5 Tahun Dikuat Kuasa, Mengapa "Car Seat" Masih Gagal Dibudayakan?

B
ermula 1 Jan 2020, Malaysia mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint System/ CRS) di dalam kenderaan persendirian, satu langkah yang diharapkan dapat meningkatkan jaminan keselamatan golongan itu ketika menaiki kenderaan.  

Namun, lima tahun berlalu, perintah yang dikuatkuasakan menerusi Akta Pengangkutan Jalan itu bagaikan dipandang sepi dengan masih ramai ibu bapa dan penjaga tidak mengambil serius langkah yang digubal demi keselamatan nyawa generasi bakal pemimpin masa depan tersebut.

Bukan sahaja mengabaikan penggunaan CRS, ada ibu bapa memangku anak di riba sambil memandu kalaupun tidak anak dibiarkan bebas tanpa sebarang perlindungan di tempat duduk belakang, mempertaruhkan nyawa insan kecil ini kepada nasib.

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), kadar penggunaan CRS di Malaysia kekal rendah, iaitu sekitar 30 peratus selepas lima tahun CRS diwajibkan, sedangkan di negara-negara maju misalnya Britain, lebih 74 peratus ibu bapa yang mempunyai anak berusia 0-7 tahun memasang peralatan keselamatan dalam kenderaan seperti CRS, memetik tinjauan Axkid, pembuat kerusi keselamatan kanak-kanak terkemuka. 

Persoalannya, mengapa undang-undang yang digubal dengan baik dan disokong kempen kesedaran serta peraturan jelas masih gagal diterjemahkan menjadi budaya? Mengapa CRS masih dianggap pilihan, bukannya keperluan?

 

ANTARA KESEDARAN, KOS, PENGUATKUASAAN

Mengupas persoalan itu, Ketua Pengarah MIROS Prof Madya Ir. Ts. Dr Siti Zaharah Ishak berkata isu tersebut bukan tentang mematuhi undang-undang semata-mata tetapi menyentuh aspek kefahaman, budaya dan sikap masyarakat. 

Beliau berkata untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya akan kepentingan CRS, mereka perlu terlebih dahulu difahamkan bagaimana peranti itu dapat meningkatkan perlindungan terhadap anak mereka ketika berada di dalam kenderaan. 

Dalam tragedi kemalangan maut di Sungai Rengit–Kota Tinggi baru-baru ini, kerusi keselamatan kanak-kanak menjadi penyelamat apabila bayi Nur Laylaa Batrysha, 6 bulan, terselamat walaupun kedua-dua ibu bapanya maut, sekali gus mengingatkan kita kepentingan penggunaan CRS di dalam kenderaan. Kredit gambar: Polis.

“CRS direka secara saintifik untuk melindungi kanak-kanak ketika perlanggaran dengan mengagihkan dan menyerap daya impak agar tubuh mereka tidak tercampak ke depan atau tersepit  tali pinggang keledar dewasa,” katanya kepada Bernama.

Memetik kajian antarabangsa, beliau berkata CRS yang dipasang dengan betul mampu mengurangkan kadar kematian bayi hingga 71 peratus, manakala bagi kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun, kadar pengurangan kematian mencecah 54 peratus.

“Perlu diingatkan juga bahawa tali pinggang keledar dewasa hanya direka untuk anatomi orang dewasa, bukan kanak-kanak. Dalam perlanggaran, tali itu boleh tersentak di leher, muka atau abdomen kanak-kanak dan menyebabkan kecederaan dalaman serius,” jelasnya.

Buat masa ini CRS diwajibkan untuk kanak-kanak dengan berat bawah 36 kilogram dan tinggi kurang daripada 135 sentimeter serta berusia bawah 12 tahun. CRS juga mesti mematuhi piawaian antarabangsa UN R44 atau UN R129. 

Menjawab persoalan kurangnya sambutan terhadap penggunaan CRS, beliau berkata kajian MIROS 2024 mendapati ibu bapa, khususnya daripada kelompok B40, melihat CRS sebagai peranti mahal dan tidak mampu milik, selain percaya hanya golongan berpendapatan sederhana ke atas mampu memiliki CRS berkualiti tinggi.

“Bukan itu sahaja, terdapat juga ibu bapa yang menganggap (jarak) perjalanan dekat tidak berisiko, atau sekadar meletakkan anak di riba. Sebahagian lagi pula melaporkan anak mereka tidak mahu duduk dalam CRS kerana tidak dibiasakan sejak kecil. Latihan sejak awal amat penting, seawal hari pertama anak menaiki kenderaan,” ujar beliau lagi.

Cabaran lain ialah dari segi teknikal berkaitan pemasangan CRS dalam kenderaan selain kesesuaian model kerusi keselamatan kanak-kanak itu dengan model kenderaan.

Menyedari kekangan itu, MIROS membangunkan program FitSURE, satu inisiatif inovatif yang membantu ibu bapa membuat padanan antara model CRS dan jenis kenderaan bagi memastikan kesesuaian serta keselamatan optimum.

Maklumat lengkap FitSURE dapat  diakses di laman ASEAN NCAP, dan menurut Siti Zaharah program itu juga menjadi contoh terbaik bagaimana intervensi berasaskan teknologi boleh mengubah cara masyarakat melihat keselamatan anak dalam kereta.

 

CABARAN PENGUATKUASAAN DI LAPANGAN

Mengulas lanjut, Siti Zaharah berkata mereka yang didapati gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda RM300, namun buat masa ini penguatkuasaan berdepan beberapa kekangan, antaranya kepakaran teknikal dalam kalangan penguat kuasa, iaitu polis dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

”Penguatkuasaan CRS bukan semudah memeriksa tali pinggang keledar. Ia menuntut kepakaran teknikal seperti memeriksa orientasi kerusi, selain pemasangan sebenar yang mengambil masa dan perlu dilakukan secara manual. Atas sebab itu, penguatkuasaan dijalankan secara berperingkat, dengan tumpuan awal diberikan kepada pendidikan dan advokasi awam,”jelasnya.

Kajian antarabangsa menunjukkan CRS yang dipasang dengan betul mampu mengurangkan kadar kematian bayi sehingga 71 peratus, manakala bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun, kadar pengurangan kematian mencecah 54 peratus. Gambar kecil kiri (Pengarah MIROS, Prof Madya Ir. Ts Dr Siti Zaharah Ishak).

Pun begitu, kata beliau rakyat tidak seharusnya menunggu penguatkuasaan penuh penggunaan CRS kerana “keselamatan anak-anak bukan perkara yang boleh ditunda dan hanya takut disaman, kerana ini soal tanggungjawab dan kasih sayang."

Pada masa sama, beliau berkata tinjauan MIROS menunjukkan faktor takut disaman bukan pendorong utama ibu bapa mematuhi undang-undang itu sebaliknya pemahaman terhadap kepentingan CRS.

“Untuk mempengaruhi tingkah laku, perlu ada kombinasi pendidikan, kefahaman dan akses, iaitu mereka dididik tentang penggunaan CRS dan memahami kepentingannya serta CRS pula mudah diperoleh dan mampu milik,” jelas beliau.

Bagi menangani isu-isu yang membelenggu penggunaan CRS, MIROS melaksanakan beberapa inisiatif bersifat menyeluruh seperti Program MyCOSTP (Malaysian Child Occupant Safety Training Program) yang menyediakan latihan kepada pelbagai pihak termasuk jurujual, penguat kuasa, petugas penjagaan kesihatan dan aktivis keselamatan jalan raya.

“Ini bagi memastikan setiap individu yang berinteraksi dengan ibu bapa mampu memberikan nasihat sahih mengenai pemilihan dan pemasangan CRS. Setakat 2025, lebih 1,000 peserta termasuk penguat kuasa dari seluruh negara  telah menjalani latihan ini,” katanya.

MIROS turut menjalankan kempen kesedaran termasuk di hospital, klinik, sekolah dan media sosial selain mengadakan demonstrasi pemasangan CRS di tempat awam dan pameran bergerak.

Namun, kata Siti Zaharah halangan terbesar ialah kos, dan bagi mengatasinya MIROS dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan melaksanakan program MyCRS pada 2022 dan 2023 yang menawarkan subsidi sebanyak 50 peratus bagi pembelian CRS kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya program itu mencatat sambutan luar biasa dengan 63,248 orang menerima manfaat subsidi hingga RM150 bagi seunit CRS pada 2022, sementara pada 2023 pula seramai 66,959 orang. Kerajaan bagaimanapun tidak meneruskan program tersebut pada tahun-tahun berikutnya. 

“Program ini menunjukkan hakikat apabila bantuan disediakan kesanggupan untuk mematuhi undang-undang juga meningkat ketara. Oleh itu, kami berharap subsidi ini dipertimbangkan semula oleh kerajaan tapi dengan pendekatan lebih bersasar kepada B40 dan mereka yang baru bergelar ibu bapa,” sarannya.

 

BUDAYA KESELAMATAN BELUM MATANG

Menurut pakar keselamatan jalan raya pula, budaya keselamatan di Malaysia sebenarnya masih lemah kerana ramai ibu bapa tidak melihat penggunaan CRS sebagai satu keperluan, sebaliknya sekadar pilihan. 

Bagi profesor di Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia Dr Kulanthayan K.C. Mani, keadaan itu berpunca daripada persepsi turun-temurun iaitu selagi amalan tidak membawa padah, maka amalan itu dianggap selamat.

Perlu diingatkan keselamatan anak-anak bukan perkara yang boleh ditunda. Ia bukan soal saman, tetapi soal tanggungjawab dan kasih sayang.

“Contohnya, seseorang itu telah bertahun-tahun membawa anaknya (menaiki kenderaan) tanpa car seat dan tiada apa berlaku. Pandangan seperti ini mencerminkan ilusi kawalan, iaitu kecenderungan manusia untuk percaya mereka mampu mengawal risiko hanya kerana mereka tidak pernah ditimpa kemalangan sebelum ini,” kongsinya.

Lebih membimbangkan katanya ialah hakikat ramai pengguna masih kabur tentang fungsi sebenar CRS dengan ada yang menganggap peranti itu dapat mencegah kemalangan sedangkan CRS direka bagi mengurangkan tahap kecederaan apabila berlaku kemalangan.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia itu juga berkata sikap orang ramai yang hanya mematuhi undang-undang ketika penguatkuasaan tegas dan kembali mengabaikannya apabila tiada pemantauan  menunjukkan masyarakat masih berorientasi kepada pematuhan luaran, bukan kepercayaan dalaman.

Budaya keselamatan yang mapan jelasnya perlu dibina berasaskan kepercayaan dan tanggungjawab moral, selain menuntut perubahan daripada “patuh kerana undang-undang” kepada “patuh kerana percaya pada keselamatan dan perlindungan yang ditawarkan CRS”.

“Sebagaimana kita memakai topi keledar walau tiada polis melihat, ibu bapa juga perlu menjadikan CRS sebahagian daripada amalan rutin,” tegasnya.

“Dalam kemalangan, kereta berhenti serta-merta tetapi tubuh manusia terus bergerak pada kelajuan asal. Tanpa CRS atau tali pinggang, anak akan tercampak ke depan atau ke sisi, menghentam permukaan keras seperti papan pemuka atau penumpang lain. Tubuh manusia hanya mampu menahan impak sekitar 30 kilometer sejam; lebih daripada itu, tenaga perlanggaran akan menyebabkan kecederaan serius, dan bagi kanak-kanak, tahap toleransi lebih rendah lagi.

“Kalau orang dewasa pun cuma boleh tahan 30 km/j, anak-anak lebih rendah lagi, sebab itu car seat penting untuk agih dan serap tenaga impak,” tegasnya.

Beliau juga menyarankan agar pendekatan "kita jaga kita” diamalkan dalam konteks penggunaan CRS dengan ahli keluarga saling menegur dan masyarakat memupuk budaya prihatin, dan tidak menyerahkan tanggungjawab penguatkuasaan kepada pihak berkuasa semata-mata.

 

MENGUBAH NORMA SOSIAL, AKSES MAMPU MILIK

Bersetuju kos masih menjadi punca utama orang ramai tidak mematuhi penggunaan CRS, Kulanthayan mengesyorkan agar kerajaan meneruskan pemberian subsidi seperti program MyCRS atau mencari kaedah lain yang dapat mengurangkan harga CRS.

Katanya secara tidak langsung langkah itu dapat mengurangkan kecenderungan pengguna membeli produk tiruan atau yang tidak melalui ujian piawaian ditetapkan.

Apabila anak sejak hari pertama dibiasakan duduk di kerusi keselamatan bayi, ia menjadi rutin yang membina rasa aman dan kasih sayang.

“Majikan juga boleh memainkan peranan dengan menukar budaya pemberian hamper dan bunga kepada pekerja yang baru menyambut kelahiran anak dengan menghadiahkan car seat yang lebih praktikal,” sarannya.  

Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan untuk ibu bapa dan pihak berkaitan lain memahami aspek teknikal penggunaan CRS agar tidak berlaku kesilapan semasa pemasangan.

“Kalau salah pasang, car seat mahal sekalipun gagal berfungsi ketika kemalangan. Justeru, penjual harus diberikan latihan agar mereka dapat menjelaskan cara pemasangan CRS dalam bahasa yang mudah difahami oleh ibu bapa.

“Dengan cara ini, industri runcit bukan sekadar menjual produk, tetapi menjadi penyumbang pendidikan keselamatan pengguna,” katanya.

Berpendapat dasar dan peraturan sedia ada sudah mencukupi, Kulanthayan berkata sudah tiba masa untuk penguatkuasaan menyeluruh dijalankan agar kelemahan dan kekurangan dapat dibaiki.

 

KESELAMATAN BERMULA DARI RUMAH

Sementara itu,  pakar psikologi Dr Alizi Alias berkata ibu bapa adalah "cermin pertama” yang membentuk dunia anak-anak.

“Justeru, tabiat duduk di dalam car seat juga perlu dimulakan sejak bayi, bukan ketika si anak sudah besar.

“Apabila anak sejak hari pertama dibiasakan duduk di tempat duduk keselamatan, ia menjadi rutin yang membina rasa aman dan kasih sayang. Pendekatan ini bukan paksaan, tetapi sebahagian daripada ‘secure attachment’ iaitu anak akan belajar bahawa keselamatan adalah suatu bentuk cinta ibu bapa terhadapnya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata jika si anak secara konsisten melihat ibu bapa mengenakan tali pinggang keledar dan menempatkan anak di dalam CRS tanpa kompromi, maka anak akan melihat tingkah laku itu sebagai norma hidup.

“Bahasa konsisten sebegini membentuk skrip mental bahawa keselamatan adalah tanda kasih, bukan beban,” tambah beliau lagi.

Pada masa sama, beliau menegaskan kesedaran tanpa emosi jarang berakar kuat.

“Maka, kempen kesedaran yang dilaksanakan pihak berwajib tidak harus sekadar menunjukkan tragedi, tetapi juga cara mengelakkannya dengan menukar ketakutan menjadi kekuatan. ‘Anda boleh elak tragedi ini dengan guna car seat’ boleh dijadikan contoh mesej yang menakutkan dengan harapan, dan bukan menakutkan tanpa arah (tujuan),” tegas beliau.

Pakar itu juga menegaskan kasih sayang mesti diterjemahkan dalam tindakan konsisten dan menambah bahawa ramai ibu bapa mengalami cognitive dissonance, iaitu tahu CRS penting, tetapi mengutamakan keselesaan anak yang menangis. 

“Namun kasih sayang yang sejati bukan sekadar memeluk, tetapi melindungi. Ibu bapa perlu memahami bahawa kelajuan 30km/j sahaja sudah cukup menghasilkan impak yang tubuh kecil tidak mampu tanggung. Kesedaran mesti datang bukan hanya dari maklumat, tapi dari hati yang takut kehilangan.

“Akhirnya, semua teori ini berbalik kepada nilai spiritual dan tanggungjawab moral. Dalam Islam, menjaga nyawa (hifz al-nafs) ialah antara maqasid syariah sebagai tujuan tertinggi syariat. Lalai walau tahu bahayanya dianggap ghaflah, atau kelalaian hati yang tahu tapi tidak bertindak,” jelasnya.

Oleh itu kata beliau, ibu bapa khususnya yang beragama Islam, perlu menerapkan disiplin keselamatan sebagai sebahagian daripada tazkiyah al-nafs, iaitu penyucian dan penyuburan jiwa untuk membersihkan diri daripada sifat-sifat buruk atau ringkasnya membentuk akhlak mulia.

“Maka, gunakan car seat bukan kerana takut saman (khauf), tetapi kerana harapan (raja’) untuk melihat anak membesar dengan selamat di bawah lindungan kasih yang berakal,” nasihat beliau yang juga pakar dalam bidang pengajian Islam.

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.