DUNIA > BERITA

TIADA PENGHANTARAN PULANG BESAR-BESARAN DARI LUBNAN, FILIPINA PERTIMBANG TAHAP AMARAN 4

28/09/2024 01:16 AM

MANILA, 27 Sept (Bernama-PNA) -- Kerajaan Filipina sedang "mempertimbangkan dengan serius" untuk meletakkan Lubnan di bawah tahap amaran 4 atau pemindahan wajib ketika Israel terus mengebom sasaran Hizbullah di beberapa bahagian negara itu, lapor Agensi Berita Filipina (PNA), memetik kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) pada Jumaat.

Dalam satu sidang media, Setiausaha Rendah DFA bagi Migrasi Eduardo Jose de Vega berkata, masih tiada penghantaran pulang besar-besaran rakyat Filipina dari Lubnan, tetapi negara itu bersedia melaksanakannya jika diperlukan.

Bagaimanapun beliau berkata tahap amaran 4 hanya diisytiharkan dalam kes konflik dalaman besar-besaran atau serangan luar yang menyeluruh, yang "bukan situasi di Lubnan".

“Kita tahu konflik ini tertumpu antara Israel dan sasaran Hizbullah, bukan keseluruhan Lubnan, dan sudah tentu bukan Kerajaan Lubnan,” katanya.

Beliau menggesa rakyat Filipina supaya pulang secara sukarela.

De Vega dan Duta Filipina ke Lubnan Raymond Balatbat turut berkata majoriti rakyat Filipina di sana, terutamanya pemimpin komuniti Filipina, "sangat keberatan untuk meninggalkan" negara itu, menandakan bahawa mereka "masih merasakan keadaan di Lubnan agak selamat".

"Kebanyakan mereka, yang telah lama menetap di sana, bertegas bahawa mereka tidak akan meninggalkan negara itu apa pun yang terjadi, dan mereka yakin akan dapat bertahan menghadapi konflik ini. Dan ini adalah para pemimpin," lapor Balatbat seperti yang dipetik PNA.

Duta itu, yang menyertai sidang media secara maya, berkata jumlah rasmi rakyat Filipina di Lubnan adalah sekitar 11,000 tetapi mungkin lebih tinggi kerana terdapat rakyat negara itu yang tanpa dokumen.

Daripada jumlah itu, pihak kedutaan sedang memproses kepulangan kira-kira 1,300 rakyat Filipina, dengan penghantaran pulang kumpulan seterusnya dijangka berlaku pada minggu pertama Oktober, bergantung kepada penerbangan komersial di lapangan terbang antarabangsa Beirut.

Balatbat turut melaporkan bahawa 196 rakyat Filipina yang tinggal di selatan Lubnan, kawasan yang terjejas teruk oleh pertempuran, telah melarikan diri dan kini berlindung di kawasan yang lebih selamat di negara itu.

"Setakat ini, masih tiada rakyat Filipina dilaporkan cedera akibat serangan terhadap sasaran Hizbullah dalam beberapa hari lepas, kita boleh lihat bahawa terdapat peningkatan serangan terhadap Hizbullah tetapi belum menyebabkan kecederaan kepada rakyat Filipina," kata De Vega.

Siri serangan Israel terhadap Hizbullah telah menyebabkan lebih 600 orang terbunuh sejak Isnin, menurut laporan media.

-- BERNAMA-PNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan