Baoshan "Bandar Kopi" Tumpuan Pelancong Di Wilayah Yunnan

C
hina sinonim dengan budaya minum teh, justeru kedengaran agak janggal apabila dimaklumkan antara pengeluar biji kopi Arabica berkualiti tinggi dunia ialah wilayah Yunnan, atau lebih tepat lagi Baoshan.  

Ditanam di kawasan pergunungan Gaoligong dengan iklim subtropika tanah tinggi, biji kopi Arabica Boashan mempunyai rasa unik berbanding keluaran tempat lain, dan China memanfaatkan sepenuhnya potensi komoditi berkenaan.

Hasilnya, kota Boashan yang juga bandar kedua terbesar di Yunnan, kini menjadi destinasi wajib dikunjungi penggemar kopi tegar, bertepatan dengan slogannya  “Looking at Chinese Coffee, Yunnan’s speciality coffee is in Baoshan”. 

Di situ juga lahirnya jenama Beaton Coffee bermaksud “Kopi Kita” dalam bahasa Melayu yang dikeluarkan di Beaton Coffee Industrial Culture Park. 

 

KOPI BEATON JADI BUAH MULUT 

Kewujudan Beaton Coffee mengangkat nama kota Baoshan di mata pelancong luar yang sanggup singgah di prefektur ini bagi menikmati sendiri rasa dan aroma kopi premium hasil buminya.

Penulis berpeluang menjejakkan kaki di Baoshan sebagai sebahagian daripada program lawatan lapan hari ke China pada November lalu - satu lawatan yang membuka mata tentang bagaimana China memanfaatkan sepenuhnya keunikan kopi Baoshan dengan menjadikan bandar itu pusat komprehensif  yang menggabungkan aktiviti penanaman dan pemprosesan kopi.

Penulis berpeluang menjejakkan kaki di Baoshan sebagai sebahagian daripada program lawatan lapan hari ke China pada November 2025.

Bandar itu diiktiraf sebagai antara kumpulan pertama membangunkan ladang kopi premium di China pada 2022, namun difahamkan penanaman kopi di situ  bermula pada era 1950-an.

Kawasan pergunungan Gaoligong bukan sahaja indah tetapi turut memiliki tanah subur, kaya dengan bahan organik, dan iklimnya yang sederhana sejuk menghasilkan biji kopi yang harum dan rasa unik. 

Penulis bersama-sama dengan peserta Delegasi Negara-Negara Asia Tenggara termasuk wakil media dari lima lagi negara ASEAN, dibawa ke beberapa lokasi yang memberi gambaran menyeluruh industri kopi di Baoshan.

 

INDUSTRI PEMBUATAN KOPI

Persinggahan pertama kami ialah di Baoshan Vocational Education Park atau Taman Pendidikan Vokasional Boashan - sebuah kolej vokasional yang ditubuhkan khusus bagi memperkukuh industri Kopi Baoshan menerusi kursus-kursus berkaitan pemprosesan dan pengeluaran kopi.

Penulis dan delegasi turut berkesempatan melawat Baoshan Coffee Industry College yang turut terletak di situ. Kolej ini dilengkapi pelbagai kemudahan moden, termasuk mesin pemprosesan kopi, , bilik penstriman langsung serta sebuah kafe yang menawarkan pelbagai pilihan minuman berasaskan kopi kepada pelajar dan pengunjung. 

Sebuah kafe yang terletak di Baoshan Coffee Industry College turut menawarkan dan menjual pelbagai pilihan minuman berasaskan kopi kepada pelajar dan pengunjung.

Ketika dibawa ke ruang pemprosesan, keharuman kopi menerjah deria bau sebaik pintu dibuka. Di dalamnya para pelajar tekun memproses biji kopi untuk dijadikan serbuk, menggunakan ilmu yang dipelajari mereka di dewan kuliah.

Ni hao.” Penulis menyapa seorang pelajar lelaki yang kelihatan dalam dunianya sendiri dek begitu menumpukan pada tugasnya. “Ni hao,” dia membalas sambil kepala diangkat, bibir mengukir senyum. Namun sepantas itu juga dia kembali menundukkan kepala, menumpukan sepenuh perhatian pada peralatan di depan mata.

 Menurut penterjemah yang mengiringi kami, terdapat  700 pelajar berumur  16 dan 17 tahun mengikuti kursus pemprosesan dan pengeluaran kopi di kolej berkenaan. Bukan itu sahaja, mereka turut didedahkan kepada kaedah pemasaran moden termasuk menjual produk kopi menerusi penstriman langsung, selari dengan trend perniagaan digital masa kini dan amat popular di China.

"Mereka diajar mempromosikan dan menjual kopi menerusi 'live streaming' dan ia boleh diaplikasikan selepas mereka menceburi bidang ini kelak," kata penterjemah wanita itu.

Kami turut dimaklumkan kolej itu mencatat pencapaian membanggakan pada 2024  apabila pelajarnya meraih tempat kedua dalam Pertandingan Kemahiran Vokasional Juruteknik Kopi Rentas Selat, satu pengiktirafan yang mengukuhkan lagi keberkesanan pendekatan pengajaran berasaskan pertandingan yang diamalkan institusi tersebut.

Berbekalkan kejayaan itu, program berkenaan dijalankan menggunakan konsep pertandingan dalam pengajaran harian bagi memastikan pelajar memperoleh pengalaman praktikal yang relevan dengan keperluan industri semasa.

Menurut tenaga pengajar kolej tersebut, kursus-kursus yang ditawarkan telah berjaya melahirkan bakat muda berkemahiran tinggi dan serba boleh, berupaya menguasai keseluruhan rantaian industri kopi bermula dari penanaman dan pengeluaran hinggalah aspek pemasaran dan penyediaan perkhidmatan berkualiti termasuk barista. 

Program yang ditawarkan juga dilihat dapat menyumbang secara signifikan kepada transformasi industri kopi China dan menyokong usaha negara itu beralih daripada sekadar pengeluar kopi berskala besar kepada pemain yang lebih berdaya saing dan berpengaruh di peringkat global.

 

PENYELIDIKAN BIJI KOPI

Kami kemudian dibawa melawat Baoshan Zhongka Food bagi menyaksikan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan sebelum biji kopi diproses.

Di makmal, penulis melihat beberapa penyelidik - lengkap berkot makmal - mencicipi kopi yang telah dibancuh. Menurut penterjemah, proses itu bertujuan mendapatkan rasa sebenar kopi agar dapat dikekalkan dalam setiap bancuhan.

Terdapat 700 pelajar berumur 16 dan 17 tahun mengikuti kursus pemprosesan dan pengeluaran kopi di kolej berkenaan.

Pada masa ini terdapat lebih 10,000 petani terlibat dalam penanaman kopi di Baoshan yang meliputi kawasan seluas 300,000 hektar. Saban hari lebih 10,000 bungkus kopi dijual menerusi platform e-dagang.

Penulis turut dibawa melihat mesin-mesin yang digunakan dalam pemprosesan biji kopi, termasuk mesin pembungkusan sebelum produk dipasarkan. Bagaimanapun kami tidak dibenarkan mengambil gambar atau merakam video di kawasan berkenaan.

Selain itu, kami  juga menyaksikan seorang jurujual wanita mempromosikan produk kopi secara langsung di platform e-dagang. Dari dalam sebuah bilik kaca, jurujual berkenaan menerangkan secara terperinci produk yang ditawarkan kepada pelanggan melalui sesi jualan secara langsung.

Menurut penterjemah, buah kopi yang matang biasanya berwarna merah, dan buah yang dipetik dibawa ke pusat pemprosesan untuk melalui proses pengasingan dan pembersihan. Buah yang rosak, terlalu muda atau terapung ketika dimasukkan ke dalam air akan dibuang.

Biji kopi terpilih kemudian dibasuh dan dijemur di bawah sinaran matahari atau dikeringkan menggunakan mesin pengering sehingga mencapai tahap kelembapan yang ditetapkan sebelum diasingkan mengikut saiz, berat dan kualiti.

 

KEISTIMEWAAN KOPI

Sebelum beredar, kami berpeluang singgah di sebuah kafe di Baoshan Zhongka Food untuk merasai sendiri keunikan kopi premium tempatan.

Menariknya, setiap cawan kopi dibancuh menggunakan teknologi robotik terkini - keseluruhan proses membancuh dilakukan oleh robot. Lebih menarik, teknologi itu juga memastikan setiap bancuhan mempunyai aroma dan rasa yang konsisten.

Antara produk kopi yang dijual di Baoshan Zhongka Food. Ada yang dicampur dengan madu, karamel, buah beri, anggur, aprikot dan kopi Arabica.

Pelbagai jenis kopi ditawarkan - ada yang dicampur dengan madu, karamel, buah beri, anggur, aprikot, serta kopi Arabica - masing-masing membawa rasa tersendiri.

Kepekatan dan keharuman setiap variasi adalah berbeza, menjanjikan pengalaman minum kopi yang unik dan memikat selera.

Kami juga berpeluang menikmati hidangan tengah hari di Coffee Cultural Park, di mana menu yang disajikan cukup unik kerana semuanya berasaskan kopi, antaranya telur direbus bersama-sama kopi dan diperasakan dengan gula perang, memberikan sentuhan rasa yang tidak dijangka tetapi menawan selera.

Selain itu, kami turut mencuba aktiviti kraf tangan berasaskan kopi dengan mewarnakan dan menghias gambar menggunakan biji dan serbuk kopi - satu pengalaman yang menyeronokkan dan kreatif.

Sebagai kenangan, kami masing-masing diberikan biji kopi - kata mereka untuk kami tanam di negara kami. Bukan setakat itu, cenderamata di sini juga diperbuat daripada biji kopi, seperti gelang yang penulis beli untuk dijadikan kenangan, memperingati pengalaman meneroka “bandar kopi” Baoshan.

 

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.