D
itampilkan dalam penerbitan pengembaraan sebagai antara tempat paling elusif dan indah di Jepun, Pulau Ojika di Gugusan Goto, wilayah Nagasaki, menyerlahkan daya tarikan yang nostalgik dan misteri.
Setiap ceruknya ibarat dewangga, memaparkan naratif silam yang membentuk budaya pulau itu dan kehidupan penduduknya.
Rata-rata pulau yang mengelilingi Ojika tidak berpenghuni, disebabkan oleh ketiadaan infrastruktur. Bagi kebanyakan pelancong Malaysia, Pulau Ojika tidak termasuk dalam senarai destinasi persinggahan kerana mereka lebih cenderung melawat kota raya popular seperti Osaka dan Tokyo.
Untuk ke pulau ini, naik kereta api laju Shinkansen dari Osaka ke Stesen Hakata di Fukuoka, kemudian sambung perjalanan dengan kereta api ke bandar Sasebo di Nagasaki, sebelum menaiki feri menuju Pulau Ojika.
Di pejabat pelancongan Pulau Ojika berdekatan jeti, penulis disapa Victoria Simkovic, pemandu pelancong tempatan. Simkovic yang berusia dalam lingkungan 30-an, berasal dari Lithuania di Eropah Timur dan telah menetap di Pulau Ojika sejak tujuh tahun lalu.
PULAU GUNUNG BERAPI DENGAN SEJARAH PEMBURUAN PAUS
“Pulau ini berasal daripada gunung berapi dengan tanahnya berwarna merah dan kaya galian, amat sesuai untuk tanam akar-akaran seperti kacang tanah dan keledek.
“Kami juga tanam melon yang berkualiti tinggi dan jual di luar pulau,” kongsi Simkovic kepada Bernama.

Penulis bergambar di kuil Buddha Chojuji yang berusia 600 tahun, di Pulau Ojika.
Kunjungan Benama ke pulau itu baru-baru ini dianjurkan oleh Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Nagasaki dan Jetro Kuala Lumpur.
Simkovic berkata ketika era Edo, Ojika merupakan sebuah perkampungan yang makmur dan berkembang pesat, disokong oleh aktiviti pemburuan ikan paus.
“Letusan gunung berapi berjuta tahun dulu menyebabkan perairan di sekeliling pulau ini menjadi amat cetek dan penuh dengan rumpai laut. Oleh sebab itu, lautnya kaya dengan hidupan marin dan kepelbagaian bio.”
Bagaimanapun kini rumah tinggal dan bangunan kosong melata di pulau itu lantaran penduduknya kian berusia sementara generasi muda pula memilih berhijrah ke Osaka dan Tokyo.

Bot nelayan terletak di sepanjang jalan pelik Pulau Ojika. Memancing merupakan salah satu mata pencarian utama masyarakat yang telah membentuk budaya dan kehidupan masyarakat selama berabad-abad. All photo credits Christine Lim.
“Akan tetapi, dengan sokongan dan geran kerajaan bagi industri pelancongan, orang muda mula kembali (ke pulau) dan membuka restoran, kafe serta kedai,” kata Simkovic yang fasih berbahasa Jepun.
Beliau juga berkata dulu, petani dan nelayan Ojika terkenal dengan pembuatan sake - minuman beralkohol yang diperbuat daripada beras ditapai - bagi mencari pendapatan tambahan. Bagaimanapun kini tradisi itu sudah lenyap kerana penduduk tidak lagi membuat sake.
“Sesetengah daripada industri warisan kami juga sedang 'nazak’ seiring dengan populasi menua. Pembuatan ikan salai misalnya, kini hanya dihasilkan oleh seorang lelaki yang menjual ikan salainya di kedai-kedai runcit sekitar pulau ini,” dedah Simkovic.
Hari ini, Pulau Ojika mempunyai kira-kira 2,300 orang penduduk dengan 50 peratus daripada mereka berusia 65 tahun ke atas. Kebanyakan penduduk pulau itu bekerja sama ada sebagai nelayan atau dalam industri pelancongan dan peruncitan.
“Nelayan akan turun ke laut pada 6 petang, menangkap ikan sepanjang malam dengan menggantung lampu di atas bot bagi menarik ikan,” katanya.
Sekalipun didiami penduduk berusia dengan jumlah populasi kian mengecil, industri pelancongan pulau itu berkembang pesat menerusi reputasinya sebagai destinasi Jepun yang tradisional dan unik, menarik pengembara yang mencari ketenangan dan kedamaian desa.
TARIKAN VINTAJ
Sementara itu, ketika menyusuri lorong sunyi di Pulau Ojika, pengunjung pasti tidak akan telepas pandang sebuah kedai percetakan cetak timbul bernama Shinkosha yang menyerlah dengan ciri-ciri tradisional, mengekalkan pesona desa dan suasana vintaj.
Berusia lebih 100 tahun, Shinkosha kini dioperasikan oleh Momoko Yokoyama yang berusia dalam linkungan 30-an dan keluarganya. Wanita ini merupakan generasi keempat dalam keluarga pemilik kedai percetakan itu yang masih mengekalkan gaya pencetakan tradisional, wujud sebelum Perang Dunia Kedua, di sebalik perkembangan teknologi digital dalam industri pencetakan.

Momoko Yokoyama, generasi keempat kedai percetakan Shinkosha yang berusia 100 tahun, di pulau Ojika, yang masih mengekalkan gaya cetakan tradisionalnya yang wujud sebelum Perang Dunia Kedua.
Yokoyama berkata perniagaan keluarga itu bermula pada awal 1920-an, dan selepas Perang Dunia Kedua perniagaan itu berkembang pesat sebagai nadi utama komunikasi bagi bandar-bandar di Nagasaki yang musnah akibat serangan bom atom.
Katanya beliau akan meneruskan perniagaan keluarganya itu dan mempertahankan legasi Pulau Ojika.
Dinding kedainya dipenuhi dengan bermacam jenis huruf pelbagai saiz, yang digunakan dalam memenuhi permintaan bagi pencetakan kad dan risalah untuk perniagaan dan komuniti setempat.
Satu lagi kisah menarik perniagaan setempat yang memelihara warisan dan tradisi Pulau Ojika ialah kilang memproses kacang tanah - Ojika Island Produce Processing Plant - di mana seseorang dapat menimba pengalaman membuat dan membungkus kacang tanah panggang yang dipasarkan di seluruh Jepun.
Kacang tanah dari Pulau Ojika ini istimewa dan menjadi kegemaran kerana rasanya yang lemak berkrim dan manis semula jadi.
Koki Okano, seorang pekerja di kilang itu, berkata walaupun ada minat mendalam untuk mengeksport kacang tanah Ojika, kekurangan tenaga kerja mengehadkan pengeluaran hanya untuk pasaran tempatan.
“Agak sukar untuk mendapatkan tenaga kerja dari luar pulau disebabkan oleh ketiadaan jaringan pengangkutan. Mod pengangkutan utama ke pulau ini dari pulau-pulau sekeliling dan bahagian lain di Jepun ialah feri dan bot laju,” kata lelaki itu ketika lawatan Bernama ke kilang berkenaan.
Kilang itu ditubuhkan kira-kira 30 tahun lalu dan diuruskan oleh Ojika Town Public Corporation yang diwujudkan bagi menyokong industri pertanian dan pelancongan demi meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat.
BUDAYA ‘OMOIYARI’
Untuk menikmati sepenuhnya pengalaman budaya tradisional Pulau Ojika, sebaiknya pengunjung menginap di rumah keluarga tempatan kerana di situlah seseorang dapat menyelami falsafah Jepun “omoiyari” yang merangkumi inti pati belas ihsan, empati dan keprihatinan terhadap orang lain.
Pelawat juga boleh menikmati juadah unik pulau dan turut serta dalam penyediaan makanan di dapur.

Yasuyo Udo mula menjadikan rumahnya sebagai inap desa untuk pelancong 15 tahun yang lalu, mengalu-alukan tetamu terutamanya orang Jepun, tetapi dia juga telah menerima kunjungan orang asing.
Penulis berpeluang tinggal di sebuah rumah keluarga tradisional tempatan dengan tuan rumahnya Yasuyo Udo, 80, seorang wanita asal pulau itu, menjadikan kediamannya sebagai inap desa untuk pelancong sejak 15 tahun lalu.
Sebelum meninggalkan Ojika, jangan lepaskan peluang melawat torrii putih, iaitu sebuah pintu gerbang, terletak di Pulau Madara, yang dihubungkan dengan Pulau Ojika menerusi sebuah jambatan.
Torrii putih itu ditegakkkan di atas kehijauan rumput menghadap Laut China Selatan, melambangkan sebuah pintu gerbang suci menuju “alam kerohanian” berasaskan kepercayaan agama Shinto.
Berdekatan torrii putih itu terletak formasi batu lubang glasier kedua terbesar di dunia, dianggap sebagai tapak suci oleh rakyat Jepun.
Pengunjung juga boleh menyewa basikal untuk menjelajah tempat-tempat menarik lain di Pulau Ojika, termasuk pantai merahnya yang indah diliputi tanah gunung berapi yang subur.
Bagaikan seekor naga yang sedang bertapa, Pulau Ojika menunggu dengan sabar ketibaan pelawat untuk meneroka khazanah rahsianya, tersorok di segenap penjuru pulau.