R
asuah menyebabkan negara kerugian sekitar RM277 bilion dalam tempoh lima tahun sejak 2018, menegaskan kepentingan isu yang membarah selama berdekad itu dinoktahkan andai tidak mahu negara dan rakyat terus kerugian.
Bahagian terakhir daripada laporan bersiri tiga artikel ini menyentuh komitmen tinggi agensi dipertanggungjawabkan membanteras gejala rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta tindakannya dalam memerangi rasuah di semua sektor, khususnya perkhidmatan awam.
Rasuah di sektor awam antara cabaran terbesar yang terus membelenggu negara dengan integriti institusi awam kerap dipersoal oleh rakyat.
Lebih-lebih lagi pelaku melibatkan semua peringkat, dari kumpulan sokongan hingga peringkat tertinggi kepimpinan sesebuah institusi, mencetuskan tanggapan kegiatan itu adalah sistemik, merentasi pelbagai agensi dan sektor.
Bentuk-bentuk rasuah seperti penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dana, ketirisan peruntukan dan amalan tidak beretika bukan sahaja menjejaskan sistem penyampaian perkhidmatan awam tetapi juga merencat pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi.
Bagi membersihkan negara daripada rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempergiat usaha mengesan, menahan dan mendakwa pelaku, dan ironinya, statistik tangkapan dan pendakwaan di mahkamah itu juga membawa persepsi kegiatan rasuah begitu berleluasa di negara ini.
JUMLAH KES BUKAN PETUNJUK RASUAH BERLELUASA
Menjawab pertanyaan Bernama, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam jawapan bertulis, berkata walaupun ada sedikit peningkatan, statistik tidak menunjukkan trend peningkatan kes rasuah berterusan setiap tahun.
Sebaliknya kata beliau, statistik juga mencerminkan keberkesanan dan keupayaan SPRM dalam mengesan kes serta tahap keberanian masyarakat untuk tampil melaporkan salah laku.
Mengakui situasi rasuah di Malaysia masih di tahap yang memerlukan perhatian berterusan, beliau bagaimanapun menegaskan isu tersebut bukan sesuatu yang dapat diselesaikan dalam masa singkat, selain menuntut usaha yang konsisten dan menyeluruh melibatkan semua pihak.
Menurut beliau, antara yang membimbangkan ialah variasi kes berulang melibatkan agensi tertentu seperti kes “counter setting” yang masih berlaku saban tahun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki --fotoBERNAMA
"Kes ini amat membimbangkan kerana ia bukan isu rasuah semata-mata, tapi melibatkan aspek keselamatan dalam negara apabila warga asing yang bermasalah dan mungkin berada dalam senarai hitam diberi kebenaran masuk oleh sindiket yang bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk negara," katanya.
Mengulas lanjut, Azam berkata sepanjang 2025, SPRM telah memberi tumpuan bukan sahaja kepada kes berprofil tinggi, malah juga sebarang bentuk ketirisan dan “asset recovery” yang berkait jenayah rasuah.
Sehubungan itu, bagi 2026, strategi tersebut akan diteruskan namun dengan pendekatan yang lebih bersasar berdasarkan maklum balas laporan Transparency International (TI).
Beliau berkata walaupun laporan TI menyatakan Malaysia bebas daripada rasuah kecil, SPRM tetap komited dan menumpukan perhatian serius penemuan berkaitan kewujudan rasuah politik yang masih menjadi cabaran utama agensi tersebut.
“Jadi strategi 2026 kita kena tumpu pada sektor yang kita lihat bermasalah, iaitu penguatkuasaan, perolehan, ‘grand corruption’ (salah guna kuasa politik peringkat tertinggi) dengan menggunakan strategi serampang tiga mata iaitu penguatkuasaan, pencegahan, pendidikan.
“Meskipun cabaran semakin meningkat, agensi ini kekal beroperasi dengan kekuatan ‘manpower’ sedia ada… dengan pendekatan dan strategi tertentu kita akan mengoptimumkan penggunaan sumber manusia bagi meningkatkan keberkesanan setiap operasi yang dilaksanakan,” katanya.
Menurut Azam, pihaknya juga memahami kekangan kerajaan dalam memenuhi sepenuhnya keperluan agensi itu, dan bagi menampung kekurangan tersebut SPRM meningkatkan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
“Kita berharap lebih banyak kejayaan dapat dicapai selepas ini, sepertimana kejayaan SPRM mengambil balik aset bernilai berbilion ringgit, termasuk pemerolehan semula aset berkaitan kes 1MDB yang mencecah RM31 bilion. Kejayaan ini menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara serta memberi manfaat langsung kepada rakyat dan pembangunan negara.

Antara kes berprofil tinggi yang mendapat tumpuan adalah rampasan 16 kilogram jongkong emas serta pelbagai mata wang bernilai lebih RM169 juta di sebuah “safehouse” yang dikaitkan dengan siasatan rasuah dan pengubahan wang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.
“Pada masa sama, usaha bersepadu SPRM bersama-sama agensi penguatkuasaan lain turut menyumbang kepada pencapaian Malaysia memperoleh status tertinggi ‘Regular Follow-Up’ dalam penilaian antarabangsa berkaitan pembanterasan pengubahan wang haram,” tambah Azam.
Katanya atas faktor berkenaan, SPRM memberi tumpuan dan penekanan penguatkuasaan kepada isu-isu melibatkan sektor penguatkuasaan, perolehan kerajaan, dana awam, “grand corruption”, kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam.
"Namun ingin saya tegaskan juga selain fokus pada penguatkuasaan, SPRM turut komited dalam usaha berterusan bagi memastikan tadbir urus yang telus serta berintegriti dalam mencegah jenayah rasuah daripada terus berlaku," katanya.
PENEKANAN TERHADAP TADBIR URUS
Mengulas faktor utama yang mendorong berlakunya rasuah walaupun pelbagai langkah telah diambil selama ini, Azam berkata kelemahan tadbir urus, peluang yang wujud dalam sistem, budaya pemberian rasuah yang sudah dinormalisasi oleh pihak tertentu seperti untuk mendapatkan tender, merupakan punca berleluasanya amalan itu.
Beliau berkata selain itu, kurangnya pemahaman terhadap nilai integriti, sikap mementingkan keuntungan peribadi dan kegagalan mematuhi prosedur juga menyumbang kepada berlakunya rasuah.
"Dalam sesetengah keadaan, rasuah berlaku kerana sistem kawalan dalaman yang lemah atau kegagalan pengawasan yang berkesan.
“Oleh itu, usaha memerangi rasuah tidak boleh tertumpu pada penguatkuasaan semata-mata, tetapi mesti disokong dengan pendidikan, pencegahan dan pembudayaan integriti secara menyeluruh," katanya.
Ditanya apakah terdapat sektor tertentu seperti perolehan kerajaan, politik atau swasta yang dikenal pasti lebih berisiko tinggi terhadap amalan rasuah, Azam menjelaskan SPRM mengenal pasti bahawa sektor yang melibatkan kuasa membuat keputusan, peruntukan kewangan yang besar serta ruang budi bicara yang luas lazimnya mempunyai tahap risiko lebih tinggi.

Dalam memperkukuh siasatan dan penguatkuasaan kes rasuah terutama melibatkan individu berprofil tinggi, SPRM melaksanakan pendekatan yang lebih strategik, profesional dan berasaskan risikan (Intelligence Based Investigations) dalam memperkukuh siasatan serta penguatkuasaan.--fotoBERNAMA
"Antaranya perolehan dan projek pembangunan, kelulusan lesen atau permit, penguatkuasaan tertentu serta urus niaga dalam sektor swasta yang melibatkan kepentingan komersial berskala besar," katanya.
Tegas beliau gejala rasuah boleh berlaku dalam mana-mana sektor sama ada awam ataupun swasta jika terdapat ruang untuk berbuat demikian.
"Justeru, pendekatan SPRM adalah berasaskan risiko, di mana pemantauan dan intervensi pencegahan ditumpukan pada bidang yang dikenal pasti mempunyai risiko rasuah paling tinggi," katanya.
PENDEKATAN STRATEGIK
Dalam memperkukuh siasatan dan penguatkuasaan kes rasuah terutama melibatkan individu berprofil tinggi, SPRM melaksanakan pendekatan yang lebih strategik, profesional dan berasaskan risikan dalam memperkukuh siasatan serta penguatkuasaan.
Menurut Azam, ini termasuk pemantapan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain, institusi kewangan dan pihak berkuasa antarabangsa.
"Bagi kes yang melibatkan individu berprofil tinggi, SPRM memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus dan berlandaskan undang-undang tanpa sebarang campur tangan. Prinsip bahawa tiada sesiapa kebal daripada undang-undang kekal menjadi pegangan utama SPRM.
"Pada masa sama, SPRM turut menitikberatkan pematuhan proses perundangan bagi memastikan setiap kes yang dibawa ke mahkamah kukuh dan berintegriti," katanya.
Dalam pada itu, SPRM secara berterusan sentiasa memanfaatkan teknologi digital, AI dan analitik data sebagai sebahagian daripada usaha memodenkan kaedah siasatan dan pencegahan rasuah.
"Penggunaan sistem digital, analisis data dan perkongsian maklumat antara agensi membolehkan SPRM mengenal pasti corak transaksi, hubungan kewangan dan aktiviti mencurigakan dengan lebih pantas dan berkesan.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan pengesanan malah membantu SPRM bertindak secara lebih proaktif. Dalam jangka panjang, penggunaan teknologi ini akan terus diperkasa selari dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan integriti dalam sektor awam dan swasta," jelasnya.
SIASATAN TELUS
Sudah tentu dalam menjalankan tanggungjawab SPRM sentiasa komited dan memastikan siasatan yang dijalankan adalah secara telus serta bebas daripada sebarang pengaruh politik atau memiliki kepentingan pihak tertentu.
Mengulas lanjut, Azam berkata SPRM melaksanakan setiap siasatan berdasarkan aduan, maklumat dan bukti yang diterima tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu yang terlibat.
Beliau berkata kesemua siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009, AMLAFTPUAA 2001, Kanun Tatacara Jenayah serta prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.

Prinsip SPRM jelas tiada siapa kebal daripada undang-undang di mana SPRM telah menyiasat pelbagai kes melibatkan individu berpangkat tinggi.--fotoBERNAMA
"Selain itu, SPRM turut dipantau oleh lima badan pemantau bebas seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi memastikan ketelusan dan kebebasan institusi ini sentiasa terpelihara," katanya.
Menjawab persoalan bagaimana SPRM mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap badan itu biarpun persepsi masyarakat terhadap rasuah sering kali bergantung pada ketelusan institusi penguat kuasa, Azam berkata SPRM menyedari bahawa kepercayaan rakyat merupakan aset paling penting.
"SPRM sentiasa menekankan ketelusan proses, pemakluman yang berfakta serta komunikasi strategik yang bertanggungjawab. Ini termasuk Garis Masa Kes dalam portal SPRM untuk memaklumkan kronologi siasatan dan pendakwaan kes yang menarik perhatian umum," katanya.
Azam berkata SPRM juga konsisten melaporkan statistik, perkembangan kes, hasil rampasan dan pendakwaan secara terbuka selain menerima teguran serta pandangan daripada badan pemantau bebas dan masyarakat sivil untuk penambahbaikan berterusan.
Beliau berkata setiap tahun SPRM menerima ratusan aduan merangkumi sektor awam dan swasta, namun hanya aduan yang mempunyai elemen kesalahan di bawah Akta SPRM akan disiasat secara penuh.
DISKRIMINASI "IKAN BILIS DAN IKAN JERUNG"
Tidak dinafikan ada yang menganggap tidak ada ketelusan dalam penyiasatan berhubung amalan rasuah melibatkan rakyat biasa serta mereka yang berpangkat tinggi.
Menerusi tinjauan Bernama sebelum ini, ada yang menyuarakan pandangan seakan-akan ada diskriminasi dalam pendakwaan rasuah kerana sebilangan besar kes yang dipaparkan media hanya melibatkan penjawat awam peringkat rendah.
Realitinya, SPRM telah mengheret ramai individu berpangkat besar ke mahkamah kerana penyelewengan dana dan sebagainya, namun kes-kes terbabit masih di peringkat perbicaraan sekalipun telah bertahun-tahun sejak sebutan pertuduhan dibuat.
"Prinsip SPRM jelas, iaitu tiada siapa kebal undang-undang. SPRM telah menyiasat kes jerung seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jabatan Air Sabah, projek lebuh raya MEX, kes-kes melibatkan bekas-bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang semuanya tidak boleh dikategorikan sebagai kes ikan bilis.
"Begitu juga dengan penyiasatan kes baru-baru ini yang berakhir dengan pertuduhan iaitu bekas setiausaha politik kanan perdana menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. Adalah jelas SPRM tidak memilih bulu dan menyiasat sesiapa sahaja, sama ada di pihak kerajaan ataupun pembangkang," katanya.
Berhubung persepsi bahawa sesetengah kes mengambil masa lama untuk diselesaikan, Azam berkata pihaknya memahami persepsi tersebut namun kualiti siasatan tidak boleh dikompromi demi kepantasan.

SPRM terus memperkemaskan strategi dan memberi perhatian kepada kes berprofil tinggi.-- fotoBERNAMA
Beliau berkata setiap siasatan perlu memenuhi piawaian pembuktian yang tinggi sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan.
"SPRM juga sentiasa menambah baik pengurusan kes, penggunaan teknologi forensik kewangan serta kerjasama antara agensi bagi mempercepat siasatan tanpa menjejaskan profesionalisme.
"Perbezaan masa, pendekatan dan kerumitan sesuatu kes bergantung pada faktor seperti jumlah saksi, aliran kewangan, elemen rentas sempadan serta keperluan kerjasama agensi lain," katanya.
Menurut Azam lagi kes berprofil tinggi dan “grand corruption” lazimnya lebih kompleks dan memerlukan penelitian menyeluruh supaya pertuduhan yang dikemukakan kukuh dan berdaya tahan di mahkamah.
Antara kes berprofil tinggi lain yang turut mendapat tumpuan adalah rampasan 16 kilogram jongkong emas serta pelbagai mata wang bernilai lebih RM169 juta di sebuah “safehouse” yang dikaitkan dengan siasatan rasuah dan pengubahan wang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.
Susulan kes itu, pada 1 Okt lalu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan wang yang disita SPRM tersebut dilucut hak kepada kerajaan Malaysia selepas tiada pihak yang menuntut wang berkenaan.
SPRM turut melancarkan Op Rentas bagi membanteras aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan penguat kuasa yang dipercayai terbabit dengan kegiatan “counter setting” di pintu masuk antarabangsa negara.
Menerusi operasi itu, seramai 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa ditahan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor, selain menyaksikan SPRM membekukan 57 akaun bank melibatkan nilai kira-kira RM2.7 juta.
PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT
Dalam pada itu, Azam berkata bagi menggalakkan budaya berani melapor kes rasuah dalam kalangan masyarakat termasuk di agensi awam, pihaknya menyokong penuh penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Beliau berkata antara penambahbaikan yang perlu dilakukan adalah memberi perlindungan terhadap pemberi maklumat yang secara tidak sengaja memberikan sesuatu maklumat kes rasuah kepada pihak lain selain pihak berkuasa.

Situasi rasuah di Malaysia masih di tahap yang memerlukan perhatian berterusan. --fotoBERNAMA
Azam berkata ketika ini perlindungan terhadap pemberi maklumat akan terbatal sekiranya individu itu didapati memberikan maklumat berkenaan kepada mana-mana pihak selain SPRM.
Perlindungan itu merangkumi aspek keselamatan, kerjaya dan kebajikan pemberi maklumat agar mereka tidak berdepan sebarang bentuk tekanan atau ancaman.
“Ketika ini, reformasi undang-undang berkenaan sedang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan negara,” kata Azam.
Pada 16 Dis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun depan, bagi memperjelas perbezaan antara pemberi maklumat tulen dan penjenayah yang cuba berselindung di sebalik undang-undang berkenaan.
Anwar berkata pindaan itu penting bagi menutup sebarang kelompongan yang boleh disalahgunakan, khususnya oleh perasuah atau penjenayah tegar yang mendakwa bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
PERKUKUHKAN PENDIDIKAN INTEGRITI
Mengulas lanjut, Azam menegaskan usaha membanteras rasuah tidak hanya bergantung pada penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya perlu disokong dengan pendekatan pendidikan dan pencegahan yang berterusan termasuk dalam kalangan penjawat awam.
Beliau berkata menerusi Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM melaksanakan pelbagai program kesedaran dan pencegahan rasuah bermula di peringkat sekolah dan universiti serta jabatan kerajaan, agensi penguatkuasaan dan syarikat berkaitan kerajaan.
“Inisiatif ini merangkumi modul integriti, latihan antirasuah, pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah serta penerapan nilai etika kerja bagi membentuk budaya menolak rasuah sejak awal perkhidmatan.
“SPRM turut memperkenalkan program insentif kepada penjawat awam yang tampil melaporkan perbuatan rasuah, iaitu ganjaran akan diberikan sekiranya laporan tersebut membawa kepada sabitan di mahkamah. Langkah ini dilihat sebagai usaha menggalakkan keberanian dan meningkatkan kepercayaan terhadap sistem pelaporan agensi ini,’’ katanya.
Tambah Azam, dalam usaha memperluaskan impak pendidikan integriti, SPRM juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, institusi pengajian tinggi serta NGO melalui penubuhan kelab antirasuah, penganjuran kursus integriti, forum awam dan kempen kesedaran.

Ikrar Bebas Rasuah (IBR) diperkenalkan SPRM pada 2017 memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang merupakan self declaration dibuat untuk memastikan setiap individu menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah.--fotoBERNAMA
Inisiatif yang digerakkan itu termasuk program Wira AntiRasuah (WAR) dan Angkatan Mahasiswa AntiRasuah (AMAR), selain penerapan nilai integriti dan antirasuah dalam buku teks sekolah rendah sebagai langkah awal membentuk kesedaran dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata tahun lalu (2024), kerajaan turut bersetuju dengan syor SPRM untuk menjadikan Modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) sebagai mata pelajaran wajib di semua Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara yang bertujuan memperkasakan ekosistem integriti nasional secara menyeluruh dan mampan.
KERJASAMA SEMUA PIHAK
Sementara itu, Azam mengingatkan semua pihak agar tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa.
Beliau berkata masyarakat perlu berani menyalurkan maklumat dan melaporkan perbuatan rasuah melalui saluran yang sah serta membudayakan amalan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam kehidupan seharian.
Tegasnya, usaha membina sebuah negara bebas rasuah bukan tanggungjawab agensi itu semata-mata, sebaliknya menuntut komitmen kolektif semua pihak tidak kira daripada sektor awam, korporat, institusi pendidikan, NGO dan masyarakat, secara keseluruhan.
Seiring dengan itu juga, Azam berkata SPRM akan terus menjalankan semua peranan dan fungsinya berlandaskan SOP dan undang-undang sedia ada.
Agensi itu akan memperkukuh keupayaan pegawai dan sokongan perundangan bagi memastikan keberkesanan setiap siasatan sebagai usaha membanteras gejala rasuah di peringkat akar umbi.
“Hanya melalui kerjasama proaktif, menyeluruh dan kesedaran bersama, masa depan negara yang lebih adil, telus dan berintegriti tinggi dapat direalisasikan,’’ tegas Azam.
-- BERNAMA