Tanpa Kesan Luaran, NAI Ancaman Besar Kepada Bayi - Pakar

P
ada usia lima bulan, Umar adalah bayi yang sihat, aktif dan membesar seiring perkembangan usia - sudah mampu meniarap dan memusingkan tubuhnya - dan seperti kebanyakan ibu bapa bekerja, Umar dihantar ke pusat asuhan yang sama dengan abangnya sebaik si ibu kembali ke pejabat.

Dengan si abang sudah lebih setahun dihantar ke situ, ibu dan ayah Umar tidak mempunyai alasan untuk meragui keupayaan pusat asuhan dalam menjaga anak-anak mereka. Namun pada satu pagi November lalu, hanya beberapa jam selepas Umar dihantar ke pusat asuhan, ibunya menerima panggilan telefon menyatakan si kecil tersebut mengalami sesak nafas.

“Saya dengan isteri bergegas ke pusat asuhan, dan apabila tiba di sana Umar dalam keadaan lemah, tidak sedarkan diri. Kami kejarkan dia ke klinik sebelum dirujuk ke hospital,” kongsi bapanya yang hanya mahu dikenali sebagai Siddiq kepada Bernama.

Kecederaan NAI sering melibatkan kepala dan mata iaitu dua organ yang amat rentan pada bayi.

Tanpa sebarang simptom lain, Siddiq berkata di peringkat awal doktor mengesyaki Umar mengalami jangkitan paru-paru. Bayi itu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik sebelum pemeriksaan lanjut menerusi MRI menemukan sesuatu yang jauh lebih serius. Walaupun tidak ada luka atau lebam yang kelihatan, di dalam kepalanya berlaku satu kecederaan serius dipercayai akibat goncangan ganas atau violent shaking.

Selepas laporan polis dibuat, hospital berkenaan merujuk Umar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kesnya dikendalikan oleh Pasukan SCAN (Suspected Child Abuse and Neglect - disyaki penderaan dan pengabaian anak).

 

TANDA AWAL YANG SERING TERLEPAS PANDANG

Kes Umar bukan sekadar tragedi peribadi, tetapi mewakili satu realiti perubatan yang membimbangkan, khususnya dalam kalangan bayi,  iaitu kecederaan serius tanpa kesan luaran dan hanya disedari apabila keadaan sudah kritikal. 

Dalam dunia perubatan, keadaan itu diistilahkan sebagai Non-Accidental Injury (NAI).

Pakar Klinikal Pediatrik Am Jabatan Pediatrik PPUM Dr Kong Sik Thien berkata istilah ini digunakan apabila kecederaan yang dialami tidak selari dengan tahap perkembangan bayi atau kemalangan yang lazim.

Menurut Pakar Klinikal Pediatrik Am di Jabatan Pediatrik PPUM Dr Kong Sik Thien, istilah ini digunakan apabila kecederaan yang dialami tidak selari dengan naratif yang diberikan, tahap perkembangan bayi atau mekanisme kemalangan yang lazim.

Lebih membimbangkan kata beliau, kecederaan NAI sering melibatkan kepala dan mata, iaitu dua organ yang amat rentan pada bayi. Dalam kes sedemikian, istilah yang lebih khusus digunakan, iaitu Non-Accidental Head Injury atau Abusive Head Trauma - satu istilah yang diterima secara antarabangsa sejak 2009, merangkumi kecederaan akibat goncangan ganas, hentakan keras atau gabungan kedua-duanya.

Dalam pengalaman klinikalnya, Dr Kong menjelaskan cabaran utama dalam mengenal pasti NAI ialah hakikat bahawa ramai bayi tidak menunjukkan tanda luaran yang jelas pada peringkat awal. Keadaan ini sering menyebabkan kecederaan serius hanya disedari apabila keadaan bayi sudah kritikal.

“Dalam kes penderaan kepala contohnya, bayi sering mengalami subdural haemorrhage iaitu pendarahan pada selaput otak. Walaupun pendarahan ini tidak berlaku terus dalam tisu otak, tekanan yang terhasil boleh menyebabkan otak membengkak, sawan, gangguan pernafasan, dan dalam kes tertentu, memerlukan pembedahan kecemasan. Tetapi kadangkala sebelum itu, ada tanda kecil yang ibu bapa tidak perasan, contohnya lebam di sana sini,” katanya ketika ditemui. 

Menjelaskan dengan lebih lanjut, lebam yang berlaku pada bayi yang belum dapat berjalan, merangkak atau bergerak sendiri adalah sesuatu yang tidak logik dan sukar dijelaskan melalui aktiviti biasa bayi. Tanda lebam sebegini perlu diambil serius kerana ia dianggap tidak selari dengan tahap perkembangan mereka.

“Contohnya lebam di bahagian punggung atau belakang badan, selain ada kesan lebam berbentuk garisan, tanda jari atau tapak tangan,” tambah beliau lagi.

 

BUKAN BARU

Dr Kong turut mendedahkan NAI bukan kes terpencil kerana di PPUM sendiri lebih 200 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak dilaporkan telah dirawat hospital tersebut saban tahun. Daripada jumlah itu, kira-kira 13 kes melibatkan kecederaan serius pada otak dan mata dengan kebanyakan pesakit  adalah bayi berumur bawah satu tahun.

“Semua kes yang melibatkan kecederaan otak dan mata ini biasanya sangat serius dan kebanyakannya memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi,” katanya, menambah terdapat juga beberapa kes yang berakhir dengan kematian.

Dalam kes penderaan kepala contohnya, bayi sering mengalami subdural haemorrhage iaitu pendarahan pada selaput otak.

Beliau turut berkongsi bahawa PPUM telah menjalankan kajian dalaman melibatkan lebih 70 pesakit dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun yang terakhir, bagi memahami corak dan kesan NAI. Menerusi kajian itu didapati sekitar 60 hingga 70 peratus kes berlaku ketika bayi berada di bawah jagaan orang lain yang bukan ahli keluarga sendiri, yang dilihatnya sebagai satu dapatan membimbangkan berkait faktor penjagaan dan pemantauan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri sebelum ini pernah dilaporkan oleh media sebagai berkata sebanyak 354 kes penderaan kanak-kanak yang membawa kepada kematian telah direkodkan dalam tempoh lima tahun setakat 2024.

 

BAGAIMANA NAI DIDIAGNOSIS?

Dr Kong menjelaskan diagnosis NAI tidak dibuat secara tergesa-gesa atau berdasarkan satu pemeriksaan sahaja. Diagnosis dibuat setelah proses temu bual dan pemeriksaan terperinci dijalankan oleh pihak hospital, selain perlu menyingkirkan kemungkinan perubatan lain. 

"Mengikut prosedur standard, kita akan dapatkan penceritaan penuh daripada ibu bapa, kemudian kita akan periksa keadaan dan situasi kesihatan bayi, seterusnya membuat imbasan otak serta X-ray seluruh badan,” jelas beliau.

Saringan seperti imbasan CT terhadap otak biasanya digunakan untuk menilai sama ada terdapat pendarahan, pembengkakan otak atau retakan tengkorak. Prosedur X-ray membabitkan keseluruhan badan pula bagi membantu mengesan retakan tulang seperti tulang rusuk atau anggota badan yang mungkin tidak mempunyai kesan luaran. Jika tiada penjelasan munasabah daripada penjaga atau ibu bapa yang dapat menerangkan kecederaan tersebut, barulah kecurigaan terhadap kes NAI menjadi lebih kuat.

“Corak kecederaan juga penting. Dalam kes membabitkan NAI, pendarahan selalunya melibatkan banyak bahagian otak atau mata. Corak seperti ini jarang berlaku dalam kemalangan biasa, terutamanya kemalangan ringan,” ujarnya.

Walaupun terdapat kecurigaan, beliau menegaskan bahawa doktor tidak akan terus membuat kesimpulan. Semua maklumat perlu dikumpulkan daripada pelbagai disiplin sebelum sesuatu kes dikenal pasti sebagai suspek NAI, selari dengan etika perubatan dan perundangan.

Ibu bapa juga akan dinasihatkan untuk segera membuat laporan pihak polis bagi membantu urusan penyiasatan kes bayi mereka (khususnya membabitkan kes penderaan di pusat jagaan) sementara pihak hospital terus berusaha merawat bayi.

 

MATA CERMINAN KECEDERAAN OTAK

Sementara itu, Pakar Perunding Oftalmologi PPUM Prof Dr Nurliza Khaliddin berkata pemeriksaan mata memainkan peranan sama penting dalam membantu mengesahkan diagnosis NAI.

Menurut beliau, mekanisme goncangan yang berlaku pada bayi bukan sahaja menjejaskan otak, tetapi turut memberi kesan langsung kepada mata.

Pakar Perunding Oftalmologi PPUM Prof Dr Nurliza Khaliddin berkata pemeriksaan mata memainkan peranan sama penting dalam membantu mengesahkan diagnosis NAI.

“Bila bayi digoncang, urat saraf dan salur darah dalam mata turut tergoncang. Ini boleh menyebabkan pendarahan dalam mata (retinal haemorrhage), dan pendarahan ini sebenarnya mencerminkan apa yang berlaku dalam otak. Jika mata nampak teruk, kebiasaannya kecederaan dalam otak juga teruk,” jelas pakar tersebut.

Beliau menerangkan bahawa kecederaan retina dalam kes NAI mempunyai ciri-ciri tertentu yang jarang ditemukan dalam kecederaan lain, antaranya pendarahan dalam pelbagai lapisan retina, kehadiran Roth spots iaitu bintik merah atau putih akibat pendarahan kecil serta retinoschisis, iaitu keadaan di mana lapisan retina terpisah akibat hentakan atau goncangan kuat.

“Corak ini sangat penting dari sudut diagnostik. Kita tidak akan tahu jika kita tidak periksa mata, kerana tidak semua kes menunjukkan tanda luaran yang jelas,” katanya.

Menurutnya lagi, kesan kecederaan mata akibat NAI boleh berpanjangan dan kekal kerana sistem visual bayi masih dalam fasa perkembangan. Justeru, trauma pada peringkat awal boleh mengganggu pembentukan penglihatan yang normal.

“Kecederaan ini boleh menyebabkan amblyopia, atau rabun yang tidak boleh diperbaik dengan cermin mata atau pembedahan. Jika pendarahan retina teruk, kesannya boleh kekal sepanjang hayat,” jelas beliau.

Pada masa katanya, ada kanak-kanak yang kelihatan pulih secara fizikal tetapi apabila meningkat usia dan mula bersekolah, masalah lain mula muncul.

“Ketika itu, mereka mungkin mengalami kesukaran belajar, masalah tumpuan atau perkembangan kognitif yang perlahan dengan semua ini berpunca daripada kesan kecederaan otak yang berlaku ketika bayi.”

 

KESEDARAN DAN PENCEGAHAN SEBAGAI KUNCI

Kedua-dua pakar sepakat bahawa pencegahan adalah langkah paling penting. Dr Kong dengan tegas mengesyorkan ibu bapa supaya sentiasa memastikan tempat jagaan anak berdaftar dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat serta memeriksa keadaan bayi sebelum dan selepas dihantar kepada penjaga. 

Ibu bapa juga disaran agar tidak menghantar bayi ke pusat penjagaan yang tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi atau tidak membenarkan ibu bapa memasuki kawasan premis.

Dr Nurliza pula berkongsi tip praktikal untuk penjaga dan ibu bapa: jika bayi menangis berterusan dan emosi menjadi tidak terkawal, letakkan bayi di tempat yang selamat dan ambil masa untuk menenangkan diri atau minta bantuan orang lain. 

“Ada banyak cara untuk menenangkan bayi menangis seperti membuai secara perlahan, ubah posisinya atau mainkan lagu atau zikir yang menenangkan. Namun, kalau bayi terus menangis, letakkan dia di tempat selamat selama 15 minit dan gunakan masa itu untuk tenangkan diri anda.

“Tiada siapa boleh berfungsi untuk menjaga bayi seperti robot 24 jam. Tetapi goncangan kepada bayi (akibat terlalu marah), walaupun hanya sekejap, boleh membawa akibat yang sangat buruk.

"Perlu kita ingatkan juga bahawa NAI bukan isu kecil atau terpencil. Dengan ketidakupayaan bayi untuk bersuara dan mempertahankan diri, mereka adalah golongan paling terdedah kepada kecederaan yang boleh berlaku tanpa disedari. Oleh itu, pemeriksaan awal, pemantauan penjagaan yang rapi serta kesedaran masyarakat adalah benteng utama untuk melindungi bayi daripada kecederaan tragis yang boleh meninggalkan kesan sepanjang hayat," tegasnya.

Dalam kes  Umar, bayi itu berdepan realiti menjadi individu kurang upaya disebabkan kecederaan serius pada otak.

“Dia kembali jadi macam baby baru lahir,” kongsi Siddiq dengan nada sayu.  

 

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.