Sambut Krismas 7 Jan, Kristian Ortodoks Malaysia Hanya Bersederhana

D
ianggarkan hanya berjumlah kira-kira 200 orang di negara ini dengan kebanyakannya menetap di Lembah Klang, tidak menghairankan jika ada yang tidak tahu akan kewujudan komuniti Kristian Ortodoks di Malaysia.

Dari segi statistik dunia, Kristian Ortodoks merupakan denominasi mazhab ketiga terbesar Kristian selepas Roman Katolik dan Protestan, dengan majoriti daripada kira-kira 260 juta penganutnya mendiami wilayah Eropah Timur, Rusia dan negara-negara Balkan.

Yang menariknya, mereka meraikan Hari Krismas pada 7 Jan, kerana tidak seperti majoriti masyarakat global yang menerima guna kalendar Gregory, komuniti Kristian Ortodoks menuruti takwim Julius yang 13 hari ke belakang, menjadikan tarikh “25 Dis” kalendar itu bersamaan dengan 7 Jan takwim Gregory.  

Oleh yang demikian juga perayaan Krismas bagi komuniti ini di Malaysia hanya berlangsung secara sederhana di gereja, tanpa aktiviti kunjung-mengunjung atau rumah terbuka yang begitu sinonim dengan setiap sambutan perayaan di negara ini.

Rasa ingin tahu penulis selaku penganut Buddha membawa penulis ke Gereja Ortodoks Rusia St Michael - hanya sebuah banglo putih yang terletak tidak jauh dari kesibukan Jalan Ampang di sini - pada lewat petang 6 Jan lalu, bagi melihat bagaimana komuniti itu meraikan malam Krismas atau “Christmas Eve” mereka.

 

“POT LUCK” CERMINKAN KEAKRABAN

   

Diwujudkan pada 2012, gereja ini antara beberapa buah gereja Ortodoks di Malaysia, jelas Father Seraphim Choy, paderi Gereja Ortodoks Rusia St Michael kepada penulis.

Meskipun minoriti, sepertimana mazhad Kristian lain di negara ini  Ortodoks Malaysia juga katanya bernaung di bawah Persekutuan Kristian Malaysia. 

“Kami tidak ramai, jadi acara sambutan kami sederhana saja. Kami adakan liturgi (upacara keagamaan) kemudian makan-makan di perkarangan gereja,” ujarnya, menambah ahli gereja membawa hidangan masing-masing untuk dimakan berama-ramai, sekali gus mengeratkan hubungan.

Menurut beliau, bagi penganut Kristian Ortodoks, Hari Krismas merupakan sambutan kedua terpenting menyusuli “Pascha” atau Hari Easter.

Bagi Dr Jonathan Chua, meraikan Hari Krismas di gereja itu merupakan tradisi beliau sekeluarga sejak 2018, dan pada lewat petang Selasa berkenaan pegawai perubatan di sebuah hospital ini tiba bersama-sama dengan isterinya Dr Ng Su-Han serta anak lelaki mereka Theodore yang baru berusia tiga tahun.

Mereka menyertai kira-kira 90 ahli gereja lain meraikan hari yang penting menurut kepercayaan mereka itu.

 

KEPELBAGAIAN YANG DILINDUNGI

 

Walaupun bukan beragama Kristian dan tidak meraikan Krismas, penulis juga belajar sesuatu. Tidak seperti kebanyakan gereja lain yang pernah penulis kunjungi, di gereja Ortodoks kaum wanita perlu menutup kepala sebelum memasuki rumah ibadat tersebut, iaitu amalan lazim dalam kalangan penganut Kristian Ortodoks.  

 Upacara keagamaan berlangsung hampir tiga jam melewati tengah malam dan dijalankan dalam bahasa Rusia serta Inggeris. Satu perbezaan ketara pada pandangan penulis ialah ketiadaan instrumen muzik di gereja itu. Malah upacara keagamaan mereka berlangsung tanpa iringan muzik.

Walaupun tidak memahami upacara yang dijalankan, ada satu perkara yang penulis amat hargai daripada pengalaman tersebut, iaitu keindahan menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama dan budaya, dengan kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing secara aman dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.  

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.