M
alaysia berdepan cabaran besar dalam menangani diabetes, dengan seorang daripada lima individu dewasa menghidap penyakit itu, menyaksikan negara ini merekodkan prevalens diabetes tertinggi di ASEAN, menurut Diabetes Atlas 2025 Persekutuan Diabetes Antarabangsa.
Namun begitu, masih ramai rakyat tidak sedar akan bahaya tersebut sehinggalah mereka mengalami komplikasi seperti penyakit jantung dan kegagalan buah pinggang. Pakar bagaimanapun mengingatkan di sebalik kepentingan peranan ubat-ubatan dalam mengawal diabetes, ada “senjata” yang berpotensi mengubah situasi itu namun sering diabaikan, iaitu pemakanan.

Prof Dr Winnie Chee Siew Swee, Naib Presiden Persatuan Pakar Diet Malaysia (kiri), dan Dr Nina Mazera Mohd Said, Pengarah Perubatan Pemakanan Abbott di Malaysia (kanan). Pix credit edna zacharias.
Berbanding hanya mengurangkan pengambilan gula, pemakanan yang baik kian diiktiraf sebagai satu bentuk terapi perubatan yang mampu mencegah atau melengah diabetes serta membantu mereka yang sudah didiagnosis menguruskan keadaan dengan lebih baik. Tanpa tindakan awal ini, pakar pemakanan berkata beban penyakit itu ke atas manusia dan ekonomi akan terus meningkat.
“Diabetes ialah penyakit yang sangat serius, namun ramai tidak menganggap sedemikian kerana simptom penyakit mungkin tidak menyebabkan kesakitan serta-merta,” kata Naib Presiden Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) Prof Dr Winnie Chee Siew Swee ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
“Akan tetapi, dengan intervensi pemakanan awal kita dapat mengambil langkah lebih berkesan untuk mencegah komplikasi dan menyokong kesihatan yang lebih baik dalam jangka panjang.”
SESUAIKAN DENGAN BUDAYA TEMPATAN
Walaupun intervensi gaya hidup terbukti dapat memberikan hasil bermakna, kebolehlaksanaan dan kemampuan untuk mengekalkan cara itu dalam kehidupan sebenar sering menjadi cabaran. Oleh sebab itu, Dr Chee menekankan keperluan terhadap pelan pemakanan yang praktikal dan sesuai dengan budaya setempat, yang boleh diikuti oleh pesakit secara realistik dalam jangka panjang.
Bagi memenuhi keperluan ini, para penyelidik Malaysia daripada pelbagai bidang perubatan telah menyesuaikan satu garis panduan antarabangsa dikenali sebagai Transcultural Diabetes Nutrition Algorithm (tDNA) dan menghasilkan rangka kerja yang menyediakan kaedah tersusun untuk menyesuaikan terapi pemakanan mengikut latar budaya pesakit, pilihan makanan dan gaya hidup mereka.

Laporan Pendaftaran Diabetes Kebangsaan 2023 menunjukkan hanya 34.38 peratus pesakit mencapai sasaran Kementerian Kesihatan untuk HbA1c di bawah 6.5 peratus. Pix kredit laman web Clinica Elgeadi.
Berbanding mengenakan diet seragam kepada semua, tDNA - dibangunkan oleh pasukan pakar diabetes dan pemakanan antarabangsa - membantu pakar diet tempatan menggabungkan makanan ruji rakyat Malaysia seperti nasi, mi dan hidangan tradisional ke dalam pelan makan terancang, dengan kaedah memasak yang lebih sihat serta kawalan saiz hidangan.
“Penyelidikan kami menunjukkan apabila pesakit mengikuti pelan yang disesuaikan untuk mereka berdasarkan tDNA, serta memasukkan formula khusus diabetes (DSF - iaitu makanan tambahan atau pengganti makanan yang membantu mengawal paras gula dalam darah) sebagai pengganti makanan separa, tahap pematuhan terhadap program meningkat hingga 90 peratus,” kata Dr Chee, menambah “Ini bermakna pesakit lebih berkemungkinan mematuhi pelan tersebut untuk satu jangka masa mencukupi bagi melihat perubahan ketara. Ramai berjaya mencapai penurunan berat badan yang signifikan, paras HbA1c lebih baik dan pengurangan keperluan terhadap ubat.”
(HbA1c ialah ujian darah ringkas yang menunjukkan purata jumlah gula dalam darah pesakit untuk tempoh dua ke tiga bulan terdahulu, bagi membantu doktor menilai sejauh mana paras gula dalam darah mereka dikawal.)
Beliau turut merujuk bukti klinikal kukuh yang menyokong penggunaan DSF sebagai sebahagian daripada terapi pemakanan berstruktur.
“Kajian terbaharu oleh Abbott melibatkan 235 orang dewasa di Malaysia dan Thailand yang menghidap diabetes jenis 2 serta mengalami berat badan berlebihan atau obes, mendapati dengan mengintegrasikan DSF sebagai pengganti makanan separa atau penuh, bersama-sama dengan rawatan standard, membawa kepada penambahbaikan ketara dalam kawalan glisemik, komposisi badan serta faktor risiko kardiometabolik,” jelasnya.
Paling ketara, peserta mencapai penurunan berat badan dan peratusan lemak badan hingga dua kali ganda berserta tekanan darah sistolik dan diastolik lebih rendah berbanding kumpulan kawalan selepas intervensi selama 90 hari.
Dr Chee berkata setahunya, kajian itu yang pertama di Asia yang menunjukkan intervensi sedemikian dapat meningkatkan komposisi badan secara ketara apabila digabungkan dengan rawatan standard. Penemuan tersebut, tambah beliau, menekankan peranan DSF sebagai strategi pemakanan barisan hadapan yang praktikal serta potensinya untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular yang kekal menjadi punca kematian utama di Malaysia.
CARA AMBIL DSF
Bagi individu dengan berat berlebihan atau obes, Dr Chee mengesyorkan pengurangan jumlah kalori keseluruhan yang diambil dengan bantuan satu atau dua hidangan DSF sebagai pengganti makanan atau snek, digabungkan dengan buah-buahan segar dan sayur-sayuran serta protein tanpa lemak bagi memastikan pemakanan seimbang.
Agar lebih jelas, untuk pelan mengandungi 1,200 kalori (kal), seseorang boleh bersarapan dengan satu hidangan DSF (220 kal) dan sebiji pisang kecil (75 cal), sementara makan tengah hari pula meliputi satu hidangan DSF (220 kal), satu popia basah (100 kal) dan epal bersaiz sederhana (60 kal). Makan malam pula mungkin mengandungi dua senduk kecil nasi beras perang (150 kal), secawan sayur tumis (50 kal), semangkuk sup bayam (50 kal) dan seekor ikan kembung bakar (150 kal).

Melakukan ujian saringan penting untuk mengetahui tahap kesihatan .
Bagi mereka yang memerlukan pelan 1,500 kalori, sarapan mungkin terdiri daripada gandingan satu hidangan DSF (220 kal) dengan sepotong kuih (100 kal), sementara tengah hari ialah semangkuk sup kuetiau (450 kal), sepotong papaya (70 kal) dan segelas teh ais tanpa gula. Bagi mengekalkan rasa kenyang dan keseimbangan, seseorang boleh makan snek ringkas seperti jambu (70 kal) atau sandwic tuna roti gandum penuh (180 kal).
Dengan bimbingan pakar diet dan bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu, pelan khusus ini dapat membantu pesakit mengekalkan defisit kalori sambil pada masa sama memenuhi keperluan pemakanan mereka.
Menurut Dr Chee, apabila terapi pemakanan yang disesuaikan dengan budaya diamalkan secara konsisten, ia bukan sahaja meningkatkan kesihatan individu, malah berpotensi memperlahan peningkatan beban diabetes di Malaysia, sekali gus mengukuhkan mesej bahawa pemakanan adalah sama pentingnya dengan ubat-ubatan dalam mengurus penyakit tersebut.
MAKANAN, BUDAYA DAN KETIDAKSAMAAN
Akan tetapi, pelan pemakanan terbaik sekalipun tetap berdepan halangan di luar klinik, disebabkan oleh gaya hidup rakyat Malaysia. Diet rakyat Malaysia yang tipikal ialah nasi putih, makanan bergoreng dan minuman manis, sementara tabiat sosial tradisional seperti makan lewat malam atau jamuan festival, menyukarkan orang ramai untuk mematuhi diet diabetes standard yang selalunya didasari corak Barat.
“Makanan berkait rapat dengan identiti, keluarga dan tradisi kita,” kata Dr Chee. Justeru, katanya adalah tidak realistik untuk meminta orang ramai agar tidak mengambil nasi langsung. “Yang lebih berkesan ialah kawalan saiz hidangan, kaedah memasak yang lebih sihat dan perubahan secara beransur-ansur.”
Menegaskan kepentingan menyesuaikan pelan pemakanan dengan budaya tempatan, beliau berkata menggantikan sarapan berindeks glisemik tinggi seperti roti canai dan teh tarik dengan pilihan yang lebih sihat seperti sandwic gandum penuh gril, buah-buahan atau pelan pemakanan tempatan yang lebih teratur dapat membantu mengurangkan lonjakan gula dalam darah dengan ketara.
MENGATASI HALANGAN, BERGERAK KE DEPAN
Sementara itu, Pengarah Perubatan Pemakanan Abbott di Malaysia Dr Nina Mazera Mohd Said berkata laporan National Diabetes Registry 2023 menunjukkan hanya 34.38 peratus pesakit mencapai sasaran HbA1c bawah 6.5 peratus yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
“Dianggarkan 3.6 juta rakyat dewasa menghidap diabetes, dan seorang daripada dua individu dewasa mengalami obesiti atau berat berlebihan. Ramai daripada mereka didiagnosis menghidap diabetes jenis 2 yang meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular disebabkan oleh glukosa darah yang tinggi, kerintangan insulin dan ketidaknormalan metabolik lain. Situasi ini menunjukkan keperluan mendesak untuk intervensi awal melalui pelan pemakanan khusus dan perubahan gaya
Dr Chee dalam pada itu berkata maklumat salah turut membuatkan pesakit menangguhkan rawatan yang terbukti berkesan.
“Platform dalam talian termasuk media sosial dan e-dagang, penuh dengan ‘penawar ajaib’ yang tidak disahkan atau makanan tambahan murah yang dipasarkan sebagai penyelesaian diabetes.
“Ada juga salah tanggapan yang ubat-ubatan sahaja cukup untuk mengawal diabetes… tetapi, tanpa perubahan gaya hidup, pesakit berkemungkinan memerlukan dos lebih tinggi pada masa akan datang, yang seterusnya berisiko mendatangkan kesan sampingan. Oleh sebab itulah diet dan perubahan gaya hidup penting dalam menangani diabetes untuk jangka panjang,” jelasnya.
Dr Nina Mazera bersetuju dan menambah pemakanan merupakan asas kepada pengurusan diabetes namun jarang diamalkan.
“DSF khususnya, mengandungi mikronutrien yang menyokong kesihatan menyeluruh dan terbukti secara klinikal dapat membantu meningkatkan kawalan glisemik. Selain itu, kita juga perlu memberi tumpuan kepada perkara yang boleh kita kawal, seperti mengekalkan gaya hidup sihat dengan pemakanan yang betul. Dengan sokongan yang sesuai, pengurusan diabetes dapat menjadi lebih berkesan,” katanya.
Beliau juga berkata usaha meningkatkan kesedaran memerlukan penglibatam pelbagai sektor, termasuk golongan profesional penjagaan kesihatan, industri makanan, media dan kerajaan.
“Mereka semua memainkan peranan besar dalam menggalakkan rakyat Malaysia bertanya pada diri sendiri, ‘Adakah saya berisiko? Adakah saya telah menjalani saringan kesihatan?’ Mewujudkan kesedaran merupakan langkah pertama ke arah pencegahan dan kesihatan yang lebih baik,” katanya.