DUNIA > BERITA

TAUFAN HELENE RAGUT ENAM NYAWA, JUTAAN TERPUTUS BEKALAN ELEKTRIK DI TENGGARA AS

28/09/2024 01:23 AM

ISTANBUL, 27 Sept (Bernama-Anadolu) -- Taufan Helene, yang statusnya kini diturunkan kepada ribut tropika, telah meragut sekurang-kurangnya enam nyawa dan menyebabkan jutaan orang terputus bekalan elektrik ketika ia melanda Florida, Georgia, dan menuju ke North Carolina, lapor Agensi Anadolu yang memetik media tempatan pada Jumaat.

Bahagian Pengurusan Kecemasan Florida mengesahkan bahawa Helene mendarat di kawasan Big Bend sebagai Taufan Kategori 4 dengan kelajuan angin antara 130-156 batu sejam (209-251 kilometer sejam). Pusat Taufan Kebangsaan memberi amaran mengenai "angin dahsyat" yang mendorong ke daratan, dan menggesa penduduk untuk kekal di tempat perlindungan.

Menurut laporan ABC7 Chicago, lebih tiga juta orang di seluruh tenggara Amerika Syarikat terputus bekalan elektrik, termasuk lebih sejuta di Florida sahaja.

Perkhidmatan Lautan Nasional melaporkan paras air meningkat di Cedar Key, menunjukkan banjir teruk di kawasan terlibat.

Ketika Helene meneruskan laluannya ke arah utara, pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk mengenai keadaan yang terus mengancam nyawa dan menasihatkan mereka supaya berhati-hati di kawasan yang terjejas.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan