K
edengaran macam mustahil apabila ada yang berkata dia mahu mengamalkan hidup sifar sisa.
“Mana mungkin kita dapat hidup begitu. Setiap hari kita hasilkan sampah.”
Pengurusan sisa kekal sebagai antara cabaran terbesar alam sekitar hari ini dengan puluhan juta tan metrik sampah dihasilkan di peringkat global saban tahun, iaitu 10 kali ganda lebih banyak berbanding sekurun lalu, demikian menurut para penyelidik Bank Dunia.
Malaysia juga tidak terkecuali. Menurut syarikat pengurusan sisa pepejal Alam Flora Sdn Bhd, rakyat Malaysia menghasilkan sekitar 38,000 tan metrik sampah setiap hari dengan sebahagian besar dihantar ke lebih 100 tapak pelupusan sampah di seluruh negara.
Di Kuala Lumpur sahaja, kira-kira 2,500 tan metrik sampah dihasilkan setiap hari setakat Oktober tahun ini, dan jumlah itu dapat memenuhi Menara Berkembar Petronas hanya dalam tempoh seminggu.
Sifar sisa merujuk satu falsafah dan gaya hidup yang bertujuan mengurangkan penghasilan sampah oleh individu, perniagaan dan masyarakat secara amnya.

Rakyat Malaysia menghasilkan sekitar 38,000 tan metrik sampah setiap hari
Matlamat ini berasaskan 5R, iaitu “reduce, reuse, recycle, repair and rot” (kurangkan, gunakan semula, kitar semula, baiki dan pengkomposan) bagi memastikan sampah tidak berakhir di tapak pelupusan, insinerator, lautan dan lain-lain bahagian alam sekitar.
Strategi itu yang menumpukan pada pencegahan penghasilan sisa dan bukannya pengurusan sisa di akhir kitaran hayatnya, menerima guna pendekatan holistik yang bertujuan membawa perubahan besar dalam cara bahan beredar dalam masyarakat, dan akhirnya ke arah penghapusan sisa sepenuhnya.
ANJAKAN PEMIKIRAN, MULAKAN DENGAN LANGKAH KECIL
Bagi guru Bahasa Inggeris Muhammad Asyraf Abdullah, 32, matlamat sifar sisa boleh dicapai selagi seseorang itu berusaha untuk mengamalkannya.
Baginya, untuk permulaan sudah memadai jika orang ramai sekurang-kurangnya membawa beg guna semula ketika membeli-belah atau membawa botol air sendiri ke sekolah.
“Kebanyakan kita tahu caranya, tetapi kita memberi pelbagai alasan seperti sibuk atau malas, kerana kita menganggap tindakan itu akan mengambil lebih banyak masa kita.
“Tetapi, jika kita bermula dengan usaha kecil, ia akhirnya akan membawa kepada perubahan yang lebih besar,” katanya kepada Bernama.
Para aktivis alam sekitar percaya gaya hidup sifar sisa bukanlah sesuatu yang tidak realistik atau mustahil dicapai, terutama dengan peningkatan kesedaran awam akan kesihatan planet dan kehidupan lestari.
Pengasas bersama Zero Waste Malaysia (ZWM) Khor Sue Yee berkata “sifar” adalah matlamat akhirnya, namun belum ada sesiapa yang benar-benar mencapai sifar sisa.
“Ramai menganggap gaya hidup ini ekstrem, tetapi sebenarnya tidak. Kita hanya berusaha untuk lebih mengasihani alam sekitar dengan mengurangkan apa yang kita buang,” katanya.

Pengasas bersama Zero Waste Malaysia (ZWM) , Khor Sue Yee (Gambar Ihsan: Zero Waste Malaysia)
Beliau berkata walaupun konsep tersebut kedengaran terlalu tinggi untuk dicapai, usaha ke arah itu tidak semestinya rumit.
“Sebenarnya sangat mudah, kerana langkah kecil pun boleh membawa perubahan,” katanya.
Menurut Khor, ramai yang sudah bersedia untuk mengurangkan sisa mereka, tetapi beliau tidak mahu mereka terlalu menumpukan pada usaha-usaha besar yang akhirnya membuatkan mereka gagal.
“Gaya hidup sifar sisa sebenarnya tentang meminimumkan sampah kita, membuat pilihan yang lebih baik, melakukan yang terbaik dan mengurangkan jumlah pembelian,” katanya.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia Prof Dr Ahmad Ismail berkata rakyat Malaysia akan mula mengurangkan sisa dengan mengamalkan 3R - kurangkan, guna semula dan kitar semula - jika mereka benar-benar memahami betapa seriusnya tahap pencemaran plastik di negara ini.
Beliau berkata pencemaran plastik bukan hanya daripada sisa import, tetapi juga akibat pembuangan plastik tempatan yang berleluasa.
“Mengurangkan sisa dalam kehidupan seharian mungkin lebih berkesan jika undang-undang baharu diperkenalkan untuk membendung pencemaran plastik,” katanya, sambil menambah Malaysia mesti terus melaksanakan Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018–2030 dengan lebih agresif dan sistematik.

sisa plastik yang didapati dibuang di sungai
DARI RUMAH KE PUSAT BELI-BELAH
Gerakan sifar sisa di Malaysia semakin mendapat perhatian dalam beberapa tahun kebelakangan ini, didorong oleh usaha yang dilaksanakan oleh organisasi berasaskan komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan alam sekitar serta kempen kerajaan.
Pihak berkuasa tempatan dan pengendali pusat beli-belah melaporkan perubahan beransur-ansur, termasuk penggunaan beg biodegradasi, titik kitar semula yang lebih baik, sistem pengasingan sisa yang dipertingkat, pengurangan sisa makanan dan kitar semula minyak masak terpakai.
Sesetengah peniaga pula telah mula menawarkan insentif kepada pelanggan yang membawa bekas atau beg sendiri, terutama pada musim perayaan apabila jumlah sisa lazimnya meningkat.
Sebelum ini, 17 pusat beli-belah di Lembah Klang dilaporkan memberi komitmen untuk mengurangkan 60 peratus sisa yang dihantar ke tapak pelupusan melalui penyertaan mereka dalam Kempen Sifar Sisa Pusat Beli-belah, yang dinyatakan menerusi pemeteraian “Letter of Action” pada 3 Dis lalu.

Orang ramai menggunakan beg kitar semula ketika membeli-belah di pusat membeli-belah
Kempen Sifar Sisa 2040 yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) itu bertujuan meningkatkan kelestarian alam sekitar di bandar raya dan menambah baik pengurusan sisa.
Antara lain, menerusi penyertaan dalam kempen itu, pusat beli-belah terbabit akan menerima guna langkah-langkah bagi mengurangkan penghasilan sisa di premis masing-masing termasuk menempatkan kemudahan kitar semula, penggunaan pembungkusan biodegradasi atau boleh terurai, serta menggalakkan vendor menerima guna amalan mesra alam sekitar.
Bercakap pada sidang media di pelancaran Kempen Sifar Sisa Pusat Beli-Belah pada 3 Dis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata kempen itu berasaskan Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur Sifar Sisa 2040 yang dilancarkan pada Mei tahun ini.
“Lebih 2,000 tan metrik sisa pepejal dihasilkan setiap hari di Kuala Lumpur dengan kos pengurusan yang mencecah hingga RM220 juta setahun ditanggung oleh DBKL yang merupakan angka yang besar.
“Setiap tan sisa yang tidak diasingkan bermakna kos yang lebih tinggi untuk bandar dan beban yang semakin membesar kepada sumber yang terhad yang perlu kita uruskan dengan penuh tanggungjawab.
“Pusat-pusat beli-belah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam ekosistem ini dan sudah pastinya menjadi penyumbang utama juga kepada pengeluaran sisa,” katanya.
Presiden PPKM Phang Sau Lian mengetengahkan kerjasama antara DBKL dan pusat beli-belah dalam menggerakkan amalan hijau serta menyokong matlamat Kuala Lumpur Sifar Sisa 2040.
“Sesetengah pusat makanan dan minuman mengingatkan pelanggan tentang pembaziran makanan, dan terdapat juga agensi lain yang mengumpul minyak masak terpakai, membangunkan aplikasi untuk menjual lebihan makanan pada harga diskaun serta memproses sisa makanan menjadi makanan haiwan dan baja.
“Kebanyakan pusat beli-belah menyediakan tong kitar semula berasingan dan menjejak jumlah tan kitar semula berbanding sisa am setiap bulan bagi mengukur jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan. Mereka juga memantau usaha guna semula melalui rakan kitar semula,” katanya.
MEMUPUK TABIAT SIFAR SISA
Sementara itu, amalan kelestarian dan sifar sisa sedang diterapkan di sekolah-sekolah terpilih di Selangor dan Kuala Lumpur melalui Program Green Wira (GWP) yang dilaksanakan oleh ZWM sejak tahun 2023.
GWP, yang kini telah memasuki fasa kedua (GWP2.0) dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Bursa Malaysia, Axiata Foundation, Amazon Web Services (AWS) dan PwC Malaysia serta mendapat sokongan Kementerian Pendidikan.
Pengurus Program Pendidikan ZWM Irene Chooi berkata setakat ini, seramai 304 guru dan 1,200 pemimpin pelajar daripada tiga buah sekolah – SJK (C) Pui Ying di Klang, SMK (P) Pudu di Kuala Lumpur dan SMK Bandar Damai Perdana di Cheras – telah dilatih di bawah GWP2.0 untuk mengurangkan sisa di sekolah masing-masing, dan mereka seterusnya berkongsi pengetahuan mengenai kelestarian dan amalan sifar sisa kepada pelajar.
Projek yang dilaksanakan di bawah GWP2.0 termasuk “Materials Recovery Facility” atau MRF (Kemudahan Pemulihan Bahan kitar semula) di SJK (C) Pui Ying dan SMK (P) Pudu, serta sistem Pengurusan Sisa Makanan Organik menggunakan larva lalat askar hitam di SMK Bandar Damai Perdana.
“Guru dan pemimpin pelajar dilatih melalui pembelajaran dalam talian berstruktur, webinar yang dikendalikan pakar, kem latihan bersemuka dan sesi bimbingan peribadi,” kata Chooi.

Pelbagai produk dapat dihasilkan menerusi kitar semula daripada dihantar ke tapak pelupusan sampah
Beliau berkata GWP turut melibatkan ibu bapa agar usaha sifar sisa dapat diamalkan bersama-sama di rumah.
“Pelajar boleh mengamalkan gaya hidup sifar sisa di rumah apabila mereka belajar daripada guru cara mengasingkan sisa dengan betul dan mengurangkan sisa makanan dengan menukarnya menjadi kompos,” katanya.
Guru Sains SMK (P) Pudu Ong Pui Yee yang mengetuai projek MRF sekolah itu, di mana sebuah bangunan kosong sekolah dijadikan perpustakaan sisa, mahu setiap pelajarnya memahami tanggungjawab dan kesan tindakan kecil yang mereka ambil untuk memelihara alam sekitar melalui pendidikan kelestarian.

Guru Sains SMK (P) Pudu, Ong Pui Yee (dua dari kanan) bersama pengetua sekolah Liow Miin Yi (kanan), serta pelajar-pelajar mereka ketika Program 'Green Wira' anjuran Zero Waste Malaysia, baru-baru ini (Gambar Ihsan Zero Waste Malaysia)
“Dengan mengasingkan sisa yang dihasilkan pelajar di sekolah, kami berjaya melencongkan 68 kg sisa kitar semula daripada dihantar ke tapak pelupusan dari Ogos hingga Oktober tahun ini.
“Melalui GWP, saya belajar bahawa kitar semula bukanlah satu-satunya cara dan bukan juga penyelesaian jangka panjang (untuk mencapai kelestarian), tetapi pendidikan adalah faktor utama,” katanya.