleh tidak menentu, kerana ada masa dia hanya mampu menjual sekitar 10 bungkus sebulan, lelaki itu bagaimanapun berkata pendapatan yang dijana semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina membolehkannya menampung kehidupan.

“Biasanya, menjelang Tahun Baharu Cina tempahan yang diterima meningkat kepada 2,000 ke 3,000 bungkus dan saya mula menyiapkan tempahan seawal Julai atau Ogos,” katanya, menambah dia biasanya menyiapkan kira-kira 300 bungkus sebulan bagi memenuhi tempahan musim perayaan.

“Saya guna kaedah tradisional, jadi tidak dapat hasilkan dalam jumlah besar secara sekali gus,” jelasnya.

 

IDENTITI KAMPUNG

Seorang lagi pengusaha, Maggie Chau 83, berkata penglibatannya dalam pembuatan keropok udang bermula dengan niat membantu ibu mentua semasa berusia 30-an, namun kini dia mengambil alih sepenuhnya perusahaan itu.

Kongsinya, pada masa ini legasi pembuatan keropok udang secara tradisional itu diteruskan oleh wanita dan warga emas kerana golongan muda tidak  berminat untuk melibatkan diri dalam kegiatan yang memperkenalkan Kampung Pukat kepada pelawat tersebut. 

Bahan utama keropok itu ialah isi udang segar dan tepung ubi kayu dengan tempoh penghasilan mengambil masa dua ke tiga hari, bergantung pada keadaan cuaca.

“Pasaran keropok udang tidak luas, sebab itu tidak diusahakan secara besar-besaran. Namun, tempahan sentiasa ada, khususnya daripada pelanggan tetap setempat dan juga dari luar daerah seperti Tawau dan Kota Kinabalu, cukup untuk kelangsungan kami,” ujar wanita ini, dan menambah buat masa ini keropok tersebut tidak dipasarkan di Semenanjung.

Bercerita lanjut, Chau berkata tidak ada bahan rahsia dalam pembuatan keropok udang, sebaliknya mereka hanya perlu menggunakan udang gred A bagi mengekalkan rasa asli udang dalam keropok.

“Rahsia sebenar terletak pada cara mengadun dan menyeimbangkan rasa. Saya guna mesin untuk mengadun bahan dan saya akan pastikan adunan yang dihasilkan cukup rasa,” katanya yang dibantu oleh dua orang pekerja pada hari-hari biasa.

“Untuk tempahan yang terlalu banyak, saya akan mula buat keropok satu atau dua bulan lebih awal daripada tarikh tempahan perlu diserahkan,” katanya.

Walaupun pendapatan hanya “cukup makan”, Chau tetap berbangga kerana hasil jualan keropok udang dan produk laut lain itulah yang membantunya membesarkan enam orang anaknya yang kini mempunyai kerjaya sendiri. 

Sambil meluahkan kebimbangan tradisi pembuatan keropok udang di kampung itu akan lenyap pada suatu hari nanti, dia berkata anak muda tidak berminat disebabkan oleh pendapatan yang tidak seberapa. 

Keropok udang antara makanan yang dihidangkan semasa sambutan Tahun Baharu Cina selain dijadikan buah tangan.

Kampung Pukat yang terletak kira-kira 330 kilometer dari Kota Kinabalu, merupakan perkampungan air tradisional di tepi laut yang diasaskan oleh komuniti Tanka dari Hong Kong pada era penjajahan British di Borneo Utara.

Masyarakat Tanka dikenali sebagai komuniti nelayan yang tinggal di atas perahu sebelum membina petempatan yang kemudian dikenali Kampung Pukat dengan aktiviti perikanan sebagai sumber ekonomi utama.

Perkampungan itu yang dibangunkan sekitar 1950-an, mengekalkan struktur rumah kayu bertiang di dalam air sampai sekarang bagi melambangkan gaya hidup masyarakat yang bergantung sepenuhnya pada hasil laut.

Di perkampungan itu juga terletak beberapa restoran atas air yang terkenal dengan sajian makanan laut segar dan menjadi tarikan pengunjung dari dalam dan luar negeri.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.