Saintis Kimia Kelahiran Felda Keratong 2 Cipta Nama Sebagai "Pakar Bedah" Wangian Malaysia

D
ari luar semerbak haruman bunga tropika sudah dapat dihidu, dan apabila pintu makmal itu dibuka penulis ibarat “diterjah” oleh wangian yang jelas memenuhi ruang sederhana besar tersebut.

Dikelilingi pelbagai kelalang kaca, masing-masing mengandungi larutan, Dr Mohd Azri Ab Rani  tekun meneliti perubahan warna setiap larutan yang membawa makna tersendiri dan akan menjadi bahan dalam “resipi rahsia” penghasilan minyak wangi.

Tidak pernah terlintas di fikiran pakar kimia kelahiran Felda Keratong 2, Pahang ini bahawa suatu hari nanti beliau akan digelar “pakar bedah minyak wangi Malaysia”. Semuanya kerana satu penemuan di luar jangkaan ketika beliau menjalankan penyelidikan.  

Meskipun bidang kepakaran beliau lebih tertumpu pada teknologi bateri pelbagai guna, penemuan semasa menjalankan kajian elektrolit bateri pada 2020  itu telah membuka lembaran baharu yang akhirnya membawa beliau ke dunia penghasilan minyak wangi.

Berkhidmat sebagai pensyarah kimia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam, Selangor sejak 2012, beliau kini mempunyai jenama minyak wangi sendiri - Dr Azri Perfume - hasil penemuan tidak sengaja tersebut. Keistimewaan minyak wangi ini ialah ketahanan, iaitu selama 72 jam berbanding minyak wangi biasa sekitar tujuh hingga sembilan jam, waima jenama antarabangsa terkenal. 

 

RAHMAT DI SEBALIK COVID-19 

Berkongsi perjalanan kejayaannya itu, Mohd Azri, 41, berkata pada 2019  beliau menerima  Merdeka Award Grant for International Attachment serta telah diterima masuk untuk menjalankan penyelidikan dalam elektrolit bateri di Massachusetts Institute of Technology  selama tiga bulan. Namun penularan COVID-19 menutup pintu ke Amerika Syarikat.

Beliau kemudian meneruskan kajiannya di makmal UiTM pada 2020, dan di situlah beliau secara tidak sengaja menghasilkan sebatian baharu.

Sebaik sempadan global dibuka pada 2021, beliau terbang ke Kolej Imperial London, United Kingdom dan kemudian ke Universiti Deakin di Australia bagi menjalankan kajian lanjut terhadap penemuan fixative itu.

“Saya sedang menjalankan uji kaji elektrolit untuk bateri, apabila satu sebatian baharu terhasil.  Secara teori, saya jangka A tambah B akan hasilkan C, tetapi kali ini hasilnya pelik. Sifat sebatian ini unik dan melekit. Setelah dianalisis, bahan ini mempunyai ciri seakan-akan sama dengan sebatian asas dalam produk pewangi,” jelasnya.

Walaupun fokus asal kajiannya ialah bateri, penemuan itu menjentik hatinya untuk terus meneroka potensi sebatian tersebut yang seterusnya membuka pintu beliau kepada dunia minyak wangi. 

“Saya bukan berniat nak buat minyak wangi asalnya, tetapi jika ada molekul berpotensi (untuk dikaji), saya rasa wajib menyelidik,” katanya yang menjalankan kajian itu secara sampingan.

Sebaik sempadan global dibuka pada 2021, beliau terbang ke Kolej Imperial London, United Kingdom dan kemudian ke Universiti Deakin di Australia bagi menjalankan kajian lanjut terhadap penemuannya itu. 

Katanya beliau membuat perbandingan antara sebatian yang ditemukannya dengan bahan aromatik beberapa minyak wangi komersial termasuk jenama antarabangsa terkenal.

Apabila balik ke Malaysia pada Jun 2021, Mohd Azri menyambung penyelidikannya di makmal UiTM dengan kegagalan dan kejayaan silih berganti. Namun, kegigihannya membuahkan hasil apabila beliau berjaya mengenal pasti ciri utama sebatian, iaitu “fixative” atau penetap - bahan asas yang berfungsi melanjutkan ketahanan aroma. Ujian menunjukkan molekul dalam bahan itu dapat mengekalkan wangian hingga 72 jam.

 

KETEPATAN ANALISIS DAN PEMBANGUNAN FORMULA

Dalam industri minyak wangi, ketahanan aroma adalah cabaran utama yang perlu ditangani pembuat minyak wangi. Dalam aspek ini, Mohd Azri mempunyai kelebihan selaku pakar kimia penghasilan bateri yang menekankan ketepatan analisis molekul.

Perfume bukan sekadar campuran bau; ia seni dan sains yang memerlukan gabungan top notemiddle note dan base note yang harmoni,” katanya yang memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang elektrokimia pada 2012 dan subkepakaran dalam bidang cecair berionik dan kimia bateri di Universiti Kyoto, Jepun dari 2015 hingga 2017.

Perfume bukan sekadar campuran bau; ia seni dan inovasi sains yang memerlukan gabungan top note, middle note dan base note yang harmoni.

(Dalam dunia pembuatan minyak wangi, istilah top note, middle note, dan base note merujuk tiga lapisan aroma yang membentuk struktur minyak wangi. Setiap lapisan muncul pada waktu berlainan selepas minyak wangi disembur dan memainkan peranan penting untuk pengalaman bau keseluruhan.)

Menurutnya, sepanjang kajian selama setahun itu, beliau berjaya memetakan ratusan molekul aroma, daripada komponen ringan yang cepat meruap sehinggalah molekul berat yang membentuk lapisan base note. Keupayaannya “membedah” struktur kimia inilah yang memberikan beliau gelaran “pakar bedah minyak wangi Malaysia”.

Daripada analisis itu, beliau menemukan punca utama aroma cepat hilang, iaitu kadar peleraian molekul yang terlalu tinggi apabila terdedah kepada udara. Berbekalkan penemuan fixative sebelumnya, Mohd Azri membangunkan satu formula gam aromatik yang dapat mengikat komponen wangi pada fabrik atau permukaan, kemudian melepaskan aroma itu secara perlahan sambil mengekalkan keseimbangan top, middle, dan base note. 

Keunikan formulasi ini terletak pada gabungan dua bidang berbeza, iaitu elektrokimia dan perfumery namun saling melengkapi, dan seterusnya menghasilkan bau wangi yang mampu bertahan lama selepas semburan.

Inovasi teknologi inilah yang akhirnya melahirkan produk Dr Azri Perfume pada tahun sama.

Tidak hanya itu, sedar kewajipan mengutamakan “halalan toyyiban” iaitu yang halal itu lebih baik, Mohd Azri mendapatkan pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi memastikan alkohol yang digunakan dalam penghasilan wangian Dr Azri Perfume selamat.

Segalanya dilakukan di makmal UiTM sehinggalah formula itu lengkap untuk penghasilan komersial yang dilakukan di kilang bertaraf GMP (Amalan Pengilangan Baik), menjamin keselamatan pengguna dan integriti sains.

“Di makmal UiTM yang turut dibantu tujuh orang penyelidik makmal, kami hanya membuat formulasi. Setiap bahan perlu ada Material Safety Data Sheet (MSDS). Begitu juga produk siap mesti dihasilkan di kilang bertaraf GMP kerana ia tertakluk kepada notifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pematuhan piawaian ini bukan sekadar syarat industri, tetapi komitmen kepada keselamatan pengguna,” jelasnya.

 

MENDIDIK MASYARAKAT, MENGANGKAT BAKAT TEMPATAN

Selepas mencapai kejayaan itu, Mohd  Azri kini lebih terarah kepada mendidik masyarakat agar memahami sains di sebalik minyak wangi.

“Bila pengguna faham kenapa sesuatu perfume tahan lama, mereka lebih menghargai inovasinya,” ujarnya, menambah beliau memuat naik video eksperimen dan penjelasan kimia di media sosialnya.

Keunikan formulasi wangian terletak pada gabungan dua bidang elektrokimia dan perfumery namun saling melengkapi, dan seterusnya menghasilkan bau wangi yang mampu bertahan lama selepas semburan.

Bagaimanapun beliau sedar strategi pemasaran paling berkesan ialah pengalaman pengguna. “Apabila seseorang itu pakai minyak wangi ini dan baunya bertahan, dia akan sebarkan kepada orang lain. Itu lebih tulen dan berkesan berbanding iklan,” katanya.

Pendekatan itu menyaksikan lebih 100,000 botol Dr Azri Perfume terjual sejak dilancarkan pada 2021. Memanfaatkan platform e-dagang, Mohd Azri berkata beliau menawarkan alternatif mampu milik yang setanding dengan jenama antarabangsa.

Pada masa sama, beliau mahu membina ekosistem penyelidikan wangian negara. “Malaysia sebenarnya tidak kurang bakat. Kita cuma kurang pendedahan,” katanya, menambah beliau memberi peluang kepada pelajarnya untuk terlibat secara langsung dalam penyelidikan haruman, yang diharapkan dapat menjadi langkah penting ke arah industri minyak wangi tempatan yang berdaya saing.

Menurut beliau lagi, lebih ramai penyelidik muda dalam perfumery bermakna bukan sahaja lebih banyak inovasi, tetapi juga peluang pekerjaan bernilai tinggi, pembangunan teknologi berasaskan sains tempatan, dan peningkatan kapasiti negara untuk menghasilkan jenama wangian yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ini bukan sekadar menghasilkan produk wangian yang menarik, tetapi membina ekosistem industri nasional yang moden, mampan, dan beridentiti Malaysia,” tambahnya. Dengan pendekatan ini, beliau berharap generasi muda akan melihat perfumery bukan sekadar kreativiti seni, tetapi juga sektor strategik yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan teknologi, dan daya saing negara di pasaran global.

Tentang produk wangiannya, Mohd Azri berkata setakat ini beliau telah membangunkan 10 variasi termasuk satu wangian kegemarannya “Journey” - haruman yang menggabungkan lemon, jasmine (bunga melur) dan ambar yang melambangkan liku-liku perjalanan kerjayanya.

Tentang produk wangiannya, Mohd Azri berkata setakat ini beliau telah membangunkan 10 variasi wangian.

“Journey adalah haruman tentang fasa hidup saya yang penuh dengan eksperimen, cabaran dan kejayaan,” katanya sambil tersenyum. Menurutnya lagi, setiap aroma dalam wangian itu membawa cerita tersendiri seperti lemon mewakili permulaan penuh semangat dan keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu, jasmine melambangkan dedikasi dan ketekunan dalam menghadapi kegagalan serta cabaran penyelidikan, manakala amber melambangkan kematangan, kejayaan dan impak inovasi yang dirasai bukan sahaja di makmal, tetapi juga kepada masyarakat dan negara.

Beliau turut melihat wangian ini bukan sekadar produk komersial, tetapi simbol perjalanan ilmu, kreativiti, dan keberanian untuk mencuba.

“Apabila generasi muda melihat apa yang boleh dicapai melalui sains dan perfumery, saya harap mereka terdorong untuk meneroka potensi diri sendiri, serta melihat sains bukan hanya teori semata-mata,” tambahnya. Dengan Journey, beliau bukan sahaja menutup perbualan, tetapi membuka dimensi inspirasi bahawa inovasi tempatan, disiplin saintifik, dan keberanian mencipta sesuatu yang unik mampu meninggalkan kesan jangka panjang kepada masyarakat dan industri.

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.