ONSA: Ke Arah Ekosistem Digital Lebih Selamat, Perlindungan Menyeluruh

S
etiap hari, berjuta kanak-kanak dan remaja di negara ini menggunakan telefon pintar untuk menonton video, bersembang, berkongsi cerita ataupun sekadar menekan butang “likes”, khususnya di platform media sosial. 

Di sebalik gelak tawa dan hiburan yang ditawarkan di alam maya itu, ada kandungan yang hakikatnya tidak mereka fahami sepenuhnya termasuklah yang berunsur keganasan, gangguan, manipulasi imej dan mesej yang sedikit demi sedikit boleh menjejaskan dan menghakis keyakinan diri.

Perkara ini berlaku dalam diam, membuatkan ramai ibu bapa menaruh kebimbangan yang bukan lagi soal berapa lama anak mereka memegang peranti, tetapi juga apa sebenarnya yang mereka lihat, baca dan pelajari daripada dunia digital tanpa sempadan itu. 

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang pelaksanaannya berkuat kuasa 1 Jan baru-baru ini, muncul dalam suasana kebimbangan itu, dengan janji melindungi pengguna secara menyeluruh.

Akta ini bertujuan menjadikan persekitaran Internet lebih selamat khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga, melalui penetapan tanggungjawab yang jelas kepada penyedia platform dalam talian yang bukan sekadar memadam kandungan selepas tular, sebaliknya mengesan, mencegah dan bertindak lebih pantas terhadap kandungan yang memudaratkan.

Dalam era kecerdasan buatan (AI) yang mampu menghasilkan imej palsu, menyebarkan fitnah atau memanipulasi emosi, langkah penguatkuasaan akta ini pastinya memberi harapan bahawa ruang digital boleh menjadi lebih sejahtera dan berperikemanusiaan.

 

TANGGUNGJAWAB JELAS PENYEDIA PLATFORM

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil, ONSA memperkenalkan pendekatan yang lebih sistemik dan berorientasikan pencegahan dengan adanya peranan jelas ke atas penyedia platform digital untuk mengurus risiko kandungan berbahaya.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil.

Perkara itu katanya menjadikan akta tersebut sebagai satu perkembangan penting dalam usaha memperkukuh perlindungan hak dan keselamatan pengguna berlandaskan kedaulatan perundangan digital negara.

“Dalam aspek perlindungan golongan rentan khususnya kanak-kanak dan remaja, ONSA menyediakan perundangan yang lebih kukuh untuk mengekang pendedahan kepada kandungan eksploitasi seksual, gangguan siber, manipulasi imej serta bahan ekstrem yang boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan psikologi dan sosial mereka.

“Berbanding perundangan sedia ada yang lebih tertumpu pada tindakan pascakesalahan, ONSA meletakkan garis panduan yang lebih proaktif dan dijangka dapat menangani isu pengguna siber secara lebih berkesan.

“Antara isu utama yang boleh ditangani ialah penyebaran pantas kandungan berbahaya, kegagalan penyingkiran kandungan sensitif dalam tempoh munasabah, peningkatan kes gangguan siber berulang serta eksploitasi kanak-kanak dalam talian yang sebelum ini sukar dibendung akibat kekangan perundangan dan teknikal,” katanya. 

Beliau pada masa sama berkata ONSA membuka ruang untuk menangani cabaran baharu berkaitan penyalahgunaan teknologi AI, khususnya dalam penghasilan kandungan palsu atau manipulatif yang boleh memudaratkan individu dan masyarakat.

“Pendekatan ini menunjukkan peralihan daripada sekadar menghukum pelaku kepada membina sistem digital yang lebih selamat secara menyeluruh.

“Namun begitu, MCCA melihat keberkesanan sebenar ONSA bergantung pada konsistensi penguatkuasaan, keupayaan institusi pengawal selia serta tahap pematuhan sebenar platform digital, khususnya platform global yang beroperasi di luar bidang kuasa tempatan,” katanya.

Menyentuh aspek kesediaan platform digital, MCCA bagaimanapun berkata tahap pematuhan masih tidak seimbang antara platform yang berlesen dan tidak berlesen.

Mengambil contoh isu penyalahgunaan AI di platform X baru-baru ini yang melibatkan manipulasi imej wanita dan kanak-kanak menerusi penghasilan kandungan tidak senonoh, jelik dan memudaratkan, Siraj berkata perkara itu merupakan contoh jelas jurang tadbir urus digital yang perlu ditangani segera.

“Isu ini bukan sekadar pelanggaran etika malah sebagai ancaman serius terhadap keselamatan digital, maruah individu dan kesejahteraan sosial yang memerlukan tindakan tegas dan konsisten daripada pihak berkuasa terhadap penyedia platform agar mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan,” jelasnya. 

 

PENDEDAHAN BERLEBIHAN GANGGU EMOSI, MENTAL

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi Kanak-kanak CPC International Dr Noor Aishah Rosli berkata pendedahan berlebihan terhadap kandungan berbahaya dalam talian berisiko mengganggu perkembangan emosi dan mental kanak-kanak, sekali gus meninggalkan kesan negatif pada psikologi mereka.

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) meletakkan garis panduan yang lebih proaktif dan dijangka dapat menangani isu pengguna siber secara lebih berkesan.

Menyifatkan golongan itu kurang pemikiran logik serta belum mampu mentafsir sesuatu maklumat secara matang, mereka  juga katanya kurang faham akibat daripada video dalam talian.

“Risiko utama yang boleh berlaku ialah masalah anxiety, kebimbangan ataupun ketakutan yang melampau, contohnya kanak-kanak yang kebanyakannya terdedah kepada video keganasan dan kekerasan. Ini boleh membuatkan mereka mengalami mimpi yang menakutkan, takut duduk seorang (sendiri) semuanya nak berteman hatta ke dapur sekalipun dan mereka juga mudah panik.

“Ini termasuklah trauma psikologi apabila mereka menonton video keganasan atau video penderaan fizikal dan sebagainya yang agresif boleh membuatkan mereka trauma.

 “Selain itu, kanak-kanak juga berisiko berhadapan masalah identiti apabila tidak mampu membezakan apa yang ditonton dalam talian itu benda yang sengaja diada-adakan (lakonan atau palsu) ataupun realiti. Contohnya, mereka tonton di media sosial kanak-kanak bergaya, bersolek dan hidup serba mewah boleh membawa kepada rasa low self-esteem sebab mereka tak dapat jadi seperti itu,” katanya.

Dr Noor Aishah menambah pendedahan tanpa kawalan terhadap kandungan dalam talian juga mengundang normalisasi penggunaan perkataan dan tingkah laku yang berisiko tinggi, contohnya perkataan kesat, mencarut dan tindakan memukul serta membuli orang lain.

Berpendapat pelaksanaan ONSA  mampu menjadi satu langkah intervensi atau pencegahan untuk mengawal pendedahan terhadap bahan dalam talian yang tidak sesuai untuk kesihatan mental kanak-kanak, beliau berkata ONSA juga membantu dari aspek pendedahan awal kepada kandungan yang traumatik kepada kanak-kanak.

“ONSA mampu membantu dari segi mengawal apa kita sebut algoritma agar kandungan tidak sesuai tidak mudah dicapai oleh kanak-kanak bawah umur.

“Akta ini juga boleh mewujudkan persekitaran digital yang jauh lebih baik, selamat dengan dipantau oleh pihak berkuasa di samping memberikan mesej kepada ibu bapa bahawa keselamatan anak-anak di dunia siber penting termasuk bagi mencegah isu masalah kesihatan mental akibat ketidakterbatasan teknologi tanpa kawalan,” jelasnya. 

 

HAD UMUR PENTING

Menurut Dr Noor Aishah lagi, langkah mengawal kandungan berdasarkan mekanisme had umur juga amat penting bagi menapis kandungan yang tidak sesuai.

Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi Kanak-kanak CPC International Dr Noor Aishah Rosli.

“Sekali tekan (klik) hari ini, macam-macam (kandungan) boleh keluar...boleh jadi bermanfaat dan juga sebaliknya. Bukan semuanya sesuai untuk kanak-kanak umur lima, enam atau 12 tahun. Jadi kena tapis. Ini sangat penting terutama mereka masih di bawah umur (18 tahun) kerana cara mereka memproses maklumat tidak sama seperti individu dewasa,” katanya.

Beliau menambah tanpa kawalan, kandungan yang keterlaluan boleh menyebabkan tekanan, kemurungan serta kekeliruan emosi, di samping ibu bapa tanpa sedar akan meletakkan anak-anak dalam satu “dunia” yang boleh merosakkan emosi dan mental mereka.

“Situasi ini lebih membimbangkan apabila kanak-kanak hari ini lebih banyak ‘diasuh’ oleh media sosial dan peranti, berbanding melalui interaksi dan komunikasi langsung bersama-sama ibu bapa.”

Menurut beliau antara tanda awal kesan negatif pengaruh dunia digital biasanya bermula dengan perubahan emosi dan tingkah laku seperti menjadi pendiam, cepat marah, sukar tidur, hilang minat belajar atau takut bergaul, yang seterusnya dikhuatiri membawa kepada kes akibat buli siber yang berpanjangan.

“Dalam usaha membina daya tahan diri sejak kecil, keluarga adalah benteng utama. Ibu bapa boleh memupuk kestabilan emosi melalui kasih sayang, komunikasi yang lembut serta memberi contoh tingkah laku positif walaupun hanya melalui ucapan ‘terima kasih’, tanda penghargaan dan meluangkan lebih masa bersama anak-anak.

“Didikan digital yang seimbang, had masa skrin dan penglibatan dalam aktiviti luar serta riadah bersama turut membantu membentuk kesejahteraan mental kanak-kanak dan sebuah keluarga yang sihat dari aspek emosi, mental dan fizikal,” katanya.

 

PEMANTAUAN BERTERUSAN

Turut berkongsi pandangan, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi yang juga penyelidik Advanced Communication Research Unit (ACRU) Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad yang berkata kejayaan ONSA bergantung pada tahap pematuhan pengendali platform serta keupayaan pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan secara konsisten dan telus.

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi yang juga penyelidik Advanced Communication Research Unit (ACRU) Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad.

“Undang-undang ini kukuh dari segi kerangka, namun cabaran sebenar ialah bagaimana ia dilaksanakan dalam persekitaran digital yang merentasi sempadan negara,” katanya.

Beliau menjelaskan kebanyakan platform utama beroperasi secara global, justeru memerlukan kerjasama antara kerajaan, agensi pengawal selia dalam talian dan syarikat teknologi bagi memastikan keperluan undang-undang tempatan dipatuhi.

Menurut Ahmad Khairie, pendekatan ONSA yang berasaskan pencegahan risiko adalah sejajar dengan amalan antarabangsa seperti Online Safety Act 2021 (Australia), Online Safety Act 2023 (United Kingdom) dan Digital Services Act (Kesatuan Eropah) serta memerlukan kepakaran teknikal dan kefahaman mendalam terhadap algoritma, sistem moderasi kandungan serta corak tingkah laku pengguna.

“Penguatkuasaan mesti disokong oleh pemantauan berterusan, latihan kepakaran digital dan dialog berterusan dengan pemain industri.

“Di samping itu, literasi media dan komunikasi awam amat penting agar masyarakat memahami peranan serta had ONSA, sekali gus mengelakkan salah faham bahawa akta tersebut bertujuan mengekang kebebasan digital ataupun kebebasan bersuara,” katanya. 

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.