R
usia hari ini diiktiraf sebagai antara kuasa besar dunia, terutama dari segi kemajuan teknologi nuklearnya yang berkembang sejak lebih lapan dekad dan kekal sebagai tunjang keupayaan saintifik dan perindustrian negara itu.
Namun di sebalik kecanggihan teknologi dan kekuatan ketenteraannya, Rusia terus memelihara warisan dan sejarah tinggalan era Kesatuan Soviet, terutama di bandar-bandar utama seperti Moscow dan St Petersburg, di mana seni bina, perancangan bandar dan ruang awam masih memantulkan legasi zaman berkenaan.
Sepertimana kebanyakan wilayah bekas jajahan British yang mempertahankan bangunan kolonial bersejarah masing-masing, Moscow, ibu kota Rusia, menawarkan naratif visual menakjubkan tentang masa lalunya, di mana struktur dari era Soviet berdiri seiring dengan pembangunan moden, sekali gus memberikan bandar raya itu identiti tersendiri yang dibentuk oleh transformasi politik dan sosial selama berdekad.
Diundang oleh Rosatom, iaitu perbadanan tenaga nuklear milik kerajaan Rusia untuk membuat liputan Minggu Atom Dunia 2025 pada penghujung September lalu, penulis tidak melepaskan peluang meneroka kota raya Moscow dan mengenali tinggalan sejarah yang membentuk Rusia hari ini.

Penulis (kiri) bersama-sama dengan rakan-rakan wartawan dari Indonesia serta pegawai-pegawai komunikasi dari Rosatom membuat liputan di Minggu Atom Dunia 2025 di Moscow, pada September lepas. (Gambar oleh SOON LI WEI)
Sejujurnya, negara ini tidak ada dalam senarai destinasi yang ingin dikunjungi penulis disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya kesukaran mendapatkan visa pelancong selain konflik tidak berkesudahan antara negara itu dan Ukraine yang turut mempengaruhi hubungan Rusia dengan dunia luar, termasuk mengawal beberapa platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan X (dulu Twitter).
RANCANG PENGEMBARAAN
Menjadi tabiat penulis untuk merancang pengembaraan di negara yang bakal dikunjungi, baik atas urusan kerja ataupun lawatan peribadi, dan antara perkara pertama yang penulis lakukan ialah menyelidiki sistem pengangkutan awam di negara berkenaan - juga disebabkan oleh beberapa faktor termasuk keinginan menyelami kehidupan harian penduduknya.
Memanfaatkan aplikasi navigasi seperti Google Maps dan Maper yang menawarkan panduan perjalanan, laluan serta jadual dan kadar tambang pengangkutan awam, penulis mencari kaedah terbaik untuk menelusuri bandar dan kota di negara asing berkenaan.
Bagaimanapun perjalanan kali ini memberikan pengalaman berbeza dek sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Rusia terhadap platform media sosial, dan seterusnya membawa penulis kepada aplikasi dibangunkan negara tuan rumah, antaranya Yandex Maps yang mengambil alih peranan Google Maps.
Sewaktu menelaah sistem pengangkutan awam Rusia, penulis tertarik dengan sistem metronya, iaitu pengangkutan tren bawah tanah seperti yang terdapat di London dan Paris. Menghampiri sekurun usianya, sistem metro Rusia dibina jauh di bawah tanah dan hanya dapat diakses melalui eskelator yang dibina hampir menegak.

Satu daripada pengalaman paling sukar dilupakan penulis ialah menaiki eskalator di stesen- stesen Metro yang mengambil masa hampir 10 minit untuk sampai di permukaan (Gambar oleh SOON LI WEI)
Bagi menjelaskan betapa jauhnya keberadaan sistem metro ini di dalam perut bumi, perjalanan dengan eskalator mengambil masa purata lima ke 10 minit untuk tiba di permukaan. Malah, penulis difahamkan ada sebuah stesen di mana eskalatornya mengambil masa 20 minit.
Jadual padat sepanjang lima hari persidangan membuatkan penulis memanfaatkan sepenuhnya masa terluang menaiki metro untuk meneroka kota Moscow. Menariknya, setiap stesen menawarkan tema dan seni bina tersendiri dengan masing-masing mengetengahkan naratif sejarah setempat.
Memutuskan untuk bergerak secara bebas bagi membolehkan penulis mengalami sendiri secebis daripada kehidupan harian warga Moscow, penulis mengambil pengangkutan awam untuk ke hotel penginapan yang terletak kira-kira 33 kilometer (km) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo Alexander S. Pushkin.
“Ok, jaga diri dan maklumkan kepada kami sebaik sahaja saudari tiba di hotel,” ujar Daria Ziusko, pengurus komunikasi Rosatom dan juga penyelaras media, apabila penulis memaklumkan kepadanya hasrat untuk bergerak sendiri ke hotel selepas tiba di lapangan terbang itu pada kira-kira 8 malam waktu tempatan.
Menurut Ziusko, Moscow amnya selamat untuk pelancong bersiar-siar di waktu malam kerana kota itu masih sibuk hingga lewat malam dengan pengangkutan awam beroperasi sampai 1 pagi. Malah, waktu puncak di bandar raya ini berlangsung antara 9 hingga 11 malam, iaitu ketika warga kerja berpusu-pusu untuk pulang.
Berdasarkan Yandex Maps, perjalanan ke hotel penginapan memerlukan penulis menaiki kereta api berkelajuan tinggi Aeroexpress dari lapangan terbang dan transit di Stesen Belorusskaya (Belorussky) sebelum mengambil Metro Line 5 ke Stesen Metro Kievskaya (Kievsky) yang terletak berdepan dengan hotel. Perjalanan keseluruhan mengambil masa dua setengah jam.
Berbekalkan tiket sehala Aeroexpress berharga 700 rubel Rusia (RM35.46) dan metro 80 rubel Rusia (RM4.05) yang dibeli di kaunter, penulis memulakan perjalanan. Bagaimanapun harus diakui, bahasa menjadi kekangan utama kerana rata-rata warga Rusia tidak fasih (atau mungkin kerana enggan) bertutur dalam bahasa Inggeris.
Di sinilah peranan Yandex amat membantu penulis, dari segi navigasi dan juga komunikasi dengan rakyat tempatan disebabkan oleh kebanyakan papan tanda dan pandu arah hanya dalam bahasa Rusia.
SENI BINA MENAKJUBKAN
Secara peribadi, penulis berpendapat seni bina terbaik di Moscow terletak bawah tanah. Dengan siling tinggi berbentuk kubah, lantai marmar dan mozek berseni tinggi yang mencitrakan Vladimir Lenin, anggota “Red Army” dan babak kehidupan era Soviet, sistem metro Moscow wujud sebagai mercu tanda seni bina kota raya itu.
Dibuka pada 1935 semasa era Joseph Stalin, sistem tren bawah tanah itu dibayangkan bukan sekadar sebagai rangkaian pengangkutan, tetapi sebagai satu siri “istana untuk rakyat” - ruangan awam yang dibina dengan penuh keindahan dan kemewahan persis istana bangsawan namun untuk kegunaan rakyat.

Gambar potrait Vladimir Lenin, Ketua Pemerintah Kesatuan Soviet yang jelas terpapar di dinding Stesen Metro Kievskaya, Moscow (Gambar oleh SOON LI WEI)
Idea tercetus di era pemerintahan tsar (maharaja) Rusia namun pembinaan sistem kereta api bawah tanah ini hanya benar-benar bermula semasa pentadbiran Stalin yang mahu mewujudkan ruang bawah tanah bersaiz mega bagi melambangkan cita-cita dan kuasa negara-negara Soviet.
Berdasarkan maklumat di laman sesawang Muzium Metro Moscow, jaringan tren bawah dengan landasan sepanjang 472 km itu dilengkapi 302 stesen dengan lebih 120 buah ditambah sejak 2010. Dianggap sebagai antara sistem metro tercekap dunia dengan kekerapan tren setiap 90 saat ketika waktu puncak, perkhidmatan ini mengangkut jutaan penumpang saban hari, menjadikannya yang kelapan terbesar dunia.
Perjalanan penulis dari lapangan terbang ke Stesen Kereta api Belorusskaya, iaitu antara hab rel utama Moscow dan menghubungkan ibu kota itu dengan bandar raya serta wilayah utama termasuk St, Petersburg, Belarus, Kyiv dan sebahagian daripada Eropah timur serta negara-negara Balkan, mengambil masa satu jam.
Tiba di Stesen Kereta Api Belorusskaya, penulis menuruti aliran penumpang lain dan berjalan selama kira-kira lima minit ke stesen metro yang terletak di bangunan bersebelahan dengan kompleks rel tersebut.
Jam menunjukkan 10.30 malam namun jalan raya masih sibuk dengan warganya menuju destinasi masing-masing, memberikan rasa selamat kepada penulis yang ketika itu menggalas beg besar serta menyandang beg komputer riba untuk bergerak bersama-sama dengan mereka.

Pengumuman dalam gerabak metro yang menunjukkan stesen seterusnya dalam bahasa Rusia (Gambar oleh SOON LI WEI)
Sebaik sahaja memasuki Stesen Metro Belorusskaya, penulis terpaku. Begitu indah seni yang dipahat di stesen itu - menyerlahkan bagaimana Rusia memelihara warisan mereka.
Berdasarkan maklumat yang dipaparkan berhampiran pintu masuk stesen, setiap perhentian menawarkan pengalaman visual berbeza - penumpang mungkin melihat patung marmar atau gangsa, pintu gerbang gaya Roman, tingkap dengan kaca berwarna-warni atau mozek yang diperbuat daripada pelbagai bahan sebagai memperingati para pemimpin Soviet, askar malah pekerja kilang dan petani.
Siling berkubah yang dihias indah serta lantai jubin berwarna-warni memberikan suasana bahawa setiap stesen adalah sebuah galeri seni yang tersendiri. Bergantung pada stesen, penumpang mungkin akan menemukan lukisan atau hiasan friz, mozek atau kaca berwarna-warni, patung atau ukiran timbul, yang selalunya diterangi oleh deretan candelier dengan berlatar belakang seni bina daripada batu, marmar atau plaster, sekali gus menjadikan perjalanan harian sebagai satu pengalaman budaya mengasyikkan.
Stesen Metro Belorusskaya yang terletak di Laluan (Bulatan) Koltsevaya, dibuka pada 1938 sebagai sebahagian daripada fasa kedua pembinaan Metro Moscow. Dinamakan bersempena dengan stesen kereta api bersebelahan, stesen ini menampilkan elemen hiasan yang diilhamkan daripada motif kebangsaan Belarus.
Laluan pertama ini yang meliputi jarak sejauh 11 km dengan 13 stesen, mula beroperasi pada Mei 1935. Yang paling mengagumkan penulis ialah siling stesen ini yang dihiasi 12 panel mozek menggambarkan kehidupan di Belorussia pada era Soviet, tidak ubah seperti sebuah muzium dan bukannya hab transit pengangkutan awam.

Antara hiasan dinding di Stesen Metro Novoslobodskaya yang memaparkan pekerja-pekerja yang dikerah untuk menyiapkan stesen itu ketika pemerintahan Kesatuan Soviet (Gambar oleh SOON LI WEI)
JAUH DI BAWAH TANAH
Puas menatap hiasan dalaman di stesen itu, penulis menapak ke platform untuk menaiki metro ke destinasi seterusnya - Kievskaya- yang memerlukan penulis merentasi enam buah stesen lagi.
Tepu dengan penumpang, kebanyakannya warga tempatan, penulis kagum dengan ketertiban mereka, kerana selain bunyi pergerakan tren dan pengumuman ketibaan di stesen yang disampaikan dalam bahasa Rusia dan Inggeris, suasana senyap menemani penulis sepanjang perjalanan.
Selepas 40 minit di dalam metro, penulis tiba di Stesen Metro Kievskaya yang terletak di hadapan hotel tempat penginapan penulis untuk lima hari berikutnya.
Di stesen ini, penulis sekali lagi dibuai rasa takjub apabila mata menangkap visual mozek yang memaparkan imej dan wira era revolusi, mengangkat nilai-nilai murni kerja, keluarga dan masyarakat.

Salah satu perhiasan dan lukisan dinding yang memaparkan sejarah dan tokoh Stesen Metro Kievskaya (Gambar oleh SOON LI WEI)
Lampu berbentuk obor kemenangan menghiasi dinding di sepanjang eskalator menuju pintu keluar stesen, manakala karya seni yang mengagumkan - lazimnya hanya ditemukan di galeri - memaparkan babak dramatik namun penuh keperwiraan tentang kemenangan zaman perang.
Satu daripada pengalaman paling sukar dilupakan penulis ialah menaiki eskalator di stesen itu yang mengambil masa hampir 10 minit untuk sampai di permukaan.
Ketika Perang Dunia Kedua, banyak stesen metro tersebut berfungsi sebagai bunker, iaitu tempat perlindungan daripada bom, dan juga menjelaskan faktor kebanyakan stesen metro Moscow dibina jauh di bawah tanah.
CERMIN KEHIDUPAN HARIAN WARGA TEMPATAN
Tambang metro secara relatifnya murah, hanya 80 rubel (RM4.05) untuk sekali masuk, iaitu dengan kadar bayaran tersebut penumpang boleh mengembara sejauh mungkin atau ke mana-mana stesen asalkan tidak keluar dari stesen tersebut.
Memanfaatkan sepenuhnya jaringan metro yang luas, penulis menaiki tren bawah tanah itu untuk melawat tempat-tempat menarik sekalipun pengangkutan disediakan oleh penganjur.
Penulis tidak mengambil masa yang lama untuk menyedari metro itu sendiri satu destinasi yang wajar dilawati oleh pelancong, di mana seseorang boleh menghabiskan masa berjam-jam menaiki tren dan meneroka setiap stesennya.
Ramai rakan yang pernah tiba di negara ini menggambarkan rakyatnya sebagai tidak mesra kepada pelancong asing disebabkan oleh kekangan bahasa. Namun pengalaman penulis membuktikan sebaliknya.

Di Moscow, penumpang metro dapat menyaksikan keindahan dan keunikan seni bina dalam setiap stesennya yang berlainan
Warga tempatan, terutama staf stesen, begitu membantu walaupun tidak fasih berbahasa Inggeris. Pada satu ketika, penulis kehilangan arah apabila stesen itu tidak menyediakan mesin tiket layan diri. Berbekalkan aplikasi terjemahan di telefon pintar, penulis mendekati seorang daripada pejalan kaki di luar stesen untuk meminta pertolongan. Tanpa bertangguh lelaki itu membawa penulis berjalan selama hampir 10 minit di dalam stesen sebelum mengimbas kadnya di galang akses dan memberitahu platform yang penulis harus tuju.
Cubaan penulis untuk membayar balik harga tambang ditolaknya dengan baik dan dia sebaliknya meminta penulis meneruskan perjalanan. Kebaikan yang ditunjukkan oleh individu ini mengingatkan penulis kemesraan dan hospitaliti tidak memerlukan kata-kata.
Jika sebelum tiba di sini penulis melihat Moscow hanya sebagai tempat rakyat Malaysia melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan kejuruteraan aeroangkasa, kini tanggapan itu berubah.
Moscow kaya dengan sejarah, seni bina era Soviet yang megah dan berseni dengan setiap satu menyampaikan kisah tersendiri tentang zaman yang telah berlalu, dan warisan itu membentuk Rusia menjadi sebuah negara yang maju dari segi sains, teknologi dan juga hubungannya dengan dunia luar.