M
asyarakat disua bagaimana teknologi digital memudahkan, mempercepatkan dan meningkatkan produktiviti, lantas perlu memanfaatkan sepenuhnya segala aplikasi dan peranti tersedia.
Dari satu sudut, transformasi kepada sistem digital ini berserta pelbagai teknologi yang terhasil, sememangnya membantu ahli masyarakat, khususnya golongan pekerja, menjalankan tugas mereka dengan lebih baik.
Akan tetapi, di sebalik pelbagai manfaat yang ditawarkan, perkembangan teknologi digital turut mempunyai sisi gelap, kerana transformasi itu menuntut pekerja menyesuaikan diri dengan perkembangan pantas teknologi, termasuk menguasai sistem baharu dalam tempoh singkat.
Situasi itu cenderung menimbulkan rasa kurang yakin dan tidak berdaya sesetengah pekerja dalam menerima guna teknologi secara berkesan, sekali gus mencetuskan tekanan mental dan emosi pada mereka.
Tekanan ini juga boleh berlanjutan dan bertambah teruk apabila beban tugas dan produktiviti kerja perlu meningkat seiring dengan kemajuan teknologi.
Dan dalam jangka panjang, keadaan ini kata pakar berisiko mewujudkan fenomena yang dikenali sebagai teknostres, iaitu sisi gelap transformasi digital yang menyerlahkan implikasi buruk teknologi terhadap kesejahteraan individu, yang akhirnya menjejaskan prestasi kerja dan keseimbangan kehidupan peribadi.
TUNTUTAN TEKNOLOGI
Mengulas isu itu, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya Dr Maisarah Hasbullah berkata teknostres, atau tekanan digital, merujuk tekanan psikologi yang dialami oleh pekerja akibat penggunaan teknologi digital secara berlebihan, terlalu pantas berubah atau sukar dikuasai.
Beliau berkata dalam konteks organisasi, fenomena itu wujud apabila pekerja terpaksa menyesuaikan diri dengan sistem, perisian atau teknologi baharu tanpa memiliki masa, kemahiran ataupun sokongan yang mencukupi termasuk latihan, peralatan dan capaian Internet.

Teknostres memberi kesan yang besar terhadap prestasi pekerja apabila penggunaannya tidak disokong sepenuhnya oleh organisasi.
“Istilah teknostres ini pertama kali diperkenalkan oleh pakar psikologi klinikal Craig Brod pada1984, yang menyifatkan situasi itu sebagai ‘penyakit adaptasi moden’, berpunca daripada ketidakupayaan seseorang untuk menangani teknologi komputer baharu secara sihat, sekali gus memberi tekanan kepada kesejahteraan mental dan emosi.
“Situasi itu boleh menimbulkan ketegangan emosi, tekanan mental dan keletihan fizikal apabila individu terpaksa mengurus beban dan gangguan yang berkaitan dengan teknologi moden. Cabaran adaptasi ini menjadi semakin ketara apabila pekerja bergelut untuk memenuhi tuntutan sistem maklumat yang sentiasa berubah dan berkembang dengan pantas,” katanya kepada Bernama.
Melihat fenomena teknostres kian ketara dalam organisasi moden yang menerima guna sistem digital sepenuhnya, beliau berkata meskipun teknologi berupaya meningkatkan kecekapan dan produktiviti, ia turut menuntut pekerja untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan sistem selain peralihan kepada cara kerja baharu.
Situasi itu katanya berisiko membawa beban kerja berlebihan akibat aliran maklumat yang tidak henti-henti (techno-overload), pencerobohan teknologi terhadap masa peribadi pekerja (techno-invasion), ketidakpastian akibat perubahan teknologi yang terlalu pantas (techno-uncertainty), kebimbangan akibat ketinggalan teknologi (techno-insecurity) serta kerumitan sistem digital yang sukar dipelajari (techno-complexity).
“Dalam keadaan hari ini, penggunaan teknologi digital menjadi semakin intensif kerana hampir semua urusan kerja dilakukan melalui peranti dan platform dalam talian.
“Ini akan mewujudkan ketersambungan berterusan, misalnya apabila pekerja perlu sentiasa responsif terhadap mesej, e-mel atau tugasan walaupun di luar waktu kerja, termasuk pada hujung minggu dan cuti. Lama-kelamaan, keadaan ini mengaburkan sempadan antara kehidupan peribadi dan profesional,” katanya.
TIDAK DIURUSKAN DENGAN BETUL
Maisarah berkata semakin tinggi tahap integrasi teknologi dalam sesuatu tugas atau sektor, kian besar risiko berlakunya teknostres jika penggunaan teknologi tersebut tidak diuruskan dengan pendekatan dan strategi sokongan yang sesuai.
Menurut beliau, terdapat pekerja yang berdepan tekanan apabila diperkenalkan kepada sistem atau perisian baharu di tempat kerja.

Dr Maisarah Hasbullah, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya
Tekanan tersebut bukan sekadar dalam bentuk rasa tidak selesa, sebaliknya merupakan tindak balas psikologi dan emosi yang negatif terhadap perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas dalam organisasi.
“Antara punca utama keadaan ini ialah rasa takut melakukan kesilapan, kebimbangan dilihat tidak kompeten serta kekurangan keyakinan diri terhadap kebolehan menggunakan teknologi baharu.
“Bagi sesetengah pekerja, situasi ini menjadi lebih mencabar apabila sistem diperkenalkan tanpa penerangan yang jelas atau latihan mencukupi serta dilaksanakan secara tergesa-gesa. Keadaan ini boleh menimbulkan perasaan terasing, tidak biasa dan tertekan dalam kalangan pekerja,” katanya.
Mengulas lanjut, Maisarah turut mengakui penggunaan teknologi yang semakin canggih, termasuk automasi dan kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam sektor yang menuntut tahap kecekapan tinggi, pemprosesan data yang pantas serta pembuatan keputusan berasaskan sistem digital, menyumbang kepada peningkatan teknostres dalam kalangan pekerja.
Dalam situasi itu katanya pekerja sering berasa bimbang akan kemampuan mereka dalam memahami dan menyesuaikan diri dengan teknologi berkenaan, selain khuatir sekiranya teknologi tersebut berpotensi menggantikan sebahagian peranan manusia di tempat kerja.
“Sebagai contoh, semasa pandemik COVID-19 dalam sektor pendidikan, ramai guru mengalami tahap teknostres yang tinggi apabila mereka perlu menyesuaikan diri dengan kaedah pengajaran digital dalam tempoh yang sangat singkat.
“Peralihan mendadak kepada pembelajaran dalam talian menuntut mereka menguasai pelbagai platform dan aplikasi teknologi bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan dengan berkesan. Dalam masa yang sama, mereka juga perlu mengurus cabaran seperti capaian Internet serta penyediaan bahan pengajaran digital,” tambahnya.
JEJAS PRODUKTIVITI KERJA
Maisarah berkata teknostres boleh memberi kesan yang besar terhadap prestasi dan produktiviti pekerja apabila penggunaannya tidak disokong sepenuhnya oleh organisasi, terutamanya dalam menyediakan latihan berterusan.
Keadaan itu katanya mampu menjejaskan keupayaan pekerja untuk memberi tumpuan terhadap tugas serta menyebabkan keletihan mental yang berpanjangan.

Fenomena teknostres kian ketara dalam organisasi moden yang menerima guna sistem digital sepenuhnya.
Akibatnya, motivasi kerja turut menurun, dan dalam tempoh jangka panjang situasi itu bukan sahaja menjejaskan kualiti hasil kerja, malah boleh merenggangkan hubungan antara pekerja dan organisasi.
Selain itu, beliau berkata pekerja dengan tahap teknostres yang tinggi cenderung menjadi lebih defensif dan takut terhadap perubahan teknologi, menyebabkan mereka kurang bersedia untuk meneroka atau memanfaatkan teknologi sebagai alat inovasi.
Sebaliknya, sebahagian besar masa mereka dihabiskan untuk menyesuaikan diri atau ‘bergelut’ dengan sistem yang digunakan, sekali gus menghalang organisasi daripada mencapai potensi produktiviti sebenar yang ditawarkan oleh teknologi tersebut.
“Dalam jangka panjang, teknostres juga berisiko membawa kepada kehilangan bakat dalam organisasi. Tekanan yang berterusan meningkatkan kecenderungan pekerja untuk berhenti kerja.
“Apabila pekerja yang berpengalaman memilih untuk berhenti, organisasi bukan sahaja kehilangan kepakaran yang bernilai, malah terpaksa menanggung kos tambahan untuk merekrut dan melatih pekerja baharu. Pada masa yang sama, produktiviti organisasi turut terjejas sementara menunggu pekerja baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja dan sistem sedia ada,” katanya.
FENOMENA DIJANGKA
Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Prof Madya Ts Dr Md Fauzi Ahmad berkata fenomena teknostres sememangnya telah dijangka akan berlaku seiring dengan perkembangan pesat pendigitalan pada masa kini.
Beliau berkata peningkatan penggunaan teknologi dalam pelbagai sektor pekerjaan secara tidak langsung membawa cabaran baharu kepada pekerja dan mendesak mereka menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
“Tekanan ini menjadi lebih ketara apabila pekerja berasa kurang kompeten dalam mengendalikan teknologi baharu...justeru, teknostres tidak boleh dilihat sebagai isu teknikal semata-mata, tetapi juga melibatkan aspek psikologi pekerja dan budaya organisasi yang akan menentukan bagaimana perubahan teknologi dilaksanakan dan diterima.
“Kita lihat ada sistem yang dibangunkan tanpa mengambil kira input pekerja akhir...ini menyebabkan reka bentuk kurang mesra pengguna. Latihan menggunakan teknologi itu pula biasanya minimum atau bersifat ‘one-off’ dan tidak berterusan.
“Pada fasa awal, pekerja terpaksa mempelajari sistem baharu sambil mengekalkan prestasi kerja, sehingga akhirnya mereka menganggap teknologi sebagai beban tambahan dan bukan alat bantu,” katanya.

Pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Prof Madya Ts Dr Md Fauzi Ahmad.
Bagi menangani permasalahan itu, beliau berkata pembinaan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam organisasi dapat mendorong pekerja untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi selain mewujudkan insiatif dalam kalangan mereka untuk mempelajari sistem baharu.
Katanya latihan berterusan penting supaya pekerja dapat mengemas kini kemahiran mereka, sekali gus berupaya menggunakan teknologi dengan cekap, tanpa menjejaskan produktiviti kerja.
“Organisasi perlu melihat inovasi sebagai proses berperingkat, bukan perubahan drastik secara mengejut...penjadualan pelaksanaan secara berfasa membolehkan pekerja menyesuaikan diri dengan sistem atau perisian baharu.
“Selain itu, pihak pengurusan organisasi perlu menyediakan saluran maklum balas terbuka agar pekerja boleh menyuarakan cadangan dan kebimbangan mereka terhadap teknologi yang digunakan,” katanya.
REALITI MASA DEPAN
Dalam pada itu, Md Fauzi mengakui tekanan digital kemungkinan akan menjadi sebahagian daripada realiti kerja pada masa depan. Namun begitu, beliau menekankan situasi tersebut tidak semestinya membawa kesan negatif kepada pekerja.
Jelasnya jika diurus dengan baik, tekanan digital dapat membantu pekerja menjadi lebih tangkas dan berdaya tahan, selagi wujud keseimbangan antara teknologi dan kemanusiaan.
Tambahnya, kerajaan kebelakangan ini turut komited dalam memperkasa dan memperluas transformasi digital di negara ini meliputi organisasi awam dan swasta, seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan ekonomi digital semasa.
“Transformasi digital di Malaysia berlaku secara agresif sepanjang 2021 hingga 2026, dipacu pelancaran MyDIGITAL dan pelaksanaan Malaysia Digital Economy Blueprint (MDEB). Belanjawan 2026 yang menekankan agenda AI Nation 2030 juga membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem digital negara.
“Jadi selaku pekerja, jangan lihat teknologi sebagai ancaman serta akan menggantikan peranan manusia. Sebaliknya anggap teknologi sebagai kemahiran baharu yang perlu dipelajari bagi membantu menambah baik, bukan sahaja dari segi kerjaya dan organisasi bahkan juga dalam aspek kehidupan, apabila ia membantu memudahkan urusan seharian kita,’’ katanya.
-- BERNAMA