Co-Teaching: Pendekatan Untuk Penuhi Falsafah Pendidikan - Pakar

K
aedah pengajaran berpasukan atau  “co-teaching” yang bakal dilaksanakan di sekolah  bermula sesi akademik 2027, disifatkan oleh pakar sebagai satu inisiatif wajar dalam usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh kebekerkesanan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah.

Menerusi pendekatan itu, dua orang guru akan mengajar secara bersama-sama di dalam kelas bagi menangani kepelbagaian keperluan pelajar.

Sekalipun ada pihak mempertikaikan pendekatan yang diperkenalkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek itu, pakar berkata  co-teaching bukan model baharu, sebaliknya telah dilaksanakan di banyak negara, antaranya Jepun, Thailand dan Korea Selatan, khusus untuk pembelajaran subjek tertentu di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

Pakar berpandangan menerusi strategi itu, setiap murid akan mendapat perhatian sewajarnya, iaitu situasi yang sukar dicapai oleh seorang guru mengajar secara bersendirian.

  Di Malaysia, kaedah itu dijangka dilaksanakan untuk pembelajaran subjek baharu, iaitu Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu Tahap I, sejajar dengan matlamat KPM untuk melahirkan generasi pelajar yang menyeluruh, iaitu cemerlang dari segi ilmu dan kukuh jati diri serta bermoral tinggi. 

 

PENUHI FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Mengulas perkara itu, pensyarah kanan Program Pendidikan, Fakulti Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia Dr Hayati Ismail berkata co-teaching bukan sekadar melibatkan dua guru yang bekerjasama mengajar satu kelas secara aktif,  tetapi turut membantu mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang telah ditetapkan.

Beliau berkata ini kerana pendekatan itu bakal menekankan pada aspek pembangunan insan yang seimbang dan menyeluruh. 

“Sebenarnya kaedah ini bukanlah satu perkara baharu kerana ada guru-guru yang telahpun diperkenalkan dengan teknik ini semasa mendapat latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) ataupun universiti.

“Kita lihat co-teaching ini berkeupayaan mengatasi beberapa batasan pengajaran guru tunggal, dan pada masa sama menyokong pembangunan potensi bukan sahaja dari segi intelek bahkan juga emosi seseorang pelajar itu,’’ katanya kepada Bernama.

Selain itu katanya inisiatif pengajaran berpasukan juga akan menekankan pada keseimbangan  pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar.

Dr Hayati Ismail, Universiti Sains Islam Malaysia

Situasi itu berlaku apabila kehadiran dua guru akan membolehkan setiap pelajar mendapat perhatian yang lebih peribadi selain menerima maklum balas segera daripada guru berkenaan.

Misalnya, apabila seorang guru fokus pada kandungan akademik, seorang guru lagi boleh memerhati serta membimbing pelajar yang secara tidak langsung akan mewujudkan suasana rasa dihargai, sekali gus membantu membina emosi pelajar  dan mengurangkan risiko keciciran dalam proses pembelajaran, jelas beliau.

“Menerusi inisiatif ini, guru juga dapat memberi tumpuan kepada  intervensi awal dan sokongan yang lebih berfokus kepada murid yang lemah misalnya dalam literasi dan numerasi (3M).

“Selain itu, co-teaching turut membolehkan guru menyesuaikan bahan pengajaran untuk murid berkeperluan khas (MBK) tanpa perlu mengasingkan mereka. Ini mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inklusif dan adil, dan pada masa sama mengiktiraf potensi setiap murid selaras dengan matlamat  FPK,” tambah beliau lagi.

Semasa mengumumkan langkah itu,  Fadhlina dilaporkan berkata  co-teaching dibuat bagi memastikan proses PdP menjadi lebih menarik serta berkesan kerana ia memberi ruang guru menjadi lebih kreatif dan interaktif dalam melaksanakan PdP.

 

PERANAN GURU

Mengulas lanjut, Hayati berkata bagi menjayakan konsep tersebut, guru perlu diberi ruang dan peluang dalam merancang kandungan dan amalan pedagogi mengikut subjek serta kesesuaian pelajar.

Beliau berkata guru juga perlu mempunyai kolaborasi dan komunikasi yang baik antara satu sama lain supaya PdP dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Pengetua dan guru besar harus memainkan peranan kritikal dalam memupuk budaya kolaborasi dan profesional  dalam kalangan guru, bagi memastikan pengagihan tugas co-teaching ini adalah adil dan berdasarkan kepada kepakaran guru tersebut.

“Barisan kepimpinan sekolah juga perlu bertindak sebagai pemudah cara dan penyokong, bukan sekadar pelaksana dasar KPM.  Jika co-teaching dilaksanakan tanpa sokongan, ia berpotensi menjadi beban berganda kepada guru,’’ katanya.

Mengulas lanjut, Hayati berkata para guru juga boleh melaksanakan model co-teaching daripada dapatan penyelidikan terkenal seperti Marilyn Friend dan William Cook yang kini menjadi rujukan secara meluas di Amerika Utara serta Eropah.

Kaedah pengajaran berpasukan atau “co-teaching” yang bakal dilaksanakan di sekolah bermula sesi akademik 2027

Antara model itu ialah “One Teach, One Observe”, iaitu seorang guru mengajar manakala seorang lagi memerhati dan mengumpul data berhubung tingkah laku, penglibatan atau tahap pemahaman seseorang pelajar itu.

Model lain termasuk  “Parallel Teaching”, iaitu guru bertindak membahagikan kelas kepada dua kumpulan dan kedua-dua guru mengajar kandungan sama pada waktu yang sama, serta  “One Teach, One Assist”, situasi di mana seorang guru mengajar dan seorang lagi guru bergerak di dalam kelas dengan memberikan bantuan dan sokongan kepada pelajar sepanjang sesi PdP dilaksanakan.

“Berdasarkan model ini, ia menunjukkan kehadiran dua guru dalam satu kelas dapat mewujudkan proses pembelajaran yang lebih fleksibel.

“Guru juga boleh saling melengkapi apabila dapat berkongsi kepakaran dan kreativiti mereka masing-masing, sekali gus menjadikan sesi pembelajaran itu lebih jelas dan menarik serta menggalakkan penggunaan strategi pedagogi yang lebih pelbagai,’’ hujah Hayati.

 

MERANGKA MODEL

Pandangan senada turut disuarakan pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara Dr Fatin Aliana Mohd Radzi yang menyarankan agar KPM merangka model yang jelas untuk guru, bagi memastikan peranan mereka dapat dilaksanakan sebaik mungkin ketika mengendalikan kelas bersama-sama dengan rakan sejawatan.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi mengelakkan wujudnya perbandingan dan pertindihan tugasan di dalam kelas yang sama.

“Konsep co-teaching ini disifatkan yang terbaik dalam mengatasi masalah murid yang terlalu ramai di dalam sesebuah kelas, namun pelaksanaannya memerlukan kesefahaman selain dapat disesuaikan dalam budaya kerja di sekolah.

“Cabaran utama yang mungkin akan dihadapi ialah dalam menyelaraskan peranan, pembahagian tugas dan kepercayaan antara dua guru dalam satu ruang PdP,” katanya.

Selain itu, beliau berkata isu kekurangan guru juga boleh berisiko menimbulkan cabaran logistik di mana sekolah yang menghadapi masalah pengisian jawatan mungkin sukar melaksanakan konsep dua guru di dalam kelas.

Justeru, pelaksaan co-teaching tersebut perlu disertai perancangan sumber manusia yang realistik serta sokongan  pembahagian tugas yang adil supaya guru tidak berasa terbeban.

“Realiti di sekolah ketika ini guru sering kali dibebani dengan tugas-tugas pentadbiran, pelaporan data, serta program luar bilik darjah…dengan situasi seperti ini co-teaching agak sukar dilaksanakan secara efektif.

Dr Fatin Aliana Mohd Radzi, Universiti Teknologi Mara

“Maka, pelaksanaan co-teaching ini perlu dibuat mengikut kesesuaian konteks. Pendekatannya juga perlu berfokus pada kreativiti dalam perkongsian sumber dan fleksibiliti jadual. Ini mungkin lebih praktikal daripada menerapkan satu model seragam di semua sekolah,’’ katanya.

Beliau berkata meskipun guru mampu bekerjasama dengan baik dalam satu kelas yang sama,  perubahan budaya kerja memerlukan masa untuk mereka menyesuaikan diri kerana sudah terbiasa membudayakan cara sendiri dalam sesi PdP.

Sehubungan itu katanya,  KPM perlu meneliti semula pelaksanaan tersebut dengan memberi pendedahan dan latihan kepada guru agar mereka memahami konsep dan pelaksanaan co-teaching tersebut sepertimana yang ditetapkan kementerian.

‘’KPM perlu membuka ruang perbincangan kepada pihak berkaitan  supaya model co-teaching yang efektif dapat dibentuk dan seterusnya kekal relevan dalam sistem pendidikan negara.

‘’…dan keberhasilan co-teaching juga memerlukan kepercayaan dan kefahaman semua pihak supaya ia dilihat sebagai satu penambahbaikan dan bukannya satu bebanan,’’ katanya.

 

LAKSANA BERPERINGKAT

Sementara itu,  Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berharap pendekatan baharu pengajaran yang melibatkan dua guru di dalam satu kelas dilaksanakan secara berperingkat supaya sebarang masalah yang timbul dapat dikenal pasti lebih awal dan ditangani sebelum diperluas ke semua sekolah.

Beliau berkata pelaksanaan kaedah pengajaran itu perlu memberi impak positif ke atas pelajar selain mampu menangani sebarang isu berbangkit di sekolah.

“Hingga kini PIBGN belum menerima sebarang perincian berkaitan pelaksanaan kaedah baharu ini daripada KPM. Kita harap akan ada ruang perbincangan selepas ini supaya ibu bapa juga cakna pendekatan tersebut.

“… dan kita berharap ia akan dimulakan dengan beberapa buah sekolah terpilih sahaja dahulu bagi memastikan keberkesanannya dapat dicapai secara optimum dan pada masa sama dapat menilai tahap kemenjadian murud-murid,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.