J
ika kita menang pertandingan ini, kita akan buka syarikat.”
Siapa sangka ungkapan bersahaja Mohammad Zulhilmi Abang Mohammad Reduan kepada rakannya S. Pavithran Julieus dan Neil Erickson Nelyson benar-benar menjadi kenyataan.
Malah, lebih daripada itu, syarikat pemula bioteknologi Lettuboost Enterprise yang terhasil daripada “cabaran” tersebut kian menerima pengiktirafan di peringkat nasional kerana potensinya dalam membentuk semula landskap akuakultur Malaysia.
Semuanya menerusi inovasi ciptaan tiga anak muda berusia 23 tahun ini yang juga penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada ketika itu, apabila mereka mengubah satu tumbuhan air invasif yang juga “degil” kerana sukar dihapuskan, menjadi bahan makanan ikan harga patut.
Lettuboost Enterprise ditubuhkan oleh Zulhilmi, alumni Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, serta Pavithran dan Neil - kedua-duanya penuntut Ijazah Sarjana Bioteknologi daripada Fakulti Sumber Sains dan Teknologi - pada 2025, selepas mereka memenangi tempat kedua VIBES Innovation Challenge anjuran UNIMAS pada tahun berkenaan. Pada tahun sama juga trio ini menjuarai Shell LiveWire Sarawak.
Kini, Zulhimi bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Pavithran selaku Ketua Pegawai Teknikal dan Neil pula Ketua Pegawai Operasi Lettuceboost.
MAKANAN IKAN HARGA PATUT, BANTU PENTERNAK
Teras inovasi Lettuboost ialah kiambang, atau nama saintifiknya Pistia stratiotes, iaitu sejenis tumbuhan akuatik invasif yang mengancam ekosistem dengan menghalang laluan air dan mempercepat eutrofikasi, iaitu satu keadaan perairan menjadi “terlebih baja” dan menggalakkan pembiakan alga serta tumbuhan air lain yang seterusnya mengurangkan kadar oksigen dalam air apabila alga mati dan mereput.
Jika orang lain melihat tumbuhan itu sebagai “tidak berguna”, trio ini pula nampak potensi yang belum diteroka.

Neil (kiri) selaku ketua pegawai operasi LettuBoost dan Pavithran sebagai ketua pegawai teknikal Lettuboost.
Menggunakan proses bioteknologi, mereka menukar kiambang kepada bentuk serbuk yang kemudian diadun dalam formulasi makanan ikan, menggantikan sebahagian daripada bahan mahal seperti tepung ikan dan tepung kacang soya.
Bagi Pavithran yang lebih mesra dipanggil PJ, penemuan besar itu bukan sahaja dari segi sains tetapi juga ekonomi.
“Bagi kami, titik perubahan berlaku apabila kami menyedari bahawa kiambang bukan sahaja berdaya maju dari segi biologi, malah dari segi ekonomi,” kata anak muda berketurunan Bidayuh dan India yang meminati sains sejak usia remaja ini.
Beliau berkata kos tepung ikan sahaja merangkumi 60 hingga 70 peratus daripada kos formulasi makanan dengan penternak lazimnya membelanjakan hingga 80 peratus daripada perbelanjaan operasi mereka untuk makanan ikan.
“Apabila kami melihat bahan mentah ini tumbuh banyak di merata-rata tempat, percuma pula, dan mampu menggantikan sebahagian nilai zat dalam tepung ikan, kami tahu kiambang berpotensi untuk dikembangkan melangkaui makmal dan memasuki ekonomi sebenar,” tambahnya.
Neil pula berkata Lettuboost menyasarkan untuk mengurangkan kos makanan ikan sebanyak 15 hingga 20 peratus. Dengan harga makanan komersial sekitar RM9 sekilogram (kg), syarikat pemula niaga itu mencadangkan harga kira-kira RM7 sekilogram.
“Penternak membeli dalam tan, bukan kilogram, jadi perbezaan RM2 bagi setiap kg boleh membawa kepada penjimatan yang ketara,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Seorang yang ekstrovert serta aktif dalam sukan, muzik dan seni persembahan, sifat Neil yang cenderung kepada interaksi sosial melengkapi peranannya dalam mengawasi operasi dan penglibatan komuniti di Lettuboost.
BUKAN JAGUH KAMPUNG, RAIH PENGIKTIRAFAN NASIONAL
Kredibiliti syarikat pemula niaga ini diperkukuh melalui beberapa pencapaian.
Selepas menang di peringkat Sarawak, Lettuboost dinamakan sebagai antara lima pemenang Shell LiveWire Malaysia 2025 daripada 180 usahawan dari seluruh negara serta dipilih dalam kalangan finalis dari 15 negeri meliputi Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Proses bioteknologi dilakukan untuk menukar kiambang kepada bentuk serbuk.
Sebagai pemenang peringkat kebangsaan, Lettuboost membawa pulang pembiayaan pemula niaga bernilai RM30,000 serta akses ke rangkaian LiveWire global yang seterusnya membuka pintu kepada kerjasama antarabangsa dan pertukaran pengetahuan. Pasukan ini juga berpeluang bertanding di Shell Global Top Ten Innovators Awards.
Bagi terus menggalakkan penyertaan rakyat Sarawak, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak menganugerahkan insentif tunai tambahan sebanyak RM20,000 kepada Lettuboost.
Selain itu, syarikat ini juga muncul juara pada Youth Innovation Challenge 2025 (Zon Sarawak), anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menerusi Yayasan Inovasi Malaysia.
Kemenangan di peringkat kebangsaan, menurut Zulhilmi, telah meningkatkan dengan ketara keyakinan pelabur terhadap mereka.
“Kemenangan itu mengukuhkan kredibiliti dan momentum kami serta membuka peluang kepada rakan industri, mentor dan pemimpin yang sebelum ini sukar kami capai,” katanya.
Beliau berkata setakat ini, syarikat pemula niaga itu telah mempunyai tiga pelabur komited, iaitu dua dari Semenanjung Malaysia dan seorang dari Sarawak, dan mereka dalam proses memuktamadkan urusan pelaburan.
“Yang membezakan kami ialah kami menyelesaikan dua masalah serentak, iaitu masalah alam sekitar dan masalah sosial, disokong oleh sains serta penyelidikan dan pembangunan (R&D),” kata anak sulung daripada empat beradik itu.
MEMBINA BIOEKONOMI KITARAN
Pun begitu, usaha mereka untuk meluaskan skala operasi bukan mudah.
Memastikan bekalan yang konsisten serta keseragaman kualiti kekal menjadi tumpuan teknikal utama, memandangkan kiambang tumbuh dalam pelbagai keadaan persekitaran yang mempengaruhi profil nutriennya.

Pavithran (kiri) menunjukkan jenis-jenis makanan ikan diperbuat daripada tumbuhan air invasif, kiambang.
Buat masa ini, kata Pavithran, Lettuboost mendapatkan bahan mentah dari tasik di Serian dan kawasan Samarahan. Pada masa sama, mereka juga bekerjasama dengan komuniti tempatan serta pihak berkuasa untuk mewujudkan rangkaian penuaian kiambang di seluruh Sarawak.
“Kami mengubah sesuatu yang dahulunya invasif dan memudaratkan kepada ekosistem menjadi sesuatu yang bermanfaat, iaitu mengembalikannya kepada ekosistem dalam bentuk makanan,” katanya.
Dalam tempoh 12 bulan akan datang, syarikat itu menyasarkan untuk memperluas ujian pemakanan, meningkatkan kapasiti pengeluaran serta mengesahkan keputusan dengan melibatkan lebih ramai penternak bagi mengukuhkan kepercayaan pasaran.
Mereka berharap dalam tempoh lima tahun ini Lettuboost akan diiktiraf sebagai antara pengeluar makanan ternakan mampan terkemuka di Asia Tenggara, dan akhirnya sebagai syarikat bioteknologi yang terkenal kerana mengubah biojisim invasif kepada penyelesaian bernilai tinggi.
“Saya harap Lettuboost mencapai penilaian jutaan ringgit pada tahun depan. Kami juga mahu memperluas kepada lebih banyak sumber makanan ternakan serta merevolusikan pertumbuhan haiwan melalui teknologi mendalam seperti penyuntingan gen,” kata Zulhilmi.
Trio itu turut meluahkan penghargaan buat UNIMAS yang memainkan peranan dalam menyediakan kemudahan, bimbingan serta platform yang membolehkan inovasi mereka berkembang.
Bermula dengan satu cabaran sesama rakan kepada pengiktirafan di peringkat kebangsaan serta sokongan pelabur, Lettuboost mencerminkan potensi besar belia Sarawak dalam menerajui perusahaan berasaskan sains yang memberi impak sosial.
Kepada generasi muda Malaysia, perjalanan tiga anak muda ini wajar diambil sebagai nasihat bermakna: perubahan besar kadangkala bermula dengan rasa ingin tahu, keberanian serta kesanggupan mengambil risiko.