B
elum reda belanja persekolahan, Ramadan pula menghampiri dan seterusnya Syawal, dengan segalanya berlaku dalam tempoh tiga bulan pertama 2026.
Bukan mengeluh, namun ini realiti cabaran kewangan didepani oleh majoriti isi rumah di negara ini yang masing-masing terdiri daripada 40 peratus golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dengan kitaran perbelanjaan yang hampir tidak memberi ruang untuk mereka bernafas, jauh sekali menyimpan.
Pertukaran “musim” secara berturut-turut ini disifatkan sebagai ujian ketahanan kewangan apabila setiap bulan hadir dengan keperluan berbeza dan sukar dielakkan.
Jika pada Januari mereka perlu mengeluarkan belanja untuk keperluan persekolahan anak dan tambah memeritkan jika anak bersekolah lebih daripada seorang; Februari dan Mac pula menuntut persiapan Ramadan serta Aidilfitri buat umat Islam, dan Tahun Baharu Cina untuk kaum Tionghua.
TIGA KOMITMEN BESAR SERENTAK
Berkongsi pandangan, Felow Kanan yang juga Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Muhammad Hisyam Mohamad berkata tekanan kewangan yang dihadapi isi rumah ketika ini bukanlah fenomena luar biasa, tetapi menjadi lebih ketara apabila tiga komitmen besar berlaku dalam tempoh Januari hingga Mac nanti.
“Dalam tempoh yang singkat ini isi rumah terpaksa menanggung perbelanjaan pendidikan, makanan harian yang meningkat serta perbelanjaan sosial dan perayaan. Masalah utama ialah kadar peningkatan kos sara hidup bergerak lebih pantas berbanding pertumbuhan pendapatan sebenar, khususnya dalam kalangan isi rumah B40 dan sebahagian M40.
“Walaupun ekonomi negara berkembang, pendapatan boleh guna ramai isi rumah masih terhad akibat komitmen tetap seperti sewa rumah, kos pengangkutan dan komitmen bil utiliti, kos perubatan dan perbelanjaan harian yang lain. Maka, perbelanjaan bermusim ini sering dibiayai melalui pengurangan simpanan atau hutang jangka pendek, sekali gus meningkatkan tekanan kewangan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut Muhammad Hisyam, fenomena tekanan kewangan ini bukan semata-mata isu kelemahan perancangan individu, sebaliknya turut mencerminkan isu struktur ekonomi, antaranya kebergantungan tinggi pada pendapatan bulanan, tahap simpanan isi rumah yang rendah serta perlindungan sosial yang masih perlu diperkukuh bagi kumpulan rentan.
“Dalam konteks ini, literasi kewangan masyarakat memainkan peranan penting. Tanpa kefahaman berhubung pengurusan aliran tunai, perancangan perbelanjaan bermusim dan kepentingan simpanan kecemasan, isi rumah akan terus terdedah kepada kejutan kewangan,” katanya.
IMPLIKASI JANGKA PANJANG, KESAN PSIKOSOSIAL
Berpendapat corak perbelanjaan bermusim yang berulang tanpa simpanan boleh membawa kepada kitaran hutang kronik dan ketidakstabilan kewangan jangka panjang bagi institusi keluarga, beliau berkata perkara itu mengurangkan kemampuan membina kekayaan, meningkatkan tekanan mental dan menjejaskan pendidikan anak-anak.
Ujarnya pada Mac 2025, hutang isi rumah Malaysia berada pada tahap 84 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, merupakan antara yang tertinggi di ASEAN.
“Walaupun nisbah khidmat hutang atau DSR berada dalam lingkungan tidak membimbangkan, iaitu bagi pinjaman belum selesai sekitar 34 peratus dan pinjaman baru diluluskan 41 peratus, situasi itu boleh berubah sekiranya masyarakat terus bergantung pada pinjaman peribadi atau kad kredit bagi tujuan perbelanjaan bermusim,” jelasnya.
(DSR ialah peratusan pendapatan bulanan bersih yang digunakan untuk membayar semua komitmen hutang bulanan dan penentu utama bank dalam meluluskan pinjaman; semakin rendah DSR semakin tinggi peluang pinjaman diluluskan.)
Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata kesan dapat dilihat menerusi pengurangan pendapatan boleh guna untuk simpanan termasuk dana kecemasan.
“Apabila ini berlaku, ada risiko timbul isu dana kecemasan tidak mencukupi apabila berhadapan dengan krisis seperti kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan atau kecemasan keluarga.
“Selain itu, individu juga akan kehilangan peluang pelaburan dan kesukaran untuk mencapai matlamat kewangan seperti persaraan, pendidikan dan lain-lain. Kesan lain yang wujud termasuklah pelebaran jurang kekayaan bagi B40 dan M40 serta risiko kegagalan membayar balik hutang atau pembiayaan,” katanya, menambah perkara itu juga berisiko menjejaskan lagi rekod kredit individu dan menyebabkan dia berdepan kesukaran apabila memohon pembiayaan atau pinjaman pada masa depan.
Menyifatkan tekanan kewangan ibu bapa tidak hanya bersifat material sebaliknya turut memberi kesan psikososial kepada sesebuah institusi keluarga khususnya anak-anak, beliau berkata tekanan emosi boleh mempengaruhi kesejahteraan mental anak-anak, tahap keyakinan diri dan seterusnya menjejaskan hubungan kekeluargaan.
Tambahnya, kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran tekanan kewangan berpanjangan berisiko membentuk nilai dan tingkah laku jangka panjang, sama ada menjadi terlalu materialistik atau hilang motivasi akibat kekangan peluang.
“Memastikan kestabilan ekonomi keluarga sebenarnya satu pelaburan sosial jangka panjang dalam pembentukan modal insan negara. Konflik keluarga yang timbul daripada tekanan kewangan menyebabkan kanak-kanak mengalami kerahsiaan emosi, kebimbangan kronik dan prestasi akademik rendah kerana fokus terganggu.
“Status sosioekonomi rendah menghalang perkembangan pembangunan kognitif dan membentuk corak stres toksik yang menjejaskan minda mereka sejak awal. Kanak-kanak dalam keluarga yang sering menyaksikan hutang sebagai penyelesaian tetap, membentuk nilai materialistik, bersikap sinis atau pandangan skeptikal terhadap kepentingan simpanan masa depan,” katanya, menambah ini mengakibatkan mereka melihat pendidikan kewangan tidak penting dan akhirnya boleh meningkatkan risiko kemiskinan generasi.
INISIATIF KERAJAAN SIGNIFIKAN
Menekankan kerajaan memainkan peranan yang amat signifikan ketika masyarakat bergelut dengan cabaran kewangan semasa, Muhammad Hisyam berkata pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya untuk golongan B40 dan M40, amat membantu.
Antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan iaitu program sumbangan yang bertujuan meningkatkan taraf ekonomi golongan rentan di bawah Belanjawan 2026 yang memberi sokongan tunai bersasar; serta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang membantu mengurangkan tekanan kewangan ibu bapa pada awal tahun akademik.
Di samping itu, SARA Untuk Semua (sumbangan tunai RM100 secara one-off untuk warganegara yang berumur 18 tahun ke atas yang akan mula diberikan pada 9 Feb 2026) dan langkah kenaikan gaji penjawat awam sebanyak tujuh peratus yang berkuat kuasa 1 Jan 2026 di bawah Pelarasan Gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2, juga merupakan usaha penting untuk meningkatkan pendapatan boleh guna, mengukuhkan daya beli dan merangsang ekonomi domestik.
Selain itu katanya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2026 sebanyak RM500 untuk penjawat awam Gred 15 ke bawah dan kontrak, RM250 untuk pesara dan veteran, disalurkan pada awal Mac 2026; serta dasar kawalan harga barangan asas, subsidi bersasar dan program peningkatan kemahiran turut menyumbang kepada pembinaan daya tahan ekonomi isi rumah.
“Bantuan kewangan ini perlu disertai pendidikan kewangan yang berterusan dan pengukuhan jaringan perlindungan sosial. Pendekatan menyeluruh yang menggabungkan dasar ekonomi yang inklusif, bantuan bersasar dan pemerkasaan ilmu kewangan adalah kunci kepada pembinaan kesejahteraan ekonomi keluarga yang mampan.
“Kesimpulannya, tekanan kewangan bermusim yang dihadapi rakyat hari ini adalah gambaran cabaran ekonomi yang lebih luas. Penyelesaiannya memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya kerajaan, bagi memastikan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat dapat diperkukuh secara berterusan,” katanya.
FLEKSIBEL “CUACA EKONOMI”
Sementara itu, menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), lazimnya dalam perjalanan kewangan ramai yang sering kali terlalu fokus pada hasil atau keputusan akhir, sehingga terlupa bahawa proses atau perjalanan untuk mencapai matlamat tersebut juga amat penting dan merupakan indikator kepada sebuah kejayaan.
“Sering kali, ramai antara kita terperangkap dengan azam kewangan kerana menganggapnya sebagai satu garisan penamat. Apabila kita tidak mencapai matlamat tersebut, kita mula berasa gagal dan hilang semangat untuk terus berusaha.
“Aspek pengurusan kewangan sebenarnya turut memerlukan kelenturan dan penyesuaian berterusan. Ekonomi sentiasa berubah, cuaca ekonomi 2026 mungkin tidak sama dengan 2025. Jika terlalu terikat dengan satu matlamat sahaja kita akan mudah patah semangat apabila keadaan berubah, seperti kenaikan kos sara hidup. Kewangan kita perlu fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini.
“Fokus pada kelangsungan. Ini bermakna individu bukan hanya fokus untuk 'menang', tetapi juga untuk terus bertahan dan maju. Dalam konteks kewangan, ini bermakna kita perlu sentiasa ada fleksibiliti untuk mengubah strategi bajet kita bila-bila masa bergantung pada keutamaan,” jelas AKPK menerusi Jabatan Komunikasi Korporatnya.
Mengulas lanjut, agensi itu berkata pengembaraan kewangan merupakan perjalanan yang tiada penghujung dan proses itu perlu dihargai.
“Selagi kita hidup, selagi itulah kita akan terus mengembara. Oleh itu, kita harus memberi tumpuan kepada bagaimana kita mengatur langkah setiap hari dengan pendekatan yang lebih bijak, membawa ‘beg’ (beban) yang lebih ringan, dan menjadikan ilmu (pengurusan kewangan) sebagai panduan dalam perjalanan kita.
“Dalam perancangan konvensional, kita lazimnya diajar untuk menetapkan satu titik noktah. Contohnya, ‘saya mahu bebas hutang pada usia 40 tahun’. Walaupun itu satu matlamat yang baik, realitinya kehidupan ialah sebuah perjalanan yang tidak pernah berakhir. Hidup ini bersifat dinamik, bukan statik.
“Dalam konteks kewangan, apabila kita berjaya melangsaikan hutang pendidikan sebagai contoh, kita mungkin akan mula berdepan dengan komitmen baharu seperti membina keluarga atau menjaga ibu bapa yang uzur. Jika azam kewangan kita terlalu terikat dan hanya berorientasikan 'destinasi', kita akan mudah berputus asa apabila perjalanan tersebut menjadi lebih mencabar daripada yang disangkakan,” kata AKPK.
Berkongsi tip kewangan untuk lebih berdaya tahan dan realistik, individu disaran agar sentiasa mengutamakan keperluan terlebih dahulu dan bukan kehendak, bersikap fleksibel dengan keadaan serta mengelakkan berhutang bagi perkara yang tidak perlu.
Turut menyentuh dana kecemasan, AKPK berkata dalam pengurusan kewangan, perkara itu merupakan keperluan asas.
“Jangan terlalu fokus pada pelaburan yang berisiko sekiranya ‘tabung bekalan’ masih belum kukuh. Pastikan anda mempunyai simpanan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan sebelum meneroka pelaburan yang lebih kompleks.
“Amalan mindfulness atau kesedaran dalam menguruskan setiap ringgit sangat penting untuk memastikan kelangsungan kewangan dan kesejahteraan, sekali gus membawa ketenangan kepada jiwa dan minda.
“Berdasarkan laporan kajian AKPK (bertajuk) Money and Mental Well-Being, terdapat kaitan antara tahap keberhutangan dengan kesihatan mental. Kajian itu mendapati tekanan kewangan yang kronik bukan sahaja menjejaskan poket, tetapi boleh mengakibatkan kegelisahan dan kemurungan yang serius.”
Tambah AKPK, mencari bantuan bukan sekadar untuk membetulkan angka kewangan, tetapi bagi memastikan kesejahteraan hidup terjaga.
“Teruslah belajar mengenai pengurusan kewangan untuk membina kewangan secara selamat, tanpa risiko terpedaya dengan jalan pintas yang berbahaya, termasuk skim cepat kaya yang akhirnya menjerat diri sendiri,” kata agensi itu.