DUNIA > BERITA

MALAYSIA MENYERU GENCATAN SENJATA SEGERA DI LUBNAN

26/09/2024 10:21 PM

PUTRAJAYA, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia menyeru agar gencatan senjata segera di Lubnan di tengah-tengah peningkatan jumlah kematian dan kerosakan infrastruktur yang meluas, memberi amaran bahawa konflik yang berterusan boleh meningkatkan ketegangan di rantau itu.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar Negeri menyatakan Malaysia amat bimbang dengan konflik di Timur Tengah yang semakin meruncing dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Israel di Lubnan, yang telah meragut lebih 600 nyawa dan menyebabkan kemusnahan infrastruktur yang dahsyat.

"Malaysia menyeru agar konflik ini dihentikan serta-merta bagi mengelakkan peningkatan ketegangan di rantau tersebut," menurut kenyataan itu.

Sebagai menyokong usaha diplomatik untuk menamatkan konflik ini, Malaysia mengalu-alukan Kenyataan Bersama 25 September 2024 oleh Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Qatar, yang menggesa gencatan senjata segera, selaras dengan Resolusi UNSC 1701 (2006).

Kementerian itu berkata Malaysia dengan tegas menggariskan keperluan melaksanakan Resolusi UNSC 2735 (2024) untuk menamatkan segera pembunuhan beramai-ramai dan malapetaka kemanusiaan di Gaza. 

“Malaysia menegaskan komitmennya untuk mempromosikan keamanan, dialog dan kerjasama dalam mencapai keadilan, keselamatan serta keamanan antarabangsa. Malaysia terus menyokong semua usaha bagi tujuan mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik yang sedang berlangsung,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan