Perkukuh, Ekopelancongan, Pasaran MICE, Quran Tourism Antara Mekanisme Perhebat TMM2026

S
ecara rasmi, pada 1 Jan lalu, kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 bermula dengan matlamat kali ini untuk menarik 47 juta pelawat yang disasarkan menjana pendapatan sekitar RM329 bilion, iaitu unjuran tertinggi dalam sejarah industri pelancongan negara.

Mengangkat tema “Malaysia Truly Asia” dengan fokus tambahan “Surreal Experiences” serta sepasang beruang matahari Malaya bernama Wira dan Manja sebagai maskot rasmi TMM 2026, kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, memperuntukkan RM700 juta untuk tujuan promosi dan infrastruktur.

TMM 2026 ini juga disasarkan oleh kerajaan sebagai usaha memulih dan memperkasa sektor pelancongan yang merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

 Dalam pada itu, melihat angka yang disasarkan itu agak besar, pakar bagaimanapun percaya Malaysia mampu mencapai sasaran sekiranya semua pihak, termasuk rakyat biasa, komited pada usaha memikat pelancong asing untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan mereka.  

 

PENEKANAN

Mengulas sasaran itu, pensyarah kanan di Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia Prof. Madya Dr Siti Suriawati Isa berkata berdasarkan statistik terdahulu, tidak mustahil Malaysia dapat merekodkan hingga 47 juta pelancong pada 2026.

“Tidak mustahil kerana berdasarkan rekod kemasukan pelancong ke negara ini, pada 2024 kita terima 38 juta pelawat dan tahun lepas seramai 42.2 juta pelancong,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, dalam konteks TMM 2026, beliau menegaskan kepentingan semua  pihak termasuk masyarakat umum digerakkan bagi membantu mempromosikan Malaysia. 

Prof. Madya Dr Siti Suriawati Isa

Katanya usaha itu lebih berkesan sekiranya rakyat turut menguar-uarkan kehebatan Malaysia berbanding hanya bergantung pada pihak berwajib dan pemain industri.

“Dari segi agensi kerajaan, baik di peringkat pusat ataupun negeri, promosikan TMM 2026 dengan menyelitkan iklan dalam hantaran e-mel ataupun komunikasi digital lain kepada rakan sekerja dari luar negara.

“Rakyat pula, kalau berkunjung ke luar negara, bawa sama risalah tentang TMM 2026 dan letak di tempat penginapan ataupun di restoran yang dikunjungi. Bagi pengguna media sosial, manfaatkan sepenuhnya jaringan tanpa sempadan itu untuk memasarkan Tahun Melawat Malaysia kepada kenalan di luar negara, seperti meletakkan logo atau guna tanda pagar pada setiap hantaran,” katanya kepada Bernama.

Sebagai galakan untuk rakyat berbuat demikian, beliau mengesyorkan kerajaan memberi pengiktirafan atau surat penghargaan kepada pengguna media sosial yang aktif memasarkan Malaysia di akaun masing-masing.

 

PERKUKUH EKOPELANCONGAN DAN MICE

Meletakkan ekopelancongan dan MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) sebagai segmen berpotensi menjana pendapatan lebih tinggi untuk sektor pelancongan, Siti Suriawati berkata sewajarnya kedua-dua bahagian itu dimanfaatkan sepenuhnya pada TMM 2026.   

“Malaysia amat kaya dengan alam semula jadi yang sesuai untuk semua golongan pelancong dan sering menjadi pilihan mereka yang mampu berbelanja besar. Mereka biasanya mencari destinasi menarik namun tidak sesak dengan pelancong biasa, dan untuk itu sedia berbelanja lebih sedikit bagi mendapatkan imbuhan maksimum daripada lawatan mereka.

“Ringkasnya, walaupun bilangan pengunjung tidak seramai di tempat lain, wang yang dibelanjakan oleh pelancong eko ini lebih besar, dan Malaysia mempunyai banyak produk ekopelancongan yang kurang dikenali namun berpotensi tinggi seperti Ulu Muda di Kedah, Gunung Mulu di Sarawak dan Pulau Mantani di Sabah," katanya.

MICE pula kata beliau merupakan pasaran pelancongan yang besar kerana meliputi pelbagai sektor serta berkait secara langsung dan tidak langsung dengan segmen pelancongan lain.

Gunung Mulu di Sarawak merupakan produk ekopelancongan punya potensi di Malaysia.--fotoBERNAMA

"MICE melibatkan sektor komunikasi, makanan dan minuman, membeli-belah, pengangkutan, pengurusan acara dan penginapan. Pendapatan daripada MICE merentasi pelbagai sektor dan mampu menyumbang secara signifikan kepada ekonomi penduduk tempatan. Dengan kedudukan Malaysia yang berhampiran kuasa ekonomi besar Asia seperti China dan Jepun, sektor MICE amat berpotensi untuk terus berkembang pesat. 

"Apatah lagi dengan kelebihan rakyat Malaysia yang majoritinya mampu berbahasa Inggeris, dan ini merupakan satu kekuatan bagi negara kita untuk meningkatkan penguasaan pasaran MICE,” ujarnya, menambah faktor lain seperti iklim yang sentiasa panas, kestabilan politik, prasarana bertaraf dunia, tahap keselamatan selain nilai ringgit yang kompetitif, menambahkan lagi daya tarikan pasaran MICE di Malaysia.

Beliau juga berpendapat Malaysia harus mula menyediakan venue yang mampu menampung kehadiran pelawat berskala besar melebihi 100,000 orang pada satu-satu masa agar dapat menjadi tuan rumah untuk acara-acara global seperti Ekspo Dunia yang dianjurkan setiap lima tahun.

 

PEMASARAN DIGITAL

Melihat platform digital sebagai antara medium pemasaran paling berkesan pada hari ini, Siti Suriawati berkata sejak 10 tahun lepas, teknologi digital telah secara beransur-ansur mengambil alih peranan pemasaran konvensional.

Justeru, katanya,  kempen TMM 2026 perlu menggunakan kaedah pemasaran menerusi platform digital dan media sosial seperti Facebook, TikTok, Telegram dan Threads dengan lebih agresif.

"Walau bagaimanapun strategi  tepat perlu diaplikasikan dalam memilih segmen pasaran. Contohnya, untuk pasaran berumur 35 tahun ke atas, majoriti golongan umur ini menggunakan Facebook, manakala mereka yang berusia 30 tahun ke bawah lebih menggemari TikTok. Jadi strategi pemasaran digital dan media sosial perlu mengambil kira perkara tersebut dalam merangka promosi TMM 2026 agar sasaran mereka tepat. 

"Pada masa sama kandungan promosi perlu sesuai dengan peringkat umur yang disasarkan, contohnya konten bagi mereka dalam kategori warga emas lebih kepada unsur-unsur ketenangan, kerohanian dan pelancongan kesihatan," katanya.

Menyentuh prospek pasaran antarabangsa yang perlu diberi keutamaan ketika ini, beliau menamakan negara-negara Eropah seperti Denmark, Jerman, Belanda, Norway, Sweden dan Switzerland sebagai antara pasaran yang perlu diberi fokus, berikutan kadar tukaran mata wang berbanding ringgit yang jauh lebih besar.

Namun, katanya, bagi menarik pelancong dari negara-negara tersebut, Malaysia perlu menambah baik perkhidmatan antaranya pengangkutan awam.  

“Di sana, mereka menikmati kemudahan pengangkutan awam yang canggih, dan paling penting, menepati jadual perjalanan. Aspek ini perlu diambil serius oleh operator sistem pengangkutan awam di Malaysia kerana isu kelewatan masih lagi membelenggu.

“Perkhidmatan pengangkutan penumpang merupakan nadi industri pelancongan. Ia perlu dijenamakan semula agar industri ini lebih kompetitif di peringkat global," katanya.

 

CABARAN

Mengakui kedatangan pelawat asing dalam jumlah besar juga membawa cabaran tersendiri, Siti Suriawati berkata antara risiko yang didepani ialah pelancong mengambil kesempatan untuk tinggal melebihi tempoh dibenarkan selain isu tidak menghormati budaya tempatan.

 ”Oleh yang demikian, kempen TMM 2026 perlu mempunyai segmen ‘The Do’s and Don’ts’ kepada pelancong ketika berkunjung ke Malaysia agar tidak berlaku konflik antara mereka dan penduduk tempatan," katanya.

Malaysia menyasar untuk menarik 47 juta pelawat dengan janaan pendapatan RM329 bilion, merupakan unjuran tertinggi dalam sejarah industri pelancongan negara.--fotoBERNAMA

Beliau juga tidak menolak kehadiran pengunjung asing turut berisiko membawa ancaman terhadap keselamatan negara jika tidak diawasi dengan rapi.

”Kita ada mendengar bagaimana pelancong asing mengambil kesempatan daripada sikap murah hati rakyat, seperti meminta derma atau sumbangan bagi membiayai aktiviti pelancongan mereka. Selain itu, ada juga yang melakukan aktiviti penipuan.

“Turut harus diberi perhatian ialah warga asing di negara ini yang mengambil kesempatan daripada kedatangan pelancong. Mereka membuat onar dengan menipu pelancong asing. Malah, di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang dan KLCC, ada warga asing yang menjalankan aktiviti sebagai jurugambar berbayar.

“Mereka rakam gambar pelancong dan menjual gambar tersebut kepada pelancong berkenaan. Mereka ini bertindak agresif dengan pelancong luar dan memberikan kesan tidak baik kepada negara," katanya.

 

  RASAI PENGALAMAN

Sementara itu, Presiden dan juga pengasas Your Inbound Matters, sebuah komuniti dan platform untuk penggiat industri pelancongan inbound di Malaysia, Uzaidi Udanis  berkata sekiranya Malaysia mahu berjaya dalam misi TMM2026, inti pati utama bukan hanya terletak kepada slogan tetapi lebih kepada pengalaman yang dirasai sendiri pelawat antarabangsa.

Berkongsi pandangannya, Uzaidi berkata ketika ini fokus perlu diberi kepada tiga elemen  bagi membuatkan pengunjung asing  "jatuh cinta", iaitu pengalaman tempatan yang sebenar, kemudahan tempahan selain pada masa sama memberikan manfaat kepada orang tempatan.

"Malaysia Truly Asia itu kuat tetapi kekuatannya hanya akan dirasai jika pelancong boleh alami sendiri, bukan sekadar lihat dalam iklan. Pelancong bersedia bayar lebih untuk alami pengalaman makan bersama-sama dengan penduduk tempatan, masuk kampung dan belajar budaya setempat termasuk ikut melakukan aktiviti harian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemain industri juga harus pastikan produk yang ditawarkan itu mudah ditempah.  

Pengalaman yang dirasai sendiri pelawat antarabangsa serta menginap lebih lama antara penekanan perlu diberi dalam TMM2026.--fotoBERNAMA

“Hari ini, kalau pelancong tidak boleh cari dan tempah pengalaman itu di telefon, dalam beberapa minit sahaja mereka akan pilih destinasi lain… hanya semudah itu. Ketiga, kejayaan TMM2026 bukan pada  bilangan pelancong meningkat, tetapi apabila ejen pelancongan tempatan, pemandu pelancong dan komuniti setempat benar-benar mendapat manfaat," katanya.

Jelasnya, dalam konteks itu, kejayaan kempen bukan hanya pada angka pelancong yang datang tetapi bagaimana nilai setiap pelawat yang tiba dipertingkat.

"Jika dilihat nombor, sebenarnya tidak perlu membawa masuk lebih ramai pelancong secara drastik. Apa yang perlu dilakukan ialah meningkatkan nilai setiap pelawat.

"Secara purata pelancong membelanjakan sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sepanjang lawatan mereka. Untuk mencapai sasaran RM329 bilion, kita perlu gerakkan angka itu menghampiri RM7,000 seorang. Caranya kita perlu menggalakkan pelancong tinggal lebih lama walaupun satu malam tambahan. Sehari tambahan didarab dengan puluhan juta pelancong memberi kesan ekonomi yang sangat besar," katanya.

 

“QURAN TOURISM”

Mengulas lanjut, Uzaidi berkata satu potensi  baharu dalam arena pelancongan yang dilihat dapat memberi manfaat besar dan masih belum diterokai  sepenuhnya ialah “Quran Tourism -Travel with Purpose”. 

Quran Tourism (Pelancongan al-Quran) merupakan konsep percutian atau perjalanan yang memberi fokus kepada penghayatan al-Quran, ilmu wahyu dan refleksi terhadap ayat-ayat suci melalui pengembaraan. Ia menggabungkan lawatan ke tempat bersejarah, kajian ayat berkaitan dan pengisian rohani  di bawah konsep "travel with purpose" untuk mendidik serta mendekatkan pelancong kepada Pencipta. 

"Quran Tourism ini bukan semata-mata pelancongan agama. Ia adalah perjalanan yang menggabungkan refleksi, nilai, pembelajaran dan pengalaman hidup, berasaskan prinsip al-Quran seperti keseimbangan, alam, kesihatan, hubungan manusia dan tujuan hidup," katanya.

Uzaidi Udanis

Sementara itu, dalam usaha mempromosikan Malaysia di pasaran pelancongan global yang semakin kompetitif, Uzaidi berkata pihaknya menggunakan pendekatan berbeza berbanding tradisional, iaitu dengan memberi penekanan kepada ketersediaan produk atau “product readiness".

"Pertama, jadikan pengalaman Malaysia boleh dibeli secara global. Pihak Your Inbound Matters membantu ejen dan pengusaha tempatan membina platform digital sendiri dan memastikan pengalaman tersebut boleh dijual, ditempah dan menjana pendapatan secara langsung daripada pasaran antarabangsa, seperti di platform nombor satu dunia antaranya Trip Advisor.

“Oleh itu, pakej pengalaman mereka boleh ditemukan, difahami dan ditempah oleh pelancong antarabangsa. 

"Kedua, penceritaan yang berasaskan pengalaman sebenar, bukan iklan. Kami mengetengahkan kisah sebenar  seperi makanan, komuniti, alam semula jadi dan perjalanan bermakna seperti Quran Tourism – travel with purpose supaya Malaysia dilihat sebagai destinasi yang hidup bukan sekadar cantik," katanya, menambah kolaborasi strategik yang dilaksanakan dengan pihak berkepentingan seperti ejen pelancongan, platform digital pelancongan dan lain-lain bertujuan memastikan promosi yang dibuat bukan bersifat sementara, tetapi membina akses pasaran jangka panjang.

 

PERBEZAAN RANTAU ASEAN

Sementara itu, Uzaidi berkata Malaysia perlu dipromosikan sebagai pintu masuk dan hab strategik pelancongan ASEAN, bukan sebagai destinasi pelancongan yang terpisah. 

Tegasnya, ASEAN bukan pesaing tetapi sebagai rakan kongsi, di mana pemain industri masing-masing saling bekerjasama untuk menarik pelawat asing.  

"Contohnya Malaysia mempunyai banyak penerbangan terus dari India. Ini membuka peluang kepada penggiat industri Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan industri di Indonesia, Thailand atau Vietnam bagi menawarkan pakej pelancongan ‘2 dalam 1’, seperti Malaysia–Indonesia atau Malaysia–Thailand dalam satu perjalanan.

"Pendekatan ini memberi kelebihan kepada Malaysia, kerana pertamanya kita menjadi pintu masuk, kedua kita mengawal aliran pelancong dan ketiga dapat meningkatkan tempoh tinggal serta perbelanjaan," katanya. 

Selain itu, ASEAN juga adalah pasaran bagi sesama negara anggota disebabkan oleh jarak dekat, kos perjalanan lebih rendah serta budaya yang hampir sama.

“Oleh sebab itulah hampir 70 peratus pelancong antarabangsa yang datang ke Malaysia adalah dari negara-negara ASEAN,” katanya. 

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.